Browsing Tag

Momentum ibadah

Ibadah dilakukan diterima
Isu,

Tingkatkan momentum ibadah pada minggu kedua Ramadan, paling penting istiqamah buat kebaikan

Oleh MUHD AZMAN MOHD NAWI

ISTIQAMAH bermakna teguh dan konsisten di atas satu-satu perkara atau bermaksud sentiasa berada di dalam ketaatan kepada ALLAH SWT. Ia adalah kalimah yang mudah disebut namun sukar dilaksanakan.

Bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda: “Telah putih beruban rambutku disebabkan surah Hud”, Imam Qurtubi mentafsirkan kata-kata Rasulullah ini menggambarkan perasaan berat baginda dengan satu ayat yang diturunkan dalam surah Hud, ayat 112:

“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa Istiqamah di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu…”

Jadi tidak hairanlah jika ada antara kita yang gagal berpuasa sunat walaupun cuma enam hari di bulan Syawal ataupun gagal untuk khatam al-Quran walaupun sekali sepanjang Ramadan.

Sedangkan ibadah puasa dan tilawah mungkin sangat mudah sepanjang Ramadan. Hal ini memang perlu kita khuatiri kerana sebahagian ulama menyatakan antara syarat dan isyarat bahawa amalan sepanjang Ramadan kita diterima ialah kemampuan kita untuk terus istiqamah sepanjang dan selepas Ramadan.

Mehnah dan tribulasi

Berusaha untuk istiqamah dalam berbuat kebaikan bukanlah mudah seperti yang disangka, kerana di sana pastinya terdapat mehnah dan tribulasi.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, USIM, Ustaz Zahari Mahad Musa menganjurkan untuk sentiasa memujuk hati agar kekal istiqamah dengan zikir (mengingati ALLAH) dan fikir (meneroka ilmu dan kebaikan).

USTAZ ZAHARI

“Lazimkan diri kita agar sentiasa dikelilingi dengan persekitaran yang berkualiti. Sokongan sahabat yang baik, ahli keluarga yang positif dan bergaul dengan orang-orang yang soleh merupakan sebahagian persekitaran untuk kekal istiqamah.

“Jangan putus berdoa kerana hidayah hakiki untuk kekal istiqamah datangnya daripada YANG MAHA KUASA. Amalkan doa: “Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati manusia, tetapkan hatiku di atas agamaMu…” dan “Ya ALLAH, bantulah aku untuk mengingat-MU, bersyukur kepada-MU, dan beribadah dengan baik kepada-MU” sehingga menjadi wirid harian,” jelasnya.

Dalam pada itu, sebagai manusia yang penuh kelemahan, iman kita juga kerap berbolak-balik. Ustaz Zahari selanjutnya berkongsi tip penting agar hati dan iman sentiasa terjaga.

“Prinsip yang perlu semua yakini ialah iman itu kadangkala meningkat dan adakalanya berkurangan. Meningkat dengan taat dan berkurangan dengan maksiat. Beruntunghlah mereka yang menjaga hati dan imannya seiring dengan firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya -yang sedia bersih- bertambah tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya -yang sedia bersih- itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (Surah al-Shams, ayat 9-10)

Tingkat momentum ibadah

SENTIASA mendekatkan diri dengan al-Quran tanda Ramadan diterima.

Oleh itu, ujarnya, tip mudah ialah setiap daripada kita perlu memastikan nikmat 24 jam sehari semalam dipenuhi dengan program ketaatan di samping meletakkan niat (keazaman) yang jitu untuk mencapai reda ALLAH dalam kehidupan dunia mahupun di akhirat kelak.

“Jangan mudah mengalah, kerana untuk berubah dimulakan dengan langkah yang berhemah,” seru beliau lagi.

Rancang perjalanan Ramadan

Sehubungan itu, memandangkan minggu ini Ramadan sudah melangkah ke minggu kedua, Ustaz Zahari turut berkongsi kaedah yang paling wajar kepada Sinar Islam Plus, perkara yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam dalam usaha melajukan agenda ibadah.

Baca juga Elak melakukan perkara ini ketika Ramadan, agar tidak merugikan diri sendiri

Beliau memberi analogi mudah, perjalanan minggu awal Ramadan seperti membawa kenderaan di jalan yang berliku.

“Akan tetapi, apabila mula masuk ke minggu berikutnya seperti sudah berada di lebuhraya yang menjadi biasa dengan perkara dahulunya dilihat sukar. Justeru, rancanglah perjalanan Ramadan dengan pengisian yang berganda. Tidak guna semua daripada kita memiliki telefon pintar, namun tidak pintar untuk mengingatkan (reminder) dan seterusnya merancang pengisian terbaik untuk Ramadan tahun ini,” tegas beliau.

“Buatlah senarai semak (checklist) amalan Ramadan daripada yang biasa kepada luar biasa. Tunaikan amalan wajib dan gandakan amalan yang sunat. Paling tidak, tiga amalan penting iaitu bacaan al-Quran, solat dan zikir menjadi sebahagian agenda seharian Ramadan dan tidak dipinggirkan.

“Tiga amalan inilah yang dirangkumkan oleh ALLAH SWT supaya hamba-NYA tidak leka untuk melakukannya iaitu firman-NYA yang bermaksud: ‘Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati ALLAH adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) ALLAH mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Surah al-‘Ankabut, ayat 45)

Jadi hamba ALLAH yang terbaik

Seruan yang serupa turut dititipkan oleh pendakwah dan Imam Rawatib Masjid Seksyen 7 Shah Alam, Ustaz Ahmad Shazili Abdullah.

USTAZ AHMAD SHAZILI

Ujarnya, dalam usaha menggandakan takat istiqamah tatkala beribadah sepanjang Ramadan ialah sentiasa sematkan di dalam minda untuk kekal fokus kepada peluang menyantuni bulan mulia ini.

Baca juga Jauhi Perkara Yang Kurangkan Pahala Ketika Ramadan, Peliharalah Kesucian Bulan Mulia Itu

“Pernah dalam pengalaman hidup, kita terlepas peluang tertentu akibat leka, lalai ataupun lupa, maka usah biarkan peluang ini berlalu pergi. Setkan minda untuk fokus kepada peluang menyantuni Ramadan yang penuh jutaan rahmat dari ILAHI. Rugilah andai terlepas peluang ini yang boleh membantu memberatkan buku catatan amal kita sebelum dibentang di Mahsyar nanti,” ujarnya.

Ustaz Ahmad Shazili yang merupakan bekas Imam Masjid KLCC menerangkan, umat Islam perlu sentiasa memikirkan segala kekurangan diri di sisi ILAHI serta meletakkan niat untuk memperbaiki kekurangan tersebut dengan berusaha memberikan yang terbaik sebagai hamba ALLAH.

“Contohi amalan ulama, ahlillah dan salafus soleh yang khusyuk serta tawaduk beribadah kepada Allah. Kita hamba ALLAH. Tekad di dalam diri menjadi hamba ALLAH yang terbaik.

Pastikan piawai Ramadan tercapai

“Sifat kehambaan itu akan menyingkirkan sifat ego. Ego itu sifat syaitan dan iblis. Bila hilang ego, kita sedar siapa diri ini. Diri ini hanyalah insan yang ‘kerdil’. Kerendahan hati menyuntik motivasi untuk menjadi hamba ALLAH yang terbaik,” tambahnya lagi.

Tingkat momentum ibadah

SALING menyantuni dan melazimkan diri bermasyarakat akan menumbuhkan semangat tawaduk dalam hati.

Bagi memastikan piawai Ramadan tercapai petunjuk prestasi utama (KPI), Ustaz Shazili menyarankan umat Islam agar sentiasa kekal di dalam zon muhasabah diri.

“Lazimkan diri beristighfar sambil muhasabah diri apakah kita benar-benar mencapai standard KPI Ramadan hingga saat ini. Andai masih tidak mencapai standard, usahakan perbaiki kekurangan,

“Akurlah bahawa Ramadan bukti kasih sayang ALLAH. ALLAH ‘cipta’ kita dan letak disiplin Ramadan untuk tarbiah kita jadi muttaqin (insan bertakwa). Ambillah peluang ini sebaiknya untuk latih diri jadi muttaqin.

“Kita tidak tahu bila kematian menjemput kita. Maka hargailah detik hidup yang kita miliki untuk lakukan yang terbaik sementara peluang masih ada,” ujarnya.

Usah tunggu, tingkatkan lagi kualiti dan kuantiti ibadah

Setelah masuk minggu kedua Ramadan, tiada apa lagi yang perlu ditunggu melainkan untuk meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti ibadah.

Menurut pendakwah Ustaz Mohd Fakhrurrazi Hussin atau Imam Muda Fakhrul, kalau sebelum ini hanya mampu membaca kitab suci al-Quran sekadar satu atau dua halaman, apa salahnya ditambah ke setengah juzuk sehari contohnya.

IMAM MUDA FAKHRUL

“Cara paling baik untuk kita buat perkara tersebut ialah dengan meletakkan diri di dalam suasana ilmu. Cari dan libatkan diri dalam lingkungan teman yang punya minat serupa..

“Hadiri majlis-majlis ilmu. Sebab saat ini suasana mood Ramadan sudah mula berubah. Mood mula bertukar kepada sambutan hari raya sedikit demi sedikit.

“Orang mula kurang menghadiri masjid untuk solat tarawih. Halaqah-halaqah tadarus mula berkurangan. Pastikan kita tidak tergelincir di dalam arus majoriti orang ramai ini.

“Jika lingkungan sahabat kita betul insya-ALLAH tindakan kita pun akan turut dalam arus semangat yang sama,” pesannya lagi.

Baca juga Ramadan ‘Pesta’ Lakukan Ibadah, Menyulam Kesabaran, Berjihad Melawan Nafsu

Imam Muda Fakhrul memetik kata para ulama; “manusia adalah anak kepada bi’ah (suasana), Cuba jadi seperti ikan, walau di dalam lautan dagingnya tidak masin,” katanya memberikan perumpamaan.

Serius dalam beribadah

Ustaz Fakhrul menambah, mood serius dalam beribadah lebih-lebih lagi di pertengahan Ramadan akan datang bersama ‘kesedaran’, hakikatnya untuk mendapat kesedaran, perlu didahului dengan ilmu.

“Kesedaran akan datang dengan ilmu. Firman ALLAH SWT: Ketahuilah, bahawa tidak ada tuhan melainkan ALLAH.(Surah Muhammad, ayat 19).

“Untuk dapat kesedaran dan keimanan ‘tiada Tuhan melainkan ALLAH’ ini mesti melalui proses ‘ketahuilah’ dahulu. Dalam erti kata yang lain dengan ilmu. Tanpa ilmu kita tidak akan sedar. Tanpa kesedaran kita tidak akan serius dalam sesuatu perkara,” katanya lagi.

Tingkat momentum ibadah

AL-QURAN bukan sekadar dibaca bahkan diambil pengajaran daripadanya.

Sesungguhnya hati manusia sentiasa dalam genggaman ALLAH. DIA juga lah akhirnya yang menentukan siapa yang beriman dan siapa yang kufur, demikianlah juga siapa yang istiqamah dan siapa yang gagal.

“Kemampuan istiqamah ini adalah merupakan anugerah ALLAH kepada hamba yang di kehendaki-NYA.

“Justeru, amat wajar bagi kita untuk sentiasa berdoa supaya dianugerahkan ALLAH dengan istiqamah sehingga ke nafas terakhir,” pesannya.

Foto: 123rf & Freepik