Browsing Tag

Nabi Muhammad SAW

Aminah
Aqidah,

Aminah mengandungkan Nabi Muhammad SAW pada bulan Rejab, tahu dirinya hamil menerusi mimpi

BULAN Rejab melakar peristiwa penting yang mana Sayyidah Aminah binti Wahb mula mengandungkan Nabi Muhammad SAW pada waktu itu.

Tidak seperti wanita hamil lain, bonda junjungan besar kita tidak mengalami gangguan atau kesukaran sepanjang tempoh mengandung.

Demikian fakta yang ditulis dalam kitab Membaca Sirah Nabi Muhammad, karya Prof Quraish Shihab sebagaimana dilaporkan oleh laman web Kalam Sindonews.

Suatu fakta menarik yang mungkin tidak diketahui ramai, menurut buku bertajuk Kisah Hikayat Siti Aminah Ibunda Rasulullah SAW karya Muhammad Vandestra, Aminah sebenarnya tahu dirinya mengandungkan makhluk paling mulia menerusi mimpi yang menakjubkan.

Bayangkan dalam mimpinya itu, Aminah bagaikan ternampak cahaya terang mengelilinginya. Beliau juga diperlihatkan istana-istana di Basrah dan Syam serta mendengar suara yang ditujukan kepadanya: “Kamu telah hamil dan akan melahirkan seorang manusia yang paling mulia di antara umat ini!”

Baca juga Nabi Muhammad SAW insan pertama dibangkitkan pada Hari Akhirat

Memetik artikel yang disiarkan portal berita CNN Indonesia, Imam Ibn Kathir meriwayatkan dalam kitabnya Qishashul Anbiyya bahawa dalam mimpinya itu, Aminah kerap didatangi para nabi terdahulu dari bulan pertama kehamilannya iaitu Rejab sehinggalah Rabiulawal, bulan kelahiran Rasulullah SAW.

Aminah

AMINAH tahu dirinya mengandungkan makhluk paling mulia menerusi mimpi yang menakjubkan.-FOTO: CANVA

Sesungguhnya, Aminah memang seorang wanita berhati cekal. Dalam keadaan berbadan dua itu, beliau terpaksa ‘berpisah’ dengan suaminya, Abdullah bin Abdul Muthalib yang menyertai kafilah Quraisy untuk berdagang di Gaza dan Syam.

“Sepanjang ketiadaan suaminya, Aminah tinggal bersama dua wanita Bani Hasyim dan Bani Zuhrah.

“Akan tetapi Abdullah dikatakan jatuh sakit setelah selesai berniaga dan akhirnya meninggal dunia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi cnnindonesia.com.

Kesedihan Aminah

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Barangkali itulah perumpamaan sesuai untuk menggambarkan situasi Aminah saat mendengar perkhabaran duka tersebut.

Masakan tidak, suami yang selama ini menjadi ketua keluarga dan harapan kebahagiaan hidupnya sudah pergi menemui Sang Pencipta.

Menurut Kalam Sindonews, Abdullah sempat mewasiatkan lima ekor unta, sekawan kambing dan seorang hamba perempuan bernama Ummu Ayman.

“Tidak lama kemudian, Aminah melahirkan seorang anak lelaki dan Abdul Muthalib menyambut kelahiran cucunya dengan gembira. Malah, beliau menganggap kehadiran putera itu sebagai pengganti Abdullah.

Baca juga Nabi Muhammad tidak menguap, ini keistimewaan yang ada pada baginda 

“Beliau mengangkat bayi itu dan membawanya ke Kaabah sebelum diberi nama Muhammad. Walaupun nama itu tidak biasa digunakan dalam kalangan orang Arab, tetapi ia begitu terkenal,” katanya.

Aminah

ABDUL MUTHALIB menyambut kelahiran cucunya dengan penuh kegembiraan. -FOTO: PEXELS

Berdasarkan riwayat yang masyhur, Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 29 Ogos 580 Masihi, kata portal kalamsindonews.com.

Pada hari ketujuh kelahiran baginda, Abdul Muthalib meminta seekor unta untuk disembelih dan beliau kemudiannya mengajak orang Quraisy makan.

Apabila mengetahui bayi tersebut bernama Muhammad, kaum itu tertanya-tanya mengapa ia tidak dinamakan dengan nama nenek moyangnya.

Begitupun, Abdul Muthalib tenang menjawab: “Mudah-mudahan dia menjadi orang yang terpuji bagi ALLAH di langit dan bagi makhluk-NYA di bumi.”

Benarlah, Nabi Muhammad SAW sememangnya nabi dan rasul terakhir yang membawa risalah Islam ke seluruh alam sehingga dunia menemui titik penamatnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Rabiulawal
Berita Semasa,

5 keistimewaan Rabiulawal yang perlu diketahui

RABIULAWAL sudah pun membuka tirainya pada Rabu. Sedar atau tidak, kita sudah memasuki bulan ketiga dalam kalendar Islam.

Berbicara tentangnya, ingatan pasti terarah kepada peristiwa Maulidur Rasul yang menjadi lipatan sejarah penting buat umat Islam seantero dunia.

Pada bulan itulah lahirnya seorang nabi dan rasul yang memberi rahmat kepada seluruh alam. Baginda ialah Nabi Muhammad SAW yang menjadi penutup kepada para anbia dan rasul.

Barangkali ramai yang tidak tahu, Rabiulawal bermaksud bulan yang mana bermulanya musim bunga dan musim buah bagi tanaman.

Malah, sepanjang sepurnama itu juga, banyak peristiwa besar yang berlaku. Bukan itu sahaja, Rabiulawal turut mempunyai keutamaannya yang tersendiri sebagaimana dipetik daripada laman web Umma.id, cnnindonesia.com dan tzkrh.com.

Berikut perinciannya:

i. Lahirnya Nabi Muhammad SAW.

Menurut riwayat, baginda dilahirkan pada 12 Rabiulawal pada Tahun Gajah bersamaan hari Isnin. Kelahirannya membawa 1,001 rahmat dan demi menyempurnakan keindahan akhlak umat manusia.

Rabiulawal

NABI MUHAMMAD SAW dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun gajah. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: FREEPIK

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Baca juga [SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL] Begitu mulianya akhlak Nabi Muhammad SAW yang perlu kita tahu…

ii. Bulan kewafatan Rasulullah SAW.

Sesungguhnya, Rabiulawal juga menjadi bulan penting bagi seluruh umat Islam mengingati kewafatan baginda iaitu pada hari Isnin tahun 11 Hijrah.

Meskipun tarikh kewafatan baginda ada perselisihan dalam kalangan ulama, apa yang pasti junjungan besar nabi kita meninggal pada waktu Duha bulan tersebut.

iii. Bulan penuh berkat.

ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Berdasarkan kalamullah berkenaan, jelaslah Rasulullah SAW diutuskan oleh ALLAH SWT sebagai rahmat bagi alam semesta.

Rahmat bererti pemberian ALLAH SWT kepada seluruh makhluk di alam ini.

Baca juga Lazimkan 3 amalan utama ini bagi buktikan kecintaan kita kepada baginda yang banyak berkorban untuk seisi umat Islam

iv. Disunatkan supaya banyakkan berselawat.

Rabiulawal

BANYYAK berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebagai manifestasi cinta kita kepada baginda. -FOTO: 123RF

Jika sudah namanya pun umat Nabi Muhammad SAW, tidak lengkap andai kita sendiri tidak berselawat ke atas baginda. Itu sahajalah antara cara kita untuk menzahirkan kasih sayang kepada baginda.

Meskipun sebagai umat akhir zaman, kita tidak pernah bertemu empat mata dengan Rasulullah SAW, namun ungkapan mulia yang lahir tulus dari hati itu akan ‘mendekatkan’ kita pada baginda.

Baca juga Apabila nama Rasulullah SAW disebut, jangan lokek untuk selawat dan salam ke atas baginda

v. Bulan maghfirah (keampunan)

Barangkali ramai yang tidak sedar bahawa memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW sebenarnya dapat membersihkan diri kita daripada segala dosa kecil.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu berselawat ke atasku kerana sesungguhnya selawat ke atasku adalah kebersihan (keampunan) bagi (dosa) kamu dan mintalah kepada ALLAH untukku akan wasilah.” (Al-Samarqandi dari kitab Tanbih al-Ghafilin)

Justeru, ambillah peluang sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW untuk kita menambah lagi mana-mana sunnah baginda yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Semoga kita menjadi insan yang lebih baik pada setiap hari.

***Foto: Freepik 

empat kisah rasulullah menangis
Berita Semasa,

Empat kisah Rasulullah SAW menitiskan air mata

EMPAT kisah di mana Rasulullah SAW menitiskan air mata.

Dalam budaya masyarakat kita, tangisan kadangkala dilihat sebagai suatu tanda jiwa yang lemah. Apatah lagi jika individu yang menitiskan air mata tersebut adalah daripada kaum Adam. Pastinya akan ada label-label seperti ‘tak macho’ dan ‘lembut’ yang terpalit pada dirinya.

Ketahuilah, Nabi Muhammad SAW seorang yang gagah perkasa juga pernah menangis.

Baginda beberapa kali pernah dilihat mengalirkan air mata oleh para sahabat. Bahkan, Nabi Muhammad pula tidak menyorokkan wajahnya menangis.

Baca juga Nabi Muhammad tidak menguap, ini keistimewaan yang ada pada baginda

Berikut beberapa perkara yang membuatkan Rasulullah SAW menangis:

1. Menangis ketika menghadap ALLAH SWT.

Ketika solat berjemaah, Nabi SAW pernah menangis sehinggakan suara esak tangis di dadanya didengari oleh para sahabat yang menjadi makmum baginda.

Aku pernah melihat Rasulullah SAW solat, ketika itu baginda menangis. Rintihan air mata baginda telah jatuh ke dadanya dengan banyaknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga 6 sikap romantik Rasulullah yang patut dicontohi

empat kisah nabi menangis

RASULULLAH SAW menangis ketika mendengar alunan kalamullah kerana teringatkan azab ALLAH SWT yang sangat dahsyat.

2. Menangis ketika mendengar ayat suci al-Quran.
Suatu hari Nabi Muhammad SAW meminta Abdullah bin Mas’ud membaca al-Quran. Beliau berkata, “Adakah saya layak membacanya kepada tuan sedangkan ia turun kepada tuan?”

Nabi SAW berkata, “Saya suka mendengar bacaan daripada orang lain.”

Lalu Abdullah membacanya daripada Surah al-Nisa’. Sampai sahaja pada ayat 41, Rasulullah berkata, “Cukuplah, cukuplah.”

Abdullah Mas’ud melihat wajah baginda sedang menitiskan air mata.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Baca juga Rasulullah SAW pernah disihir? Ini sebab surah al-Falaq diturunkan.

3. Menangis kerana kehilangan orang terdekat yang dicintainya.

Dinukil dari portal Liputan 6 yang memetik buku ‘Sahabat-sahabat Cilik Rasulullah’ karya Nizar Abazah, apabila Ibrahim, salah seorang putera Rasulullah meninggal dunia, air mata baginda mengalir deras sehingga membasahi wajahnya

Melihat hal itu, sahabat Abdurrahman bin Auf bertanya, “Engkau menangis Rasulullah?” Bukankah engkau sendiri melarang menangisi kematian seseorang?”

“Ibnu Auf, aku tidak melarang menangis. Yang ku larang adalah dua teriakan dosa; nyanyian yang tidak bermakna dan melalaikan serta ratapan histeria ketika ditimpa musibah dengan menampar wajah dan merabak-rabakkan pakaian. Sedang yang terjadi padaku ini adalah ungkapan kasih sayang,” jawab baginda.

empat kisah rasulullah

NABI Muhammad SAW juga pernah melalui ‘Tahun Kesedihan’ di mana baginda berada kesedihan yang amat mendalam setelah kehilangan bapa saudara kesayangannya, Abu Talib serta isterinya, Khadijah pada tahun yang sama.

4. Menangis teringatkan kita umatnya.

Pernah satu ketika berlaku gerhana matahari. Keadaan mendung dan kelam ini mengingatkan Rasulullah SAW tentang azab yang menimpa umat terdahulu di mana bumi menjadi gelap. Baginda lantas melaksanakan solat gerhana.

Dalam sujud yang panjang, Nabi SAW menangis dan merintih:

“Wahai Tuhanku, bukankah Engkau berjanji tidak akan memberi azab terhadap umatku sedangkan aku di sisi mereka?

“Wahai Tuhanku, bukankah ENGKAU berjanji tidak akan memberi azab terhadap mereka sedangkan mereka beristighfar?” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Muslim)

Malah, menurut Abdullah ibnu Amr, ketika Rasulullah SAW membaca ayat berkenaan doa Nabi Ibrahim terhadap umatnya (Surah Ibrahim, ayat 36) dan doa Nabi Isa tentang umatnya (Surah al-Maidah, ayat 118), baginda tiba-tiba menangis lalu berdoa:

“Ya ALLAH, umatku, umatku.” (Hadis riwayat Muslim)

Baca juga Rasulullah SAW menyayangi umatnya sehingga di akhirat. Contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

Sebenarnya masih banyak peristiwa lain yang membuatkan Rasulullah SAW menitiskan air mata. Namun, sebahagian besar sebab baginda menangis adalah kerana takut apabila terbayangkan azab ALLAH SWT serta perasaan risau ketika teringatkan nasib umatnya.

Begitulah betapa tingginya cinta Rasulullah SAW kepada kita. Dalam solat, baginda SAW menangis kerana teringatkan kita. Ketika membaca al-Quran, teringat lagi tentang kita lalu baginda menangis.

Oleh itu, mari perbanyakkan selawat buat Rasulullah SAW sebagai tanda sayang kita kepada baginda.

Foto: Unsplash 

Untitled design (1)
Gaya Hidup,

5 ‘Kuasa’ Selawat Yang Ramai Tidak Sedar

SETIAP kali menunaikan solat fardu, ucapan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW pasti akan meniti pada bibir kita. Ini kerana ia merupakan rukun qauli yang wajib disempurnakan dengan sebaiknya.

Namun begitu, usahlah kita membiarkan lafaz yang mulia itu diungkapkan hanya ketika menghadap ALLAH SWT. Sebaliknya, biasakan diri berbuat demikian sekerap yang mungkin.

Barangkali ramai tidak sedar terlalu banyak fadilat berselawat yang bakal diraih. Malah, amalan tersebut merupakan manifestasi kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkongsikan ganjaran istimewa buat mereka yang suka berselawat sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

DR AHMAD SANUSI

Berikut merupakan ‘kuasa’ selawat yang dinyatakan:

1. Mereka yang banyak berselawat akan diampunkan dosa.

Dalam sebuah hadis masyhur, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa berselawat kepadaku sekali, maka ALLAH akan berselawat (melimpahkan rahmat) kepadanya 10 selawat, menghapus daripadanya 10 dosa dan mengangkat darjatnya 10 darjat.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i)

Subhanallah, begitu besar imbalannya kepada mereka yang sentiasa membasahkan lidah dengan berselawat.

Sedangkan ALLAH SWT sebagai pemilik kerajaan langit dan bumi pun turut mengucapkan selawat, begitu juga dengan para malaikat, inikan pula kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

Seharusnya kita perlu perbanyakkan selawat ke atas baginda. Amalan tersebut bukan sahaja menjadikan kita lebih dekat dengan Rasulullah SAW, bahkan dosa kita juga berupaya diampunkan. 

Selawat

MEREKA yang melazimkan diri berselawat akan diampunkan oleh ALLAH SWT.

2. Dicukupkan keperluan.

Perkara tersebut ada direkodkan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW dalam kisah Ubai bin Ka’ab.

Beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, aku ingin memperbanyak berselawat ke atasmu. Berapa banyak aku harus berselawat kepadamu dalam doaku?” Lalu baginda SAW bersabda: “Terserah kepadamu wahai Ubai.”
Ubai menyebutkan beberapa bilangan dan Rasulullah hanya menjawab: “Terserah kepadamu” sehinggalah di hujung dialog tersebut Ubai bertekad untuk menjadikan seluruh doanya mengandungi selawat kepada baginda Nabi.
Lalu, Rasulullah SAW bersabda: “Jika demikian, ALLAH akan mencukupkan segala keperluanmu dan mengampunkan dosamu.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

3. Doa lebih mudah dimakbulkan.

Ketahuilah, mereka yang memulakan doa dengan bacaan selawat akan menyebabkan doa lebih mudah diterima.
Dalam hal itu, Rasulullah SAW bersabda: “Semua permohonan doa akan dihijab (terhalang) sehinggalah dibacakan selawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad SAW.” (Hadis Riwayat at-Tabarani)

Baca juga 4 Golongan Yang Mendapat Doa Malaikat

4. Dekat dengan Rasulullah SAW pada hari kiamat.

Sesungguhnya, mereka yang melazimkan ibadah berselawat akan berada dalam kedudukan yang dekat dengan Rasulullah SAW pada hari kiamat.

Sabda baginda SAW: “Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atasku.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

5. Melapangkan jiwa.

Selawat

BUKAN sahaja berupaya mendamaikan jiwa, memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW juga akan memudahkan urusan kehidupan kita dengan dicukupkan segala keperluan.

Menurut al-Imam Ibn al-Jauzi, amalan memperbanyakkan selawat berupaya menerangkan hati, mengampunkan dosa, melapangkan dada dan dipermudahkan urusan.

Masakan tidak, ibadah berkenaan yang disempurnakan secara bersungguh-sungguh merupakan manifestasi kecintaan seseorang kepada Rasulullah SAW. Sesungguhnya, perbuatan tersebut sebenarnya membawa kecintaan manusia kepada ALLAH SWT.

Jiwa yang dilimpahi kasih kepada baginda SAW akan menyebabkan seseorang itu berupaya menikmati kelazatan dan kemanisan iman.

Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang barang siapa memilikinya akan merasai kemanisan iman, (yang pertama) menjadikan ALLAH dan rasul perkara yang paling dicintai buat dirinya melebihi segala-galanya…” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Justeru, Dr Ahmad Sanusi mengajak umat Islam untuk hanyut dan tenggelam dengan kecintaan pada ALLAH SWT dan Rasul-NYA.

“Caranya adalah dengan menjadikan hati dijauhi kekotoran dosa dan meningkatkan ketakwaan.

“Jiwa yang tunduk akan dekat kepada ALLAH SWT dan DIA akan mempermudahkan urusan hamba yang bertakwa,” katanya.

Foto: Freepik, Unsplash & Pexels

Institusi Raja
Isu, Pilihan Editor,

Kedaulatan Institusi Raja Dan Pemeliharaan Islam

no comment

Oleh MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR

HISTORIOGRAFI Islam menampilkan Nabi Muhammad SAW merupakan seorang ketua negara di Madinah.

Kemudian, jawatan ketua negara Islam diterima secara ijmak sahabah (kesepakatan para sahabat) yang disandang oleh Khulafa’ al-Rasyidin bermula dengan Saidina Abu Bakr al-Siddiq RA, Saidina Umar al-Khattab RA, Saidina Uthman al-Affan RA dan Saidina Ali Ibn Abi Talib RA.

Ketua negara Islam menggunakan gelaran Amir al-Mukminin sewaktu pemerintahan Saidina Umar al-Khattab RA. Ketua negara Islam juga dikenali sebagai Khalifah, al-Imamah atau Imam ketika pemerintahan Bani Umayyah dan ‘Abasiyyah.

Ini menunjukkan ketua negara Islam memegang amanah sebagai pewaris khalifah Rasulullah SAW dan khalifah ALLAH dalam pemerintahan negara.

Ketua negara Islam juga memiliki autoriti tertinggi kerana ia menggalas tugas Rasulullah SAW  bagi  menegakkan syariat ALLAH SWT.

Ketua negara menurut sarjana Islam

Imam al-Juwaini dalam menjelaskan tentang al-Imamah, ia bermaksud kepemimpinan secara komprehensif meliputi hal ehwal yang khusus dan umum dalam menjaga kepentingan agama dan dunia.

Ibnu Khaldun juga menyatakan bahawa ketua negara merupakan tonggak dalam hal ehwal kehidupan keduniaan setiap lapisan masyarakat tanpa sebarang pengecualian berdasarkan akal rasional yang seiring dengan kehendak Islam.

Imam al-Mawardi pula menetapkan keberadaan pemimpin sebagai hukum wajib kifayah kerana ketetapan pemimpin akan meleraikan perselisihan.

Seterusnya Ibnu al-Taymiyyah berpendapat bahawa ketua negara merupakan kewajipan agama yang utama. Ketiadaan ketua negara akan menyebabkan banyak hal ehwal keduniaan dan kewajipan agama akan tergendala.

Oleh itu, ketua negara mempunyai mandat dalam mengatur hal ehwal duniawi dan ukhrawi berdasarkan tuntutan syariat Islam.

Institusi Raja di Malaysia

Sebelum kedatangan Islam, agama Hindu mempengaruhi konsep pemerintahan beraja dalam alam Melayu. Konsep ini memposisikan darjat raja selaku dewa yang berkuasa mutlak terhadap masyarakat.

Selepas kedatangan Islam, alam Melayu melaksanakan pemerintahan Islam beraja yang dikenali dengan istilah sultan. Pemerintahan Islam beraja juga memakai panggilan khalifah seperti yang digunakan oleh Paduka Seri Sultan, ‘Ala al-Din’, Mansur al-Shah Iskandar khalifah al-Rahim.

Begitu juga menurut Raja Ali Haji bahawa penggunaan sebutan sebagai raja seperti berikut:

  1. Khalifah atau khalifah Rasulullah SAW yang bertanggungjawab mendirikan Islam dan menghukumkan hamba ALLAH (rakyat) dengan  hukum  al-Quran,  hadis  dan ijma‘;
  2. Sultan iaitu mengeraskan hukuman atas segala rakyatnya dengan hukuman yang adil yang datang daripada ALLAH dan rasul-NYA;
  3. Imam (alimamah) iaitu ikutan segala  rakyatnya  pada  segala  hukuman  dan  perintahnya  yang tiada membawa kufur dan maksiat.

Perkara di atas menunjukkan pemerintahan beraja dalam alam Melayu bertepatan dengan siyasah syar’iyyah dalam Islam. Oleh sebab itu dipertontonkan dalam alam Melayu yang masyhur sebagai pusat perdagangan dunia kerana melaksanakan undang-undang Islam seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang 99.

Selain itu, sejarah memperlihatkan kedaulatan raja-raja Melayu memelihara adat istiadat dan undang-undang Islam daripada dibuang secara mutlak oleh imperialis terhadap Tanah Melayu.

Walhal pada era pasca merdeka, Tanah Melayu tetap melestarikan pemerintahan beraja. Pemerintahan beraja mengalami variasi yang harmonis dengan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen di Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai ketua negara di peringkat persekutuan yang mewakili institusi raja bagi memastikan kelancaran perjalanan pemerintahan negara yang merangkumi fungsi legislatif, eksekutif dan kehakiman. Dalam pada itu, kedudukan raja-raja lain tetap mempunyai kedaulatan dalam negeri masing-masing.

Institusi raja merupakan kesinambungan tradisi dan budaya masyarakat  melayu dan Islam yang memberikan identiti tersendiri di Malaysia.

Institusi raja juga berautoriti dalam mempraktikkan nilai-nilai Islam dalam undang-undang. Di samping itu, unsur-unsur Islam menjadi identiti dalam upacara-upacara rasmi negara.

Institusi raja bukan setakat simbol, tetapi payung kepada bangsa dan negara. Kedaulatan institusi Raja yang diangkat tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan juga secara tidak langsung turut memelihara kedudukan Islam.

Islam dalam Perlembagaan Persekutuan

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan bahawa Islam ialah agama yang istimewa dalam kalangan majoriti masyarakat di Malaysia. Pertautan Islam dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dengan Perundangan dan pentadbiran Islam di bawah kuasa negeri yang diketuai institusi raja masing-masing.

Sekalipun perundangan Islam belum dilaksanakan sepenuhnya, namun beberapa sistem dalam Islam digunakan secara sukarela dalam kalangan masyarakat di Malaysia termasuk bukan Islam seperti sistem perbankan Islam. Hal ini membuktikan Islam adalah identiti yang signifikan dalam masyarakat dan negara di Malaysia.

Institusi Raja sebagai simbol perpaduan

Institusi raja juga berperanan dalam pemeliharaan Islam yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, ia menunjukkan Islam membentuk perpaduan masyarakat berdasarkan asas akidah yang sahih, nilai keadilan, sikap saling tolong-menolong atas dasar kebaikan dan ketakwaan serta menjauhi sikap permusuhan demi kemanusiaan sejagat.

Di samping itu, perpaduan dibangunkan bersama masyarakat bukan Islam yang menyerahkan taat dan setia kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai simbol ketua agama Islam.

Perkara yang demikian adalah kerana melalui Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberitahu bahawa jaminan masyarakat bukan Islam daripada penindasan keagamaan atau perkauman.

Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 153 juga memberitahu bahawa institusi Raja berperanan menjaga kedudukan masyarakat Islam tanpa mengabaikan kedudukan dan kepentingan masyarakat bukan Islam.

Peruntukan-peruntukan seperti ini jelas menyatakan, institusi Raja berperanan sebagai payung kedaulatan negara untuk memberi naungan saksama tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. 

Penutup

Secara keseluruhannya, Yang di-Pertuan Agong bersama institusi Raja yang menjalankan kuasa prerogatif untuk memperkenankan semua hal ehwal Islam di Malaysia. Institusi Raja merupakan lambang kekuasaan negara dan menjadi tumpuan kesetiaan rakyat dan perpaduan negara.

Oleh itu, memberikan taat dan setia kepada institusi Raja dalam perkara makruf merupakan tanggungjawab setiap individu Muslim.

Begitu juga memelihara Islam yang menjadi lambang kepada penghormatan terhadap institusi Raja.

Sementelahan pula sebagai masyarakat Islam yang mewakili warganegara Malaysia, mempertahankan kedaulatan institusi Raja dan pemeliharaan Islam menjadi kewajipan dan tuntutan di sisi syariat.

Foto: Bernama & itc.gov.my

Berita Semasa,

Rasulullah SAW sentiasa berada di tempat terunggul, tiada sesiapa pun yang dapat menandingi baginda

NABI MUHAMMAD SAW ialah insan yang paling agung dalam kalangan insan yang pernah dilahirkan di muka bumi ini.

Masakan tidak, pendekatan sederhana dan seimbang yang dipelopori oleh baginda SAW telah menjadikan pola kehidupan masyarakat Madinah sebagai contoh terbaik untuk diteladani.

Malah, hasil daripada sikap kesederhanaan itulah telah membuka hati ramai penduduk Arab memeluk Islam.

Kebijaksanaan seperti itu amat diharapkan agar terus wujud dalam masyarakat Islam pada zaman milenial ini.

Dalam hal pengurusan, baginda SAW memiliki pelbagai jenis kelebihan, keunikan dan ciri khas yang sangat menonjol. Dari aspek kehidupan pula, Rasulullah SAW sentiasa di tempat paling unggul.

Tidak ada pemimpin di dunia ini yang apa sahaja yang ucapan atau bait perkataan yang terungkap dari bibirnya dan segala perbuatannya dibukukan hingga berjilid-jilid seperti baginda.

Hal itu sering disebut dalam Hadis al-Bukhari, Muslim, an-Nasai, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Abu Daud, al-Hakim, Ibnu Hibban, at-Tabarani, al-Baihaqi, Ibnu Asakir dan Imam Ahmad.

Jika diamati, tiada manusia di planet ini yang perilakunya sebaik Rasulullah SAW, baik dalam perihal ibadah, berdoa, berzikir, makan, minum, berpakaian, berkeluarga dan memimpin.

IKUTI sunah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. -Gambar hiasan

Justeru, jadikanlah Rasulullah sebagai kayu ukur dalam segala hal khususnya dalam bidang kepemimpinan dan pengurusan.

Pengurusan seimbang

Menghuraikan mengenai aspek pengurusan, Rasulullah SAW telah mengaturnya dengan seimbang atau harmoni.

Umpamanya, walaupun dalam Perang Badar, pasukan baginda hanya berjumlah 300 orang dengan peralatan yang sederhana, namun mampu mengalahkan pasukan Quraisy yang jumlahnya tiga kali ganda lebih banyak malah lengkap dengan pelbagai peralatan perang yang canggih.

Ternyata Rasulullah SAW sangat memahami bahawa kekuatan sumber manusia adalah faktor paling penting dalam peperangan mahupun kerja.

Disebabkan itulah baginda SAW lebih mengutamakan pembinaan perilaku peribadi daripada unsur-unsur pengurusan yang lain.

Firman ALLAH SWT: “Hai Nabi, kobarkanlah semangat Mukmin untuk berperang jika ada 20 yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan 1,000 daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti. Sekarang ALLAH telah meringankan kepadamu dan DIA telah mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antara 100 orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan 200 orang kafir; dan jika di antaramu ada 1,000 orang (yang sabar), nescaya mereka akan dapat mengalahkan 2,000 orang, dengan seizin ALLAH. Dan ALLAH berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 65-66)

Berdasarkan ayat itu, jelaslah bahawa kualiti seorang yang sabar setanding dengan dua hingga 10 orang musuh. ALLAH SWT menyebutnya dengan jumlah yang banyak iaitu 20 hingga 100 orang.

Ia menunjukkan bahawa Islam sangat menekankan kerja secara berkumpulan, kerjasama atau tolong-menolong. Pasukan kerja yang hebat akan berjaya menyelesaikan pelbagai jenis tugas, tangunggjawab dan pekerjaannya dengan baik.

Bukan itu sahaja, cara pengurusan Rasulullah SAW juga adalah paling dinamik. Ia dapat dilihat apabila baginda menghadapi 1,001 permasalahan termasuklah masalah yang sukar sekalipun, semuanya mampu ditangani dengan baik.

CONTOHI cara muamalat Rasulullah SAW. -Gambar hiasan

Begitu dinamiknya cara pengurusan Rasulullah SAW bermula daripada masalah keluarga, agama hinggalah kepada masalah negara.

Dalam peperangan misalnya, Rasulullah terlibat sebanyak 62 siri peperangan. Daripada jumlah itu, sebanyak 35 kali peperangan dilakukan tanpa kehadiran baginda.

Selebihnya, sebanyak 27 kali peperangan dihadiri oleh Nabi Muhammad SAW secara langsung dengan sembilan kali baginda menjadi panglima perang.

Jika dihitung, tempoh Rasulullah SAW berada di Madinah adalah selama 10 tahun atau 120 bulan. Ini bererti bahawa setiap dua bulan sekali, Rasulullah terlibat dalam peperangan. Uniknya, Madinah tetap aman, stabil dan terkawal.

Mudah kata, pengurusan Rasulullah SAW adalah tidak rumit dan mudah. Ia juga tidak memberatkan dan tidak berlebihan. Ini kerana semuanya telah diukur dan diseragamkan sesuai dengan kapasiti dan kemampuan manusia.

Jadi, tatkala diri kita dihimpit apa jua masalah, maka ambillah penyelesaian berdasarkan pengurusan cara Rasulullah SAW.

Berbeza sungguh dengan pengurusan birokrasi pada hari ini yang kadangkala lebih banyak disukarkan daripada dipermudahkan.

Renungkanlah firman ALLAH ini: “ALLAH mengkehendaki kemudahan bagimu, dan tidak mengkehendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

ANDAI dihimpit dengan masalah atau ujian, contohi cara Rasulullah SAW menangani permasalahan berkenaan. -Gambar hiasan

Demikian roh dan inti pati cara Rasulullah iaitu dalam rangka memberikan kemudahan dan memberi khabar gembira kepada umatnya yang bersesuaian dengan fitrah manusia.

Oleh yang demikian, jadikanlah Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam setiap perkara yang dilakukan dalam meniti kehidupan di muka bumi yang fana ini.

***Artikel ditulis oleh Dr Nur Najwa Hanani Abd Rahman, Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru, Johor

Foto: Freepik