Browsing Tag

Menunjuk-nunjuk ketika beribadah

Isu,

Amalan Ditolak Jika Riak Beribadah

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

“PENYAKIT suka menunjuk-nunjuk ibadah yang dilakukan sering menyerang ahli ibadah. Sesungguhnya, dalam melaksanakan hal berkaitan dengannya (ibadah) memerlukan perjuangan yang besar.”

Itu kata dua daripada pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau Da’i Fuad yang mengulas mengenai kelompok yang gemar menunjuk-nunjuk segala perbuatan baik agar dilihat oleh orang lain dan meraih puji-pujian.

DA’I FUAD

“Dalam hal ini, kita sebagai umat Islam seharusnya perlu berasa cukuplah ALLAH SWT sahaja yang melihat amalan dan perbuatan yang kita ingin persembahkan. Riak ini satu penyakit yang sangat berbahaya kerana ia mendatangkan syirik yang boleh menjadikan amalan kita ditolak oleh ALLAH SWT.

“Maka, berhati-hatilah ketika melakukan ibadah. Jika kita rasakan diri seolah-olah ke arah riak atau mahu menunjuk-nunjuk, maka berhentilah, usah diteruskan,” nasihatnya.

Baca juga Elak Menunjuk-Nunjuk Ketika Beribadah, Kelak Dibimbangi Membawa Kepada Syirik

Dalam pada itu, menjawab satu soalan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, hukum melakukan amalan semata-mata ingin mendapat ganjaran yang bersifat keduniaan semata-mata adalah tidak dibolehkan.

“Ini kerana perkara tersebut akan menyebabkan amal ibadat yang kita lakukan tidak ikhlas kerana ALLAH, sedangkan kita diperintahkan untuk melakukan amalan hanya kerana-NYA. Haruslah kita menginsafi dan mengingati bahawa keredaan di sisi ALLAH SWT dan imbalan-NYA di akhirat adalah lebih besar berbanding ganjaran keduniaan yang bersifat sementara,” kata mereka.

Justeru, setiap kali kita mendirikan solat, berdoalah kepada ALLAH seperti yang disebut dalam doa Iftitah agar kita peroleh sifat ikhlas dalam setiap amalan yang dilakukan.

Lafazkanlah: Qul inna salati wanusiki wama yahya wamamati lillahi rabbilalamin. Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk ALLAH Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Surah al-An’am, ayat 162)

Riak ketika beribadah

BIARLAH hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu ibadah dan amalan yang kita lakukan tanpa mengharapkan pujian orang lain.

ANEKDOT

CARA menghindari riak dalam beribadah seperti yang dianjurkan oleh ulama Mesir, Syeikh Ahmad Al-Misri

1. Memohon kepada ALLAH agar diberikan keikhlasan dalam beramal dengan mengamalkan doa ini.

Allahumma innii a‘udzu bika an usyrika bika wa anaa a‘lamuhuu wa astaghfiruka limaa laa a‘lamuhu. (Maksudnya: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada-MU daripada berbuat syirik dalam keadaan tahu, dan aku memohon ampun daripada apa yang tidak aku ketahui.“

2. Mengatur dan menata hati untuk ikhlas sebelum beramal.

3. Berusaha menyembunyikan amal kebaikan daripada pandangan manusia, sebagaimana kita menyembunyikan keburukan diri.

4. Mengingati betapa besarnya kerugian orang yang riak dan tidak ikhlas dalam beramal.

5. Mempelajari dan mencontoh teladan generasi awal umat Islam.

Sumber: Syeikh Ahmad Al-Misri

Foto: Bernama & Pexels

Menyesal
Isu, Pilihan Editor,

Elak Menunjuk-Nunjuk Ketika Beribadah, Kelak Dibimbangi Membawa Kepada Syirik

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

DENGAN kecanggihan teknologi pada hari ini, ditambah dengan kemudahan capaian internet, segala-galanya mudah dikongsi.

Namun, sayangnya platform itu dieksploitasi oleh sesetengah pihak apabila memuat naik pelbagai foto di laman media sosial termasuk ketika melakukan amal kebaikan seperti solat dan sedekah.

Adakalanya kapsyen ditulis juga secara jelas menunjukkan individu berkenaan sememangnya mahu menunjuk-nunjuk kepada khalayak. Apabila ditegur, mereka sering berkata, perkongsian seperti itu mempunyai nilai positif. Bukankah sebaik-baiknya, setiap ibadah yang dilakukan perlu disembunyikan?

Sabda Rasulullah SAW seperti diriwayatkan oleh Mahmud Bin Labid yang bermaksud: “Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah syirik yang kecil. Para sahabat bertanya: Apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah? Nabi Muhammad bersabda: “Itulah riak.” ALLAH SWT akan berfirman pada hari kiamat kelak: “Pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu).” (Hadis Riwayat Ahmad)

Gangguan kepada keikhlasan

Bagi mendasari topik menunjuk-nunjuk dalam melakukan ibadah, Sinar Islam Plus menemuramah Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat.

DR MOHD NOR

Ujar pendakwah itu, sesungguhnya, umat Islam dituntut supaya menunaikan ibadah secara ikhlas hanya kepada ALLAH SWT. Keadaan tersebut menjadi prasyarat agar apa yang yang dilakukan oleh seseorang diterima oleh-NYA.

Menurut Dr Mohd Nor, Imam al-Ghazali telah memberi peringatan tentang empat sifat yang mudah muncul dalam kalangan orang baik-baik iaitu riak, ujub, sum’ah dan takabur.

Riak merujuk kepada perbuatan menunjuk-nunjuk ibadah atau kelebihan kepada orang lain, manakala ujub pula merasakan dirinya lebih bagus berbanding orang lain.

Sum’ah pula membawa pengertian mengenai tindakan individu yang suka bercerita tentang kebaikan atau ibadah kepada orang lain dengan matlamat untuk diketahui orang lain.

Sementara takabur pula, bercakap besar tentang kelebihan dan amal ibadah yang dilaksanakan.

Jelas beliau, kesemua itu sebenarnya adalah gangguan kepada keikhlasan ibadah terhadap ALLAH SWT dan memesongkan tujuan amal demi mencari populariti dan pujian orang.

Baca juga Bahaya Sifat Riak, Pendakwah Ini terangkan Betapa Mudarat Sifat Ini Jika Tidak Ditangani

“Kalau kita perhalusi kembali, ibadah bermaksud penyembahan kita kepada ALLAH YANG MAHA ESA. Justeru, seharusnya ia hanya layak untuk dilihat dan dinilai oleh-NYA. Lebih tersorok ibadah kita, lebih tinggi nilai keikhlasan terhadap ALLAH SWT,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Sebagai contoh, sedekah yang tidak diketahui umum adalah pemberian yang paling tinggi martabatnya. Begitu juga dengan solat dan munajat selepas sepertiga malam tanpa pengetahuan orang lain adalah sangat dituntut.

“Malahan, solat sunat juga tidak digalakkan dibuat di masjid, tetapi lebih afdal dilakukan di rumah. Namun, dalam kalangan orang yang banyak beribadah, kadangkala mudah bagi mereka dibisikkan oleh syaitan untuk cepat bersikap riak yang bermatlamat meraih pujian manusia di sekeliling,” ujarnya.

Riak dalam hati

Pendakwah itu menambah, adakalanya wujuk riak di dalam hati. Namun, hanya diri kita sahaja yang tahu sama ada kita memang sengaja memperlihatkan ibadah atau sebaliknya.

SOLAT secara berjemaah adalah amalan yang sangat digalakkan untuk dicanang kepada orang ramai.

“Ini berbeza seandainya kita menunjukkan ibadah kita untuk tujuan mengajar atau mendidik. Sebab itu, kita tidaklah boleh sewenang-wenangnya menuduh orang lain beribadah dengan riak atau sengaja menunjuk-nunjuk.

“Biasanya, jika sifat keji itu melintas dalam sanubari kita, kita akan mudah merasainya dan sepatutnya, kita terus menghindarkannya.

“Antara contoh amalan yang ditakuti menjurus kepada wujudnya (riak) adalah bersedekah di hadapan khalayak umum, mempamerkan amal ibadah dalam media sosial, selfie sebelum atau seusai solat, melakukan live ketika berbakti kepada masyarakat atau melebih-lebihkan ibadah apabila berada di tempat umum dan sebagainya,” kata beliau.

Mengukuhkan kenyataannya, Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara itu kemudian menceritakan tentang kisah seorang ulama, Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang menangis dalam sujud di dalam masjid, beliau lantas berkata: “Alangkah baiknya (jika kamu menangis) di rumah.”

Firman ALLAH dalam Surah al-Ma’un ayat 5 dan 6 pula bermaksud: “Kalau orang yang demikian dikira daripada bilangan orang-orang yang mendustakan agama, maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang; (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dengan ibadah dan amalannya).”

Mengulas lanjut, Dr Mohd Noor berkata, perilaku suka menunjuk-nunjuk ketika beribadah juga ditakuti boleh membawa kepada syirik.

Dalam sebuah hadis Qudsi, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Aku bebas dari segala sekutu yang ada pada amalan yang dilakukan di mana dia mensyirikkan-KU dengan yang lain. Maka aku akan tinggalkannya dan sekutunya itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bahana

Sementara itu, pendakwah Bakhtiar Fitri Abdul Hamid ketika dihubungi berkata, Sheikh Farid al-Ansari telah membahagikan riak kepada beberapa pecahan. Antaranya (riak) dalam beragama, tubuh badan, percakapan dan amalan.

BAKHTIAR FITRI

Contoh riak dalam agama dan badan adalah dengan menzahirkan badan kurus dan tidak kemas supaya orang menganggapnya bersungguh-sungguh melakukan ibadat dan seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat.

Riak dalam percakapan pula memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang Islam atau berzikir secara kuat di hadapan orang ramai.

Sementara dalam amalan pula seperti melakukan qiyam dan rukuk yang panjang ketika solat di hadapan orang ramai.

Meskipun demikian, Bakhtiar Fitri mengingatkan, terdapat sesetengah perkara yang memang perlu dibuat secara terbuka, meskipun pelakunya dianggap menunjuk-nunjuk iaitu bersolat jemaah.

“Ia (solat berjemaah) memang dituntut dilakukan di masjid, cumanya kita kena bermujahadah melawan diri daripada miliki perilaku yang akan membawa kepada penyakit hati itu,” katanya.

Pendakwah itu turut mengungkapkan satu ayat yang terdapat dalam Hadis Riwayat Imam Baihaqi. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Solatlah kamu semua sebagaimana cara aku bersolat.”

Beritahu agamawan terkenal itu, hadis berkenaan menerangkan bahawa baginda menyuruh para sahabat melihatnya bersolat bukan sebab mahu menunjuk-nunjuk, tetapi mengajar cara untuk bersembahyang dengan betul sebagaimana perintah ALLAH SWT.

Sesungguhnya, riak atau menunjuk-nunjuk perbuatan baik bukan kerana-NYA adalah sikap yang dilaknat oleh ALLAH. Mereka juga tergolong dalam kumpulan orang munafik.

Pernyataan itu sejajar dengan pengertian kalam ALLAH dalam Surah an-Nisa ayat 142: “Dan apabila mereka (kaum munafik) berdiri mengerjakan solat, maka mereka berdiri dalam keadaan malas dan riak di hadapan manusia dan tidaklah mereka mengingati ALLAH kecuali sedikit sekali.”

GOLONGAN ahli ibadah mudah diuji dengan sifat riak. Berhati-hatilah agar tidak tunduk dengan perasaan tersebut.

Memetik artikel yang bertajuk Pengertian riak, hukum, jenis dan cara menghindarinya dalam beribadah yang disiarkan oleh portal Liputan 6, terdapat beberapa bahana akibat perbuatan tercela itu.

Antaranya seperti:

i) Menghapuskan pahala terhadap amal kebaikan yang dilakukan.

ii) Riak lebih berbahaya daripada fitnah.

iii) Hidup dalam kesempitan, kesengsaraan dan jiwa tidak tenang.

iv) Hilangnya keimanan dan diseksa di akhirat.

v) Hilangnya kewibawa dan karisma diri di hadapan orang lain.

Lihat, betapa banyaknya keburukan jika kita terus berada dalam lingkungan sikap mazmumah itu. Oleh yang demikian, bersama-samalah kita bermuhasabah diri dengan memperbetulkan niat dalam melakukan sesuatu perkara ikhlas semata-mata kerana YANG MAHA ESA.

Foto: 123rf & Pexels