Browsing Tag

Muhammad Adib Iskandar

Cacat penglihatan
Berita Semasa,

Cacat penglihatan, tapi celik al-Quran. Kisah adik Muhammad Adib Iskandar wajar jadi inspirasi buat kita

Cacat penglihatan, tapi celik al-Quran. Kisah adik Muhammad Adib Iskandar wajar jadi inspirasi buat kita

MENDENGARKAN seorang qari mengalunkan bait-bait ayat suci al-Quran sudah cukup membuatkan sanubari bergetar. Apatah lagi bacaan itu cukup benar ‘sifatnya’.

Alangkah terkejutnya apabila mendapati suara yang cukup sempurna pada halwa telinga penulis tadi rupa-rupanya milik seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) penglihatan.

Itu yang dirasakan ketika membuat liputan pada Majlis KL Gema Al-Quran Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023, anjuran Jabatan, anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berlangsung di ibu kota bulan lalu.

Kemerduan suaranya membuatkan penulis tertarik untuk mendekatinya. Ternyata remaja lelaki yang bernama Muhammad Adib Iskandar Mohd Zamrie, 16, tidak lokek berkongsikan kisah perihal dirinya.

Cacat penglihatan

MUHAMMAD ADIB ISKANDAR (kanan) ketika memperdengarkan bacaan al-Quran pada Majlis KL Gema Al-Quran Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023 di ibu negara.

Cerita Muhammad Adib Iskandar, bakatnya bertaranum mula dikesan oleh gurunya ketika masih berada di bangku sekolah rendah.

Baca juga Terpaut dengan alunan merdu al-Quran di Masjid Negara, dua pelancong Jepun peluk Islam

“Ketika berada dalam Tahun 3, saya menyertai pertandingan hafazan di sekolah kebangsaan dan tilawah di sekolah agama di Johor. Sejak itu bermulanya dunia saya dalam bertaranum.

“Cikgu ajar saya bertaranum menggunakan kaset. Saya dengar dan teliti dengan baik serta cuba hadamkan dalam kepala. Kemudian, saya ‘salin’ semula lagu yang saya dengar dengan melontarkannya semula,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Beliau yang ketika itu menjadi tetamu jemputan untuk mempersembahkan bacaan ayat suci al-Quran pada majlis tersebut hadir ditemani oleh guru pengiringnya, Ustaz Che Muhammad Amin Che Soh

Akui pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur itu, proses tersebut bukan mudah. Malah, ia berlanjutan sehinggalah beliau berada dalam Tahun 6.

Cacat penglihatan

MUHAMMAD ADIB ISKANDAR (kiri) bersama guru pengiringnya, Ustaz Che Muhammad Amin (kanan) bergambar kenangan bersama penganjur program.

“Daripada sekadar mendengar bacaan yang dimainkan, saya mula didedahkan dengan jenis-jenis taranum tersebut dan bagaimana rentaknya,” katanya yang mendapat pendidikan awal di Johor, sebelum melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur sejak Tingkatan 2, dua tahun lalu.

Pertanyaan demi pertanyaan akhirnya membongkar bahawa Muhammad Adib Iskandar sebenarnya pernah dinobatkan sebagai pemenang dalam beberapa pertandingan tilawah al-Quran peringkat sekolah dan negeri.

Baca juga Tubuh Akademi Bimbingan Taranum Al-Quran, langkah lahirkan ramai qari, qariah dan pendakwah

Antara pencapaian terbesarnya adalah johan Pertandingan e-Mahabbah (MTQ) tilawah al-Quran sebanyak tiga kali iaitu masing-masing dua kali di peringkat Wilayah Persekutuan dan satu lagi di Johor.

Selepas berhijrah ke ibu kota, anak bongsu daripada tiga beradik itu meneruskan minatnya dan kecintaannya terhadap ilmu taranum itu.

Beliau sempat belajar dengan seorang ustaz di sekolah tempat belajarnya sekarang sebelum guru itu berpindah.

Cacat penglihatan sejak usia 1 tahun

Sulit untuk bertanyakan soalan yang satu ini. Namun, seakan faham, Muhammad Adib Iskandar menyatakan dirinya cacat penglihatan sejak usianya 1 tahun.

Cacat penglihatan

MESKIPUN mengalami masalah cacat penglihatan, namun usaha Muhammad Adib Iskandar yang bersungguh-sungguh mempelajari kalamullah bukan sekadar untuk celik al-Quran sewajarnya menjadi contoh buat kita.

“Saya dilahirkan normal, tetapi semasa umur setahun, saya kena kanser mata dan tidak lagi dapat melihat,” ungkapnya.

Begitupun, kekurangan itu tidak menghalangnya untuk tetap mempelajari kalam ALLAH dan celik al-Quran yang menjadi mukzijat teragung kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Bapa dan ibunya, Mohd Zamrie Ibrahim serta Anggraini Perwitasari Sudarso menghantar Muhammad Adib Iskandar untuk belajar al-Quran braille pada usianya 6 tahun.

Beliau buat pertama kalinya khatam pada usianya 11 tahun.

Baca juga Gunakan cara ini untuk jadikan anak seronok mengaji di rumah

Kepada satu soalan, anak muda itu menjawab: “Saya suka bertaranum apabila mendengar kesedapan suara imam membaca al-Quran tatkala menunaikan solat.

“Saya rasa seronok dan mula meniru gaya bacaan mereka. Lama-kelamaan ia mendorong saya untuk memasuki pertandingan hafazan dan tilawah ketika di sekolah rendah dulu.

“Alhamdulillah, ibu bapa memberikan sokongan penuh sehingga sanggup memindahkan saya ke ibu kota untuk belajar kerana faktor kemudahan.”

Sebelum mengakhiri butir bicaranya, remaja berhati waja itu sempat menitipkan pesan supaya sesiapa yang meminati bidang taranum agar tidak ‘menyimpannya’ dalam diri atau ‘malu-malu’ mengetengahkan anugerah yang dikurniakan ALLAH SWT.

Cacat penglihatan

MUHAMMAD ADIB ISKANDAR (tiga, kanan) menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merangkap Ahli MAIWP, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir pada majlis KL Gema Al-Quran Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023 bulan lalu.

“Kalau rasa boleh ketengahkan, tidak salah untuk kita mencuba. Belajarlah, mungkin boleh menggunakan platform YouTube dan belajar dari situ.

“Jika rasa mampu, teruskanlah perjuangan. Jangan malu lebih-lebih lagi kalau ada cikgu bertanya ‘siapa pandai taranum’. Usah mendiamkan diri, nanti orang lain tidak tahu bakat dan kemampuan kita,” titipnya.