Browsing Tag

nasihat

Tegur kesalahan secara terang-terangan
Gaya Hidup,

Tegur kesalahan secara terang-terangan dikira mengaibkan orang lain?

SERBA salah rasanya untuk tegur kesalahan secara terang-terangan terhadap orang lain yang melakukan kesilapan.

Namun, hendak membiarkannya begitu sahaja, tidak tergamak pula mahu menyaksikan ‘kemaksiatan’ dinormalisasikan.

Apatah lagi jika individu yang melakukan perbuatan itu ialah orang yang kita kenal atau dekat benar dengan diri.

Begitulah yang dirasai sesetengah pihak apabila berhadapan dengan situasi itu. Tegur pun salah, tetapi dibiarkan tanpa sebarang nasihat pun tidak boleh juga.

Barangkali disebabkan itu ada yang lantang memberi teguran secara terang-terangan dan terbuka. Malah, terdapat juga individu yang menggunakan platform media sosial untuk berbuat demikian.

Persoalannya, wajarkah bertindak sedemikian? Ini kerana ada pandangan menyatakan, memberi nasihat secara terbuka sebegitu hanya mengundang aib kepada kelompok berkenaan.

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Adnin Roslan menjelaskan, terdapat dua situasi bagi memberi peringatan tersebut.

USTAZ ADNIN -Foto: Instagram Ustaz Adnin

Bagi situasi pertama apabila seseorang itu melakukan dosa secara sembunyi, namun kita pula membuat teguran secara terbuka, ungkapnya.

Maka perkara itu dikira sebagai mengaibkan dan berdosa, terangnya.

“Bagaimanapun, andai orang itu berbuat dosa secara terang-terangan dan dia pula berbangga dengan apa yang dilakukannya itu sehingga dimuat naik di media sosial, kemudian pula pula menasihatinya secara terbuka, itu tidak dikira mengaibkan.

“Ini kerana individu berkenaan telah membuka aibnya sendiri di media sosial, selain mendabik dada dengannya. Jadi tidak salah andai kita menegurnya secara terang-terangan.

“Bahkan, hakikatnya perlu untuk kita berbuat demikian kerana apabila (melihat) maksiat yang dilakukan secara jelas itu, dikhuatiri bila kita tidak menasihatkannya, orang akan nampak dosa yang dibuat itu sebagai sesuatu yang normal,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya.

Lantaran itu, wajarlah tindakan tersebut diambil supaya masyarakat mengetahui bahawa apa yang dilakukan individu tadi adalah salah, kata Ustaz Adnin.

“Namun begitu, suka saya ingatkan, biarlah kita tegur secara berhikmah. Jangan sesekali ‘menerakakan’ orang pula.

Baca juga Boleh Tegur Orang, Tapi Jagalah Adab Ketika Beri Nasihat

“Sebaiknya, tegur, nasihat dan beritahulah bahawa perkara (yang dilakukan) ini salah,” pesan beliau.

Senada dengan Ustaz Adnin ialah pendakwah Dr Muhammad Lukman Ibrahim.

DR MUHAMMAD LUKMAN -Foto: Facebook Ustaz Dr Muhammad Lukman Ibrahim

Menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia itu menjelaskan, andai kesalahan dalam soal berkaitan agama dilakukan oleh seorang ternama, selebriti, pembesar dan seumpamanya yang dilakukan di hadapan khalayak, maka pandangan paling kuat adalah menegurnya secara terbuka.

“Inilah pandangan ulama rabbani. Tidak harus melewatkan penerangan setelah waktu sepatutnya. Malah, melambat-lambatkan teguran akan mendatangkan kerosakan lebih besar.

“Masakan tidak, ia akan mengelirukan masyarakat awam dan merupakan pengkhianatan kepada agama.

“Jika menjaga air mukanya lebih diutamakan, maka orang yang mengetahuinya menyembunyikan kebenaran,” katanya.

Baca juga Jakim tegur pendakwah elak kenyataan cetus kontroversi

Mengulas lanjut, agamawan itu menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah menegur Sulaik al-Ghatfani RA ketika baginda sedang berkhutbah Jumaat sebagaimana diriwayatkan dalam hadis riwayat Imam Muslim.

Sulaik RA dikatakan terus duduk tanpa solat tahiyatul masjid dua rakaat ketika mahu solat Jumaat. Perbuatannya itu ditegur Nabi Muhammad SAW yang lantas menyuruhnya sembahyang.

Tegur kesalahan secara terang-terangan

TIDAK salah andai jika tegur kesalahan secara terang-terangan andai orang itu berbuat dosa secara jelas dan dia pula berbangga dengan apa yang dilakukannya itu sehingga dimuat naik di media sosial. -Foto: 123rf

Justeru, beliau menasihatkan agar para asatizah, ulama mahupun selebriti agar tidak mudah melatah atau alergi pada teguran.

“Sekiranya pandangan penegur lebih kuat kebenarannya sekalipun ia (datang) daripada seorang budak, terimalah. Bukankah itulah yang selalu diceramahkan?,” ungkapnya memberi peringatan buat semua.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Freepik

3 Waktu Yang Sesuai Untuk Menasihati Anak-anak
Gaya Hidup,

3 Waktu Yang Sesuai Untuk Menasihati Anak-anak

TIGA Waktu Yang Sesuai Untuk Menasihati Anak-anak.

Cabaran ibu bapa hari ini sedikit berbeza dengan ibu bapa dulu-dulu. Ibu bapa kini perlu lebih peka dengan diri anak-anak dan memahami bahawa bukan setiap waktu boleh menasihati dan membuat teguran terhadap anak-anak.

Ibu bapa juga digalakkan untuk pandai memilih waktu yang bersesuaian, jika tidak bersedialah jika si anak merajuk.

3 Waktu Yang Sesuai Untuk Menasihati Anak-anak

USTAZAH ISFADIAH MOHD DASUKI

Melalui perkongsian di laman Instagramnya, pendakwah bebas Ustaz Isfadiah Mohd Dasuki berkongsi tiga waktu yang bersesuaian untuk menasihati anak-anak.

Jelasnya, Nabi Muhammad SAW menggalakkan para ibu bapa supaya menasihati anak-anak pada tiga waktu ini, iaitu yang pertama, sewaktu dalam perjalanan. Tengah-tengah dalam pemanduan kereta, ibu bapa bolehlah selitkan pesanan dan teguran lembut kepada anak-anak.

“Kedua, sewaktu sedang menjamu selera bersama-sama. Apabila tiba waktu makan, ajaklah anak-anak makan bersama dan ibu bapa harus mewujudkan suasana yang ceria ketika makan. Sambil-sambil bergurau, ibu bapa selitkan juga nasihat dan pesanan yang berhemah buat anak-anak.

“Ketiga, sewaktu anak-anak sedang berada dalam kesakitan, ini kerana ketika seseorang sedang sakit, hatinya akan menjadi sangat lembut dan ibu bapa gunakanlah peluang ini untuk menasihati anak-anak, pasti mereka akan menerima nasihat itu dengan tenang,” katanya.

 

3 Waktu Yang Sesuai Untuk Menasihati Anak-anak

TEGURLAH anak dengan menggunakan intonasi suara yang lembut dan pamerkan wajah yang ceria.

Agamawan itu berkata lagi, sekiranya ibu bapa pandai memilih waktu yang sesuai untuk menasihati anak-anak, pasti ia akan memberi impak hebat dalam perkembangan diri mereka.

Ujarnya, perlu diingat, gunakanlah kata-kata bernada lembut dan pamerkan wajah yang sepatutnya semasa menasihati agar hati anak-anak tidak terguris. Jangan kerutkan kening atau seolah-olah menahan marah.

Foto: Freepik