Browsing Tag

new zealand

The Hollywood Reporter
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Jacinda Ardern Berang Kisah Dirinya Terpalit Dalam Filem Christchurch, Penerbit Tarik Diri

no comment

SELEPAS tiga hari mengumumkan projek pembikinan filem yang meletakkan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sebagai subjek utama, penerbit filem They Are Us menarik diri, hari ini.

Penerbit Filem They Are Us, Philippa Campbell. Gambar: Stuff.co.nz

Penerbit, Philippa Campbell yang mengumumkan bahawa projek yang mengisahkan pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Christchurch pada 2019 itu, akan dihentikan selepas dikecam teruk oleh masyarkat sekeliling termasuk Ardern sendiri.

“Saya telah mendengar kebimbangan yang timbul sejak beberapa hari kebelakangan ini dan saya juga mengambil banyak pandangan orang mengenai pembikinan filem ini.

“Saya sekarang bersetuju bahawa peristiwa 15 Mac 2019 terlalu mentah untuk difilemkan dan pada masa ini saya tidak mahu terlibat dengan projek yang boleh menimbulkan kesulitan kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media.

Katanya, pengumuman itu juga dibuat bagi menjaga reputasi syarikatnya yang hanya bergantung kepada perniagaan filem dan tidak melibatkan pengaruh politik dalam menggambarkan cerita kehidupan di negaranya.

“Saya melihat banyak kerumitan yang akan berlaku sekiranya filem ini diterbitkan dan saya juga telah renungkan sedalam-dalamnya menyebabkan saya membuat keputusan untuk menarik diri,” katanya.

Ardern tidak mahu terlibat di dalam pembikinan filem They Are Us yang disifatkan tidak fokus kepada serangan pengganas.

Menurusi kenyataan yang dikeluarkan pejabat Perdana Menteri New Zealand, Ardern memaklumkan dirinya dan kerajaan tidak terlibat dalam penghasilan filem berkenaan.

Ardern menyifatkan subjek yang ingin diketengahkan itu ‘sangat kasar dan mentah’ serta tidak memberi fokus tepat mengenai serangan pembunuhan itu.

Apatah lagi di saat umat Islam masih terkejut dan bersedih selepas tragedi yang membunuh 51 umat Islam di dua masjid di bandar itu.

“Ada banyak cerita daripada tragedi 15 Mac yang boleh diceritakan, tetapi saya tidak menganggap kisah saya adalah salah satu daripadanya,”kata Ardern yang jelas tidak senang kisahnya difilemkan.

Rose Byrne, pelakon berbakat besar yang memiliki wajah mirid Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

Filem yang sepatutnya dibintangi pelakon tempatan Rose Byrne yang memegang watak Ardern berjudul They Are Us mengambil inspirasi daripada salah satu ucapan Ardern selepas peristiwa hitam itu berlaku.

Filem yang sepatutnya diarahkan Andrew Niccol dan bakal dipasarkan syarikat FilmNation Entertainment berpusat di New York, menceritakan bagaimana Ardern berjuang mengutuk serangan pengganas di dua masjid itu dengan perasaan kasih sayang dalam membela mangsa pembunuhan bagi menyemai perpaduan rakyatnya.

Malah usahanya itu juga berjaya mengharamkan pemilikan senjata api separuh automatik dalam segala bentuk serangan di negaranya.

Walaupun risalah diedarkan penerbit untuk mendapat pandangan dan rundingan bersama anggota masjid berkenaan, namun ia tetap tidak menjaga senstiviti umat Islam di negara itu.

Niccol yang juga pengarah dan penulis skripnya berkata filem itu ditulis berdasarkan hasil rujukan beberapa jemaah masjid yang terjejas oleh serangan itu.

“Jalan cerita filem itu tidak tertumpu sepenuhnya kepada serangan itu tetapi lebih kepada maklum balas terhadap tragedi itu.

“Namun filem ini mempaparkan nilai kemanusiaan sesama kita, itulah sebabnya mengapa ia akan menyentuh hati penonton yang bakal menontonnya di serata dunia selepas siap nanti.

“Ia adalah contoh bagaimana kita harus memberi maklum balas apabila berlaku serangan terhadap sesama manusia,” katanya.

Jurucakap Persatuan Muslim Canterbury, Abdigani Ali, berkata masyarakat maklum bahawa kisah serangan itu perlu dikongsi tetapi perlu dilakukan dengan betul, secara jujur dan menjaga sentiviti keluarga mangsa.

Seorang penulis yang juga pwguam, Guled Mire memberitahu bahawa produksi itu tidak sensitif sepenuhnya.

Masjid di Christchurch lokasi serangan pengganas yang meragut 51 nyawa umat Islam sedang beribadah.

Sebilangan besar daripada mereka yang cedera dan menderita akibat serangan itu menghadapi tekanan kewangan yang berterusan, masalah fizikal sepanjang hayat dan trauma mental serta meminta maklum balas yang lebih baik dari kerajaan.

“Hakikatnya adalah ramai keluarga mangsa masih sedang berjuang dengan emosi sekarang. Tidak ada yang ingin melihat kenyataan bahawa mangsa sendiri dan keluarga serta saksi mereka tidak dapat menerima sokongan kesihatan mental yang mereka berhak mereka dapat.

“Tidak ada yang mahu membicarakan kekurangan pampasan kewangan untuk kegagalan kerajaan. Tidak ada seorang pun pegawai yang bertanggungjawab untuk ini. Mereka mungkin tidak berunding dengan beberapa anggota masyarakat Islam lain, ramai yang tidak tahu kisah sebenar dan mungkin ramai juga keluarga mangsa sendiri tidak pernah mendengarnya.

Mangsa serangan pengganas yang terselamat masih trauma dan tidak dapat melupakan peristiwa hitam itu. Gambar: CNN

“Mereka masih berusaha untuk melupakan semuanya. Ini hanya memberi memanfaat kepada syarikat penerbitan saja,” katanya.

Aya Al-Umari yang juga saudara lelaki mangsa pembunuhan Hussein, berkata bahawa produksi itu langsung tidak sensitif menerusi ciapan twitternya dan menulis ‘Yeah nah’ bermaksud ‘Tidak!’.

“Saya tidak fikir filem ini akan diterima dengan baik di New Zealand. Sangkaan saya ialah Hollywood memanfaatkannya secara berlebihan hanya untuk keuntungan semata, “katanya.

Penulis Baru, Mohamed Hassan mengkritik mereka yang berada di belakang filem itu kerana mengubah serangan itu menjadi ‘naratif penyelamat putih’.

“Rasa sakit masih segar dan nyata. Ini sangat menjengkelkan, pencabulan dan sesuatu yang aneh ingin dihasilkan,” katanya.

Penduduk tempatan, Ahmed Osman, berkata banyak mangsa yang terselamat dan keluarga mangsa masih menjalani mimpi buruk dan belum mendapat sokongan yang mencukupi.

“Filem ini berjudul “memuliakan perkara paling tragis dan trauma yang pernah terjadi pada mereka. Semasa kita melakukannya, mengapa kita tidak membuat filem mengenai kegagalan polis dan Perkhidmatan Perisikan Keselamatan (SIS). Pemantauan terhadap Muslim dan masyarakat kita yang tidak bersalah, gangguan dan isu perkauman yang berterusan yang kita lalui,” katanya.

Sumber: The Gurdian/AP/Deadline