Browsing Tag

muezza

Kucing
Gaya Hidup,

Kucing bukan haiwan kesayangan Nabi SAW? Ini sebabnya

SIAPA sahaja yang tidak geli hati melihat telatah kucing yang comel dan adakalanya aneh seperti sering ditularkan di media sosial.

Membela haiwan peliharaan memang mendatangkan kegembiraan kepada pencintanya. Bukan sahaja kucing, malah membelai sang burung, hamster, sugar glider, mahu pun ikan memang menyeronokkan.

Hukum memelihara haiwan belaan adalah harus. Justeru, jagalah ia dengan baik kerana sesiapa yang menganiaya binatang, tiada tempat lain baginya melainkan neraka.

Bercerita tentang kucing, si bulus itu juga mendapat tempat di hati masyarakat apabila ia dikatakan sebagai haiwan kesayangan Rasulullah SAW. Baginda dikhabarkan pernah membela seekor kucing yang dinamakan Muezza.

Baca juga Ini 7 makanan kegemaran Rasulullah SAW kita amalkan tanpa sedar

haiwan

HAKIKATNYA, kisah-kisah masyhur yang ada tentang Rasulullah SAW bersama kucing tidak ada sumber sahih. Foto: Pexels

Turut disyorkan Kisah Qitmir, si anjing peneman pemuda-pemuda hebat Ashabul Kahfi

Kucing bukan haiwan kesayangan baginda SAW?

Pun begitu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan pihaknya tidak menemui walau satu riwayat yang menyebutkan bahawa baginda memiliki dan membela seekor kucing bernama Muezza dalam kitab-kitab hadis muktabar.

Bahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ataupun lebih dikenali sebagai Dr MAZA berkata, kucing bukanlah haiwan kesayangan Rasulullah SAW memandangkan tiada hadis yang menceritakan tentang perkara itu.

Tambahnya, Nabi SAW menyayangi semua haiwan. Tetapi, kisah adanya kucing belaan baginda adalah tidak benar meskipun ia masyhur diceritakan.

Sebaliknya, yang ada adalah kisah sahabat Nabi SAW, Abu Hurairah RA menceritakan tentang dirinya suka bermain dengan kucing.

USAH memandang ringan terhadap tanggungjawab memelihara kucing kerana dianggap suatu penganiayaan jika ia tidak dilakukan dengan baik. Foto: Reddit/ANIQ-ZAHOOR

Kisah Nabi SAW gunting kain rida’ atau serban supaya kucing tak terjaga

Satu lagi kisah Rasulullah SAW bersama kucing yang agak terkenal adalah cerita baginda menggunting sebahagian rida’ (selendang) atau serbannya gara-gara tidak mahu mengejutkan kucing yang sedang tidur di atas kain itu.

Sekali lagi, pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan peristiwa tersebut tidak pernah disebutkan dalam mana-mana kitab hadis terkenal.

Walau bagaimanapun, ada satu kisah yang lebih kurang sama pernah diceritakan terjadi pada seorang ulama.

AGAMA mengajar kita untuk berbuat ihsan terhadap semua haiwan, sama ada ia boleh dimakan atau tidak. Foto: Unsplash

Imam Al-Zahabi dalam karyanya Siyar A’lam al-Nubala’ pernah menulis tentang kejadian Syeikh Al-Rifa’i Abu Al-Abbas Ahmad yang menggunting lengan bajunya agar tidak mengganggu seekor kucing yang tidur di atasnya.

Meskipun kedua-dua kisah mengenai Rasulullah SAW bersama kucing tersebut tidak sahih, apa yang pasti umat Islam diwajibkan berbuat baik kepada haiwan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Reddit, Pexels & Unsplash