Browsing Tag

naval

barbarossa
Jendela Dunia, Personaliti,

Barbarossa: “Lanun” Atau Adi Wira Lautan?

no comment

Oleh MUHAMMAD YUSUFF HASSAN

DIKENALI sebagai singa Mediterranean, Barbarossa Hayreddin Pasha memperlihatkan kemahiran ilmu perkapalan yang luar biasa sebagai laksamana besar tentera laut Uthmaniyyah pada awal abad ke-16.

Di bawah pengawasan Barbarossa, kekuatan tentera laut Uthmaniyyah meningkat berlipat kali ganda, begitu juga penaklukan maritim yang luar biasa.

Menjelang abad ke-21, jasa Hayreddin Pasha masih sangat dihormati oleh kerajaan Turki, sehinggakan semasa latihan tentera laut Blue Homeland pada tahun 2019, kapal perang Turki memberikan salut hormat ketika melalui kubur Barbarossa, dengan membunyikan foghorn sebanyak tiga kali ketika belayar di pesisir daerah Besiktas di Istanbul.

Makam Barbarossa sering mendapat kunjungan masyarakat Turki kerana kisah inspirasi Hayreddin Pasha ini sering menjadi buah mulut masyarakat Turki moden.

Makam milik Barbarossa di Besiktas, Istanbul (besiktas.bel.tr)

Kerajaan Turki bahkan telah menamakan kapal perang laut yang utama sempena Barbaros Hayreddin Pasha dan tokoh-tokoh legenda Uthmaniyyah lain seperti Fatih, Yavuz dan Kanuni.

Dilahirkan di Pulau Lesvos di Greece, pada tahun 1478, nama sebenar Hayreddin Pasha adalah Khidr. Dia mula mendapat jolokan sebagai ‘Barbarossa’ kerana janggut merahnya. Sultan Salim dari Kerajaan Turki Uthmaniyyah I memberikan nama kehormatan ‘Hayreddin’, yang bermaksud ‘kepercayaan yang terbaik’.(خيرالدين)

Semasa kematiannya pada tahun 1546, Kerajaan Uthmaniyyah mengumumkan: “pemimpin laut sudah mati”.

Bendera Angkatan Laut Barbarossa (Ottoman Archives)

Begitulah hebatnya pengaruh Barbarossa pada rakyat Turki dari zaman kegemilangan Uthmaniyyah sehinggalah hari ini namanya tidak pernah lenyap dimamah kemodenan.

Sebagai anak bongsu daripada empat bersaudara, beliau memulakan kegiatan perdagangan antara Lesvos, Thessaloniki dan Euboea dari Greece dengan kapal yang telah dibinanya sendiri.

Abangnya dikenali sebagai Baba Oruc (bapa Oruc) kerana dia membantu pelarian Muslim melarikan diri dari tentera salib Kristian di Andalus. Dia membawa mereka ke Afrika Utara dengan armadanya.

Hayreddin Pasha sememangnya terkenal sebagai seorang yang pintar dan cerdas sejak daripada usia muda.

Seawal usia mudanya, beliau terkenal dengan semangat yang berkobar-kobar, berani tetapi berhemah.

Beliau memiliki berkeinginan tinggi, diganding dengan naluri pertempuran semula jadi. Barbarossa juga dikenali dengan pemikiran strategik dalam setiap perjalanan hidupnya.

Gambaran ketika Barbarossa Hayreddin Pasha mengalahkan pimpinan Andrea Doria pada Pertempuran Preveza.(Public Domain : Wiki Commons)

Setelah berjaya di lautan Mediterranean sebagai komandan armada, beliau memastikan orang bawahannya mendapat pendidikan dan diperlakukan dengan berhemah dan penuh hormat. Barbarossa sangat disayangi dan dihormati oleh masyarakat pelaut.

Beliau juga mampu berbahasa dan bercakap semua bahasa utama Mediterranean, seperti Yunani, Arab, Sepanyol, Itali dan Perancis.

Setelah menyelamatkan saudaranya Oruc dari penjara Knights of Rhodes, adik-beradik itu menyatakan kesetiaan kepada Putera Uthmaniyyah Sehzade Korkut, yang merupakan saudara lelaki Sultan Salim I.

Pada tahun 1504, Barbarossa dan saudaranya terlibat dalam perperangan untuk penguasaan tentera laut melawan Sepanyol, Genoa dan Perancis di Mediterranean. Mereka akhirnya berjaya dalam perperangan laut tersebut.

Barbarossa dan abangnya kemudian menyerang Algiers dan mengambil alih negara itu daripada penguasaan Sepanyol pada tahun 1516. Beliau kemudian menawarkan tanah yang ditakluki kepada Selim I dan Algeria menjadi sebahagian daripada negara Uthmaniyyah.

Dengan penyerahan tanah itu Barbarossa atau Hayreddin Pasha mengekalkan keamanan laluan laut dengan mengakhiri penguasaan Venesia di timur Lautan Mediteranian dan Aegean.

Miniatur Kapal Barbarossa (Uploadalt : Wiki Commons)

Walaupun ada sumber sejarah Eropah menggelar Barbarossa dan abangnya sebagai lanun yang menguasai Mediterania, seorang profesor sejarah di Universiti Istanbul, Idris Bostan,
ketika ditemuramah oleh Agensi Anadolu menjelaskan bahawa Barbarosa adalah seorang laksamana yang menyelaraskan tentera laut.

Barbarossa seorang yang berpengalaman mempunyai kemahiran dalam bidang arkitek dan kejuruteraan kapal. Terdapat percubaan untuk meremehkannya dengan memanggilnya sebagai ‘lanun’, kata Bostan, tetapi dakwaan tersebut tidak sesuai dengan nilai sejarah yang dicatatkan dalam empayar Uthmaniyyah.

Profesor itu juga menambah bahawa Barbarossa telah mengambil bahagian dalam banyak operasi di Mediterranean.

Beliau mengenali semua kapal Mediterranean kerana kadang-kadang melihatnya di pesisir Algeria, memeriksanya dan menghafal setiap jenis dan bentuk kapal yang melalui lautan itu.
Setelah kematian Selim I, anaknya Suleiman al-Qanuni dinobatkan sebagai sultan.

Setelah menjadi Sultan Uthmaniyyah Sulaiman menjadikan Barbarossa sebagai ketua laksamana kerajaannya.

Miniatur Uthmaniyyah ini menunjukkan Barbarossa Hayreddin Pasha menghadap Sultan Suleiman I (Ottoman Archive)

Pada satu ketika pada abad ke-16, para sejarawan mengatakan bahawa Barbarossa adalah ’TUAN’ laut yang paling kuat, dihormati dan ditakuti rakan dan musuh.

Dalam kira-kira dua dekad, beliau memperluas kan pengaruhnya di Afrika Utara, Mediterranean dan di Atlantik timur. Barbarossa juga mempunyai armada dan tentera darat miliknya sendiri.

Beliau menyerang pantai Eropah Selatan dan merampas kapal-kapal Sepanyol yang datang dari Amerika dengan membawa emas.

Berikutan meningkatnya kekuasaan Kerajaan Uthmaniyyah di Mediterranean, ketika mana lautan itu pernah digelar sebagai ‘tasik Uthmaniyyah’, Paus Paul III menganjurkan perang salib laut terhadap laksamana Uthmaniyyah pada tahun 1538.

Perang salib laut itu dipimpin oleh Andrea Doria, yang merupakan seorang negarawan Genoa. Doria mengetuai armada hampir 250 tentera, sementara tentera laut Barbarossa hanya mempunyai 122 anggota.

Manakala dalam perang Preveza yang berlaku pada 28 September 1538, , tentera laut Uthmaniyyah, di bawah kepimpinan Barbarossa telah menenggenggelamkan 10 kapal perikatan Kristian, menangkap lebih daripada 30 daripadanya. Hampir 3,000 orang askar perikatan Kristian ditawan, manakala 400 orang tentera laut Uthmaniyyah terkorban.

Berkat kemenangan Barbarossa menentang pakatan yang dirancang oleh Paus Paul III, kekuasaan Uthmaniyyah di tengah dan timur Mediterranean mengukuh dan diperluas pada tahun-tahun berikutnya.

Potret Suleiman al-Qanuni oleh Titian c. 1530 ( Public Domain )

Setelah kemenangan besar tersebut, Barbarossa telah dijemput ke Istanbul untuk menghadap sembah kepada Sultan Sulaiman al-Qanuni di Istana Topkapi, di mana dia menerima pangkat kebesaran menjadi Kaptan-i-Derya (Ketua Laksamana) Tentera Laut Uthmaniyyah, dan beylerbeyi (Gabenor kepada gabenor-gabenor) dari Afrika Utara Uthmaniyyah.

Belaiu juga diberikan kuasa pemerintahan Rhodes. Dalam karier Barbossa turut berjaya menawan Tunisia dan Tripoli.

Semasa hayatnya beliau sempat membuka sekolah tentera laut dan membimbing ramai pelaut dan komandan Uthmaniyyah.

Bahkan berabad-abad setelah kematiannya pada 4 Julai 1546, di Besiktas, Istanbul. Banyak institusi pendidikan dan kebudayaan, kawasan kejiranan, jalan dan masjid dinamakan sempena namanya.

Source:  Ottoman Archive/Turkish Naval Museum Command/Britannica/TRT World/Besiktas Manucipality