Browsing Tag

nasyid

Deccan Herald
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Wanita Mesir ‘Langgar Pantang’ Tubuh Kumpulan Nasyid Islam

no comment

BAIT-bait lirik memuji kebesaran Illahi di sebuah studio kecil luar Kaherah kedengarannya tidaklah begitu berbeza dari sebelum ini. Namun bezanya, kali ini ia dinyanyikan oleh sekumpulan wanita.

Lagu-lagu memuji ALLAH dan Nabi Muhammad S.A.W menjadi kebiasaan dinyanyikan orang Islam di Mesir dan negara Timur Tengah. Tetapi nyanyiannya itu sebelum ini hanya dipersembahkan oleh golongan lelaki sahaja.

Penubuhan Al Hur menarik ramai wanita muda untuk turut serta. Gambar: Devdiscourse

Kini, sekumpulan wanita Muslim pertama di Mesir yang menggelarkan diri mereka Al Hur, bertekad untuk mengubahnya dengan melanggar pantang larang terhadap wanita bagi negara yang masih bersikap konservatif untuk mengalunkan suara mereka di khalayak ramai.

“Keberadaan wanita dalam bidang nyanyian bukanlah untuk memecahkan kebiasaan sosial terhadap bidang nyanyian. Namun ini adalah untuk memberikan gaya baharu khas untuk seni yang telah lama dikuasai oleh golongan lelaki, ”kata Pengasas Al Hur, Nema Fathi, 26.

Tujuh wanita yang duduk di kerusi dalam studio pada sesi latihan sambil melihat lirik menerusi telefon pintar masing-masing, begitu khusyuk menyampaikan lagu-lagu pujian yang turut disertai dengan irama menerusi piano dan gendang.

Serangan meluas
Fathi mempraktikkan bentuk muzik keagamaan yang dikenal sebagai ‘inshad’ atau nasyid, di mana penyampaian dan pujian terhadap ALLAH dan Nabi Muhammad.

Di negara Timur Tengah, nasyid hanya biasanya disampaikan golongan lelaki sahaja, namun jika wanita bermain muzik atau bernyanyi di depan umum ia akan dipandang janggal.

Fathi mengatakan dia sering menghadapi kritikan sejak penubuhan Al Hur pada tahun 2017, namun ramai wanita ingin mengikuti minat mereka terhadap dunia muzik nasyid.

“Sejak penubuhan kumpulan ini, kami menghadapi serangan meluas oleh beberapa tokoh nyanyian Muslim terkemuka yang tidak menyokong kami.

“Ada yang memberitahu bahawa suara wanita tidak sesuai dipersembahkan kepada umum. Bagaimana gadis boleh menyanyikan lagu-lagu keagamaan?’ Kata mereka. Tetapi kami mencabar diri kami untuk menjadikan kumpulan ini berjaya, ”tambah Fathi.

Kekurangan masa dan wang membataskan penubuhan nasyid
Fathi mengeluarkan belanja 500 pound Mesir (RM133 ) sejam untuk menyewa studio, di mana dia menawarkan latihan mingguan percuma kepada ahli yang biasanya berlangsung antara tiga hingga lima jam latihan. Ahlinya hanya perlu membayar pengangkutan sendiri untuk menghadiri Latihan.

Sehingga kini, mereka telah mengadakan lebih 50 konsert sejak empat tahun penubuhannya.

“Ahli kami sentiasa bertukar kerana sebilangan besar mereka telah berkahwin dan berhenti untuk menjaga keluarga mereka,” kata Fathi, sambil menambah bahawa kebanyakkan suami wanita itu tidak menyokong mereka menyertai kumpulan itu.
Di sebalik kesukaran yang mereka sering hadapi, anggota Al Hur bertekad untuk terus maju ke hadapan.

Sumber: Reuters