Browsing Tag

Nabi Muhamamd SAW

sulthan-auliya-rzzS0_pMsD0-unsplash
Panduan,

Apabila nama Rasulullah SAW disebut, jangan lokek untuk selawat dan salam ke atas baginda

ANJURAN untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW begitu digalakkan bagi setiap umat Islam. Ia bukan sekadar meniti pada bibir kita saat sedang menunaikan solat iaitu ketika bacaan tahiyat awal dan akhir sahaja.

Namun, selawat boleh juga diucapkan di luar waktu solat, selain sewaktu kita berdoa.

Ungkapan mulia itu boleh sahaja diucapkan pada bila-bila masa.

Bahkan, ketika mendengar nama Nabi Muhammad SAW disebut juga, kita dianjurkan supaya berselawat dan salam ke atas baginda.

Malah, acap kali kita dengar rata-rata orang akan mengulang kembali sebutan Sallallahu ‘alaihi wa sallam (صلى الله عليه وسلم) tatkala mendengar nama kekasih ALLAH itu disebut.

Ada juga orang yang lebih selesa menyebut penuh selawat ke atas Rasulullah SAW sebaik sahaja mendengar nama junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang kita cintai itu disebut-sebut.

Ucapan bagaimanakah yang paling utama sekiranya kita mendengar nama Rasulullah SAW?

Berkongsi jawapan tentang perkara itu, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, al-Imam Ibn Hajar al-Haithami pernah ditanyakan tentang perkara itu.

Antara sebutan Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan sebutan Allahumma salli wa sallam ‘ala nabiyyina Muhammad (اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى نَبَيِّنَا مُحَمَّدٍ), yang manakah lebih utama disebut sebaik kita mendengar nama baginda disebut?

Al-Imam Ibnu Hajar menjawab: (Yang afdalnya adalah berselawat) dengan menggunakan sighah permintaan (iaitu sebutan allahumma salli wa sallam ‘ala nabiyyina Muhammad atau allahumma salli wa sallam alaih). Ini kerana ia merupakan sighah yang warid di dalam khabar (riwayat hadis) dan tidaklah Rasulullah SAW mengajarkan mereka (para sahabat) melainkan sesuatu yang lebih afdal. (Rujukan Al-Qawl Al-Badi’ fi Al-Solat ‘ala Al-Habib Al-Syafi’ oleh al-Imam al-Sakhawi (1/157) Cetakan bersama Dar al-Yusr & Dar al-Minhaj)

Ujar Ustaz Muhammad Fahmi, ketika beliau berada di Jordan suatu ketika dulu, gurunya juga memberi anjuran yang sama iaitu dengan membaca Allahumma salli wa sallam ‘ala nabiyyina Muhammad sebaik mendengar nama baginda SAW disebut.

Selawat dan salamBaca juga [SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL] Kalau tak berselawat, itu tandanya kita bakhil…

“Begitupun, tiada masalah pun sebenarnya andai kita mahu menyebut ulangan atau apa yang kita dengar daripada mereka yang menyebut nama Rasulullah SAW (iaitu Sallallahu ‘alaihi wa sallam).

“(Ia) Masih mendapat pahala selawat. Isunya bukan pada betul atau salah. Akan tetapi, pada (lafaz) yang baik dengan yang lebih baik,” jelas beliau merungkaikan jawapannya.

Justeru, tiada masalah untuk kita menyebut ulangan sebutan sebagaimana yang disebutkan oleh individu yang mengungkapkan Nabi Muhammad SAW.

Namun begitu, ucapan yang paling utama adalah Allahumma salli wa sallam ‘ala nabiyyina Muhammad.

Tidak kiralah mana satu lafaz sama ada selawat atau salam yang menjadi pilihan kita, tetapi janganlah berat mulut pula untuk mengungkapkannya ketika nama Rasulullah SAW disebut.

Renungkanlah firman ALLAH SWT dalam kalam-NYA yang suci: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-NYA berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad saw); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Sumber: Twitter @fahmirusliMFR

Foto: Freepik & Unsplash