Browsing Tag

netanyahu

Mirim Alster
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Palestin Lebih ‘Curiga’ Bennett daripada Netanyahu

no comment

RAKYAT Palestin menganggap pemilihan Naftali Bennett sebagai Perdana Menteri baharu Israel sebagai ‘urusan dalaman Israel’, dan mengatakan mereka tidak mengharapkan perubahan positif daripada itu seperti mana pemerintahan Netanyahu.

“Kami tidak mengharapkan perubahan dalam pemerintahan baharu Bennet, kerana mereka bersatu dengan kebijakan membunuh dan merampas hak Palestin,” kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri menerusi ciapan dalam twitternya.

Abu Zuhri mengaitkan kegagalan membentuk pemerintahan oleh bekas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebagai kesan tindakannya mencetuskan pergolakan di Palestin pada peperangan 11 hari Mei lalu.

“Walaupun terlepas dari bentuk pemerintahan Netanyahu tidak akan mengubah cara kita melihat rejim Zionis. Ini adalah penjajahan dan jatidiri penjajah yang harus kita lawan secara paksa untuk mendapatkan hak kita kembali.

“Kali ini, pemerintah tanpa Netanyahu dibentuk di Israel. Namun, tidak tepat untuk menyebutnya sebagai ‘pemerintahan perubahan,’ Cuma kita boleh katakan bahawa Netanyahu tidak ada lagi di sana,” menurut jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum.

Tambahnya, tingkah laku pemerintah kali ini di lapangan akan menentukan cara dan sifat sebenar mereka.

Mahmoud Abbas bercakap dengan pemimpin Palestin di Muqata. Gambar- Wafa News Agency

Jurucakap kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeineh, berkata ini adalah urusan dalaman Israel. “Kedudukan kami sangat jelas, apa yang kami mahukan adalah sebuah negara Palestin di yang dulu iaitu ketika 1967 dengan Jerusalem sebagai ibu kotanya,” katanya.

Menurusi kenyataan itu juga, Kementerian Luar Negeri Palestin mengatakan bahawa tidak tepat untuk memanggil pemerintah Israel yang baharu sebagai pemerintah yang berubah, kerana kebijakannya tidak akan berubah dari pemerintahan sebelumnya, jika tidak melihat dasar yang lebih buruk daripada itu.

Mereka juga melihat tiada ada perubahan dalam dasar Israel terhadap Palestin di bawah kerajaan Perikatan dari lapan parti yang dipimpin Perdana Menteri Israel Naftali Bennett.

Pemimpin-Pemimpin dari Perjuang Palestin dan Hamas mengeluarkan reaksi tidak menyenangkan terhadap berita mengenai gabungan pemerintah baharu selepas berjaya menggulingkan Benjamin Netanyahu selama 12 tahun tampok pemerintahannya di Israel.

Di Semenanjung Gaza, Hamas mengatakan akan terus berperang melawan pemerintah Israel dalam bentuk apa pun.

Ternyata Netanyahu tiada hubungan yang baik dengan Mahmoud Abbas apatah lagi rundingan damai yang tiada kesudahannya terhenti selama beberapa dekad. Begitupun Netanyahu mempunyai hubungan sangat rapat dengan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang dilihat oleh orang Palestin sebagai bersikap berat sebelah terhadap Palestin.

Namun begitu, Bennett lebih dilihat oleh masyarakat Palestin sebagai wajah yang tidak ramah terhadap rakyat Palestin. Bennett juga telah lama berikrar untuk menghalang penubuhan negara Palestin.

Lebih buruk, Bennett pernah mengatakan bahawa dia telah membunuh ramai orang Arab dalam hidupnya dan tidak ada yang salah dengan perbuatan itu.

Menurut The Jerusalem Post, Pemerintahan Bennett akan meneruskan dasar Netanyahu sebagai menentang negara Palestin.

Rakyat Palestin percaya bahawa kerajaan Israel yang diketuai pemimpin daripada parti Yamina itu akan menjalankan dasar yang sama dengan Netanyahu, terutama di Baitulmadis dan Tebing Barat.

Gambar: Retures

Sementara itu, hari ini secara rasminya kerajaan Israel yang baharu telah dipilih. Parlimen Israel semalam juga telah meluluskan pemerintahan kerajaan perikatan sekali gus memberi penghormatan terhadap demokrasi Israel yang memperjuangkan visi ‘StandWithUs’.

“Percubaan untuk kesatuan di antara perbezaan politik, etnik, dan agama tidak pernah terjadi sebelumnya.

Kami berharap ia menjadi contoh positif bukan hanya untuk Israel tetapi juga untuk negara Timur Tengah.” kata Bennett dalam tulisannya menerusi Instagram selepas beberapa jam diumumkan secara rasmi sebagai Perdana Menteri Israel yang baharu.

Sebelum ini Bennett pernah berkata bahawa dia merasa bangga dengan kemampuannya untuk duduk bersama dengan gabungan perikatan yang berpandangan sangat berbeza daripada pandangannya sendiri.

Bennett akan menjadi Perdana Menteri selama dua tahun dan akan digantikan dengan pemimpin parti Yesh Atid, Yair Lapid pada tahun 2023. Ini juga menandakan berakhirnya pemerintahan 12 tahun Netanyahu sekali gus telah menghantar bekas pemimpin itu ke posisi pembangkang.

“Penduduk Israel memerlukan kerajaan yang berfungsi dan bertanggungajwab serta membawa manfaat kepada mereka dan itulah apa yang bakal dilakukan oleh kerajaan baharu ini.
“Kesemua ahli kerajaan perikatan ini komited terhadap penduduk Israel,” kataLapid.

Bennett (kanan) mendahului pencabarnya (kiri), Netanyahu selepas sesi khas untuk memilih pemerintah baharu. Gambar: AFP

Naftali Bennett yang juga bekas sekutu Netanyahu sebelum ini menjadi saingan terkuat Netanyahu dengan memperoleh undian tipis 60 berbanding 59.

Malah Bennett yang memimpin Parti Yamina sebuah parti sayap kanan di dalam Kerajaan Perikatan melakar satu-satunya dalam sejarah Israel hanya memenangi tujuh kerusi untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

Berbanding Netanyahu mewakili Parti Likud memenangi 30 kerusi dalam pemilihan pada Mac lalu.

Benjamin Netanyahu. Gambar: CNN World

Begitupun Netanyahu yang kini berusia 71 tahun menjelaskan bahwa dia tidak terlintas untuk meninggalkan pentas politik.

“Sekiranya ditakdirkan untuk kita berada dalam pembangkang, kita akan berusaha merampasnya kembali sehingga kita dapat menjatuhkan kerajaan yang merbahaya ini dan kembali untuk memimpin Israel,” katanya.

Di atas kemenangan ini, Bennett juga berjanji untuk berusaha ‘menyembuhkan’ Israel yang dianggap sebagai berpecah-belah. Bennett akan mengetuai gabungan yang dilihat sangat rapuh kerana terdiri daripada lapan parti gabungan dengan perbezaan ideologi.

Pelantikkan Bennett itu juga mendapat reaksi positif dari Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang turut menghubunginya untuk memberi ucapan tahniah diatas pemerintah baharu.

“Saya berharap dapat cepat bekerjasama dengan Perdana Menteri Bennett untuk memperkuat semua aspek hubungan erat dan mengekalkan hubungan antara kedua negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Biden juga mengatakan pemerintahannya komited penuh untuk bekerja dengan pemerintah baharu Israel dalam memulihkan keamanan, kestabilan, dan perdamaian antara Israel, Palestin, dan negara-negara di seluruh dunia.

Bennett yang dilahirkan di Haifa pada bulan Mac 1972 adalah anak bongsu daripada tiga beradik oleh pasangan Jim dan Myra yang juga warga Amerika Syarikat. Ibu bapanya berpindah ke Israel pada 1967 dari San Francisco selepas Perang Enam Hari.

 

Sumber: The Times Of Israel/AP/CNN/NPR/ The Jerusalem Post/TRT World