Browsing Tag

nikah gantung

Untitled design - 2022-10-26T170814.504
Hukum,

Bolehkah nikah gantung atau nikah khitbah dalam Islam? Berikut perinciannya

ANTARA salah satu nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT iaitu adanya pernikahan membolehkan seseorang lelaki dan perempuan bukan ajnabi untuk hidup bersama.

Pelbagai persoalan menjadi tanda tanya terutama apabila melibatkan perkahwinan. Namun, Islam hadir dengan pelbagai solusi yang syumul demi kemaslahatan umatnya agar tidak mengikut hawa nafsu dan akal semata.

Berbicara hal itu, antara istilah popular yang sering kali disebut masyarakat Melayu adalah mengenai nikah gantung. Adakah dibolehkan? Apa pula hukumnya menurut perspektif Islam?

Merujuk penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-256, sebenarnya tiada istilah nikah gantung atau nikah khitbah dalam Islam.

Jika perkahwinan dilakukan dengan memenuhi syarat dan rukunnya, maka ia adalah pernikahan secara Islam yang sah.

Status perkahwinan

JIKA perkahwinan yang dilakukan memenuhi syarat dan rukunnya maka ia adalah sah di sisi Islam.

Menerusi artikel berkenaan, nikah khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang memenuhi lima rukun seperti berikut;

1. Suami
2. Isteri
3. Wali
4. Dua orang saksi
5. Ijab dan Qabul

Pernikahan itu sebenarnya bermaksud perkahwinan yang mana pasangan pengantin tidak duduk serumah dalam satu-satu tempoh tertentu hasil persetujuan bersama antara kedua-dua belah pihak.

Dengan kata lain, majlis akad nikah diadakan terlebih dahulu, tetapi majlis kenduri kahwin (walimatulurus) diadakan kemudian.

Andai begitulah maksudnya, maka nikah gantung itu harus dilakukan kerana majlis kenduri dan hantaran yang besar itu bukan rukun serta bukan syarat bagi perkahwinan.

Ketahuilah, kenduri walimah untuk menjemput saudara-mara dan kenalan bagi meraikan pasangan mempelai hanya sunat sahaja. Kenduri secara kecil-kecilan pun sudah memadai.

KENDURI walimah untuk menjemput saudara-mara dan kenalan bagi meraikan pasangan mempelai hanya sunat sahaja manakala hantaran pula, ia merupakan hadiah pihak lelaki kepada wanita. Hakikatnya hadiah adalah pemberian ikhlas dan tidak wajib.

Dari segi hantaran pula, ia merupakan hadiah pihak lelaki kepada wanita. Hakikatnya hadiah adalah pemberian ikhlas dan tidak wajib. Namun, masyarakat kita hari ini seolah-olah mewajibkan hantaran dan menjadikannya sebagai suatu kebanggaan.

Elak zina, kelahiran anak luar nikah

Begitupun, ada yang memilih nikah gantung atas alasan tertentu. Antara sebab-sebab utamanya adalah disebabkan suami tidak mampu menyara sepenuhnya kos hidup isteri seperti rumah sewa, pakaian, peralatan, makanan dan sebagainya. Ini kerana pasangan masih lagi menuntut dan masih belajar.

Suatu perkara yang menarik tentang nikah gantung adalah kebaikan yang tersirat di sebaliknya. Ia bukan sekadar mengelakkan berlaku zina dan kelahiran anak luar nikah, tetapi itulah tujuan sebenar perkahwinan itu diamalkan oleh sebahagian masyarakat.

Masakan tidak, mereka bebas melakukan sebarang aktiviti bersama walaupun tanpa mahram. Malah, pasangan boleh mengandung dan melahirkan anak yang sah daripada hubungan halal.

Kehilangan

PERKAHWINAN merupakan sunnah Rasulullah SAW, bukan sahaja demi memenuhi fitrah manusia, tetapi juga melaksanakan ibadah dalam menyempurnakan semua hak dan tanggungjawab yang diberikan.

“Hal ini kerana mereka adalah pasangan suami isteri yang sah di sisi agama Islam dan undang-undang kerajaan Malaysia. Mereka tidak perlu melarikan diri, menggugurkan bayi, membuang bayi, atau membunuhnya.

“Walaupun ia dikatakan harus, sebaik-baiknya berbincanglah dengan ibu bapa dan keluarga kedua-dua pihak supaya tidak timbul masalah pada kemudian hari. Perkahwinan bukan sekadar berkawan, tetapi hubungan yang menyatukan dua jasad dan dua jiwa,” saran Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Ia seperti yang disebutkan dalam hadis Rasullulah SAW iaitu perkara yang sepatutnya sentiasa di hadapan iaitu: “Keredaan ALLAH terletak pada keredaan kedua ibu bapa, dan kemurkaan ALLAH terletak pada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Setiap perkara yang dilakukan pasti ada pro dan kontranya. Perkahwinan seperti itu ada bahayanya terutama apabila pasangan lelaki hanya berkahwin dengan tujuan untuk memuaskan nafsu seks semata-mata tanpa memberikan sebarang nafkah zahir.

Perkahwinan bukan perjudian

PERKAHWINAN melibatkan hak dan tanggungjawab antara suami isteri secara zahir dan batin.

Hal ini kerana apabila selesainya akad nikah dan tamkin (isteri diserahkan kepada suami), maka perkahwinan tersebut melibatkan hak dan tanggungjawab antara suami isteri secara zahir dan batin.

Sesuatu perkahwinan yang cukup syarat dan rukunnya walaupun dinamakan ‘nikah gantung’ dan tiada kenduri dengan majlis secara besar-besaran dan seolah-olah tiada ‘rumah tangga’ perkahwinan, hukumnya harus dan boleh dilaksanakan.

Hubungan suami isteri ‘nikah gantung’ ini adalah sama seperti suami isteri perkahwinan biasa yang boleh menjalankan hak dan tanggungjawab mereka.

Baca juga Sanggup ikat perut demi majlis kahwin gah, ketahui mahar terbaik dalam Islam

Baca juga Empat perkara sunat dilakukan selepas akad nikah

Baca juga Benarkah segala amal kebaikan selepas berkahwin akan dapat pahala besar? Ini penjelasannya