Browsing Tag

murtad

Ingkar tunaikan zakat
Isu,

Jatuh Murtad Jika Ingkar Tunaikan Zakat? Ini Penjelasannya

BERCERITA tentang bab zakat, ramai masih menyangka ia hanya melibatkan pembayaran zakat fitrah yang dibayar pada bulan Ramadan semata-mata.

Sedangkan hakikatnya, terdapat zakat lain yang perlu ditunaikan iaitu zakat harta. Ia merangkumi zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, emas, perak dan banyak lagi.

Baca juga Sudah Hujung Tahun, Jangan Lupa Tunaikan Zakat Harta

Sesungguhnya, kewajiban berzakat merupakan satu kefarduan daripada ALLAH SWT yang wajib ditunaikan mengikut syarat-syarat yang digariskan dalam Islam.

Pendakwah Mohd Erfino Johari menegaskan, jumhur ulama bersepakat andai sesiapa mengingkari Rukun Islam keempat itu, hukumnya dikategorikan sebagai kafir dan murtad.

MOHD ERFINO

”Begitupun, bagi orang Islam yang tidak menunaikan zakat, tetapi meyakini dan percaya dengan kewajipan serta kefarduan zakat, maka mereka digolongkan oleh para ulama sebagai kelompok yang fasik.

“Ketahuilah, golongan itu berada di dalam kategori dosa besar. Mohonlah agar diri kita dijauhkankan daripada kumpulan ini. Ini kerana orang yang berdosa besar akan dicampakkan ke dalam api neraka,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video Kapsul Imarah Masjid Selangor bertajuk Zakat Menjauhkan Azab yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook Jabatan Agama Islam Selangor baru-baru ini.

Ujar agamawan itu, perihal berkenaan azab bagi mereka yang memungkiri zakat itu ada dinyatakan di dalam al-Quran al-Karim.

Firman ALLAH SWT: “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan ALLAH, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.” (Surah at-Taubah, ayat 34-35)

Berdasarkan dalil tersebut, ujar Mohd Erfino, bait suci kalam ALLAH yang menjelaskan pernyataan tentang perkhabaran itu sebenarnya berbentuk sindiran pedas dan tajam serta sinikal kepada golongan yang mengingkari zakat.

“Khabar yang dimaksudkan bukanlah berita gembira dan menyeronokkan, tetapi ia adalah azab yang pedih.

Ingkar tunaikan zakat

ZAKAT merupakan Rukun Islam keempat yang difardukan ke atas setiap umat Islam.

“ALLAH SWT menyatakan dalam kalam-NYA bahawa kelompok yang tidak menunaikan ibadah fardu berkenaan akan diselar dengan emas dan perak kepunyaannya itu. Harta benda tersebut akan lebur dibakar sebelum diselar pada dahi, bahagian rusuk dan belakang badan mereka,” terangnya.

Justeru, beliau menitipkan pesan agar semua umat Islam tidak melupakan tanggungjawab masing-masing dalam perihal menunaikan zakat.

Ingatlah, zakat merupakan antara hak ALLAH SWT yang tidak boleh digugurkan begitu sahaja.

Foto: Bernama

Daging khinzir
Isu,

Sengaja Makan Daging Khinzir Boleh Jatuh Murtad? Berikut perinciannya

ACAP kali kita mendengar orang di sekeliling menyatakan bahawa individu yang memakan daging khinzir akan jatuh murtad. Lebih-lebih lagi jika mereka tanpa segan silu memakannya walaupun tahu ia sama sekali ditegah oleh agama Islam.

Masakan tidak, ‘hukum’ sebegitu timbul kerana anjing dan babi termasuk dalam kategori najis mughallazah iaitu najis berat.

Sedangkan menyentuhnya sahaja sudah dilarang keras, inikan pula menjamah dagingnya secara terang-terangan.

Namun begitu, benarkah individu Muslim yang memakannya dengan sengaja akan jatuh murtad?

Menerusi artikel terbaharu dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum memakan daging babi jelas diharamkan sebagaimana disebutkan dalam nas.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya ALLAH hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana ALLAH, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya ALLAH MAHA PENGAMPUN, lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah al-Baqarah, ayat 173)

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi dalam Tafsir al-Kabir, ALLAH SWT mengharamkan daging khinzir dan keseluruhan bahagian daging-dagingnya. Bukanlah perkataan ‘daging’ itu bermaksud dagingnya sahaja yang haram dimakan, manakala bahagian lain dibenarkan. ‘Daging’ disebut di sini adalah kerana uruf (kebiasaan) mengetahui daging itu dimakan oleh seluruh manusia.

Daging khinzir

PILIHLAH makanan yang terjamin dari segi halalnya.

Dalam ayat yang lain, ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari ALLAH.” Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu MAHA PENGAMPUN, lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah al-An’am, ayat 145)

Baca juga Omar Ibn Said: Kisah Hamba-Cendekiawan Islam Yang “Dimurtadkan”

Berdasarkan kalamullah itu dan perbahasan para alim ulama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, memakan babi dengan sengaja sebenarnya tergolong dalam perkara dosa-dosa besar yang tertakluk di bawah hukum-hakam syariah, bukannya di dalam usul akidah.

“Justeru, pelaku kepada perbuatan memakan daging babi dengan sengaja adalah fasik yang berdosa besar.

“Malah, al-Maqdisi dalam kitabnya mengatakan bahawa tidak jatuh murtad memakan daging khinzir dalam keadaan ketakutan atau dipaksa (demi menjaga nyawa dan keselamatan) mahupun dalam keadaan sedar dan selagi tidak beriktikad akan halalnya daging khinzir tersebut.

“Begitupun, kita tidak boleh menghukum seseorang yang melakukan dosa besar itu sebagai kafir. Ini kerana menurut Syeikh Nuh al-Qudah dalam Jauharah al-Tauhid, dosa besar itu boleh diampunkan oleh ALLAH SWT, tetapi tidak untuk dosa kufur atau syirik,” jelasnya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1848: Adakah Jatuh Murtad Jika Makan Daging Babi Dengan Sengaja yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada hari ini.

Daging khinzir

JAUHI memakan makanan yang tidak diketahui status halal dan haramnya kerana ia mendatangkan natijah yang buruk kepada diri.

Meskipun pelakunya tidak jatuh murtad, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan, seandainya seseorang itu sudah sampai tahap mengatakan bahawa daging khinzir itu halal atau secara terang-terangan dalam ucapannya menghalalkan apa yang haram, maka ketika itu barulah mereka boleh dikategorikan sebagai jatuh murtad.

Justeru, berhati-hatilah dengan setiap tindak-tanduk kita. Apatah lagi dalam perkara berkaitan makanan kerana ia akan menjadi darah daging kita.

Usahlah mencemarkan diri dengan perkara kotor yang boleh menjebakkan kita ke lembah kebinasaan.

Foto: Freepik & Pexels