Browsing Tag

miskin

Sapu rumah waktu malam
Gaya Hidup,

Sapu rumah waktu malam boleh jatuh miskin hanya mitos

“JANGAN sapu rumah waktu malam, nanti jatuh miskin.”

Terkedu dan terkejut dibuatnya apabila mendengarkan pernyataan itu daripada mulut seseorang.

Rupanya ‘kepercayaan’ seperti itu masih lagi berlegar-legar dalam kalangan masyarakat walaupun kita berada pada era milenial kini.

Kepada mereka yang masih lagi berpegang dengan tanggapan tersebut, segeralah buang jauh-jauh.

Baca juga Tinggalkan pinggan mangkuk tak dibasuh semalaman boleh undang kepapaan?

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tiada larangan untuk menyapu dan membersihkan rumah pada waktu malam dalam Islam secara umumnya.

DR ZULKIFLI

“Sebaliknya, kita sememangnya dituntut untuk menjaga kebersihan kediaman dan tempat tinggal masing-masing bila-bila masa.

“Ini kerana Islam begitu prihatin dalam soal menjaga kebersihan dan bersuci. Masakan tidak, ia merupakan sebahagian daripada ciri-ciri orang beriman,” katanya sebagaimana dipetik dalam artikel #2423: Menyapu Rumah Malam Hari Membawa Kepada Kemiskinan yang disiarkan dalam Maktabah Albakri.

Baca juga ‘Contohi Rasulullah yang sentiasa amalkan kebersihan dalam setiap aspek kehidupan baginda’

Ia sebagaimana disebut dalam hadis daripada Abu Malik al-Asy’ari bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri keimanan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu kemudian menukilkan pandangan Mudir Idarah al-Furu’ al-Fiqhiyyah yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Dar al-Ifta’, Dr Muhammad ‘Abd al-Sami’ ketika ditanya menyapu rumah pada waktu malam membawa kefakiran.

Ujar beliau, Dr Muhammad ‘Abd al-Sami’ menjawab, dibolehkan untuk berbuat demikian dan tiada apa-apa akibat daripada perbuatan tersebut.

Sapu rumah waktu malam

DALAM Islam, tiada pengharaman tertentu untuk sapu rumah waktu malam. -Foto: Freepik

“Malah, hukumnya tidak haram sebagaimana disangkakan oleh sebahagian orang.

“Begitu juga halnya dengan membersihkan kawasan perniagaan pada waktu malam. Tidak ada dalam agama apa-apa yang melarang daripada melakukannya dalam apa jua keadaan,” katanya.

***Foto: Freepik

Pinggan mangkuk tak basuh semalaman
Gaya Hidup,

Tinggalkan pinggan mangkuk tak dibasuh semalaman boleh undang kepapaan?

Tinggalkan pinggan mangkuk tak dibasuh semalaman boleh undang kepapaan?

DEK kepenatan melayan tetamu ketika hari raya dan menyediakan hidangan, pinggan, mangkuk, cawan dan segala jenis perkakasan dibiarkan tanpa dibasuh semalaman.

Ya, itulah situasi yang dihadapi oleh segelintir orang. Lantaran itu, ramai yang memilih untuk menggunakan cawan, pinggan dan mangkuk pakai buang bagi menjimatkan masa masing-masing.

Namun begitu, masih ada lagi individu yang menggunakan kelengkapan yang ada di rumah bagi menjamu tetamu masing-masing. Cuma apabila sudah kelelahan, pinggan dan mangkuk tadi akan disambung basuh keesokannya.

Baca juga Jangan simpan benda tak pakai, koleksi barang dan harta juga akan dihisab

Begitupun, ada yang menyanggah cara sebegitu kerana dikatakan membiarkan pinggan dan mangkuk semalaman boleh mengundang kepapaan.

Pernyataan itu tidak asing lagi buat kita. Ini kerana ia sering kali diingatkan oleh ibu bapa dan nenek moyang kita. Benarkah begitu dahsyat sekali penangannya gara-gara tidak larat basuh pinggan?

Begitu juga halnya apabila menyapu ketika waktu malam atau Maghrib. Ada yang melarang kita berbuat demikian kerana perbuatan itu dikatakan menjadikan kita miskin.

Ketahuilah bahawa dua contoh yang diberikan tadi itu mitos semata-mata.

Menurut pendakwah dan penulis terkemuka, Ustaz Addien Abdul Kadir, ia sebenarnya termasuk dalam kepercayaan lama yang tidak ada dalil sandarannya sama sekali walaupun ada disebutkan dalam beberapa kitab kuning (kitab agama zaman silam).

USTAZ ADDIEN

Beliau kemudian mengemukakan pandangan Syaikh Ali Mahfuz dalam al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ yang menyatakan: “Sapu rumah waktu malam mengundang kemiskinan ialah kepercayaan khurafat.”

Ustaz Addien menjelaskan, dalam bab kebersihan secara umumnya, Islam tidak menetapkan waktu spesifik sama ada boleh melakukan pembersihan pada masa-masa tertentu.

Baca juga ‘Contohi Rasulullah yang sentiasa amalkan kebersihan dalam setiap aspek kehidupan baginda’

“Sebaliknya, prinsip asal Islam ini adalah agama yang mengajar tentang kebersihan secara keseluruhannya bermula dari akidah, ritual, harta dan sampai ke (bab) hygiene. Asalkan nampak kotor saja, bersihkanlah. Tak perlu tunggu waktu spesifik.

“(Waima) Pagi, petang, siang atau malam, semua itu tidak ada masalah dalam hal kebersihan,” tegasnya sebagaimana dipetik menerusi bebenang Twitter miliknya.

Andai kata, rumah atau diri kita kotor pada waktu malam, Ustaz Addien yang juga pakar motivasi menjelaskan, tidak munasabah jika kita terpaksa menunggu waktu siang untuk membersihkannya.

“Malah, ia agak bertentangan dengan prinsip asas yang Islam ajar,” ungkapnya.

Pinggan mangkuk tak dibasuh semalaman

DALAM bab kebersihan secara umumnya, Islam tidak menetapkan waktu spesifik sama ada boleh melakukan pembersihan pada masa-masa tertentu. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Begitu juga halnya dengan ‘larangan’ memotong kuku pada waktu tertentu kerana perbuatan tersebut dikhuatiri akan menyempitkan rezeki dan sebagainya, terangnya.

“Semua ini dakwaan palsu yang direka-reka. Agama Islam datang untuk memandaikan manusia.

“Islam tidak ajar perkara-perkara yang merepek dan membodohkan akal,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, kebanyakan kepercayaan orang tua dahulu disebabkan faktor lain seperti keselamatan, kesihatan dan seumpamanya.

“Cuma ia menjadi masalah sebab ditokok tambah dan direka ancaman/kelebihan berunsurkan agama. Jika ditelusuri sejarah munculnya hadis palsu, majoritinya sebab-sebab macam inilah,” katanya.

Baca juga [VIDEO] Neraka menanti pencipta hadis palsu

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustaz Addien menitipkan pesanan bernilai buat seluruh umat Islam.

Sebagai generasi baharu yang lebih terdedah kepada ilmu pengetahuan, kemajuan teknologi dan kemudahan, beliau menyarankan agar kita mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkan kefahaman dan kepercayaan mitos sebegitu.

“Kalau tak mampu betulkan, kita ubah dengan amalan sendiri supaya dicontohi generasi masa akan datang,” pesannya.

***Foto: Canva

Clarion India
Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Masjid Buka Dewan Bedah Untuk Golongan Miskin Secara Percuma

no comment

SEBUAH masjid di kota lama Shaheennagar, Hyderabad, India telah membuka perkhidmatan dewan untuk prosedur pembedahan (OT) yang dikhususkan kepada golongan miskin secara percuma.

Majlis Perasmian Dewan Bedah di Masjid Omar Shifa baru-baru ini.

Masjid Omar Shifa antara satu-satunya masjid di India yang memiliki kelengkapan untuk melakukan pembedahan kecil selain Hospital Umum Osmania (OGH) yang terletak berhampiran kota lama itu.

Masjid itu juga sebelum ini ada menjalankan pusat rawatan kesihatan utama dan kini memperluaskan operasinya dengan membuka dewan bedah yang dikhususkan kepada penduduk miskin di kawasan itu.

Suasana di dalam dewan bedanh bagi pembedahan kecil.

Sekumpulan doktor ditugaskan di masjid itu untuk menjalankan kerja-kerja pembedahan dengan hasil dana yang disumbangkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) American Muslim Physicians of Indian Origin (AMPIO).

Selain bilik OT yang lengkap, masjid itu juga mempunyai klinik pergigian, pusat oftalmologi komuniti dan unit perundingan penyakit tidak berjangkit.

Semua perkhidmatan perubatan adalah percuma untuk semua masyarakat tanpa mengira agama. Helping Hand Foundation (HHF) sebuah NGO dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perkhidmatan OT dan kemudahan perubatan lain.

Kawasan sekitar yang dilanda banjir tahun lalu menjadi punca merebaknya pelbagai penyakit.

“Sebilangan besar daerah di sekitar pusat kesihatan masjid ini pernah dilanda banjir tahun lalu. Akibatnya, kawasan kumuh ini menghadapi endemik kepada penyakit kulit bawaan air. HHF bekerjasama dengan AMPIO telah mengurus keperluan kesihatan kepada lebih 20 kawasan kumuh, ”kata Pemegang Amanah HHF, Mujtaba Hasan Askari.

Dengan angaran kira-kira 700 pesakit hadir setiap hari, pusat kesihatan masjid itu menjadi seperti hospital mini bagi golongan miskin di kota lama itu.

Kebanyakan pesakit menghidap diabetes, darah tinggi dan penyakit kronik yang lain. Oleh kerana komplikasi yang disebabkan oleh penyakit gaya hidup sering memerlukan prosedur pembedahan yang tidak dapat dilakukan oleh pesakit, OT di masjid itu akan menguruskan keperluan itu.

Orang ramai yang datang untuk mendapatkan rawatan beratur menunggu giliran untuk pemeriksaan.

Kira-kira tiga peratus pesakit diabetes yang mengunjungi pusat kesihatan masjid itu mempunyai masalah jangkitan pada kaki.
Selain itu, kes penyakit seperti kematu, lipoma, keloid, kuku yang tumbuh ke dalam, fibroadenoma jinak, luka terbakar, sista ovari, serta bisul yang tidak sembuh juga akan dirujuk ke pusat kesihatan masjid berkenaan.

“Faktor kebersihan yang buruk antara punca menyebabkan komplikasi kepada ramai pesakit sehingga memerlukan operasi pembedahan. Sehingga kini sebanyak 25 pembedahan kecil telah dilakukan dengan jayanya,” kata Pakar Bedah Umum, Pusat Kesihatan Masjid Omar Shifa, Dr Arif Hussain.

Sumber: Times Of India