Browsing Tag

musim haji 2021

Amalan pahala setara ibadah haji
Berita Semasa,

Dunia Ternanti-Nanti Keputusan Ibadah Haji

no comment

KETIKA ini, dunia masih ternanti-nantikan keputusan kerajaan Arab Saudi yang masih belum menberikan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan ibadah haji pada tahun ini.

Keputusan itu begitu ditunggu-tunggu kerana tempoh persiapan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu di kebanyakan negara semakin ketat termasuk di Arab Saudi sendiri.

Di Iran misalnya, Ketua Organisasi Haji dan Ziarahnya, Alireza Rashidian meminta Arab Saudi menjelaskan kemampuan negara itu untuk mengendali ibadah haji berkenaan, lapor Mehr News.

Ibadah haji

NEGARA-NEGARA Islam ternanti-nantikan keputusan Arab Saudi berhubung prosedur, protokol dan SOP untuk musim haji kali ini jika dibenarkan.

Malah, Alireza juga mendakwa, negara-negara Islam masih lagi menunggu pengumuman pihak berkuasa negara berkenaan untuk menjelaskan langkah-langkah yang perlu diambil jika ibadah haji berkenaan dapat ditunaikan pada musim ini.

Apatah lagi, pada musim haji tahun lalu, hanya 1,000 jemaah sahaja dihadkan yang mana mereka terdiri daripada penduduk ekspatriat dan rakyat Arab Saudi sendiri.

Ahad lalu, Pemangku Menteri Media Arab Saudi, Dr Majid al-Qasabi menjelaskan, kerajaan akan membuat pengumuman mengenai ibadah haji musim ini dalam tempoh beberapa hari selepas membuat penilaian berdasarkan situasi semasa wabak Covid-19.

Ibadah haji

DR MAJID AL-QASABI

Kataya, pihak berkuasa Arab Saudi sentiasa mengambil maklum dengan perkembangan terkini pandemik berkenaan sebelum mengumumkan keputusan.

“Kita tidak mahu ibadah haji pada tahun ini menjadi pusat penyebaran penyakit kepada kerajaan atau dunia Islam,” katanya pada sidang media yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi dua hari lalu.

Baca juga Skeptikal Terhadap Islam Masih Berbaki

Meskipun begitu, beberapa negara seperti Indonesia dan Singapura sudah memutuskan untuk tidak menghantar jemaah haji pada tahun ini.

Selain itu, kegusaran tentang prosedur operasi standard dan protokol haji pada kali ini turut disuarakan oleh pihak berkuasa Nigeria. Pegawai di Unit Hal Ehwal Awam Suruhanjaya Haji dan Nasional Nigeria (Nahcon), Fatima Sanda Usara menyatakan, ketidakpastian yang berterusan telah menyeret para jemaah haji ke dalam andaian yang tidak menentu.

“Di sinilah kami, sekitar 40 hari menuju hari Arafah, tidak dapat memastikan arah masa depan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi akhbar Daily Trust.

Sementara itu, di Malaysia pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi bayangan untuk menghantar sejumlah bakal jemaah haji ke Tanah Suci Makkah pada musim ini.

DR ZULKIFLI

“Setakat ini, pihak Tabung Haji sudah menyenaraikan lebih 4,000 orang layak menerima vaksin Covid-19 sebagai persiapan untuk ke Tanah Suci jika dibenarkan untuk menunaikan haji kali ini.

“Apa-apapun, kerajaan dan Tabung Haji masih menunggu jawapan secara rasmi daripada pihak berkuasa Arab Saudi. Menjadi kelaziman mereka untuk menghantar surat kepada kita sebagaimana amalan biasa yang dilakukan pada setiap tahun,” katanya pada Forum Hal Ehwal Islam bertajuk Takut ALLAH atau Takut Covid-19 yang disiarkan di TV1 Khamis lalu.

Ibadah haji

SEBAHAGIAN jemaah haji pada musim lalu yang melontar jamrah mengikut protokol dan SOP yang ditetapkan.

Musim haji pada tahun ini dijangka bermula pada 17 hingga 22 Julai ini.

Pada awal bulan ini, media antarabangsa melaporkan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mungkin memberi kebenaran kepada 60,000 jemaah dari luar negara untuk musim haji kali ini.

Para jemaah terlibat diwajibkan untuk menerima vaksin Covid-19 sama ada Pfizer atau AstraZeneca dan bebas daripada penyakit kronik.

Bagi mereka yang sudah menerima satu dos vaksin Covid-19, boleh memohon untuk menunaikan haji, tetapi mesti mendapat dos kedua sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tiba ke Tanah Suci untuk menjalani Rukun Islam kelima jika persetujuan diberikan.

Foto: Arab News & Reuters