Browsing Tag

Murah rezeki

Balik haji
Gaya Hidup,

Amalan Yang Boleh Dilakukan Agar Murah Rezeki

no comment

PERKARA berkaitan rezeki antara hal yang sering menjadi kebimbangan terbesar oleh kebanyakan daripada kita.

Ya, memang ramai yang meyakini rezeki itu datang daripada ALLAH SWT, tetapi ungkapan itu hanya terzahir pada bibir sahaja. Sementelah, hati pula begitu galau apabila memikirkannya.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan semua orang perlu duduk di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan 3.0. Ramai yang terjejas dari segi pendapatan bagi mereka yang bekerja sendiri.

Begitu juga halnya kepada mereka yang bekerja dengan sektor swasta. Ada yang terpaksa menerima pengurangan gaji, malah tiada elaun tambahan dan seumpamanya. Demikianlah hakikat kehidupan yang perlu ditelan biarpun pahit.

Firman ALLAH SWT: “Dan sesungguhnya KAMI pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan kerana kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas ujian itu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Baca juga Hajar Aswad tidak kelihatan Hitam dari Dekat

Semua itu hanyalah bentuk ujian yang perlu direntas selagi mana kita masih bergelar hamba kepada Sang Pencipta.

Ketahuilah bahawa rezeki bukan sekadar dalam bentuk wang ataupun harta sahaja. Konteks sebenarnya lebih meluas daripada tanggapan segelintir orang yang memusatkan kepada dua perkara itu sahaja.

Menurut pendakwah Asma’ Harun, rezeki boleh sahaja datang dalam bentuk tubuh badan yang sihat atau masa lapang dan jiwa yang tenang.

ASMA’

“Selain itu, mempunyai pasangan hidup yang baik dan bertanggungjawab, anak-anak yang soleh dan solehah serta mempunyai sahabat yang baik juga antara satu bentuk rezeki kurniaan-NYA,” katanya sebagaimana yang dikongsikan oleh beliau menerusi hantaran di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Barangkali kita tidak melihatnya sebagai rezeki, tetapi itulah antara kurniaan terbesar yang ALLAH SWT berikan kepada kita dan perlu dihargai dengan memanjatkan rasa syukur atas nikmat-NYA.

Dalam pada itu, Asma’ turut berkongsikan lima amalan murah rezeki sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis:

1. Sentiasa memohon keampunan daripada ALLAH SWT.

Murah rezeki

MOHONLAH keampunan daripada ALLAH SWT atas segala kesalahan dan dosa yang pernah dilakukan.

Firman ALLAH SWT: “Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya DIA adalah MAHA PENGAMPUN. Nescaya DIA akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Surah Nuh, ayat 10-12)

2. Banyakkan sedekah.

Murah rezeki

SEDEKAH antara satu cara untuk meraih rezeki.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta seseorang, bahkan ALLAH akan menambahkan kemuliaan bagi orang yang memberi kemaafan. Begitu juga ALLAH akan mengangkat kedudukan seorang yang bersifat tawaduk.” (Riwayat Muslim)

3. Sentiasa bersyukur atas nikmat pemberian ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-KU), maka sesungguhnya azab-KU sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

4. Sentiasa membantu dan memudahkan urusan orang lain.

Murah rezeki

BANTULAH orang yang memerlukan dan mudahkanlah urusan orang lain agar perbuatan tadi menjadi asbab ALLAH SWT membantu kita.

Jika dilihat pada mata kasar, perkara itu kelihatan remeh. Namun, ternyata ia bukan omongan kosong apabila Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menghilangkan kesedihan daripada kesedihan (masalah) dunia seorang mukmin, maka ALLAH akan menghapuskan daripadanya kesedihan dari kesedihan di hari kiamat. Barang siapa yang meringankan keperluan orang yang memerlukan (berhutang), maka ALLAH akan meringankan keperluannya di dunia dan akhirat. Barang siapa yang melindungi (menyembunyikan aib) seorang Muslim, maka ALLAH akan melindungi (aibnya) di dunia dan akhirat. ALLAH akan membantu hamba-NYA sebagaimana hamba-NYA membantu saudaranya.” (Riwayat Muslim)

5. Mengeratkan silaturahim.

Murah rezeki

ERATKAN hubungan silaturahim sesama ahli keluarga agar rezeki kita dilapangkan oleh-NYA.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan ditangguhkan ajalnya (dipanjangkan umurnya), hendaklah ia bersilaturahim.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Untuk mendapatkan rezeki yang baik, Asma’ turut menitipkan pesan agar kita sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT.

Antara doa yang dianjurkan, ia berbunyi: Allahumma inni as aluka ilman nafi’a, wa rizqan tayyiba, wa ‘amalan mutaqabbala (Ya ALLAH, aku memohon kepada-MU ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima).

Justeru, yakinlah bahawa ALLAH SWT telah menetapkan dan menjamin rezeki buat semua hamba-NYA. Bertakwalah kepada ALLAH andai kita ditimpa kesusahan. Semoga DIA memberikan kita jalan keluar daripada kesusahan dan mengurniakan rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.

Foto: Freepik & 123rf

Berita Semasa,

Sebelum lelapkan mata, bacalah doa ini untuk limpahan rezeki tanpa diduga

TIADA siapa pun yang mahu hidup susah. Dalam hidup, kita perlulah serahkan segalanya kepada Allah SWT yang Maha Pemberi Rezeki.

Kita hanya perlu usaha, doa, tawakal dan paling penting yakin dengan Allah.

Mari kita sama-sama hadam perkongsian daripada mohdherman ini sebagai panduan untuk memohon Allah melimpahi rezeki yang banyak dan tidak diduga kepada kita.

Sebelum lelapkan mata, bacalah doa ini untuk limpahan rezeki tanpa diduga

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hambaNya dengan keluasan rezeki dan
rasa kaya dengan pemberianNya.

Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hambaNya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.

Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hambaNya, seperti firmanNya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu.

Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak
menutup kefakiranmu. (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu
Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hambaNya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.

Sabda Nabi SAW: “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan
segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah
yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: “dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah

Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman.

Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5.Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.

Baginda SAW juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,al- Asybahani dan al-Hakim) Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.

Sabda Nabi s.a.w.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi SAW : “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.

Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

Baca juga Rasulullah SAW sentiasa berada di tempat terunggul, tiada sesiapa pun yang dapat menandingi baginda

11 . Menjalin silaturrahim

Nabi SAW bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya
maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari).

12. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa
perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda SAW bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi SAW
bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya.

Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan
baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad- Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi
sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah

15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti
harian), juga mempunyai rahsia tersendiri.

Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7). Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan
melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dariNya.

Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintaiNya dan yang tidak dicintaiNya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintaiNya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim).

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas.

Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. FirmanNya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3) Nabi SAW bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3).

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam erti kata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa.

Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hambaNya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberianNya.

Sumber: mohdherman