Browsing Tag

menilai

Buat kerja Tuhan
Berita Semasa,

Jangan buat kerja Tuhan

“JANGAN buat kerja Tuhan atau pandai-pandai ‘menghukum’ orang lain.”

Ungkapan itu acap kali kita dengar. Namun, jika kata-kata nasihat itu sekadar singgah sebentar dalam deria pendengaran umpama masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sahaja tidak memadai.

Masakan tidak, zaman media sosial pada hari ini membuatkan untaian kata berbentuk cercaan, hinaan, kecaman dan mengadili orang lain mudah benar dilontarkan. Apatah lagi apabila melihat sedikit perlakuan sumbang atau apa sahaja yang tidak kena pada mata sendiri.

Lebih memburukkan keadaan lagi sekiranya teguran dan nasihat yang ingin diberikan tidak sampai kepada si empunya diri. Sebaliknya, niat suci itu akhirnya menjadi ‘beban dosa’ pula kepada individu yang menegurnya kerana tidak kena pada caranya.

Baca juga Boleh Tegur Orang, Tapi Jagalah Adab Ketika Beri Nasihat

Malah, ada segelintir orang pula menunjukkan sikap melampaui batas dengan menjatuhkan hukuman begitu dan begini kepada mereka yang dirasakan begitu terang-terangan melakukan kesalahan.

Motivator dan penceramah bebas, Amin Idris menasihatkan agar masyarakat tidak mengata ataupun menuduh dan membuat kerja Tuhan apabila ingin berdakwah.

AMIN IDRIS

Sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka yang melakukan perkara tidak elok, elakkan bersikap demikian dalam kita hendak memberikan teguran atau nasihat, ungkapnya.

“Jangan pula kita pandai-kata kata ‘Engkau tak tutup aurat, mesti ALLAH SWT tak terima sembahyang engkau’. Ini kerja Tuhan.

“Ingatlah, kalau seseorang itu tidak tutup aurat sekalipun, tetapi dia solat dan cukup syaratnya, cukup rukunnya, insya-ALLAH, ALLAH terima (ibadahnya).

Baca juga Nak tahu solat diterima atau tidak…Ini antara tanda-tandanya

“Kalau (ALLAH SWT) tak terima sekalipun, itu bukan urusan kita. (Sebaliknya) Itu urusan dia dengan Tuhan, jangan sampai kita menghukum, kita buat kerja yang bukan kerja kita iaitu kerja ALLAH SWT,” titip beliau sebagaimana yang dikongsikan menerusi video bertajuk Aliran Sesat Asingkan Iman dan Perbuatan yang dikongsikan dalam media sosial miliknya hari ini.

Paling penting, pengacara program Tazkirah Malam Jumaat itu menyarankan agar kita memberikan kata-kata dan nasihat yang baik, selain berdoa kepada ALLAH SWT.

“Mudah-mudahan orang yang kita tegur itu diberikan hidayah. Mana tahu dia jadi lebih baik daripada kita,” katanya memberi pengingatan bersama, di samping mengulas susulan isu membabitkan seorang artis yang terpalit dengan kisah gelek dan live solat baru-baru ini.

Hati dan perbuatan saling berkait

Dalam pada itu, Amin turut memperbetulkan persepsi segelintir orang yang memandang remeh perilaku maksiat dilakukan, asalkan dirinya masih mendirikan solat dan beriman pada ALLAH SWT.

Buat kerja Tuhan

USAHLAH begitu mudah menjatuhkan hukuman kepada orang lain sehingga mengaibkan mereka. -Gambar hiasan

Antara yang pernyataan dimaksudkan seperti ‘Tak apa kita seksi dan tak tutup aurat, janji aku beriman pada ALLAH’ ataupun ‘Tak apa aku bunuh orang, yang penting aku solat’.

Ketahuilah bahawa kita tidak boleh mengasingkan di antara hati dan perbuatan kerana kedua-duanya mesti saling berkait, ujar penceramah motivasi tersebut.

Baca juga Memelihara lidah, ilmu, amal, bersangka baik ubat terbaik melawan penyakit hati – Pendakwah

“Ada satu pemikiran yang sesat iaitu fikratul irja’ dan murji’ah. Murji’ah adalah mengasingkan antara hati dan perbuatan sebagaimana contoh diberikan.

“Ia pemikiran yang salah dan sesat. Kadangkala tanpa sedar kita lakukan. Oleh itu, suka saya ingatkan supaya kita tinggalkanlah perkara itu dan berusaha untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik,” nasihat beliau.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Amin mengingatkan agar masyarakat tidak mendabik dada ketika melakukan maksiat, kemudian mempertahankan diri mengatakan diri tetap menunaikan solat dan beriman pada ALLAH SWT.

“Ingatlah, perbuatan itu tidak kena dengan amalan sebenar sebagai seorang Muslim. Ini kerana (pengertian) iman (sebenar-benarnya) adalah kita membenarkan dengan hati, bercakap dengan lidah dan melakukan dengan anggota badan. Mudah kata, semuanya mesti berkait.

Buat kerja Tuhan

PELIHARA anggota badan kita agar tidak melakukan perkara yang dilarang oleh ALLAH SWT.

“Seperkara lagi, dalam kita mahu menegur orang yang buat silap, jangan pula kita buat kerja Tuhan. Sebaliknya, berdoalah agar kita kekal di atas jalan yang benar dan jangan keliru antara yang benar dan batil,” nasihatnya.

Foto: Freepik