Browsing Tag

musibah banjir

misbahul-aulia-38CTbydRZXI-unsplash
Berita Semasa,

Musibah banjir tanda peringatan buat manusia

Oleh RAFIUDDIN MOHD YUSOF

SEJAK kebelakangan ini, hujan turun tidak menentu. Negara kita sedang dilanda musim tengkujuh. Beberapa buah negeri seperti Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor ditenggelami bah.

Terdapat beberapa daerah yang tidak pernah mencatatkan sejarah banjir yang teruk, turut dikejutkan dengan tragedi tanpa diduga ini.

Ya, sudah tentu malapetaka tersebut merupakan takdir dan perancangan yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT kerana DIA MAHA BERKUASA lagi MAHA BIJAKSANA.

Kehebatan ALLAH SWT itu menjadi bukti bahawa bumi dan alam semesta adalah ciptaan-NYA. Maka, DIA berhak menentukan segala-galanya.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya Tuhan kamu ALLAH yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu DIA bersemayam di atas Arasy (sifat ALLAH) DIA menutupkan malam dengan siang yang mengikutinya dengan cepat dan (diciptakan-NYA pula) matahari, bulan dan bintang-bintang, (masing-masing) tunduk kepada perintah-NYA. Ingatlah, hanya ALLAH urusan menciptakan dan memerintah. Maha suci ALLAH, Tuhan semesta alam.” (Surah al-A’raf, ayat 54)

Sesungguhnya, bencana yang sedang direntas kini memberi tamparan hebat terutama mereka yang menjadi mangsa. Keadaan bertambah menakutkan apabila virus Covid-19 masih lagi mengganas. Apabila dua musibah datang serentak, ia sememangnya menggetarkan lagi jiwa.

Dalam kalangan mangsa, ada yang kali pertama mengalaminya. Segelintirnya pula seakan alah bisa, tegal biasa kerana saban tahun menghadap ujian yang sama.

Banjir

Tidak kiralah siapa pun mereka, hanya insan yang cekal dan tabah sahaja mampu untuk mengharungi detik-detik mencemaskan berkenaan. Bukan mudah sebenarnya kerana ia melibatkan banyak kemusnahan seperti harta benda dan memang menganggu jiwa, emosi, kewangan, pekerjaan dan rutin harian.

Gara-gara banjir juga ada mangsa yang hilang tempat tinggal. Jalan yang biasa dilalui ditenggelami air sehinggakan menyebabkan jalan penghubung terputus. Pastinya yang paling menyedihkan adalah kehilangan nyawa orang tersayang akibat lemas.

Benar, hal itu merupakan satu ujian yang berat. Namun sebagai hamba ALLAH, kita perlu mengharunginya dengan penuh sabar dan tawakal. Kita wajib percaya bahawa ALLAH SWT MAHA MENGETAHUI apa yang direncanakan kepada setiap hamba-NYA.

Baca juga 6 sebab ALLAH turunkan ujian Covid-19 dan dugaan lain di dunia

Firman ALLAH SWT: “Tidak ada suatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin ALLAH dan barang siapa beriman kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan ALLAH MAHA MENGETAHUI segala sesuatu.” (Surah at-Taghabun, ayat 11)Justeru, dengan apa yang berlaku, janganlah kita sesekali menyalahkan takdir atau menuding jari mencari kesalahan orang dengan melabelkan mereka sebagai seorang yang cuai. Sebaliknya, yakin dengan qada dan qadar daripada ALLAH SWT kerana mempercayainya merupakan salah satu daripada ciri-ciri orang yang beriman.

ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah: ‘Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada (ketentuan) ALLAH jika DIA mengkehendaki bencana atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu?’ Mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung dan penolong selain ALLAH.” (Surah al-Ahzab, ayat 17)

Usah terpesong

Sesungguhnya, ALLAH SWT telah memilih siapa yang akan menerima ujian-NYA. Sesiapa yang berjaya mengharunginya, pastinya akan memperoleh ganjaran pahala kebaikan yang mampu meningkatkan ketakwaan kepada ALLAH SWT.

Apa yang pasti dan jelas, setiap apa dugaan yang diturunkan-NYA pasti mempunyai sebab-sebab tersurat dan tersirat yang perlu difikirkan oleh kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

BanjirIa sebagaimana yang dinyatakan jelas dalam kalam ALLAH: “Demi sesungguhnya! KAMI akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan. Kelaparan dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami kepunyaan ALLAH dan kepada-NYA kami kembali.’ (Surah al-Baqarah, ayat 155-156)

Sehubungan itu, sebagai hamba-NYA, banyakkanlah berdoa kepada ALLAH SWT agar bencana banjir yang masih berlaku ini membuka hati kita untuk terus beriman kepada-NYA dalam setiap inci kehidupan kita.

Jangan sesekali terpesong dengan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan-kepercayaan karut yang berkaitan dengan bencana alam kerana ia boleh memesongkan akidah kita.

Sesungguhnya, tiada Tuhan yang lebih berkuasa dalam menentukan segala-galanya selain ALLAH SWT. Pada masa sama, teruskan berdoa tanpa rasa jemu agar mereka yang ditimpa musibah dan ujian bencana alam terutamanya saudara seagama kita diberikan perlindungan yang sebaiknya.

BanjirSemoga semua yang masih hidup termasuk ahli keluarga mangsa yang menerima ujian itu diberikan kekuatan dan kecekalan hati dalam meneruskan perjalanan hidup yang lebih baik pada masa akan datang.

Tiada siapa yang mahukan perkara sedemikian menimpa dirinya, tetapi inilah perancangan daripada ALLAH SWT yang tiada tolok bandingnya.

Akhir kalam, hayati dan fahami firman ALLAH SWT ini: “Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Luh Mahfuz) sebelum KAMI mewujudkannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi ALLAH.” (Surah al-Hadid, ayat 22)

***Rafiuddin Mohd Yusof ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor

Foto: Bernama & Unsplash