Browsing Tag

Minta izin suami untuk berpuasa sunat

Berita Semasa,

[VIDEO] Ini rupanya sebab kenapa isteri kena minta izin suami untuk berpuasa sunat

BERPUASA sunat sangat digalakkan dalam Islam. Ia menjadi satu amalan yang begitu istimewa untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa selain daripada bulan Ramadan dan waktu yang diharamkan berpuasa.

Antara puasa sunat yang lazim kita lakukan adalah pada setiap hari Isnin dan Khamis. Selain itu, puasa sunat turut dilakukan pada hari putih iaitu pada 13, 14 dan 15 dalam setiap bulan hijrah.

Dalam bab berpuasa sunat ini, acap kali orang di sekeliling berkata, wanita berkahwin perlu mendapatkan keizinan suami masing-masing untuk melakukan ibadah itu.

Benarkah seorang isteri perlu meminta izin suaminya untuk berpuasa sunat? Jika betul, kenapa isteri perlu berbuat demikian?

Ketika persoalan itu dilontarkan kepada pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah, beliau mengakuinya.

DA’I SYAFIQAH

Ya, memang benar seorang isteri yang ingin berpuasa sunat, mereka wajib untuk meminta izin daripada suami, terang beliau.

“Ini kerana keizinan suami tersebut merupakan satu syarat bagi isteri yang ingin berpuasa sunat,” katanya.

Beliau menambah, hal itu dapat kita lihat dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang mana baginda bersabda: “Tidak diharuskan bagi wanita berpuasa sedangkan suaminya berada di rumah melainkan dengan izin suaminya.” (Riwayat al-Bukhari)

Da’i Syafiqah turut mengemukakan pandangan Imam al-Nawawi yang menjelaskan tentang sebab perlunya meminta izin adalah kerana: “Seorang suami mempunyai hak dan juga boleh mengajak isterinya untuk berjimak pada bila-bila masa dan pada hari apa sahaja. Hak tersebut perlu dipenuhi oleh isterinya pada ketika itu juga dan tidak boleh ditangguhkan oleh kerana amalan sunat.”

“Jadi dalam perkara puasa sunat ini, seorang isteri perlu meminta izin daripada suaminya bagi memastikan suaminya tidak berhasrat kepadanya.

“Selain itu, keizinan untuk berpuasa sunat ini juga perlu sebagai satu bentuk penghormatan kepada suami sebagai ketua keluarga,” ujar beliau.

(Artikel berkaitan: Amalan yang boleh tambah dan kurangkan pahala puasa, penting untuk kita tahu)

Berbeza pula dalam bulan Ramadan, pendakwah itu menjelaskan, seorang isteri yang suci daripada haid dan nifas wajib berpuasa walaupun suami mereka tidak mengizinkannya.

“Hal ini kerana seorang isteri tidak boleh mentaati arahan suami yang bercanggah dengan arahan ALLAH SWT,” katanya.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Tiada ketaatan terhadap makhluk (suami) dalam perkara yang menjurus kepada maksiat terhadap ALLAH SWT.” (Riwayat al-Tirmizi)

Kepada para wanita yang sudah mendirikan rumah tangga, jangan lupa untuk minta izin terlebih dahulu daripada suami sebelum berpuasa sunat.

Alangkah indahnya jika kita dapat melakukan ibadah sunat itu bersama suami tersayang.