Browsing Tag

Milwaukee

Trak makanan Malaysia
Jendela Dunia,

Keluarga Rohingya Muslim Buka Trak Makanan Halal Malaysia Di Milwaukee

JIKA ada dalam kalangan kita yang ternampak trak makanan Malaysia di Milwaukee, Wisconsin di Amerika Syarikat, usah terkejut.

Ini kerana terdapat pasangan suami isteri Muslim Rohingya yang mengusahakan perniagaan tersebut di bandar berkenaan. Mereka ialah Amir Mohammad Ali dan isterinya, Majidah Mohammed Yousef.

Kedua-duanya membuka Taste Amir’s Roti Food Truck yang menjual aneka roti, burger, samosa, nasi goreng dan lain-lain.

Malah, difahamkan ia merupakan satu-satunya perusahaan trak makanan Malaysia yang halal di Milwaukee, sekali gus memberikan pilihan kepada masyarakat Myanmar dan Rohingya menikmati hidangan tradisional, apatah lagi Milwaukee begitu terkenal dengan populasi pelarian Rohingya terbesar di Amerika Syarikat.

Membuka kisahnya, Amir menjelaskan, idea untuk membuka perniagaan itu tercetus selepas melihat beberapa trak makanan di bandar tersebut.

Trak makanan Malaysia

Ketika itu, beliau sedang menghantar makanan untuk DoorDash.

“Tambahan pula, saya memang berpengalaman bertahun-tahun bekerja di restoran di Malaysia selepas meninggalkan negara kelahiran pada usia yang muda.

“Bahkan, masyarakat Islam di Milwaukee tidak pernah mempunyai trak makanan Malaysia yang halal. Jadi kami fikir, ia idea yang bagus,” katanya yang datang ke Amerika Syarikat sebagai pelarian sejak lapan tahun lalu sebagaimana dipetik menerusi portal Abna24.

Sementara itu, memetik laporan laman web wisconsinmuslimjournal.org, sejak perusahaan trak makanan itu dibuka pada 4 Julai tahun lalu, Amir mengakui bukan mudah sebenarnya berniaga di negara orang. Apatah lagi pada saat seluruh dunia masih bergelumang melawan wabak Covid-19.

“Dua minggu pertama agak sukar bagi kami. Namun, selepas Sister Aneesa dari Persatuan Islam Milwaukee singgah ke trak makanan kami pada suatu hari, dia menyebarkan berita kepada masyarakat tentang perniagaan kami.

“Perniagaan kami kini berkembang dengan pesat dan menjadi sangat popular dalam kalangan masyarakat Islam di Milwaukee. Boleh dikatakan perusahaan kami menjangkau kumpulan pelanggan yang pelbagai.

Trak makanan Malaysia

“Antara hidangan tradisional yang popular ialah nasi goreng, dosa masala dan murtabak,” katanya yang membuka perniagaannya setiap hari kecuali Isnin bermula jam 11 pagi hingga 8 malam.

Kepada sesiapa yang mungkin berkesempatan ke Milwaukee, trak makanan Taste Amir’s Roti Food Truck boleh didapati di sebelah Wilson Park, 1601 W Howard Ave ketika musim panas.

Taman itu membolehkan pelanggan menggunakan ruang tempat duduk luar yang mana ia membantu memenuhi keperluan penjarakan sosial bagi mengekang Covid-19.

Manakala pada musim sejuk pula, trak makanan ditempatkan di South 13th Street dan West Ohio Avenue, di mana pelanggan boleh parkir kenderaan di belakang trak makanan dan menjamu selera di dalam kenderaan masing-masing.

Foto: Facebook Taste Amir’s Roti