Browsing Tag

niat sebulan atau setiap hari

Niat puasa
Ibadah,

Tidak memadai niat puasa Ramadan sebulan sekali gus, perlu perbaharuinya pada setiap malam

Tidak memadai niat puasa Ramadan sebulan sekali gus, perlu perbaharuinya pada setiap malam

NIAT puasa begitu penting dan tidak boleh dipandang enteng terutama ketika menunaikan Rukun Islam keempat.

Masakan tidak, ia menjadi kunci utama dalam menentukan kesahan ibadah berkenaan.

Bukan itu sahaja, malah nawaitu tadi menjadi perbezaan yang jelas antara amal yang dikerjakan dengan adat kebiasaan.

Ya, ada orang yang sanggup berlapar gara-gara mahu kurus. Malah, terdapat juga individu tidak makan dan minum kerana tidak mampu atau mempunyai sesuatu untuk dijamah akibat kesulitan hidup.

Begitulah analogi sesuai bagi membezakan antara ibadah puasa dengan individu yang menahan diri daripada makan dan minum.

Baca juga Jangan suka-suka nak batalkan puasa qada kalau tak uzur, ini sebabnya kata agamawan

Jika diteliti, niat sebenarnya merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib.

Demikian fakta yang dipetik menerusi artikel #835 Niat Puasa Ramadan: Sebulan atau Setiap Hari yang disiarkan dalam maktabahalbakri.com.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-bakri, puasa seseorang tidak sah jika tidak berniat.

DR ZULKIFLI

“Ini kerana berpuasa itu merupakan satu ibadah (ibadah mahdhoh) dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat sepertimana solat,” katanya sebagaimana dipetik dalam Maktabah Albakri.

Perkara itu jelas disebutkan dalam hadis diriwayatkan oleh Umar al-Khattab bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat, dan setiap orang (perbuatannya) dikira berdasarkan apa yang diniatkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi, Ibn Majah, an-Nasa’I, Ahmad, al-Daruqutni dan al-Baihaqi)

Baca juga Niat Selepas Azan Subuh, Ini Status Puasanya

Dalam perihal niat puasa Ramadan, agamawan itu menjelaskan, ia mesti dilakukan pada setiap hari pada waktu malam sebelum masuknya waktu Subuh.

“Itulah pandangan di sisi jumlah fuqaha. Hal ini kerana setiap hari dalam Ramadan dikira berasingan,” katanya.

Antara niat berpuasa sebulan Ramadan dengan setiap hari, manakah yang lebih afdal?

Menjawab persoalan itu, Dr Zulkifli yang juga mantan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, para ulama terbahagi kepada dua pendapat dalam malah tersebut iaitu:

1. Boleh diniatkan terus sebulan berpuasa.

Niat puasa

MESKIPUN ada pandangan menyatakan, memadai seseorang berniat sekali sahaja iaitu niat sebulan puasa Ramadan pada awal permulaan niat, tetapi jumhur ulama mengatakan, tidak berpada berbuat demikian, bahkan perlu memperbaharuinya pada setiap malam. -Foto: 123rf

Ia merupakan pandangan al-Imam Zufar dan al-Imam Malik. Mereka menyatakan, berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan berniat sebulan berpuasa pada awal permulaan niat.

Perbuatan itu seumpama seseorang yang menunaikan solat yang mana mereka hanya perlu berniat pada permulaan sembahyang dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain.

2. Tidak berpada dengan niat sebulan sekali gus, bahkan perlu memperbaharui niat pada setiap malam.

Ketahuilah bahawa ia merupakan pendapat jumhur berdasarkan hadis riwayat Hafsah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Ini kerana puasa itu pada setiap harinya adalah ibadah yang bersendiri (mustaqil). Ia tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya).

Bahkan, puasa hari berikutnya juga tidak akan rosak andai ibadah berkenaan ‘cacat’ pada hari ini. Ia tidak sepertimana solat yang mana sekiranya seseorang sudah batal dalam rakaat pertama, maka batallah keseluruhan sembahyangnya.

Baca juga Dilema niat puasa sebulan dengan setiap hari, mana satu lebih afdal?

Melihat kepada kedua-dua pandangan itu, Dr Zulkifli cenderung kepada pandangan kedua yang merupakan pendapat jumhur ulama.

Niat puasa

JANGAN lupa untuk berniat puasa kerana ibadah itu tidak sah dilakukan tanpa niat. -Foto: 123rf

Malah, katanya, ia juga adalah pendapat dalam Mazhab Syafie iaitu niat perlu diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa.

“Pandangan yang mengatakan boleh berniat sekali gus untuk berpuasa selama sebulan pada permulaan niat, maka kami katakan tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga.

“Dalam masa sama, hendaklah seseorang itu berniat untuk berpuasa Ramadan pada setiap malam harinya,” ungkapnya.

Justeru, marilah kita sama-sama berniat puasa Ramadan pada setiap hari kerana itulah yang paling sempurna dan terbaik.

Selepas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Majlis Raja-Raja mengumumkan tarikh puasa jatuh pada keesokan harinya, teruslah kita berniat puasa untuk esok.

Baca juga Perihal niat puasa Ramadan yang wajib diketahui

Pada kesempatan ini, Sinar Islam Plus mengucapkan selamat berpuasa buat semua umat Islam. Semoga segala amal ibadah yang dikerjakan diterima oleh ALLAH SWT. Amin.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.