Browsing Tag

Niat ketika baca al-Quran

Kemerdekaan
Isu,

Hindari 3 niat ini ketika baca al-Quran

TIDAK lengkap rasanya jika diri mengakui sebagai seorang Muslim, tetapi jarang sekali membaca al-Quran. Masakan tidak, warisan agung peninggalan Nabi Muhammad SAW itu seharusnya menjadi pegangan kita supaya tidak tergelincir daripada landasan agama.

Bahkan, kalam ALLAH itu begitu berharga kerana ia menjadi petunjuk kepada hamba-NYA untuk melayari kehidupan di muka bumi ini.

Ya, begitu besarnya mukjizat yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW untuk membimbing kita. Namun, semua itu bergantung kepada niat masing-masing apabila kita membacanya.

Andai kita mendekatinya dengan niat tidak murni dan alasan tidak wajar, maka tidak hairanlah jika kita hidup dalam kesesatan.

Memetik portal berita berpengaruh Indonesia, Republika, terdapat tiga niat yang perlu dijauhi saat kita mengaji. Perinciannya seperti berikut:

1. Membacanya untuk mengejar kesenangan dan intelektual semata-mata.

Sememangnya kita dituntut untuk mempelajari al-Quran, tetapi usahlah sekadar membacanya semata-mata untuk mencapai keintelektualan dan kesenangan.

Niat ketika baca al-Quran

JADIKAN amalan membaca al-Quran sebagai rutin kita pada setiap hari.

Ia saling tidah ubah seperti orang yang menghabiskan seluruh usianya dengan mempelajari bahasa, sejarah, geografi, undang-undang dan etika berkaitan al-Quran, namun kehidupan mereka langsung tidak meneladani mesej yang disampaikan dalam kalam ALLAH itu. Situasi itu sama seperti orang yang mempunyai ilmu, tetapi tidak mendapat manfaat daripadanya.

2. Cuba untuk menyokong hujah kita.

Benar, kita perlu mencari kebenaran dengan fakta yang terkandung dalam al-Quran. Namun, semua itu memerlukan ilmu yang mantap. Pendek kata, kita perlu berguru supaya apa sahaja kenyataan diperoleh adalah benar-benar tafsiran daripada kalam ALLAH SWT.

Baca juga Tak boleh tafsir al-Quran semberono, ini penjelasan lanjut untuk kita fahami dasar ilmu tafsir kalam ALLAH

Daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berkata sesuatu pada al-Quran dengan menggunakan pendapatnya sendiri, maka bersiap sedialah tempatnya di dalam neraka.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

3. Meraih keuntungan duniawi.

Manusia sememangnya cintakan kemewahan dan kesenangan. Jika tidak, tiadalah orang yang sanggup menggunakan al-Quran semata-mata untuk mencapai kehendak duniawi seperti harga diri, status, kemasyhuran atau wang.

Kadangkala apa yang dihajatkan itu berjaya dicapai, tetapi ia bukanlah bersifat kekal abadi.

Baca juga 9 Kelebihan membaca surah Al-Waqiah, rezeki yang tak dijangka adalah sebahagiannya

Kepada mereka yang mahu membaca al-Quran, penceramah bebas Ustaz Iqbal Zain menerusi artikel yang disiarkan dalam laman web tzkrh.com menyarankan agar kita berniat 33 perkara iaitu:

Niat ketika baca al-Quran

BERDAMPINGLAH dengan al-Quran kerana banyak kelebihan jika kita berbuat demikian.

1. Untuk tujuan belajar dan beramal.
2. Memohon hidayah.
3. Bermunajat.
4. Menyembuhkan penyakit.
5. Meminta dikeluarkan daripada kegelapan kepada cahaya.
6. Mengubat hati yang keras.
7. Menikmati hidangan.
8. Supaya tidak termasuk dalam golongan yang lalai.
9. Menambah keyakinan.
10. Mentaati perintah ALLAH SWT.
11. Mendapat pahala dan kebaikan.
12. Mendapat syafaat.
13. Bertujuan untuk mengikut wasiat Nabi Muhammad SAW.
14. Niat supaya ALLAH SWT mengangkat darjat diri dan umat Islam.
15. Supaya ALLAH SWT mengangkat darjat di syurga.
16. Berniat untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
17. Dimasukkan ke dalam golongan ahlillah.
18. Dimasukkan ke dalam golongan ahli yang mahir membaca al-Quran.
19. Diselamatkan daripada ahli neraka.
20. Niat agar hati rasa bersama dengan ALLAH SWT.

Niat ketika baca al-Quran

AL-QURAN bukan sekadar dibaca bahkan diambil pengajaran daripadanya.

21. Berniat supaya tidak mensia-siakan umur.
22. Agar al-Quran menjadi saksi kebaikan.
23. Berniat memandang mushaf adalah satu kebaikan.
24. Agar ALLAH mengurniakan sakinah.
25. Tujuan mendapat kebaikan.
26. Niat supaya aroma mulut menjadi harum.
27. Tidak tersesat di dunia.
28. Berniat agar terhindar daripada kesedihan, kerisauan dan kegusaran.
29. Al-Quran menjadi teman dalam alam kubur.
30. Agar ALLAH mertarbiah diri.
31. Dapat menyibukkan diri dengan al-Haq (yang benar).
32. Mujahadah melawan nafsu.
33. Niat agar ALLAH memisahkan diri daripada al-Kafirin.

Ayuh sama-sama kita mendampingi al-Quran agar ia memandu kehidupan kita ke arah yang lebih baik, sekali gus menjadi ‘teman’ kita ketika di alam barzakh kelak.

Foto: Freepik & Canva