Browsing Tag

Nabi Ibrahim

Nabi Ibrahim
Berita Semasa,

Jadikan kisah keluarga Nabi Ibrahim sebagai pemangkin kekuatan diri untuk mencari keredaan ALLAH SWT

MASIH belum terlewat untuk setiap Muslimin bangkit dan menjadikan kisah keluarga Nabi Ibrahim AS sebagai pemangkin kekuatan diri untuk mencari keredaan ALLAH yang sejati.

Masakan tidak, kita masih lagi berada dalam bulan Zulhijah yang sinonim sebagai bulan haji dan Aidiladha. Bulan terakhir dalam kalendar hijriyyah ini juga merupakan tarikh keramat di mana Nabi Adam dan isterinya, Hawa dikeluarkan dari syurga pada 10 Zulhijah dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di Padang Arafah, di luar kota Makkah.

Berbalik kepada kisah keluarga Nabi Ibrahim AS, ia merupakan peristiwa bersejarah yang begitu signifikan. Bayangkan pengorbanan baginda AS dan isterinya, Siti Hajar yang merelakan anaknya disembelih serta kesanggupan Nabi Ismail AS menyerahkan tengkuk untuk dikorbankan oleh bapanya sendiri. Segala kepatuhan ini sesungguhnya berasaskan nilai ketakwaan yang tiada berbelah bahagi mereka bertiga terhadap perintah ALLAH SWT.

Baca juga Ibadah Korban Kifarat Dosa Kepada Pelakunya, Ia Amalan Yang Dicintai ALLAH Pada Aidiladha

Firman ALLAH dalam Surah as-Saaffaat, ayat 102 yang bermaksud: “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-ALLAH, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar”.

Pemangkin kekuatan

Sebagai balasan terhadap pengorbanan (keimanan dan kepatuhan) mereka bertiga, ALLAH menggantikannya dengan seekor haiwan.

Nabi Ibrahim

ALLAH SWT menggantikan balasan pengorbanan terhadap kepatuhan dan keimanan Nabi Ibrahim AS, Siti Sarah serta Nabi Ismail AS dengan seekor haiwan.

Firman ALLAH : “Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (KAMI sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah KAMI), serta KAMI menyerunya: “Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu.” Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan, sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.” ( Surah as-Saaffaat, ayat 102-106)

Untuk mencari keredaan ALLAH SWT yang sejati, masih belum terlewat bagi setiap Muslimin bangkit dan menjadikan kisah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail sebagai pemangkin kekuatan diri.

Renungkan sejenak, sanggup tak kita mengorbankan anak kesayangan begitu sahaja demi mentaati perintah daripada ALLAH?

Sebenarnya, nilai cinta dan takwa yang tinggi merupakan rahsia dalam pengabdian penuh ikhlas. Ia mampu disempurnakan tanpa rasa berat walaupun nyawa menjadi taruhannya. Memang senang untuk kita melafazkan kata ‘berkorban apa saja’ sebelum betul-betul dihadapkan dengan sesuatu ujian yang amat sukar seperti dalam kisah para anbiya’ terdahulu.

Cagaran penyelamat

Walaupun saban tahun Aidiladha diraikan, adakah kita benar-benar menghayati rasa ‘berkorban’ demi membuktikan kecintaan kepada ALLAH dalam meneruskan sisa hayat yang masih berbaki. Sudah cukupkah dengan amalan solat, puasa, zakat, haji dan sedekah yang merupakan cagaran sebagai penyelamat daripada neraka ALLAH?

Baca juga Patuhi Akad Wakalah Ketika Urus Ibadah Korban

Fikirkan seketika situasi yang dialami oleh Siti Hajar. Dimulai dengan rasa kesyukuran yang amat tinggi dapat menimang anak yang dinanti-nantikan selama ini, (ada riwayat menyebut usia Siti Hajar ketika itu 90 tahun) tetapi diperintahkan Tuhan untuk dikorbankan begitu sahaja.

Nabi Ibrahim

JADIKAN kisah keluarga Nabi Ibrahim AS sebagai pemangkin kekuatan kita untuk mencari keredaan ALLAH SWT.

Jika diikutkan naluri keibuan, bagaimana mungkin seorang isteri dan ibu dapat melepaskan anak sendiri di sembelih di hadapan mata. Kalau kita berada ditempatnya, sanggupkah hanya menurut perintah itu? Tepuk dada tanyalah iman.

Itulah sebenarnya ibrah yang amat patut diteladani dalam membina nilai ketakwaan diri dan pada masa yang sama menempuh mehnah akhir zaman.

Ironinya, dalam melakukan pengorbanan yang sejati, kita dituntut agar memilih yang terbaik sebagai taruhannya.

Tetapi secara jujurnya, mampukah kita pertaruhkan harta yang paling disayangi untuk disedekahkan ke jalan ALLAH seperti yang pernah dilakukan oleh umat Islam di kota Madinah yang sanggup berkorban apa sahaja untuk saudara seislam mereka yang berhijrah dari Makkah walaupun dengan taruhan isteri sendiri.

Justeru, marilah kita sebagai keluarga Malaysia menyemai dan menyemarakkan semangat keluarga Nabi Ibrahim AS sebagai teras kekuatan dalam menempuh cabaran kehidupan yang sukar ketika ini.

***Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan dan Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Zaizul Ab Rahman

Foto: 123rf

Buat silap ketika didik anak
Gaya Hidup,

Pernah Buat Silap Ketika Didik Anak, Masih Belum Terlambat Untuk Bapa Perbetulkannya

Oleh FOUZIAH AMIR

SEORANG ayah mungkin pernah melakukan kesilapan, tetapi masih belum terlambat untuk berubah dan berusaha mendidik anak sehingga ke hujung usianya.

Demikian pandangan yang dilontarkan Presiden Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia, Abdullah Bukhari Abdul Rahim ketika menjadi panel pada program Wacana Al-Quran bertajuk Ayah: Ada Bagai Tiada, Tiada Bagai Ada.

ABDULLAH BUKHARI

Jelas beliau, jika diteliti, tiada ayah yang sempurna di muka bumi ini. Beliau kemudian mengambil contoh kisah Nabi Nuh yang berdakwah selama beratus tahun, namun anak baginda tidak mendengar cakap.

“Ingatlah, hidup ini ialah pentas ujian. Mungkin ibu dan ayah berusaha sebaik mungkin untuk mendidik anak, tetapi akhirnya permata hati yang ditatang bagai minyak yang penuh tidak seperti diharapkan.

“Ketahuilah bahawa kisah Nabi Nuh AS boleh menjadi solusi penenang jiwa. Andai ada orang menggunakan kisah tersebut sebagai alasan tidak mahu melakukan terbaik dalam mendidik anak, ia satu kesilapan. Saya risau ia menjadi talbis (tipu daya) iblis,“ katanya pada program tersebut yang disiarkan menerusi platform digital Sinar Harian dan Wacana al-Quran baru-baru ini.

Buat silap ketika didik anak

HUSHIM (dua dari kiri) dan Abdullah Bukhari (dua dari kanan) menjadi panel pada program Wacana
al-Quran bertajuk Ayah: Ada Bagai Tiada, Tiada Bagai Ada yang disiarkan melalui platform Sinar
Harian dan Wacana al-Quran baru-baru ini.

Baca juga Ini Dia Peranan Bapa Sepertimana Yang Disebutkan Dalam Al-Quran

Di sebalik peristiwa berkenaan, agamawan itu mengingatkan seluruh umat Islam agar berusaha sedaya mampu mendidik amanah yang telah diberikan oleh ALLAH SWT. Selebihnya bertawakal kepada-NYA.

“Barangkali kegagalan mendidik anak-anak disebabkan kita belum cukup melakukan yang terbaik. Mungkin juga anak itu menjadi ujian ALLAH kepada kita yang menjadi asbab untuk meraih ganjaran-NYA,“ ujarnya.

Abdullah Bukhari menambah, sesibuk mana kita sekalipun, luangkanlah masa berkualiti dengan anak-anak.

“Jadikan Nabi Ibrahim AS sebagai teladan. Meskipun mempunyai banyak urusan di luar, baginda dikurniakan anak yang baik dari segi akidah dan akhlak disebabkan usahanya melapangkan waktu buat cahaya matanya,“ katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Hushim Motivational & Counselling Consultancy, Hushim Salleh menyeru agar golongan bapa tidak berputus asa mendidik anak masing-masing.

HUSHIM

“Jika kita pernah buat silap dalam mendidik anak, belum terlambat untuk perbaikinya. Gali ilmu kebapaan. Kita tidak boleh serahkan tanggungjawab menjaga kepada orang lain seperti cikgu di sekolah. Komunikasi di antara ayah dan anak penting dalam perhubungan,“ ujarnya.

Untuk info lanjut, layari https://www.facebook.com/wacanaalquran.

Foto: Asril Aswandi Shukor & Freepik