Browsing Tag

Nabi Yusuf

Kegawatan ekonomi
Berita Semasa,

Renungkan cara Nabi Yusuf tangani kegawatan ekonomi pada zamannya

RAMAI mengeluh dengan siri kenaikan harga barang. Namun, kita boleh mengambil ibrah daripada cara Nabi Yusuf menangani kegawatan ekonomi pada zamannya.

Meskipun negara tidak berada dalam situasi kemelesetan, tetapi tindakan yang bakal diambil masa kini boleh memberi sedikit kelegaan dan mempengaruhi kehidupan kita pada masa depan.

Jika ditelusuri semula, bermula 1 Julai 2022 lalu harga minyak masak dalam botol tidak lagi diberi subsidi oleh kerajaan dan harga siling ayam RM9.40.

Lebih jauh lagi, rakyat bimbang akan rantaian kenaikan harga barangan lain yang akan menggila tanpa mengenal keperitan marhaen untuk meneruskan kehidupan.

Rakyat gusar dengan komitmen bulanan yang perlu disediakan oleh ketua keluarga. Inilah hambatan hidup yang perlu dihadapi. Di mana tempat rakyat untuk mengadu memohon simpati jika bukan kerajaan yang menjadi taruhannya?

Renungkan sejenak ibrah peranan kerajaan Mesir ketika kegawatan ekonomi melanda negara itu semasa era Nabi Yusuf AS.

Kegawatan ekonomi

KISAH Nabi Yusuf AS yang menangani kegawatan ekonomi pada zamannya wajar diambil ibrahnya supaya ia boleh diimplementasikan dalam keadaan harga barang kini melonjak naik.

Al-Quran di dalam Surah Yusuf, ayat 47 hingga 49, merakamkan kisah tatkala Baginda Yusuf dibebaskan dari penjara dan dilantik menjadi menteri kewangan yang menguruskan perbendaharaan negara.

Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

“Raja berkata: Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus. Dan tujuh tangkai gandum yang hijau serta tujuh tangkai yang lainnya kering. Wahai pembesar-pembesar, terangkanlah kepadaku berkenaan tafsiran mimpiku, sekiranya kamu dapat menafsirkannya.” (Surah Yusuf, ayat 43)

Mencari solusi

Dalam ayat ini, Raja tidak keruan dengan mimpi yang dialami lalu mencari solusi melalui pembesar-pembesarnya. Ternyata tiada seorang pun tahu tafsiran mimpi itu. Menariknya, sang pembesar tidak memandai-mandai bersuara memberi nasihat tanpa kepastian ilmu lalu terpaksa menjadikan suara daripenjara sebagai taruhan.

Jawapan Nabi Yusuf AS seperti yang dijelaskan di dalam al Quran iaitu: “Supaya kamu bercucuk tanam tujuh tahun lamanya sebagaimana biasa. Maka apa yang kamu tuai itu hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit sahaja untuk kamu makan. Kemudian setelah itu akan datang tujuh tahun yang sangat sulit. Ketika itu adalah waktu agar kamu habiskan simpanan terdahulu, melainkan sedikit untuk kamu simpan. Kemudian setelah itu datang tahun berikutnya, dilimpahkan buat manusia hujan yang cukup. Di saat itu, mereka memerah anggur.” (Surah Yusuf, ayat 47-49)

Senario ini berasaskan kepada keupayaan Yusuf AS mentafsirkan mimpi Raja. Mimpi tersebut merupakan peringatan daripada Tuhan bahawa Mesir akan mengalami musim pertanian yang subur selama tujuh tahun. Disusuli tujuh tahun berikutnya negara bakal melalui kemarau dan sumber pertanian tidak berupaya mengeluarkan produk seperti kebiasaan.

Baca juga Contohi sikap Nabi Yusuf santuni adik-beradik

Tuntasnya, rakyat dimestikan bersiap siaga menggembeling tenaga mengusahakan sektor pertanian selama tujuh tahun dan hasil tuaian dijaga sebaik mungkin. Rakyat diingatkan agar berjimat cermat dan bersederhana ketika menggunakan hasilnya manakala baki disimpan bagi menghadapi suasana getir selama tujuh tahun mendatang.

Kegawatan ekonomi

GUNAKAN sumber makanan yang ada dengan sebaiknya dan jangan membazir.

Agenda yang penting di sini ialah pihak kerajaan harus mempunyai strategi praktikal dan berpandangan jauh untuk menghadapi masa getir dengan berjimat cermat di dalam pengurusan belanjawan negara.

Sebenarnya, ALLAH telah menghidangkan kita garis panduan yang begitu luwes (fleksibel) ibrahnya kepada umat Islam selama lebih dari 1,400 tahun yang lalu melalui kisah Nabi Yusuf.

Sepatutnya, ingatan ini tidak dianggap sepi oleh pemimpin dan rakyat di seluruh dunia lebih-lebih lagi dalam kalangan pemimpin dan masyarakat Islam.

Bagaimanapun sebagai orang beriman, kita mestilah sentiasa bersedia dengan apa jua cabaran kerana segala ujian ini datang dengan izin ALLAH SWT.

Sedia ubah gaya hidup

Imam Abi Su’ud di dalam tafsirnya menjelaskan daripada kisah ini bahawa, peringatan Nabi Yusuf memberi maksud, kurangkan makan dan jangan membazir.

Daripada kisah ini juga bolehlah difahami bahawa ketika bencana ekonomi melanda, rakyat perlu bersedia mengubah gaya hidup masing-masing. Sekiranya rakyat memperoleh bantuan daripada pihak kerajaan, pastikan ia dibelanjakan dengan berhemah.

Sepatutnya, rakyat perlu menyedari bahawa saat kemelesetan ekonomi merupakan waktu untuk berjimat cermat bagi menghadapi inflasi yang kita tidak tahu bilakah akan berakhir.

Baca juga Makanan yang dibuang, dicampak adalah habuan syaitan. Justeru jangan sesekali membazir apalagi mencela makanan

ALLAH SWT menyatakan di dalam surah al-Baqarah, ayat 155 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Kegawatan ekonomi

MASYARAKAT perlu menyedari bahawa saat kemelesetan ekonomi merupakan waktu untuk berjimat cermat bagi menghadapi inflasi yang kita tidak tahu bila akan berakhir.

Sebenarnya, menjadi Keluarga Malaysia amat dicemburui oleh rakyat negara lain. Keluarga Malaysia amat kaya dengan sifat tolong-menolong dan cakna dalam memberi bantuan ketika insan lain dalam kesusahan.

Justeru, rebutlah peluang yang ALLAH kurniakan ketika kegawatan ekonomi hari ini untuk sentiasa bermurah hati. Hayati intisari firman ALLAH yang mafhumnya, “Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh ALLAH; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaikbaik bekal itu ialah memelihara diri; dan bertakwalah kepada-KU wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (Surah al-Baqarah, ayat 197)

***Artikel ditulis oleh Dr Zaizul Ab Rahman, Pensyarah Kanan dan Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Foto: 123rf