Browsing Tag

Mengungkit

Mengungkit
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Ruginya Hidup Kerana Mengungkit

BETAPA ruginya orang yang berbuat amal kebaikan kepada insan lain, tetapi suka mengungkit.

“Ingat tak dulu aku yang tolong kau sekian sekian..” ,

“Aku yang bayar itu ini….kau?.”

“Kalau tidak kerana aku, dia tentu …..”

Itu antara dialog klise yang kerap dituturkan oleh si pemberi bantuan yang nipis kadar keikhlasannya. Patah kalimah dan ayat-ayatnya mungkin benar, tetapi berbaur keangkuhan.

Bukan semua, ramai lagi yang tulus menghulur pertolongan tetapi gara-gara ungkit-mengungkit segala pahala yang ditimbun hangus jadi abu.

Aksi dan reaksi manusia sebegini telah dirakam di dalam Kitab Suci al-Quran menerusi firman ALLAH di dalam Surah al-Baqarah, ayat 264: “Wahai orang yang beriman! Janganlah rosakkan (pahala) pemberianmu dengan (sikap) mengungkit-ngungkit dan (kelakuan yang) menyakiti.”

Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Kamilin Jamilin turut menyentuh perkara tersebut menerusi hantaran di Facebooknya baru baru ini.

DR KAMILIN JAMILIN

“Seorang mukmin seharusnya berjiwa besar dan memiliki akhlak yang tinggi. Dia memberi, membantu dan berbuat kebaikan, tapi dia tidak mengungkit-ngungkit segala ihsan, kerana dia hanya mengharapkan ganjaran ALLAH, bukannya balasan manusia di dunia.

“Namun, jelik sekali orang yang sanggup memberhentikan kebaikan, bahkan memungkiri janji hanya kerana tidak mendapat balasan yang diharapkan,” ujarnya.

Memperincikan perkara tersebut, Kamilin memetik surah al Baqarah, ayat 262 yang bermaksud: “Orang yang membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan mengungkit-ngungkit (pemberiannya) dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka itu akan beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Menolak pemberian) dengan perkataan yang baik dan bersikap memaafkan adalah lebih baik daripada pemberian yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati.”

Baca juga Jangan Sesekali Ungkit Pemberian Kepada Orang Lain, Begitu Dahsyat Ancaman Yang Menanti

Hal ini turut dinyatakan di dalam sebuah sabda Rasulullah SAW: “Orang yang suka mengungkit kebaikan atau pemberiannya adalah manusia angkuh yang di akhirat kelak, ALLAH tidak akan memandangnya mahupun bercakap dengannya dan baginya azab yang pedih.” (Riwayat Muslim)

Di dunia, orang yang suka mengungkit-ungkit dan menyakiti perasaan penerima derma akan menjadi sasaran kebencian dan di akhirat nanti kedudukan mereka sama tarafnya dengan orang yang riak disebabkan tidak ikhlas.

Hati tanpa sinar iman

ALLAH SWT hanya memberikan pahala kepada orang ikhlas yang beramal semata-mata mahu menyucikan hati dan memperbaiki akhlaknya.

Mengungkit

MENGERTILAH bahawa harta adalah nikmat dan anugerah daripada ALLAH SWT.

Menurut Imam Al-Razi, mengungkit-ungkit itu mengakibatkan tiga gejala negatif iaitu menyebabkan hati penerima hancur serta menjatuhkan air muka mereka, selain mengakibatkan orang miskin tidak suka menerima sumbangan.

Tindakan pihak yang menyumbang mengungkit infak menunjukkan seolah-olah harta itu milik mutlak mereka hakikatnya, harta adalah nikmat serta anugerah daripada ALLAH SWT kepadanya.

Pemberi rezeki yang sebenar ialah ALLAH SWT ,tetapi jika mereka berasakan harta dimiliki adalah atas usaha serta ikhtiarnya sendiri, hati mereka tidak disinari cahaya keimanan.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak masuk syurga pengungkit pemberian, penderhaka kepada ibu bapa dan penagih arak.” (Riwayat an-Nasa’i)

ALLAH SWT tidak akan memberi petunjuk ke jalan yang baik kepada mereka kerana hanya iman yang menjadi titian seorang untuk berbuat ikhlas dan menderma hartanya. Justeru, berhati-hatilah agar infak kita tidak menjadi sia-sia.

ANEKDOT

3 kesan buruk suka mengungkit menurut Imam Al-Razi:

  1.  Hati si penerima hancur.
  2. Jatuhkan air muka mereka.
  3. Mengakibatkan orang miskin tidak suka menerima sumbangan.

Foto: Pexels, Unsplash & Freepik