Browsing Tag

menipu

Menumpang nama
Isu,

Jauhi amalan ‘menumpang nama’, ia penghalang kepada barakah

SECARA mudah, ‘menumpang nama’ bererti mengambil kredit ke atas hasil kerja akademik, seperti penyelidikan dan penulisan, tanpa memberikan sumbangan sewajarnya dalam prosesnya.

Kesan daripada amalan ini sangat memudaratkan.

Bagi pensyarah, kenaikan pangkat dan gaji yang diterima hasil daripada amalan itu paling tidak bersifat syubhah, kalau pun tidak haram.

Jika pandangan ini betul, seluruh kehidupan pensyarah tersebut akan berada dalam kekotoran dan kemungkinan apa yang dilakukan dalam kehidupannya tidak diredai ALLAH SWT.

Bagi yang tidak mengamalkan perbuatan itu, mereka tidak akan dapat kenaikan pangkat dengan cepat kerana kurangnya penulisan berbanding penghasilan mudah melalui amalan tersebut.

Baca juga Menumpang nama suatu jenayah akademik, ini sebab-sebabnya

Berlanjutan dalam kerjaya

Bagi pelajar pula, mereka akan berasa tertekan jika sedar amalan itu. Tambah lagi jika pensyarah atau penyelia memaksa melakukannya, atau ada pensyarah yang tidak menyumbang apa-apa tetapi memasukkan nama dalam penulisan pelajar.

Menumpang nama

JIKA unsur penipuan dibiarkan berlaku, maka tidak akan ada barakah dan keredaan ALLAH. -FOTO: FREEPIK

Tetapi jika pelajar tersebut merasakan amalan ini tidak salah, mereka akan meneruskannya bukan sahaja dalam penulisan, tetapi akan berlanjutan hingga ke dalam kerjaya dan kehidupan mereka.

Amalan menumpang nama juga boleh menjadi penghalang kesuburan pertumbuhan kesarjanaan para pelajar, dan peluang pelajar mencipta nama mereka. Bila ada nama pensyarah (selalunya penyelia mereka) dalam tulisan yang dihasilkan, tentulah orang lebih nampak pensyarah daripada pelajar.

Bagi IPT membiarkan keadaan itu berlaku dalam warganya, tidak akan ada barakah dan keredaan ALLAH.

Penghalang kepada barakah, bantuan dan keredaan ALLAH ini adalah pembabitan mereka yang membiarkan unsur penipuan berlaku.

Kuat kuasa pengawasan

Bagaimana masalah ini boleh diatasi?

Pertama, pihak universiti wajib membina garis panduan yang jelas tentang amalan ini.

Setakat ini belum wujud secara terperinci kriteria yang dikatakan sebagai menumpang nama. Akibatnya, pensyarah berbelah bagi pandangan tentang perkara itu. Sebahagian mereka berpendapat perbuatan itu tidak salah.

Baca juga Jangan berbohong untuk apa tujuan sekalipun…Tiada juga istilah bohong sunat dalam Islam

Kedua, apabila garis panduan yang sistematik telah ada, maka Pusat Tanggungjawab (PTj) seperti Fakulti, Pusat Pengajian, Pusat Kajian dan sebagainya perlu mengawasi di peringkat PTj masing-masing agar amalan itu tidak berlaku, seperti mereka sekarang mengawasi amalan plagiarisme dan pelanggaran hak cipta.

Menumpang nama

CARI solusi terbaik untuk menangani amalan menumpang nama sebelum ia menjadi lebih parah lagi. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: 123RF

Pengawasan ini bukan hanya berlaku di Pejabat Perundangan dan Ombudsman universiti di peringkat pusat semata-mata, tetapi juga di peringkat bawah di PTj-PTj universiti.

Ketiga, pihak universiti dan PTj perlu sentiasa menanam rasa bertuhan dan kehambaan dalam diri warganya, agar wujud keupayaan pengawalan kendiri untuk tidak melakukan amalan yang dikira salah, bukan sahaja dalam penulisan, tetapi juga kerjaya dan kehidupan.

***Artikel ditulis oleh Muhammad Syukri Salleh, Profesor Kehormat di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia

Lari bayar cukai
Hukum, Soal Jawab Agama,

Jangan lari bayar cukai, ini sebab-sebabnya

BAGI kakitangan awam dan swasta yang belum sempat membuat pentaksiran cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, masih ada masa lagi untuk berbuat demikian.

Jika dihitung, tempohnya berbaki lagi sebulan. Ia wajib diselesaikan sebelum 30 April ini.

Tunaikanlah tanggungjawab kita dengan sebaiknya dan penuhi butiran yang diperlukan. Jangan kerana enggan membayar cukai, pelbagai alasan dibuat. Malah, ada yang sanggup menyembunyikan jumlah sebenar pendapatan yang diperoleh ketika mengisytiharkannya.

Ketahuilah, perbuatan lari daripada mambayar cukai melalui pelbagai bentuk helah dan penipuan adalah dilarang sama sekali.

Lari bayar cukai

JANGAN sesekali menyembunyikan pendapatan yang diperoleh untuk mengelak diri daripada membayar cukai.

Memetik artikel Al-Kafi #1860: Hukum Lari Daripada Membayar Cukai yang disiarkan menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, membayar cukai yang ditetapkan oleh kerajaan adalah satu kewajipan.

“Ia selaras dengan kaedah agama yang menyeru umatnya taat arahan pemerintah pada perkara yang ada maslahat padanya,” katanya.

Dari perspektif Islam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, terdapat perbahasan panjang dalam kalangan ulama mengenai cukai di samping melihat kepada realiti semasa.

Baca juga Bukan Sahaja Makanan Dan Minuman, Pendapatan Haram Juga Tidak Boleh Digunakan Untuk Keperluan Rutin Dan Tuntutan Wajib

Namun begitu, kerajaan harus mengenakan cukai terhadap rakyat dalam satu sistem teratur dan syarat-syarat ditetapkan.

“Suasana ekonomi sesebuah negara perlu diambil kira termasuk di Malaysia yang mana keadaan ekonominya masih lagi tidak mencukupi untuk hanya bergantung kepada beberapa sumber dan hasil mahsul.

“Justeru, keperluan mengenakan cukai adalah bersifat mendesak,” katanya.

Dalam hal mengelak cukai dengan mencipta pelbagai helah, katanya, perbuatan menipu itu jelas sebagai satu bentuk dosa yang ditegah oleh agama.

“Malah impaknya, ia boleh membawa kepada kurangnya hasil dana negara, seterusnya menyukarkan kerajaan menyusun atur polisi ekonomi dan merancang program-program pembangunan serta bantuan untuk rakyat yang memerlukan,” katanya.

Bukan di Malaysia sahaja, badan-badan fatwa sedunia juga memberikan hukum yang jelas tentang perkara tersebut.

Lari bayar cukai

SEBAGAI Muslim, jalankanlah kewajipan kita untuk mentaksir cukai dan membayarnya mengikut kelayakan kita.

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah misalnya menyatakan: “Perbuatan menipu dan memberikan maklumat palsu berkenaan pendapatan yang diterima untuk mengelak daripada membayar cukai adalah diharamkan, bahkan ia merupakan salah satu dosa besar di sisi syarak. Hal ini kerana perbuatan tersebut merupakan satu bentuk penipuan yang jelas dilarang oleh syarak, serta ia akan menyebabkan negara tidak dapat menjalankan fungsinya dengan baik kerana cukai merupakan antara sumber pendapatan penting sesebuah negara dalam menguruskan urusan rakyatnya.”

Baca juga ‘Cari rezeki halal lagi berkat, sekalipun badan dan otak kita penat‘

Begitu juga dengan Majlis al-Ifta’ wa Buhuth wa al-Dirasat al-Islamiyyah (Jordan) yang menyatakan: “Kestabilan ekonomi negara dan memelihara harta awam merupakan maqasid syariah yang dituntut dan tugas merealisasikannya ialah tanggungjawab kolektif yang perlu dipikul oleh setiap rakyat. Perbuatan lari daripada membayar cukai merupakan satu ancaman terhadap objektif ini. Justeru, setiap Muslim mestilah tetap melaksanakan tanggungjawab membayar cukai dan patuh terhadap undang-undang negara serta tidak terpengaruh dengan sikap mereka yang sengaja melanggar aturan percukaian yang telah ditetapkan.”

Apa pun, janganlah kita sesekali lari daripada membayar cukai yang selayaknya dibayar. Ingatlah bahawa tujuan kita membayar cukai sebenarnya untuk kemaslahatan umat dan negara juga.

Foto: Pexels & Unsplash