Browsing Tag

mufti wilayah persekutuan

Hukum jadikan tanduk lembu sebagai perhiasan
Gaya Hidup, Hukum,

Hobi kumpul tanduk haiwan sembelihan, apa kata Islam?

Hobi kumpul tanduk haiwan sembelihan, apa kata Islam?

AIDILADHA telah melabuhkan tirainya pada minggu lalu, sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail kerana ketaatannya terhadap ALLAH SWT.

Bahkan, Islam menuntut umatnya mengerjakan ibadat sembelih ke atas haiwan sembelihan bagi menghalalkan daging dan anggota binatang tersebut untuk dimakan, selain mempunyai manfaat lain.

Firman ALLAH SWT “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak di sembelih, dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan bintang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari ALLAH dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya)”. (Surah Al-Maidah ayat 3)

Baca Juga Ratah seafood dan daging mentah, halal ke?

Namun terdapat segelintir pihak yang berminat untuk menyimpan beberapa anggota badan haiwan yang disembelihnya, seperti kulit, bulu, lebihan tulang atau tanduk binatang berkenaan sebagai perhiasan tidak kira di rumah atau premis lain.

Merujuk artikel Mufti Wilayah Persekutuan, majoriti ulama feqah menyatakan mana-mana haiwan yang halal dimakan dagingnya di sisi syarak dan melalui proses sembelihan mengikut syarak adalah halal dan suci anggotanya.

AL-KAFI #1777: HUKUM MENYIMPAN LEBIHAN TULANG ATAU TANDUK HAIWAN SEMBELIHAN SEBAGAI PERHIASAN

Ia berdasarkan firman ALLAH “Dan (Ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.” (Surah an-Nahl ayat 80)

Tidak cukup dengan itu, Sheikh khatib al Shirbini menjelaskan mafhum ayat tersebut di dalam karya beliau, maksudnya: “Ia digunakan (kulit binatang) setelah diambil selepas daripada sembelihan”

Artikel Berkaitan 

Bagaimanapun, jika tulang atau tanduk haiwan yang halal dimakan dan diambil ketika ia masih hidup, hukumnya adalah tidak suci kerana ia dianggap sebagai bangkai.

Sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Waqid al Laithi yang bermaksud “Apa yang dipotong daripada haiwan dan hidup maka ia adalah bangkai” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Di dalam artikel Al-Kafi #1777: Hukum Menyimpan Lebihan Tulang Atau Tanduk Haiwan Sembelihan Sebagai Perhiasan itu juga turut mengulas tentang kenyataan Imam Nawawi berkenaan penggunaan tulang gajah:

HAIWAN yang haram dimakan selain daripada anjing dan babi hukumnya adalah makruh. -Foto: Canva

Maksudnya: “Telah berkata ulama kami (ulama-ulama mazhab syafie): Makruh menggunakannya (gading gajah) pada sesuatu yang kering kerana bersentuhan dengan najis dan tidaklah haram kerana sesuatu yang kering itu tidak akan ternajis dengan sebabnya. Kalau seorang membuat sikat rambut dengan tulang gajah dan menggunakan pada kepalanya atau janggutnya maka jika basah salah satu dari keduanya nescaya ternajislah rambutnya dan jika tidak basah salah satunya maka tidaklah ternajis akan tetapi hukumnya adalah makruh dan tidaklah haram”.

Baca Juga Termakan daging babi tanpa sengaja, apa perlu dibuat?

Mufti menyimpulkan bahawa tulang atau tanduk haiwan yang disembelih adalah suci dan halal untuk dijadikan perhiasan sekiranya haiwan tersebut adalah haiwan yang halal dimakan dagingnya disisi syarak.

“Bagi haiwan yang diambil tanduknya ketika hidup adalah tidak suci dan najis hukumya kerana ia dikategorikan sebagai bangkai.

“Haiwan yang haram dimakan selain daripada anjing dan babi hukumnya adalah makruh untuk mengambil dan menyimpan tulangnya sebagai perhiasan,” jelas Mufti di laman berkenaan.

haram jirus air mawar atas kubur
Hukum,

Haram menjirus air mawar atas kubur selain untuk sebab-sebab ini.

BAGI masyarakat Islam di Malaysia, ada beberapa perkara yang dikira adat ketika melawat tanah perkuburan. Jika tidak dilaksanakan, rasanya tidak lengkap ziarah yang dilakukan itu. Contohnya, perbuatan menjirus air mawar atas kubur.

Dalam Islam, kita digalakkan menziarahi pusara mereka yang telah tiada sebagai peringatan betapa singkatnya hidup kita di dunia. Tiada yang lebih berkuasa daripada ALLAH al-Baqi.

Setiap yang bernyawa pasti akan kembali ke sisi Pencipta-nya suatu hari nanti.

Baca juga Air Kencing Yang Menyumbang Azab Kubur, Berikut Penjelasannya

Perihal menjirus air mawar atas kubur, hakikatnya ramai yang mengamalkan hanya kerana mereka diajar untuk melakukan sedemikian tanpa mengetahui sebab dan hukum di sebaliknya.

haram jirus air mawar atas kubur

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Penjelasan yang diberikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri adalah sememangnya yang wajib itu adalah jenazah dikebumikan tanpa menjirus sebarang air.

Namun ramai ulama Syafie berpendapat hukumnya harus bagi menjiruskan air ke atas kubur.

Bahkan ada pendapat menyatakan sunat berdasarkan riwayat yang menunjukkan Rasulullah SAW menyiram air ke atas kubur anakandanya Ibrahim.

Begitupun, penggunaan air mawar dianggap sebagai makruh atas sebab suatu pembaziran dan mensia-siakan harta.

haram jirus air mawar

TIDAK wujud amalan menjirus air mawar ke tanah pusara dalam Islam, kerana perbuatan itu dilihat sebagai suatu pembaziran.

Hujah ini diteruskan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang menerangkan bahawa hukum jirus air atas kubur adalah harus bagi kebanyakan ulama asalkan ia dilakukan dengan tujuan berikut:

1. Supaya tanahnya kemas bagi kubur baru (jenazah baru ditanam)
2. Menghidupkan pokok-pokok dan bunga yang hidup di atas kubur tersebut
3. Supaya tanah tidak berdebu

Sebaliknya, jika ada individu yang percaya bahawa jirusan yang dilakukan dapat menyejukkan jenazah atau sebagainya, itu dikira perbuatan khurafat.

Baca juga 5 adab ziarah kubur yang perlu anda ketahui

Pesan Azhar, perkara ini penting untuk kita ambil tahu.

“Ramai orang jirus kubur tetapi dia tidak tahu sebab mengapa jirus (itu dilakukan). (Dia) jirus hanya kerana mak suruh,” katanya.

Sungguhpun kita dibolehkan menjirus air ke atas kubur, namun sebaik-baik amalan ketika menziarahi pusara adalah dengan mendoakan si mati.

haram jirus air mawar atas kubur

UTAMAKAN doa kepada si mati dahulu apabila melawat tanah pusara.

Jelas beliau, sebaik tiba di kubur, ucapkan salam kepada si mati dahulu. Kemudian, bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kita sebelum doa minta kebaikan buat arwah.

Semoga perkongsian menjadi peringatan setiap kali kita pergi menziarahi pusara insan tercinta dan sentiasalah mendoakan supaya si mati dijauhkan daripada azab kubur.

Foto: Iluminasi & Pexels

R7eXptye
Uncategorized,

H- Perbuatan Menghina Orang Kurang Upaya Juga Akan Diazab

no comment

SERANGAN siber atau buli dengan menghina fizikal seseorang dengan kata-kata kesat khususnya kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga tidak akan terlepas dihitung ALLAH di hari akhirat kelak.

Twitter Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Ia teguran yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi akaun Twitternya yang menyebut, seorang Muslim tidak sepatutnya menyakiti Orang Kurang Upaya (OKU).

Kenyataan itu ditujukan kepada umum rentetan isu atlet lontar peluru F20 negara, Muhammad Ziyad Zolkefli selepas kemenangannya dibatalkan pada balingan sejauh 17.94 meter sekali gus memecahkan rekod dunia pada temasya Paralimpik Tokyo yang berlangsung pada Selasa lalu.

Keputusan awal tidak rasmi.

Maksym Koval memenangi Emas pada acara Lontar Peluru Kategori F20 di Sukan Paralimpik Tokyo

Pembatalan itu sekali gus menjadikan peserta Ukraine, Maksym Koval yang berada di tempat kedua sebelum ini meraih emas dengan catatan rekod dunia 17.34 meter.

Hal itu telah membangkitkan rasa marah netizen negara ini sehingga menyerang akaun media sosial peribadi atlet tersebut dengan melemparkan kata-kata kesat termasuklah menghina keadaan fizikalnya.

Menurut hantaran Twitter Pejabat Mufti itu lagi, orang Islam sepatutnya menjadikan sabda Rasulullah SAW sebagai pedoman di mana kita hendaklah membantu golongan OKU daripada segi emosi dan fizikal agar mereka boleh menjalani kehidupan selesa seperti orang lain.

“Islam merupakan agama yang mengajar penganutnya agar menjaga akhlak dan tingkah laku yang baik. Tidak sepatutnya bagi seorang Muslim itu berkelakuan kurang sopan apatah lagi menyakiti OKU.

Sabda Rasulullah SAW: ملعون من كمه أعمى عن الطريق
Bermaksud: “Adalah dilaknat orang yang memesongkan orang buta daripada jalan laluannya”.

Al-San’ani menyatakan hadis itu sebagai pedoman buat umat Islam supaya membantu OKU daripada segi emosi dan fizikal agar mereka boleh menjalani kehidupan seperti orang lain.

Menurutnya, netizen tidak sepatutnya menghamburkan kata-kata kesat walaupun berasa kecewa dan marah. Netizen turut diingatkan bahawa setiap perbuatan dan tulisan akan dihisab Allah SWT.

Serangan siber daripada netizen Malaysia yang menggunakan perkataan kurang sopan termasuk menghina kekurangan atlet paralimpik tersebut secara tidak langsung telah memalukan nama agama Islam, bangsa dan negara yang sebelum ini dipandang mulia.

Pejabat Mufti turut menasihati netizen yang menyakiti orang kurang upaya supaya menjaga akhlak dan tingkah laku daripada perkara keji.