Browsing Tag

Nafkah mertua

Wang sumbangan
Isu,

Menantu Wajib Beri Nafkah Pada Mertua? Ini Yang Perlu Kita Tahu

BAGI mereka yang baru menempuh alam rumah tangga, sudah semestinya ia suatu perkara yang asing. Masakan tidak, daripada hidup bujang, kini bukan sahaja berdua dengan pasangan, tetapi juga perlu menjaga hubungan baik dengan keluarga mertua.

Bukan apa, andai aspek itu diabaikan, pastinya suasana janggal akan menyelubungi diri biarpun sudah bertahun-tahun berkahwin.

Begitupun, persoalan tentang nafkah atau keperluan menanggung ibu bapa mertua masih lagi berlegar-legar dalam kalangan masyarakat.

Apa tidaknya, ibu bapa mertua umpama orang tua sendiri. Sewajarnya kedua-dua mereka dilayan sama rata.

Sebagai menantu, adakah kita perlu menanggung kedua ibu bapa mertua masing-masing? Bagaimana pula jika mertua menyuruh kita melunaskan hutang anak mereka yang juga adik ipar kita?

Terpanggil menjawab persoalan warganet, Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, setakat pembacaan dan kajiannya yang terhad, tiada mana-mana mazhab atau ulama menyatakan bahawa ibu dan bapa mertua merupakan tanggungjawab menantu untuk diberikan nafkah kepada mereka.

DR SYED SHAHRIDZAN

“Cuma Mazhab Hanafi spesifikasikan tanggungan nafkah lebih luas berbanding tiga mazhab yang lain. Namun begitu, mertua tidak termasuk dalam senarai tersebut,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Agamawan itu kemudian mengemukakan pandangan dari perspektif Mazhab Syafie tentang perihal individu yang dikategorikan sebagai tanggungan ke atas ahli keluarganya, selain isteri.

Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari dalam karangannya Asna al-Matolib menyatakan: “Sesungguhnya yang hanya diwajibkan nafkah kepada kaum kerabat yang bersifat punca dan pecahan keturunan iaitu furu’ (anak, cucu, cicit) dan yang ke bawah dan usul (bapa kandung, ibu kandung, datuk, nenek) dan yang ke atas sahaja, iaitu tidak termasuk kaum keluarga yang lain seperti adik beradik lelaki, adik beradik perempuan, pak cik, mak cik sama ada lelaki mahupun perempuan, sama ada yang tergolong daripada pewaris harta atau tidak”.

Baca juga Jangan mengeluh ketika mencari rezeki Kerana Nafkah Halal Lagi Berkat Tuntutan Dalam Islam

Melihat ungkapan tersebut, ujar Dr Syed Shahridzan, jelaslah bahawa ibu bapa mertua bukan tanggungjawab nafkah bagi seorang menantu, apatah lagi ipar-duai.

“Ini kerana kedua-duanya bukan tergolong daripada keluarga punca (darah daging atau punca kelahiran). Oleh itu, menjadi kewajipan bagi setiap Muslim mengetahui batas tanggungjawab nafkah masing-masing agar tidak mencabuli hak orang lain.

“Dalam hal ini, seorang menantu tidak wajib menanggung ibu bapa mertua tidak seperti kewajipannya menanggung ibu bapa kandungnya yang miskin. Apalagi hutang ipar-duai. Ia bukan menjadi kewajipannya, bahkan ia membebankan.

“Sedangkan dia ada tanggungan dan kewajipan nafkah yang perlu dilunaskan iaitu anak-anak, isteri dan ibu bapa kandung,” jelasnya.

Nafkah mertua

UTAMAKAN kewajipan nafkah kepada anak, isteri dan ibu kandung.

 

Ia selari dengan hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mulakan dengan dirimu, maka bersedekah pada dirimu itu, jika ada lebihan maka untuk ahli keluarga kamu, jika ada lebihan dari perbelanjaan keluarga kamu maka untuk kerabat kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Andai kata, seorang menantu melunaskan hutang ipar-duainya sehingga menjejaskan hak anak dan isterinya, pendakwah itu menegaskan, tindakannya melunaskan hutang itu adalah haram kerana hak yang sepatutnya tidak diberikan kepada yang berhak.

“Oleh itu, jika si menantu itu melunaskan hutang atas arahan ibu mertuanya, maka ketaatan itu adalah salah di sisi syarak kerana menjejaskan hak orang lain.

“Namun, seandainya menantu tadi memiliki pendapat yang tinggi dan secara sukarela untuk membantu adik iparnya dengan melunaskan hutang atau menanggung keperluan ibu bapa mentua, maka tindakan ini dianggap terpuji di sisi syarak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Syed Shahridzan mengakui bahawa ibu bapa mertua juga punya hak terhadap menantu. Malah, kedua-dua mereka wajib dihormati sebagaimana orang tua kandung.

“Namun, hak tersebut tidak boleh disamakan dengan hak ibu bapa kandung terutama bab yang berkaitan dengan nafkah dan hutang piutang. Kedudukan ibu bapa kandung lebih tinggi berbanding ibu bapa mertua.

Nafkah mertua

HORMATI ibu bapa mertua sepertimana emak dan ayah kandung sendiri.

“Malah, jika ibu bapa kandung sendiri mengarahkan anaknya menanggung hutang adik beradiknya, maka si anak tidak wajib menuruti perintah ibu bapanya itu.

“Ini kerana hutang adik beradik bukan tanggungjawabnya dan ibu bapa kandung tiada hak untuk menentukan tanggungjawab nafkahnya.

“Hanya ALLAH SWT dan Rasul-NYA sahaja yang berhak menentukan. Jika ibu bapa kandung tiada hak sebegini, apatah lagi ibu bapa mertua. Tidak sewajarnya ia berlaku,” katanya.

Foto: 123rf, Freepik, Unsplash & Pexels