Browsing Tag

menimba ilmu

Pilih tempat pengajian
Isu,

Hendak gali ilmu, jangan semberono pilih guru

MESKIPUN pencarian ilmu lebih mudah dengan medium online seperti media sosial, namun mencari guru dan menghadiri majlis ilmu itu adalah lebih baik terutama apabila melibatkan perihal agama.

Pandangan itu dilontarkan pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah ketika diminta mengulas trend berguru dengan media sosial.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar pengetahuan itu diraih dengan serius dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Ada segelintir orang menghadiri ceramah agama di masjid sekadar mahu memenuhkan masa, tidur atau bermain telefon ketika kuliah disampaikan,” katanya kepada Sinar Islam Plus ketika dihubungi baru-baru ini.

Baca juga Ini hukumnya apabila kita ‘berguru’ dengan media sosial

Sedangkan, Rasulullah SAW begitu menekankan tentang ilmu sehinggakan dalam sebuah hadis, baginda bersabda: “Jadilah engkau orang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mahu mendengarkan ilmu, atau orang yang menyukai ilmu. Dan janganlah engkau menjadi orang yang kelima, maka kamu akan celaka.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

USTAZ MOHAMAD HADI

Pada zaman dahulu, katanya, rata-rata orang mencari guru untuk menimba ilmu sehingga sanggup mengembara dan mengorbankan sejumlah harta.

Bagaimanapun, katanya, pada hari ini berlaku sebaliknya apabila guru pula yang ‘datang’ kepada murid.

“Sudahlah begitu, tok guru ada kitab, anak murid pula hanya sambil lewa tidak membawa buku, apalagi pen atau kertas. Dari sudut disiplin ilmu, ia tidak dijaga dan tidak serius ketika menimba pengetahuan.

“Jika ada guru, sekiranya tidak faham, mereka boleh terus bertanya. Maknanya, ada interaksi dengan guru dalam majlis ilmu berbanding menerusi platform media sosial seperti YouTube, Facebook, Instagram dan TikTok yang kebanyakannya bersifat sehala,” jelasnya.

Baca juga [VIDEO] Belajar mengaji tak sesukar dulu, online kan ada… Ini hukumnya yang perlu kita tahu

Seandainya suatu ilmu itu dipelajari menerusi kelas online secara bersemuka dengan guru seperti platform Google Meet, Zoom dan sebagainya, Ustaz Mohamad Hadi menjelaskan, ia tiada masalah kerana ada interaksi antara pembimbing dan murid.

“Jika bertalaqqi al-Quran misalnya, kita tidak boleh sekadar mendengar sahaja, guru perlu mendengar bacaan kita, bersoal jawab dan sebagainya.

“Begitu juga apabila menyertai majlis ilmu menerusi sesi siaran langsung di laman sosial Facebook masjid dan seumpamanya. Walaupun hanya mengikutinya dalam talian, janganlah pula kita sekadar buka dan biarkan begitu sahaja. Jagalah adab apabila menuntut ilmu,” titipnya.

Guru

JIKA kelas online dilakukan secara bersemuka dengan guru dan boleh bersoal jawab dengannya, maka tiada masalah untuk berbuat demikian. -FOTO: BERNAMA

Selidik latar belakang

Biarpun tidak menjadi suatu kesalahan kita merujuk ilmu termasuk berkaitan agama di media sosial, agamawan itu mengingatkan agar orang ramai menyelidik terlebih dahulu latar belakang penyampai ilmu tersebut.

“Pastikan pihak berkenaan benar-benar berpengetahuan dalam bidang tersebut, kenal pasti sumber yang digunakan, sama ada daripada al-Quran dan as-Sunnah atau bukan,” pesan beliau.

Peri pentingnya perkara itu kerana ia dibimbangi akan menjebakkan kita kepada ilmu yang salah, hadis palsu atau sumber menyesatkan, ungkapnya.

Baca juga Wajib berguru walaupun belajar ngaji online

“Jangan semberono mahu berguru dengan media sosial tanpa mempedulikan latar belakang guru tersebut.

“Kalau pun si ustaz berkenaan mahir dalam ilmu agama, individu berkenaan sekurang-kurangnya ada ijazah dan tauliah daripada Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya.

Apatah lagi dalam era serba licik kini, ada insan yang digelar ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ jadian walaupun tiada kelulusan sewajarnya yang melayakkan diri mereka dipanggil dengan gelaran mulia sedemikian.

Individu seperti itu, jelas Ustaz Mohamad Hadi, mereka hanya sekadar pandai berbicara, tetapi cuma orang biasa.

Guru

ILMU perlu dituntut dengan penuh adab demi meraih keberkatan. -FOTO: PEXELS

“Hakikatnya, perihal agama ini bukannya kita boleh bersembang atau bercakap begitu sahaja. Sebaliknya, ia mesti ada faktanya,” terangnya.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, beliau memberi peringatan agar umat Islam tidak terlalu santai dalam menimba pengetahuan agama sehinggakan mencari majlis ilmu ataupun ceramah bersifat humor (jenaka) semata-mata.

“Ingatlah menuntut ilmu itu bukan satu bentuk hiburan, tetapi ia melibatkan penyampaian fakta. Tidak salah untuk kita bergurau dalam majlis itu, tetapi biarlah sekadar ‘garam’ dalam makanan saja.

“Jika dari awal sampai habis program itu asyik bergelak ketawa, itu bukan majlis ilmu namanya. Cuma sesekali unsur jenaka boleh diselitkan, tetapi bukan sepanjang ceramah berlangsung. Paling penting ilmu itu disampaikan dengan betul, sumber dan penyampai yang benar,” jelas beliau.

ANEKDOT

8 adab berguru

Baca juga Kalau kurang ajar dengan guru, hidup tak akan berjaya tanpa doa mereka

  • Memberi salam kepada guru

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya, nescaya kalian akan saling sayang menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian.” (Hadis Riwayat Muslim)

  • Elakkan berbual-bual ketika guru sedang mengajar dan membantah mereka

Semasa Nabi Musa AS menuntut ilmu daripada Nabi Khaidir AS, baginda sangat sabar dan tidak membantah apa sahaja perintah gurunya sebagaimana diceritakan dalam ayat 69, Surah al-Kahfi.

  • Bercakap dengan laras bahasa yang sopan

Anas RA berkata: “Selama 10 tahun aku berkhidmat untuk Rasulullah SAW, aku tidak pernah mendengar baginda mengucapkan ‘ah’, sebagaimana Baginda tidak pernah bertanya ‘apa yang kau lakukan?’, ‘kenapa kamu lakukan ini?’ atau ‘bukankah seharusnya kamu melakukan seperti ini?’.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Guru

CARILAH guru yang benar-benar muktabar dan faqih dalam bidangnya apabila kita ingin menuntut ilmu. Pada masa sama, sentiasa hormat dan menjaga adab ketika bersama guru. -FOTO: 123RF

  • Bersungguh-sungguh membuat kerja yang diberikan

Aisyah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

  • Menziarahi guru ketika ada kelapangan

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi Muhammad SAW, ada seorang lelaki berziarah kepada seorang saudaranya di suatu desa lain, lalu ALLAH memerintahkan malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan yang dilaluinya. Setelah orang itu melalui jalan tersebut, berkatalah malaikat kepadanya: “Ke mana engkau menghendaki?” Orang itu menjawab: “Saya hendak ke tempat seorang saudaraku di desa ini.” Malaikat bertanya lagi: “Adakah suatu kenikmatan yang hendak kau peroleh daripada saudaramu itu?” Ia menjawab: “Tidak, hanya saja saya mencintainya kerana ALLAH.” Malaikat lalu berkata: “Sesungguhnya saya ini adalah utusan ALLAH untuk menemuimu untuk menyampaikan, sesungguhnya ALLAH itu mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana ALLAH.” (Hadis Riwayat Muslim)

  • Mendoakan kesejahteraan guru

ALLAH SWT berfirman: “Berdoalah kepada-KU, nescaya akan KU-perkenankan bagimu.” (Surah al- Mukmin, ayat 60)

  • Menghormati guru sepanjang masa

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.” (Hadis Riwayat Muslim

  • Membantu guru ketika kesusahan

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang berbuat kepada kamu kebaikan, maka balaslah. Jika kamu tidak mempunyai sesuatu untuk membalasnya, maka doakanlah dia, sehingga kamu merasakan bahawa kamu sudah membalasnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Sumber https://akumuslim.asia/adab-dengan-guru-yang-anda-perlu-tahu-dan-amalkan/

***Foto: Unsplash