Browsing Tag

namirah

masjid namirah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

SETIAP tahun pada musim haji, Masjid Namirah pastinya menjadi kawasan tumpuan bagi jemaah Haji yang berada di Mina.

Ribuan umat Islam berpusu-pusu ke sana bagi mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad SAW dengan menunaikan solat Zohor dijamakkan dengan Asar di masjid bersejarah itu.

Kisah di sebalik Masjid Namirah

Memetik portal Islamic Landmarks, masjid yang juga disebut sebagai Nimrah itu terletak sekitar kawasan Lembah Uranah di Arafah. Dalam sejarah Islam, lembah tersebut sangat penting kerana di situlah Rasulullah menyampaikan khutbah Haji baginda yang terakhir.

Kisah tersebut berlaku pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah apabila baginda berkhemah di Lembah Uranah untuk melaksanakan haji perpisahan. Selepas tengah hari, baginda menyampaikan sebuah khutbah sambil duduk di atas untanya sebelum memimpin solat berjemaah. Lebih 100 ribu sahabat mengiringi baginda pada haji waktu itu.

Baca juga Ini pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir baginda

masjid namirah

DARI segi keluasan, Masjid Namirah adalah yang kedua terbesar di kawasan Makkah selepas Masjidil Haram.

Menyelusuri sejarah Masjid Namirah, ia dibina pada zaman kerajaan Abbasiyah sekitar abad kedua Hijrah. Rumah ALLAH tersebut juga mempunyai beberapa gelaran berbeza seperti Masjid Nabi Ibrahim, Masjid Arafah dan Masjid Uranah, demikian nukilan portal Wafy.

Baca juga Masjid al-Ghamamah, tempat terakhir Nabi SAW solat raya

Mampu muatkan 350 ribu jemaah
Sementara itu, struktur masjid terdiri daripada enam menara, tiga kubah dan keseluruhan 64 pintu dari 10 pintu masuk. Dengan keluasan melebihi 110 ribu meter persegi, Masjid Namirah mampu memuatkan hampir 350 ribu jemaah.

Baca juga Masjid jadi platform penyatuan penduduk berbilang agama di negara Eropah. Ini 5 masjid paling mahal lagi menawan

Seperti yang direncanakan portal Life in Saudi Arabia, Masjid Namirah telah melalui proses pembaikan dan dibesarkan kepada dua bahagian. Satu bahagian berada di Arafah, manakala kawasan hadapan masjid pula terletak di luar sempadan Arafah.

Yang menariknya, masjid berkenaan dibina sedemikian dengan mengambil kira kawasan di mana khutbah Nabi SAW disampaikan iaitu Lembah Uranah yang bertempat di luar sempadan Arafah.

masjid namirah

PARA jemaah haji yang selesai solat gabungan Zohor-Asar di Masjid Namirah akan diingatkan untuk berpindah ke bahagian belakang masjid atau keluar ke Padang Arafah bagi memastikan rukun haji mereka tercapai.

Oleh itu, masjid berkenaan dilengkapi papan tanda yang mengingatkan jemaah haji agar tidak berada terlalu lama di bahagian depan masjid memandangkan antara rukun haji termasuk berwukuf, walaupun sekejap, di Arafah selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah hingga naik fajar.

Sampai saat ini, tanggal 9 Zulhijjah setiap tahun, khutbah Haji akan disampaikan kepada para jemaah menerusi masjid Namirah sebelum solat Zohor didirikan bersama Asar sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW suatu ketika dahulu.

Sumber: Islamic Landmarks, Wafy & Life in Saudi Arabia

Foto: Life in Saudi Arabia