Browsing Tag

Nabi Idris

Selawat
Personaliti, Pilihan Editor,

Begitu Hebatnya Nabi Idris Berzikir Sehingga Malaikat Suarakan Keinginan Bersahabat Dengan Baginda

no comment

NABI IDRIS AS tergolong sebagai antara 25 nabi dan rasul yang wajib diketahui oleh umat Islam. Walaupun kita bukanlah umat baginda, tetapi kisah masyhur berkaitan dengannya perlu diambil peduli.

Kisah Nabi Idris dan para anbia yang lain sangat signifikan kepada umat Islam. Segala panduan, pengajaran mahupun pedoman yang dititipkan, wajib dijadikan panduan kepada kita dalam menjalani kehidupan seharian.

Sesungguhnya, cerita Nabi Idris sungguh unik. Seperti yang tercatat dalam hadis dan kitab-kitab muktabar, tahap keimanannya yang tinggi telah menyebabkan malaikat ingin berkawan dengannya.

Sungguh beruntung diri baginda apabila makhluk ALLAH SWT yang paling mulia itu mahu bersahabat dengan seorang manusia!

Nabi Idris AS juga dipuji oleh ALLAH SWT dengan sebutan al-Siddiq (nabi yang benar) dan telah diangkat darjatnya ke tingkat yang tinggi.

Apakah amalan yang dilakukan oleh baginda sehinggakan malaikat mahu mendampinginya? Mengapa malaikat sangat mencintai dirinya dan apa sebab Nabi Idris sangat dihormati oleh umatnya?

Baca juga Umat Islam Berpeluang Berdamping Dengan Baginda Pada Hari Kiamat Kelak. Berikut Adalah Syarat-Syaratnya…

Tak lekang berzikir

Bagi mendalami kisah Nabi Idris AS, Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Muhammad Hadi Talhah.

MUHAMMAD HADI

Beliau memulakan inti patinya dengan dua potong ayat al-Quran yang menggambarkan tentang keperibadian Nabi Idris AS.

ALLAH SWT berfirman: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah ia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta dia seorang nabi. Dan KAMI telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.“ (Surah Maryam, ayat 56-57)

Ujar Muhammad Hadi, Nabi Idris AS ialah nabi kedua wajib diketahui selepas Nabi Adam AS.

Sebagaimana sifat-sifat yang ada pada para anbia lain, jelas beliau, nabi ALLAH yang satu itu terkenal sebagai seorang yang kuat beribadah dan lidahnya tidak pernah lekang daripada melafazkan zikrullah.

“Diceritakan dalam riwayat yang masyhur, Nabi Idris AS merupakan individu pertama yang menjahit. Begitu zuhudnya baginda apabila setiap kali menjahit, bibirnya tidak pernah berhenti daripada berzikir.

“Tatkala menjahit, semasa mencucuk pakaian dengan jarum dan benang, maka setiap kali itulah baginda akan mengucapkan Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar.

“Ucapan berkenaan akan diulangi setiap kali perbuatan sama dilakukan,“ katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Berdasarkan akhlak yang ditonjolkan, Nabi Idris AS seorang yang begitu kuat berzikir dan tidak pernah lelah beribadah kepada ALLAH SWT. Maka, tidak hairanlah mengapa ada malaikat yang ingin berkawan dengan baginda, ungkapnya.

Nabi Idris

SETIAP kali mencucuk pakaian dengan jarum dan benang, Nabi Idris AS tidak pernah lekang daripada melafazkan zikrullah dan ia sentiasa diulang setiap kali perbuatan itu dilakukan.

“Ada satu malaikat datang menyerupai seorang manusia yang tampan bertemu dan berkawan dengan baginda.

“Apabila diketahui ‘insan‘ berkenaan ialah malaikat, maka baginda meminta rakannya itu membawanya meronda ke langit iaitu tempat tinggalnya para malaikat.

“Dengan izin ALLAH, sampailah baginda ke sana. Dikatakan bahawa tatkala tiba di langit keempat, nyawa baginda dicabut oleh malaikat Izrail. Sebab itulah ketika peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW bertemu Nabi Idris di langit keempat,“ jelasnya.

Menyambung hujahnya, ujar agamawan itu, kisah berkenaan sebenarnya mahu mengajak umat Islam supaya membasahkan lidah dan mengingati ALLAH SWT di mana sahaja kita berada.

Ketahuilah, zikir merupakan satu suruhan yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam.

Ia sebagaimana yang dijelaskan oleh ALLAH SWT menerusi firman-NYA: “Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) ALLAH, zikir yang sebanyak-banyaknya.“ (Surah Al-Ahzab, ayat 41)

Banyakkan mengingati ALLAH

Seandainya kita mahu ALLAH SWT sentiasa melimpahkan perlindungan dan pertolongan-NYA, Muhammad Hadi berpesan, kita sesekali jangan lupa untuk mengingati-NYA.

“Sentiasalah ingat ALLAH dalam setiap tindak tanduk dan perbuatan kita. Ini termasuklah apabila hendak masuk bilik air, keluar bilik air, sebelum tidur, bangun daripada tidur waima masuk ke dalam rumah, bacalah doa yang dianjurkan.

“Bukan apa, semua itu sebenarnya tanda ingatan kita kepada ALLAH SWT. Berdoa juga dikira sebagai berzikir. Begitu juga apabila kita membaca al-Quran, berselawat dan mendirikan solat.

“Ketahuilah, semua ibadah dan perbuatan mengingati ALLAH SWT itu umpama zikir.

“Tidak kisahlah sama ia dilakukan secara formal menerusi zikir-zikir yang biasa kita lafazkan, mahupun menerusi setiap perbuatan kita. Sesungguhnya, zikir itu tiada had dan batas,“ ujarnya.

Fakta berkenaan turut dipersetujui Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhari.

DR MOHD HASRUL

Ujar beliau, zikir merupakan ibadah yang begitu istimewa kerana ia terbuka dan mudah diamalkan dalam apa jua keadaan.

Memetik pandangan Imam an-Nawawi, para ulama bersepakat bahawa harus berzikir seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir, berselawat, berdoa dan seumpamanya secara dalam hati serta lisan bagi mereka yang berhadas, berjunub, haid dan nifas.

“Maka, umat Islam perlu ambil peluang ini untuk tidak meninggalkan amalan berkenaan, apatah lagi ia adalah arahan daripada ALLAH SWT dan Rasulullah SAW yang mempunyai banyak fadilat.

“Justeru, umat Islam boleh memilih mana-mana zikir yang disukainya. Antaranya mengucapkan selawat, tasbih (subhanallah), tahmid (alhamdulillah), takbir (Allahuakbar), tahlil (la ilaha illallah), istighfar (astaghfirullah) dan lain-lain.

“Kita juga boleh memilih sama ada berzikir secara perlahan, kuat, berseorangan, berjemaah, zikir lisan mahupun di dalam hati dengan jumlah bilangan yang diingini,“ katanya.

Israiliyyat

Betapa hebatnya zikrullah itu, kata ahli akademik itu, apabila Rasulullah SAW memberi beberapa isyarat menerusi hadis baginda bahawa ibadah berkenaan lebih utama berbanding dengan yang lain.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya golongan mufarridun telah mendahului. Siapa mufarridun itu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: “Iaitu mereka yang asyik dalam zikrullah yang mana zikir itu telah meletakkan (meringankan/melepaskan) bebanan mereka, maka mereka akan datang pada hari kiamat dalam keadaan ringan.“ (Riwayat at-Tirmizi)

Namun begitu, Dr Mohd Hasrul mengingatkan, sekalipun kita mengutamakan zikir, tetapi jangan sesekali meninggalkan perkara wajib seperti fardu ain dan kifayah yang lain.

Nabi Idris


BANYAKKANLAH berzikir tanpa mengira waktu kerana ia merupakan ibadah yang utama berbanding ibadah-ibadah sunat yang lain.

Berbalik kepada kisah Nabi Idris AS, mengapakah perihal berkaitan baginda berkawan dengan malaikat ada pelbagai versi cerita?

Ada yang mengatakan baginda berkawan dengan malaikat maut dan ada pula cerita baginda bersahabat dengan malaikat biasa?

Menjawab persoalan itu, Dr Mohd Hasrul menjelaskan, ini kerana kebanyakan kisah tentang para nabi terdahulu adalah berasal daripada riwayat Israiliyyat iaitu perkhabaran, periwayatan dan kisah-kisah yang bersumberkan khususnya daripada Yahudi atau Nasrani yang tidak disebut dalam al-Quran dan hadis.

“Realitinya memang bukan semua peristiwa pada zaman dahulu disebut dalam al-Quran dan hadis apatah lagi nama Nabi Idris AS disebut dua kali sahaja dalam al-Quran iaitu surah Maryam ayat 56 dan surah al-Anbiya‘ ayat 85.

“Islam datang bukanlah dengan menceritakan semua kisah dan menafikan semua kisah, sebaliknya Islam bertindak adil dengan menapisnya,“ katanya.

Nabi Idris

KEBANYAKAN kisah tentang para nabi terdahulu adalah berasal daripada riwayat Israiliyyat iaitu perkhabaran, periwayatan dan kisah-kisah yang bersumberkan khususnya daripada Yahudi atau Nasrani yang tidak disebut dalam al-Quran dan hadis.

Beliau kemudian menukilkan pandangan pensyarah kanan bidang hadis di Kolej Universiti Islam Selangor, Dr Mohd Khafidz Soroni bahawa terdapat tiga jenis kisah Israiliyyat.

Pertama, katanya, ia melibatkan kisah yang diketahui kesahihannya berdasarkan dalil yang membenarkannya dan selari dengan syariat, maka ia diterima untuk dijadikan pedoman.

“Kedua adalah kisah Israiliyyat yang diketahui kepalsuannya berdasarkan dalil yang mendustakannya dan bertentangan dengan syariat, maka ia ditolak.

“Satu lagi pula adalah kisah Israiliyyat yang tidak diketahui sama benar atau salah. Maka, harus meriwayatkannya sebagai saksi dan iktibar terhadap kewujudan cerita asal, bukannya sebagai dalil dan sokongan terhadap kebenarannya.

“Secara ringkasnya, ada kisah Israiliyyat yang diterima, ada pula yang ditolak dan terdapat kisah Israiliyyat yang didiamkan, tetapi boleh diriwayatkan tanpa mengatakan ia benar atau salah.

“Kemungkinan besar, kisah dialog Nabi Idris AS dan malaikat maut ini adalah kisah Israiliyyat kategori ketiga kerana ramai ulama tafsir muktabar yang meriwayatkannya,“ jelas Dr Mohd Hasrul.

Nabi Idris kuasai pelbagai ilmu dan kemahiran

NABI IDRIS AS begitu dikenali sebagai rasul atau individu yang mencetuskan banyak ilmu. Pelbagai bidang yang dipelopori oleh baginda, sebagaimana yang disebutkan dalam kitab-kitab muktabar.

Pendakwah Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz menjelaskan, nabi yang berasal daripada keturunan Nabi Adam AS itu bukan sahaja menjadi manusia pertama yang menjahit pakaian, tetapi baginda juga individu terawal mencipta senjata, menguasai ilmu perbintangan, hisab dan lain-lain lagi.

PU FAIZ

“Baginda bukanlah individu yang calang-calang kerana mempunyai akal yang begitu tajam. Dek kerana kecerdikannya itulah yang membawanya melawat syurga dan neraka,“ katanya kepada Sinar Islam Plus.

Tatkata malaikat maut datang menziarahi Nabi Idris AS, ujar pendakwah itu, baginda bertanyakan adakah tujuan kedatangan makhluk ALLAH yang mulia itu mahu mengambil nyawanya atau sebaliknya?

“Apabila diketahui tujuannya sekadar untuk menziarah, maka baginda meminta supaya malaikat maut meminta izin ALLAH untuk mencabut nyawanya.

“Baginda ingin tahu betapa sakitnya saat roh terpisah daripada jasad untuk menambahkan lagi kekuatannya beribadah kepada ALLAH.

“Ternyata permintaannya itu dikabulkan, lalu dicabutlah nyawa baginda. Maka, menangislah malaikat maut dan berdoa supaya baginda dihidupkan semula.

“ALLAH memperkenankannya. Sebaik sahaja Nabi Idris dihidupkan semula, baginda berkata betapa sakitnya sakaratul maut itu umpama kulit yang disiat-siat,“ katanya.

Setelah itu, ujar PU Faiz, sekali lagi Nabi Idris membuat permintaan untuk melawat ke neraka. Matlamatnya hanyalah untuk meningkatkan ibadah lagi kepada ALLAH.

“Setelah dibawa melihat neraka, baginda meminta untuk melawat syurga. Pada mulanya, Nabi Idris hanya melihat dari luar. Apabila mendapati begitu indahnya syurga, sekali lagi baginda menyampaikan hajat untuk masuk ke dalamnya.

“Maka masuklah baginda ke dalam tempat yang paling diidam-idamkan oleh umat Islam itu sehinggakan baginda dikatakan enggan keluar dari syurga nan indah.

“Saat hendak keluar dari syurga, sepatu baginda yang diletakkan di bawah sepohon pokok di syurga tertinggal. Lalu, baginda meminta izin daripada malaikat maut untuk mengambilnya.

“Setelah masuk semula ke dalam syurga, Nabi Idris AS enggan keluar lagi kerana nikmatnya syurga. ALLAH mengizinkanNYA,“ katanya.

Nabi Idris


BANYAK kelebihan apabila kita mengingati ALLAH. Antaranya ALLAH SWT akan mengingati hamba-NYA yang berzikir, melindunginya dan memeliharanya.

Berdasarkan kisah itu dan peristiwa Israk dan Mikraj yang ditempuhi oleh Nabi Muhammad SAW, PU Faiz berkata, para ulama Ahli Sunah Waljamaah beriktikad bahawa syurga dan neraka sudah ada sekarang.

“Bukan apabila tibanya kiamat nanti, ALLAH baru hendak jadikan syurga dan neraka,“ katanya.

ANEKDOT

SALASILAH Nabi Idris AS

– Ada beberapa riwayat menyatakan, nama sebenar Nabi Idris AS ialah Akhnukh ataupun Khanukh.

– Baginda dipanggil Idris AS kerana banyak mempelajari kitab. Ia diambil daripada perkataan Arab iaitu darasa (belajar).

– Nabi Idris AS merupakan datuk kepada ayah Nabi Nuh AS dan keturunan keenam Nabi Adam AS.

– Selain menjadi tukang jahit pertama, baginda juga individu paling awal menulis dengan pena, menggunakan ilmu falak, matematik dan banyak lagi.

– Sebelum itu, semua orang memakai pakaian daripada kulit sahaja.

– Nabi dan rasul kedua yang wajib diketahui itu merupakan individu yang mula-mula mencipta senjata tajam.

– Ilmu yang dimiliki baginda membuatkan malaikat begitu dekat dan mahu bersahabat dengannya.

– Dalam satu riwayat, Nabi Idris kini dikatakan hidup di langit keempat. Ada pula menyatakan di langit keenam, ketujuh dan riwayat lain mengatakan baginda berada di dalam syurga.

Sumber: Pendakwah Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli (PU Faiz)

Foto: Freepik & 123rf