Browsing Tag

Nabi Muhammad

denis-degioanni-9wH624ALFQA-unsplash
Aqidah,

Hibanya Nabi Musa tatkala bertemu Rasulullah SAW pada malam Israk dan Mikraj, ini sebabnya

Hibanya Nabi Musa tatkala bertemu Rasulullah SAW pada malam Israk dan Mikraj, ini sebabnya…

KITA kini berada dalam bulan Rejab. Kedatangan salah satu bulan haram ini turut menjadi petunjuk bulan teristimewa buat umat Islam iaitu Ramadan bakal berkunjung.

Dalam pada itu, ada satu lagi peristiwa penting tercatat dalam kalendar Islam sewaktu bulan Rejab.

Tarikh dimaksudkan adalah tanggal 27 Rejab yang menjadi saksi kepada salah satu mukjizat agung Nabi Muhammad SAW. Seperti diceritakan dalam kitab suci al-Quran, ketika itulah ALLAH SWT mengurniakan peristiwa Israk dan Mikraj kepada baginda.

Baca juga [Video] ISRAK & MIKRAJ : Hadiah Ubati Kesedihan Rasul SAW

israk mikraj

PERJALANAN Rasulullah SAW dalam peristiwa Israk Mikraj bermula di Masjidil Haram, Makkah dan seterusnya ke Masjid al-Aqsa di Palestin sebelum diangkat ke Sidratulmuntaha. Foto: Pexels

Baca juga Tiga tempat ini Rasulullah SAW akan menunggu kita pada hari akhirat nanti

Rata-rata Muslimin sudah mengenali kisah itu yang menceritakan perjalanan luar biasa Nabi SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin sebelum dilanjutkan ke Sidratulmuntaha dalam satu malam menaiki haiwan syurga dikenali sebagai buraq.

Dalam peristiwa itu juga Rasulullah menemui Nabi Musa AS yang menyarankan baginda memohon kepada ALLAH agar perintah solat dikurangkan daripada 50 kali sehinggalah kepada lima waktu sehari semalam seperti kita lakukan sekarang.

Namun, tahukah anda Nabi Musa menitiskan air mata ketika mula-mula bertemu dengan Nabi Muhammad SAW?

Baca juga 7 perkara luar biasa yang dilihat Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj

BANYAK perkara yang disaksikan Nabi Muhammad SAW sambil baginda menuruti setiap lapisan langit di syurga. Foto: 123RF

Baca juga Empat kisah Rasulullah SAW menitiskan air mata

Dalam perjalanan Mikraj Rasulullah ke langit ketujuh untuk berjumpa dengan ALLAH, baginda turut di bawa bertemu para anbia terdahulu di setiap lapisan berbeza.

Di langit pertama, Rasulullah bertemu Nabi Adam. Selanjutnya, di langit kedua pula baginda menemui Nabi Yahya dan Nabi Isa. Manakala, Nabi Yusuf ada di langit ketiga.

Perjalanan dilanjutkan ke langit keempat dan Nabi SAW bertemu dengan Nabi Idris, sementara di langit kelima baginda berjumpa Nabi Harun. Seterusnya, baginda menemui Nabi Musa di langit keenam serta Nabi Ibrahim di lapisan langit ketujuh.

Di setiap pertemuan, baginda SAW dan para Nabi bertukar salam. Pun begitu, Nabi Musa AS dikhabarkan menangis ketika Rasulullah menghampirinya di langit keenam, seperti diriwayatkan sebuah hadis an-Nasai.

Turut disyorkan Ketahui kedudukan Baitul Makmur – rumah ibadat para malaikat yang berada di langit ketujuh

israk mikraj

NABI Musa AS pernah menitiskan air mata ketika pertama kali bertemu dengan Rasulullah SAW seperti dikhabarkan dalam hadis an-Nasai serta kitab Umdatul Qari karya Syeikh Badaruddin Ahmad al-Aini. Foto: Unsplash

Baca juga Tak mengapa hodoh di dunia, di akhirat nanti kita dapat memilih wajah yang diinginkan

Lantas, Rasulullah bertanya kepada Nabi Musa AS tentang mengapa dirinya menangis.

“Aku menangis kerana ada Nabi yang lebih muda diutus setelah aku, tapi umatnya lebih banyak yang masuk syurga daripada umatku,” jawab Musa.

Justeru, Nabi Musa sebenarnya menangis kerana bersedih jumlah umatnya yang memasuki syurga lebih sedikit berbanding umat Nabi Muhammad SAW sedangkan waktu kehidupannya lebih lama daripada Rasulullah.

Dalam kitab Umdatul Qari, Syeikh Badaruddin Ahmad al-Aini menjelaskan, kesedihan Nabi Musa tersebut bukan kerana iri hati, namun ia adalah tangisan sesal terhadap umatnya yang banyak melanggar perintah ALLAH.

Baca juga 9 doa para nabi yang boleh dijadikan amalan harian kita

NABI Musa AS adalah tokoh penting dalam peristiwa Israk Mikraj kerana disebabkan baginda, umat Islam Rasulullah SAW hanya perlu solat lima kali sehari semalam. Foto: 123RF

Baca juga 6 ciri orang dicintai ALLAH, adakah anda salah seorang darinya?

Menurutnya, Nabi Musa menyesal tidak dapat memanfaatkan usianya yang lebih panjang daripada Muhammad SAW untuk membina umatnya ke jalan ALLAH selain mendapatkan pahala secukupnya supaya darjatnya ditinggikan di sisi-NYA.

Demikian kisah Israk Mikraj mengandungi hikmah tentang begitu hebatnya pencapaian Nabi Muhammad SAW dalam mensyiarkan Islam ke umatnya.

Dalam masa sama, peristiwa itu juga mengingatkan kita agar memanfaatkan masa yang ada di atas bumi untuk sentiasa berbuat baik dan berusaha meningkatkan ketakwaan terhadap ALLAH SWT.

Sumber: NU Online

Foto: 123RF, Pexels & Unsplash

20627668_xxl
Personaliti,

Sahabat Nabi SAW Tempuhi Perjalanan Sejauh 1,472 KM Demi Sepotong Hadis

no comment

SEBAGAI umat Islam, kita dituntut untuk sentiasa menuntut ilmu walaupun jaraknya jauh dan perlu berjauhan dengan keluarga. Kita juga tidak digalakkan untuk bermalas-malas dalam mencari ilmu dan dinasihatkan untuk tidak cepat berasa puas atau bangga dengan ilmu yang dimiliki.

Jika diperhatikan atau diselusuri sirah Islam sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW, kita akan mendapati bahawa golongan sahabat sangat mencintai ilmu lebih daripada diri sendiri.

Menerusi perkongsian oleh pendakwah bebas, Ustaz Elyas Ismail yang disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook page viralkuliahsuraukerjaraya, beliau berkata, orang-orang dahulu sangat teruja dalam mencari ilmu walaupun untuk mendapatkan sepotong hadis.

Menurut agamawan itu, sirah telah merekodkan seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Abu Ayyub Al-Ansari RA sanggup berjalan dengan merentas lautan sehingga 1,472 kilometer (KM) demi untuk mendapatkan sepotong hadis daripada baginda.

“Perjalanan dari Madinah ke Mesir ini jika dihitung sekarang adalah bersamaan 17 jam tanpa lampu isyarat. Betapa kuatnya semangat Abu Ayyub Al-Ansari RA, sungguh berkobar-kobar dalam menuntut ilmu.

“Hadis yang dituntut daripada Nabi Muhammad SAW itu bermaksud: “Sesiapa yang menutup aib sseeorang yang beriman maka ALLAH akan menutup aibnya di akhirat nanti,” katanya.

Ujar Ustaz Elyas, cara orang terdahulu dalam mencari ilmu sungguh berbeza dengan kaedah yang kita gunakan hari ini.

Justeru, beliau mengakui ilmu-ilmu orang terdahulu berkatnya sampai hari akhirat kerana perolehan ilmu itu diraih dengan penuh kesungguhan tanpa mengenal erti penat dan lelah.

“Sungguh! Perjuangan jihad mereka terhadap ilmu sungguh luar biasa. Kita yang perlu bermuhasabah dengan kegigihan mereka mendapatkan ilmu,” ujarnya lagi.

Berita Semasa,

[SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL] Kalau tak berselawat, itu tandanya kita bakhil…

BIBIR begitu lancar tatkala melontarkan kata-kata untuk berbual. Malah, perbualan semakin rancak apabila topik yang disembangkan kena pada si empunya diri.

Namun begitu, apabila nama Nabi Muhammad SAW disebut, lidah seakan berat dan kelu pula untuk mengucapkan selawat ke atas baginda SAW.

Ya, begitulah sikap klise segelintir daripada kita. Walaupun nampak remeh, tetapi sebenarnya ia mendatangkan ganjaran kepada mereka yang berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sebaik sahaja nama baginda disebut.

Malah, ada pula orang di sekeliling menyatakan bahawa kita ialah orang yang bakhil apabila tidak berselawat apatah lagi jika nama Rasulullah SAW disebutkan.

Apakah benar memang ada hadis yang menyatakan sedemikian?

Sememangnya berselawat sangat digalakkan dan dituntut bagi setiap umat Islam kerana banyak fadilat yang bakal kita peroleh daripadanya.

Masakan tidak, Rasulullah SAW merupakan insan yang terpuji dan sebaik-baik manusia yang menjadi suri teladan buat kita.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-NYA sentiasa berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Menjawab persoalan di atas, memang ada hadis yang menyebut bahawa: “Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.”

Hadis berkenaan telah diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat Nabi Muhammad SAW. Antaranya Ali bin Abi Talib RA, al-Husain bin Ali dan Abu Hurairah RA.

Berselawat

Tambahan pula, riwayat atau hadis tersebut ada dinukilkan oleh Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, Imam al-Tirmizi (al-Jami’ atau sunannya), selain Imam Ahmad dan juga Imam al-Tirmizi yang meriwayatkan hadis seperti itu, tetapi dengan lafaz yang sedikit berbeza.

Ia sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Amat rugilah seseorang itu apabila disebutkan namaku tetapi dia tidak berselawat ke atasku.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)

Hadis berkenaan adalah sahih. Apa yang dimaksudkan oleh hadis tersebut, jelas al-Munawi, orang yang tidak berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW apabila mendengar nama baginda ialah orang yang bakhil terhadap dirinya sendiri.

“Ini kerana telah terhalang ke atasnya selawat ALLAH sebanyak 10 kali kepadanya apabila dia berselawat sekali ke atas Nabi Muhammad SAW,” jelas al-Munawi.

Menurut Imam Ibn Kathir: “Selepas menyebut berkaitan hadis daripada Ali dan juga hadis daripada Abu Hurairah itu menunjukkan akan dalil wajibnya berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW setiap kali mendengar nama baginda SAW. Ini merupakan pandangan sebahagian mazhab daripada ulama seperti al-Tahawi dan al-Halimi.” (Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 9/373)

Ia disifatkan bakhil kerana disebabkan apabila seseorang itu malas menjalankan ketaatan kepada ALLAH SWT (seperti berselawat). (Lihat: al-Qaul al-Badi’, 321)

Berselawat

SETIDAK-TIDAKNYA, berselawatlah sebaik sahaja selesai mendirikan solat fardu.

Melihat pandangan dan hujah di atas, jelaslah kita akan kerugian jika tidak berselawat ke atas nabi tatkala nama baginda disebut.

Andai kita tahu bahawa begitu banyaknya manfaat yang bakal diraih, pasti peluang itu tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

Memetik pandangan Al-Sheikh Abdul Kadir Al-Jelani Al-Hasani, Quddisa sirruhu dalam kitabnya, al-Safinah al-Qadiriyyah, beliau meriwayatkan Ibnu Farhun yang berkata: Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW itu mempunyai 42 kelebihan.

(Artikel berkaitan: [SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL]: Ada dua sunah nabi yang dilupakan…Ini yang perlu kita tahu dan amalkan)

Ia sebagaimana yang tertulis dalam kitab Hadaiq al-Anwar iaitu:

1. Melaksanakan perintah ALLAH.

2. Bersamaan dengan selawat ALLAH kepada Rasulullah SAW.

3. Bersamaan dengan selawat para malaikat.

4. Mendapat ganjaran 10 kali selawat daripada ALLAH atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada ALLAH bererti rahmat).

5. Dikurniakan oleh ALLAH 10 darjat atas tiap-tiap satu selawat.

6. Dituliskan oleh malaikat 10 kebaikan atas setiap selawat.

7. Dihapuskan oleh ALLAH 10 kejahatan atas setiap selawat.

Berselawat

8. Segala doa akan diperkenankan oleh ALLAH SWT.

9. Mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW.

10. Mendapat keampunan ALLAH dan akan ditutup segala keaiban.

11. ALLAH SWT akan menutupi segala dukacita.

12. Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah SAW.

13. Mendapat darjat al-Sidq.

14. Ditunaikan segala hajat.

15. Salam sejahtera pada hari kiamat.

16. ALLAH dan para malaikat akan berselawat ke atas individu yang berselawat.

17. Mendapat khabar gembira daripada ALLAH dengan balasan syurga.

18. Salam sejahtera pada huru-hara hari kiamat.

19. Rasulullah SAW akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan.

20. Mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa.

21. Mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu.

22. Tidak akan merasai fakir.

Berselawat

23. Terpelihara daripada dihinggapi sifat bakhil.

24. Mendapat kesejahteraan daripada doa Rasulullah SAW kepada yang berselawat.

25. Selawat akan menjemput setiap pengucapannya ke jalan syurga.

26. Menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak disebut padanya nama ALLAH dan Rasul-NYA atau daripada majlis-majlis lagha.

27. Berselawat menyempurnakan kalam pujian ALLAH apabila disebut (dalam doa), maka akan disambut selepas itu dengan kalimah selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

28. Selamat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari kiamat.

29. Disambut oleh ALLAH pada hari kiamat dengan kata-kata pujian yang lunak.

30. Mendapat balasan rahmat yang luas daripada ALLAH.

31. Mendapat keberkatan daripada ALLAH.

32. Mendapat kesempurnaan iman.

33. Kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW.

34. Mendapat hidayah ALLAH dan dikurniakan hati yang sentiasa hidup mengingati ALLAH.

35. Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan di hadapan Rasulullah SAW secara langsung.

36. Teguh pendirian dengan kebenaran.

37. Berselawat bererti kita menggunakan sebahagian hak-hak Rasulullah SAW ke atas diri kita. Di samping itu, ia dianggap sebagai mensyukuri nikmat ALLAH yang mengurniakan dan mengutuskan Rasulullah SAW kepada kita.

38. Berselawat juga bererti zikrullah dan bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH.

39. Berselawat bererti melengkapkan pengertian berdoa dan memohon kepada ALLAH, ke atas Rasulullah SAW dan kepada diri sendiri.

40. Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu adalah akan terjelma gambaran Rasulullah SAW dalam jiwanya.

41. Dikurniakan oleh ALLAH maqam seorang Syeikh dan Murabbi.

Berselawat

42. Mendapat kebahagiaan, ketenangan hidup di dunia dan akhirat.

Subhanallah, begitu banyaknya fadilat apabila kita berselawat. Amat rugi jika amalan ini dibiarkan begitu sahaja.

Sempena kelahiran Rasulullah SAW yang bakal disambut bermula Rabu malam Khamis ini, ayuh sama-sama kita membasahkan lidah dengan mempelbanyakkan selawat ke atas baginda.

Namun, janganlah pula hanya berselawat ketika Maulidur Rasul sahaja, tetapi sebaiknya biasakan diri kita untuk menjadikannya sebagai rutin dalam kehidupan kita.

Sumber: Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & laman web Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Foto: Freepik& 123rf