Browsing Tag

My #QuranTime

My #QuranTime
Berita Semasa,

My #QuranTime 2.0 bakal menemui penonton mulai Rabu depan, ada 2,111 episod kesemuanya

PROGRAM yang mencipta fenomena ‘Baca, Faham, Amal al-Quran’, My #QuranTime (MQT) 2.0 bakal bersiaran setiap minggu bermula Rabu depan (14 Disember 2022) mulai jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Rancangan terbitan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sebanyak 2,111 episod itu bakal menemui penonton menerusi semua platform digital Quran Hour, Sinar Harian dan Kumpulan Media Karangkraf untuk menarik lebih ramai segmen orang muda di samping golongan dewasa, penonton setia dan baharu.

Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, MQT musim terbaharu itu memfokuskan kepada usaha mempertingkatkan kualiti solat melalui bacaan al-Quran bertajwid, memahami isi bacaan kalam ALLAH itu menerusi tadabbur tahap dua, di samping memperbaiki mutu sembahyang.

Berbeza dengan siaran terdahulu yang diterbitkan dengan kerjasama TV Alhijrah sejak 2020, jelas beliau, WUIF kali ini membuka peluang kepada semua stesen televisyen dalam dan luar negara untuk menayangkan program berkenaan.

HUSSAMUDDIN

Tujuannya supaya ia menjadi solusi membina kerangka fikir dan karakter ummah berpandungan al-Quran dan as-Sunnah, ungkapnya.

Baca juga Rekod lebih 10 juta penonton, rancangan My #QuranTime bakal dibukukan tak lama lagi

“Kami sedang berunding dengan beberapa stesen TV agar program MQT yang diterbitkan WUIF dengan sebahagian hasil dana daripada sumbangan Tabung Gerakan Quran oleh orang ramai dapat membawa impak besar kepada proses membumikan al-Quran yang disasarkan pada tahun 1500 Hijrah untuk ‘MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah’.

“Insya-ALLAH dengan sinergi media untuk ummah di beberapa saluran TV, MQT bukan lagi ditayangkan secara eksklusif di saluran TV AlHijrah sahaja, tetapi ia akan menjadi langkah pendidikan jiwa dan karakter bagi banyak keluarga dan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Hussamuddin mengharapkan agar MQT yang dibina atas usaha Wakaf Konten melibatkan sumbangan individu, organisasi dan orang ramai itu boleh digunakan sepenuhnya bagi tujuan melahirkan pelbagai kajian, selain program digital dan TV untuk ummah.

“Semoga program yang dilahirkan ini agar menjadi bahan rujukan sepanjang zaman kepada orang ramai, sekolah, kelas pengajian dan organisasi.

Baca juga Al-Quran Bukan Hiasan, Sebaliknya Perlu Dibaca Dan Diamalkan

“Usaha yang lebih giat bermula dua tahun lalu ini telah menjadi pusat khazanah al-Quran di mana kajian dan program al-Quran diletakkan secara atas talian untuk rujukan semua. Malah, Wakaf Konten ini telahpun dimanfaatkan oleh siaran Quran TV di negara jiran juga, seperti Indonesia,” katanya.

My #QuranTime

Program MQT dilancarkan selepas melalui kajian konten dengan rujukan 18 kitab tafsir dan hadis al-Bukhari serta Muslim, selain proses latih tubi lebih dua bulan agar kandungan al-Quran dapat disampaikan dalam bentuk lebih mudah dan difahami.

Musim pertama menyaksikan sebanyak 838 episod ditayangkan dengan merekodkan sebanyak 85 juta tontonan di skrin melibatkan lebih 150,000 sahabah al-Quran di dalam dan luar negara.

MQT 2.0 masih mengekalkan peneraju, Ustaz Fazrul Ismail selaku pentadabbur dan Ustaz Ahmad Tirmizi Ali serta Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman sebagai qari. Slot ulangkaji pula akan diisi oleh pentadabbur dan qari jemputan.

Berita, Berita Semasa,

Rekod lebih 10 juta penonton, rancangan My #QuranTime bakal dibukukan tak lama lagi

RANCANGAN My #QuranTime mencetuskan fenomena apabila merekodkan lebih 10 juta penonton sejak mula bersiaran pada 8 Jun lalu.

Program berinteraksi dengan al-Quran yang disiarkan di TV Alhijrah itu menarik perhatian ramai dengan pengisian bacaan dan tadabbur kalam ALLAH.

Atas sambutan yang memberangsangkan itu, pengisian progam My #QuranTime bakal diterbitkan dalam bentuk buku iaitu Nota My #QuranTime dan Khazanah 114.

Bagi merealisasikan perkara itu, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Karya Bestari dan para Panel Pemikir My #QuranTime berkampung selama tiga hari bermula 11 Julai lalu pada Program Bengkel Khazanah 114 yang diadakan di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, inisiatif membukukan bahan My #QuranTime ini selari dengan visi mengQurankan bangsa, mengikhlaskan ummah.

“Buku tersebut diharapkan menjadi kitab khazanah yang memberi solusi masalah kehidupan individu, keluarga dan organisasi dengan berpandukan al-Quran dan hadis,” katanya pada program berkenaan baru-baru ini.

My #QuranTime

HUSSAMUDDIN (duduk, tengah) bersama barisan Panel Pemikir, Karya Bestari dan WUIF bergambar kenangan ketika Program Bengkel Khazanah 114 di Kelana Jaya, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf; Qari My #QuranTime, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.

Tambah Hussamuddin, WUIF menjadi platform menyatukan ummah dengan al-Quran. Beliau turut mengajak orang ramai yang ikhlas membantu ummah dengan solusi al-Quran agar turut bersama WUIF.

Selain itu, beliau berharap lebih ramai asatizah dapat bergabung bersama WUIF sebagai pusat kecemerlangan untuk mengkaji al-Quran dan menyebarkan mesej ALLAH dalam bahasa yang mudah difahami orang awam.

“Dengan penggunaan media digital, ilmu al-Quran ini dapat disebarkan dengan lebih meluas kepada pelbagai bangsa dan terus sampai ke hati,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, pihaknya menyambut baik usaha untuk menerbitkan buku hasil pengisian My #QuranTime.

“Editor dan pereka grafik Karya Bestari memberi komitmen yang tinggi terhadap penghasilan buku yang dinanti-nantikan oleh peminat My #QuranTime.

“Mereka bekerjasama yang erat dengan para Panel Pemikir yang bertanggungjawab untuk mengkaji, menyelidik dan memperhalusi isi kandungan buku tersebut yang mengandungi tadabbur al-Quran, sinopsis, tafsir dan resolusi. Diharapkan penerbitan buku Nota My #QuranTime dan Khazanah 114 dapat dimanfaatkan kepada generasi akan datang dalam mengukuhkan kefahaman al-Quran,” katanya.

Kepada mereka yang berminat, Nota My #QuranTime Juzuk 1 sudah mula dibuka untuk pre-order menerusi pautan Karangkraf Mall sekarang.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook My #QuranTime Official.

Penulis: Fouziah Amir