Browsing Tag

nama

8 pilih nama anakl
Isu,

8 cara pilih nama anak menurut Islam yang anda perlu tahu

BAGI mana-mana pasangan suami isteri, semestinya antara waktu paling indah adalah ketika dikurniakan cahaya mata dalam hidup mereka.

Gara-gara terlalu teruja, ada pasangan yang sudah memilih nama ketika bayi berkenaan masih dalam kandungan lagi.

Memilih nama bayi sememangnya satu aspek penting dalam Islam kerana seseorang itu akan diseru dengan namanya pada hari akhirat kelak.

Oleh itu, Islam ada menggariskan panduan khusus berkaitan pemberian nama kepada anak yang baru dilahirkan.

Waktu afdal memberi nama

8 cara pilih nama anak

USTAZ SYED SHAHRIDZAN

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed di dalam Portal Sinar Harian, tiada waktu tertentu yang dilarang untuk memberikan nama kepada bayi.

“Namun demikian disunatkan memberi nama kepada anak pada hari ketujuh kelahirannya. Ini adalah pandangan kebanyakan para ulama Mazhab Syafie berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi, “Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan untuk memberikan nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya.”

Ujarnya, ada juga ulama yang mengatakan sunat untuk memberikan nama pada hari kelahiran anak tersebut berlandaskan hadis di mana Rasulullah SAW anak lelakinya Ibrahim sejurus kelahirannya.

Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki pada satu malam, maka aku menamakannya dengan nama bapaku (datukku), Ibrahim.” (Riwayat Muslim)

Memilih nama yang baik

Setiap ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk memilih nama-nama yang elok kepada anak mereka kerana ia merupakan sunnah Baginda yang sangat dituntut.

Pemilihan nama yang baik sedikit sebanyak boleh mempengaruhi sifat peribadi dan akhlak seseorang Muslim.

Daripada Abu Darda RA, Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya pada hari kiamat kelak, kamu semua akan dipanggil (mengadap ALLAH SWT) dengan nama-nama kamu nama-nama bapa kamu. Oleh itu, perelokkanlah nama-nama kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

8 cara pilih nama anak

PILIHLAH nama yang mempunyai makna elok bagi si kecil. Moga-moga mereka dapat membesarkan dengan sifat-sifat seindah namanya.

Berikut adalah nama-nama yang digalakkan untuk diberikan kepada anak:

1. Nama yang disukai ALLAH SWT
Nama yang paling disukai oleh ALLAH dan Rasulullah SAW ialah nama Abdullah dan Abdul Rahman atau yang diambil daripada mana-mana 99 nama ALLAH SWT yang tercatat dalam Asmaul Husna.

Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh ALLAH dari nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdurrahman.” (Hadis riwayat Muslim)

2. Menggunakan nama Nabi atau Rasul
Bernamalah kamu dengan nama-nama para Nabi.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Rasulullah SAW yang menggemari nama-nama para nabi dan rasul telah menamakan putera Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Ibrahim AS.

Baginda juga ada menamakan anak kepada Abdullah bin Salam RA dengan nama salah seorang nabi ALLAH iaitu Nabi Yusuf AS.

Selain itu, nama Muhammad juga boleh diberikan kepada anak berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah dan Jabir RA bahawa Rasulullah telah bersabda:

Namakan (anak) kamu dengan namaku dan janganlah kamu menggelarnya dengan gelaranku.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, Jabatan Mufti Kerajaan Brunei menegaskan bahawa nama Muhammad itu adalah nama yang mulia dan tidak seharusnya dipotong-potong atau diringkaskan ejaannya sehingga menjadi seperti ‘Md.’ atau ‘Mohd.’

3. Menggunakan nama para sahabat
Di samping itu, nama-nama sahabat Rasulullah SAW yang agung seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Saad, Zubair dan lain-lain juga elok sebagai pilihan untuk nama-nama anak.

Baca juga Haram Bin Atau Bintikan Anak Angkat Kepada Nama Bapa Angkat

Elakkan nama yang tidak elok
Nama yang tidak baik pastinya akan memberi impak negatif terhadap kehidupan sosial si anak meningkat dewasa nanti.

Contohnya, diejek oleh rakan sekolah sementara nama yang diberi dijadikan bahan lawak.

1. Mempunyai makna yang tidak baik
Contoh nama yang diambil daripada perkataan yang mempunyai erti negatif.

  • Sariq (pencuri)
  • Ashiah (perempuan pelaku maksiat)
  • Jahil (bodoh)

Kata Syed Shahridzan, dalam Sahih al-Bukhari ada diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menukar nama sahabat yang kurang elok ‘Hazn’ yang bermakna sedih kepada ‘Sahl’ yang bermaksud mudah.

Namun, lelaki itu enggan menukar namanya seperti yang dicadangkan oleh baginda kerana mahu kekal dangan nama yang diberikan oleh bapanya.

8 cara pilih nama anak

PASTIKAN bahan rujukan yang digunakan untuk memilih nama anak adalah sahih. Ini untuk mengelakkan kesilapan dari segi makna nama apabila memilih nama daripada bahasa asing, terutamanya bahasa Arab.

2. Nama-Nama Dengan Sebutan ‘Abdul’ (Hamba) yang dikaitkan dengan sesuatu selain ALLAH seperti

  • Abdul Fulus (hamba wang)
  • Abdul Kaabah (hamba Kaabah)

Hal itu berdasarkan Rasulullah SAW yang menukar nama Abdul Rahman bin Auf yang pada asalnya bernama Abdul Kaabah (Hamba kepada Kaabah).

3. Nama yang khusus kepada ALLAH

Contohnya:

  • al-Khaaliq (Yang Maha Pencipta)
  • al-Ahad (Yang Maha Esa)
  • al-Quddus (Yang Maha Suci)

4. Menyamai nama golongan bukan Islam
Tidak digalakkan menggunakan nama yang menyamai golongan bukan Islam kerana dikhuatiri termasuk dalam salah laku menyerupai amalan kuffar.

Selain itu, nama yang jelas bertentangan dengan akidah seperti nama-nama tuhan dan dewa daripada agama selain Islam.

Contohnya nama-nama artis bukan Islam atau nama dewa dari mitos tertentu seperti Hercules dan Hermes.

8 cara pilih nama anak

SESETENGAH ibu bapa kini meletakkan nama anak dengan ejaan yang terlalu kompleks tanpa memikirkan implikasinya terhadap kehidupan anak, terutamanya dalam urusan rasmi.

5. Nama yang membebani anak
Menjadi trend ibu bapa kini memilih nama anak dengan ejaan yang sukar atau terlalu panjang.

Hal tersebut bukan sahaja boleh membebankan si anak untuk membawa nama itu, tetapi turut menyusahkan pihak yang berurusan dengan si anak nanti.

Dalam jangka masa panjang, anak-anak mungkin berdepan dengan masalah melibatkan nama khususnya dalam urusan rasmi.

Seperkara lagi, pemberian nama yang panjang kepada anak akan menyebabkan timbul nama singkatan untuk si anak yang mungkin membawa maksud-maksud negatif yang tidak kita ketahui.

Jadi, apa gunanya nama-nama panjang yang diberikan sekalipun membawa maksud yang baik namun akhirnya hanya nama singkatan berkenaan yang digunakan.

Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada para ibu bapa kuhususnya bakal ibu bapa di luar sana.

Sumber: Menamakan anak: Panduan dan Hukumnya (Bab 1), Berikan nama baik untuk anak-anak kita, al-Kafi #1179: Waktu terbaik untuk memberikan nama kepada bayi baru dilahirkan , Kaedah memberikan nama anak dalam Islam & Panduan dan kesilapan dalam memilih nama bayi dalam Islam

Foto: Pexels & Tasneem Naturel