Browsing Tag

nhms

dates
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

 Sihat Itu ‘Mahal’

no comment

Tidak ada ruang yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya, cukuplah baginya memakan beberapa suapan sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak mampu, maka ia dapat memenuhkan perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga lagi untuk nafasnya.”– Diriwayatkan oleh Ibnu Mājah.

Penjagaan kesihatan adalah aspek yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Tubuh badan yang sihat sangat berkait rapat dengan punca makanan dan amalan pemakanan seseorang individu.
Penjagaan dan pemakanan yang seimbang amatlah dititikberatkan seawal seorang bayi dilahirkan sepertimana yang ditegaskan oleh Baginda Rasullulah S.A.W. dalam Hadis Riwayat Bukhari, “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu”.

Gaya hidup, tekanan, tabiat buruk makanan adalah faktor risiko yang menyebabkan orang dari semua peringkat umur berhadapan dengan masalah berat badan sekali gus menjadi punca datangnya segala penyakit.

Rozanna Rosly

Pakar Diet dan Ketua Jabatan Dietetik, Pusat Pakar Universiti Malaya, (UMSC), Rozanna M.Rosly, berkata realiti kehidupan moden masyarakat kini berlakunya proses urbanisasi yang pantas membabitkan perubahan gaya hidup yang tidak sihat, kekurangan aktiviti fizikal, pemakanan tidak seimbang dan penuaan populasi adalah punca utama mendorong kepada risiko penyakit tidak berjangkit atau Non Communicable Disease (NCD).

“Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang mempromosikan makan makanan sihat dan secara sederhana. Makanan dan minuman memainkan peranan yang sangat penting untuk kesihatan secara keseluruhan. Seperti definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan adalah kesejahteraan jasmani serta rohani dan pemakanan yang seimbang dan terkawal dapat mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit.

“Kebanyakkan penyakit tidak berjangkit disebabkan cara pemakanan, gaya hidup yang kurang sihat dan kurang pengetahuan mengenai pemakanan seimbang. Cara dan adab makan minum Rasulullah SAW seperti duduk dengan baik, tidak memenuhi mulut dengan makanan, tidak makan secara berlebihan dan makan awal sebelum waktu maghrib dapat membantu mengawal saiz hidangan dan mengelak dari memakan tanpa kawalan atau berlebihan.

“Cara pemakanan seperti ini dapat membantu mengawal berat badan, dapat mengawal paras gula dalam darah, mengurangkan penyakit seperti gastrik/refluks dan membantu dalam pencernaan serta tidak mengganggu tidur waktu malam. Selain daripada itu, adab mencuci tangan sebelum dan selepas makan serta menutup bekas makanan dan minuman dapat mengurangkan risiko jangkitan dan kontaminasi,” katanya kepada siplus.com.my.

Tambahnya, Rasulullah SAW mengamalkan cara hidup sihat melalui gaya pemakanan yang seimbang dan sentiasa secara sederhana, malah baginda juga tidak mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.

Rozanna menegaskan, kajian kesihatan jelas membuktikan lebihan berat badan dan kegemukkan ialah ancaman kesihatan yang nyata. Pemahaman yang lebih baik mengenai kategori penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti Obesiti, Darah Tinggi dan Kencing Manis.

Kajian terkini yang dilakukan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi.

“Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu dari mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius. Hanya melalui pengubahsuaian gaya hidup dan amalan makanan yang seimbang saja boleh membantu anda mencegah dan menangani penyakit.

“Tabiat pemakanan yang boleh diteladani ialah mengikut sunnah Rasulullah. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan dengan kajian kesihatan seperti yang disebut di dalam al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).

“Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.

“Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia membebankan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan. Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari perut. Pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal,” katanya.

Menurut Rozanna, untuk hidup secara sihat dan mengelak serta mengawal penyakit, setiap individu perlu memberi perhatian kepada lima amalan asas kesihatan iaitu melakukan aktiviti fizikal yang mencukupi setiap hari, makan secara sihat, bijak menangani tekanan, tidak merokok dan elak alkohol.

Aktiviti fizikal dapat membantu meningkatkan kecergasan kardiovaskular, kekuatan dan fleksibiliti serta membakar kalori.

Malah, aktiviti fizikal dapat membantu meningkatkan kecergasan kardiovaskular, kekuatan dan fleksibiliti serta membakar kalori bagi memastikan anda sentiasa sihat.

“Garis Panduan Pemakanan Malaysia mencadangkan agar semua orang dewasa meluangkan masa sebanyak 30 minit dalam sehari melakukan aktiviti fizikal berintensiti sederhana sekurang- kurangnya lima hingga enam hari seminggu. Sebaiknya setiap hari bagi mengekalkan berat badan semasa.

“Tekanan adalah satu perkara normal dalam kehidupan, namun tekanan berpanjangan dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang meningkatkan risiko berlakunya NCD, terutamanya penyakit jantung. Langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan tekanan adalah berbual dengan rakan atau mengambil cuti pendek bagi merehatkan diri.

“Kualiti tidur mempunyai hubungan secara terus dengan kehidupan seharian seseorang. Ia boleh mempengaruhi ketajaman mental, produktiviti, keseimbangan emosi, kreativiti dan kecergasan fizikal. Ini menunjukkan tidur salah satu faktor penting dalam penjagaan kesihatan bagi mencegah NCD,” katanya.

Makanan diamalkan Rasulullah mengandungi zat yang maksimum dan sesuai diberikan seusia bayi:

1-Kurma dan Buah Tin (dalam kuantiti yang di syorkan ) – digalakkan oleh Rasullah untuk membentuk otak dan minda yang sihat kerana tunggi kandungan zat beri, garam, mineral, vitamin serta serat.
2-Buah atau Minyak Zaitun (dalam kuantiti yang di syorkan ) – berupaya menurunkan paras kolestrol, mengelakkan masalah jantung, kawal tekanan darah dan juga membantu menyehatkan otak dengan meningkatkan keupayaan kognitif dan juga memori.
3-Oat dan Barli – tinggi serat serta vitamin dan mineral untuk tenaga dan ketumbesaran yang sihat.
4-Buah-buahan dan sayuran seperti anggur, buah delima, tembikai, timun – tinggi vitamin dan mineral untuk kulit, gigi dan daya tahanan yang kuat.

Rasulullah gemar buah-buahan kerana mengandungi tinggi vitamin dan mineral.

 

Beberapa jenis makanan kegemaran Rasulullah SAW dan khasiatnya adalah :

1.Daging kambing bahagian lengan – mengandungi kurang lemak, zat besi, tinggi proten dan memberi tenaga untuk kekuatan otot dan tinggi protin.
2.Roti yang diperbuat daripada tepung barli yang tidak diproses – tinggin serat dan khasiat vitamin untuk membantu paras kolesterol, paras gula dalam darah, tekanan darah tinggi serta membantu sebagai pelawas asli.
3.Susu- mengandungi khasiat yang lengkap terdiri daripada protein, lemak dan kalsium, vitamin D serta nutrient yg lain yang dapat membantu pembentukan tulang dan gigi yang kuat.
4.Keju – Rasulullah SAW menyukai keju yang diperbuat daripada susu lembu dan kambing. Keju rendah lemak mempunyai lebih manfaat sama seperti susu rendah lemak.
5.Buah-buhan kering asli seperti Kurma (dalam kuantiti yang di syorkan terutama untuk pesakit kencing manis dan obesiti) dan buah tin.

Makanan tambahan kegemaran Rasulullah yang mengandungi unsur manis semula jadi seperti buah-buahan dan madu malah:

1.Buah-buhan dan sayur-sayurah seperti anggur, tembikai, timun, buah delima – Kandungan vitamin dan minral cukup tinggi serta mineral kalium yang berfaedah untuk saluran pencernaan, pelawasan dan meningkatkan daya tahanan.
2.Madu (dalam kuantiti yang di syorkan terutama untuk pesakit kencing manis dan obesiti) – Hasil kajian Universiti Zagreb di Croatia dan penemuan yang dimuatkan dalam Journal of the Science of Food and Agriculture menunjukkan madu lebah kaya dengan bahan antioksidan yang berfungsi menghalang bahan-bahan radikal bebas bertindak ke atas sel-sel badan bertukar kepada kanser.
3.Barli- Tinggi dengan beta glukan yang dapat membantu menurunkan kolesterol serta dapat melindungi usus daripada penyakit kanser, masalah kolon dan pelawas asli.
4.Buah dan Minyak Zaitun (dalam kuantiti terkawal dan tidak diguna untuk menggoreng) – Buah serta minyak ini mempunyai lemak mono tidak tepu yang mempunyai kelebihan seperti dapat melindungi diri daripada penyakit koronari jantung, mengawal tekanan darah serta melindungi diri daripada penyaki.
5. Kajian yang dilakukan oleh al-Shahib, W and Marshall, RJ bertajuk The Fruit Of The Date Palm : Its Possible Use As The Best Food For The Future dan International Journal of Food and Science Nutrition, 54 (4):247-259, buah kurma boleh menjadi makanan yang ideal pada masa hadapan kerana ia mengandungi – 15 jenis garam dan mineral, kaya dengan vitamin dan serat (6.4-11.5%).

Berdoa sebelum dan selepas makan bagi memberkati makanan yang masuk ke dalam perut.

Adab Makan Dan Minum Rasulullah SAW:

1. Mencuci tangan sebelum makan:
Membasuh tangan sebelum makan dapat membersihkan segala kotoran yang ada pada tangan dan seterusnya dapat mengelakkan penyakit.

2. Membaca ‘Bismillah‘ dan doa sebelum makan:
-Memulakan makan dengan doa akan mendatangkan berkat.
-Makanan yang berkat akan memberi tenaga dan tenaga yang berkat ini akan digunakan untuk kesihatan diri dan kebajikan.

3. Makan dengan tiga jari tangan kanan:
-Menggunakan tiga jari kanan mengecilkan saiz suapan dan seterusnya makanan dapat dikunyah dengan sempurna.
-Makan dengan jari tangan kanan merupakan cara untuk memperoleh hasil terbaik proses pencernaan.
-Menurut artikel yang diterbitkan dalam paparetta.wordpress.com pada Oktober 2010, makan menggunakan tangan terbukti lebih menyehatkan kerana jari akan mengeluarkan enzim ‘RNAse’ yang dapat mengawal aktiviti bakteria sehingga ke tahap minima dalam sistem pencernaan. Ini mampu menghindarkan penyakit yang disebabkan oleh perut.

4. Duduk dengan baik, tegap dan tidak bersandar:
-Posisi ini memudahkan makanan turun serta dihadamkan dengan sempurna.

5. Bersikap sederhana dan tidak berlebihan ketika makan:
-Rasulullah SAW tidak pernah makan hingga terlalu kenyang, tidak makan lagi sesudah kenyang dan tidak makan melebihi sepertiga perut kerana sepertiga lainnya adalah untuk minuman dan udara (nafas). Dengan erti lain Rasulullah SAW makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.

6. Mulai makan dari hidangan atau bahagian yang terdekat dengan kita:
-Selain kelihatan lebih sopan, tenang dan tidak rakus, tindakan ini juga boleh memperoleh keberkatan makanan tersebut.

7. Tidak memenuhkan mulut dengan makanan yang terlalu banyak:
-Lebih sopan dan tidak kelihatan gelojoh.

8. Tidak banyak bercakap ketika sedang makan:
-Mengelakkan makanan daripada terkeluar dan menampakkan sikap tidak sopan dan rakus.

9. Makan bersama-sama dengan ahli keluarga dan sahabat (tidak makan bersendirian):
-Mengeratkan ikatan silaturrahim serta menambahkan keberkatan makanan.

10. Tidak mengeluarkan suara keras ketika sedang mengunyah makanan:
-Mengelakkan gangguan kepada orang lain.

11. Tidak mengawasi dan melihat orang yang sedang makan
-Mengelakkan orang yang diawasi daripada berasa terganggu dan malu serta menjejaskan selera makan mereka.

12. Tidak menyisakan makanan di pinggan
– Memupuk sikap terpuji iaitu tidak membazir serta mendapat keberkatan makanan.

13. Tidak mencela makanan yang tidak disukai
– Jika Rasulullah SAW tidak berselera, baginda akan meninggalkan makanan tanpa mencela makanan tersebut.
– Cacian terhadap makanan boleh mengurangkan keberkatan yang Allah SWT berikan dalam makanan tersebut dan memberi kesan negatif terhadap kesihatan tubuh sekiranya makanan tersebut dimakan.

14. Tidak bernafas ketika minum dan menjauhkan mulut dari tempat minum ketika bernafas serta tidak meniup makanan dan minuman yang panas
– Mengelakkan kita mengambil minuman yang tercemar dengan karbon dioksida hasil daripada hembusan nafas ke dalam minuman.
– Adab ini juga menerap nilai kesabaran dan kesopanan dalam diri.

15. Menutup bekas makanan dan minuman
– Mengelakkan makanan dan minuman daripada tercemar.

16. Menjilat makanan yang tersisa di jari-jari (ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah) ketika suapan terakhir
– Ia mestilah dilakukan dengan tertib, indah dan berperaturan agar tidak menimbulkan persepsi yang negatif.
– Penemuan kesihatan moden menunjukkan bahawa dengan menjilat jari setelah selesai makan, jari akan mengeluarkan enzim yang sangat membantu kelancaran proses pencernaan.

17. Setelah selesai makan, bacalah : “Alhamdulillah
– Menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT terhadap makanan dan minuman yang telah dikurniakan.

18. Cuci tangan setelah selesai makan
– Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk mencuci tangan sebelum dan sesudah makan supaya terhindar daripada kuman dan penyakit.

19. Tidak meninggalkan makan malam
– Rasulullah melarang umatnya untuk meninggalkan makan malam.
– Barang siapa yang meninggalkan makan malam dia akan dimamah usia dan tahap kolesterol dalam darah akan meningkat. Makan malam adalah sebelum Maghrib iaitu lebih kurang jam 7 malam.