Browsing Tag

#mengingatikematian

Ustaz Dr. Soberi Awang
Berita Semasa,

Menghadap ilahi ketika beri kuliah subuh, ini coretan sahabat lama Ustaz Dr Soberi Awang

PENSYARAH kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ustaz Dr Soberi Awang meninggal dunia ketika menyampaikan kuliah Subuh pagi Ahad di Surau Al-Ittihadiyah, Seksyen 9, Shah Alam.

Allahyarham membawa tajuk hari kiamat dan beliau sempat mengupas bahawa bumi ini sudah terlalu uzur dan perjalanan kita sesudah mati pun masih terlalu jauh untuk menunggu padang mahsyar nanti.

Di penghujung kuliah beliau yang terhenti selepas 20 minit, beliau sempat meminta maaf kerana sakit dada sudah lima hari (sambil menekan dadanya) dan sempat meneguk air.

Kalimah terakhir beliau ialah “ALLAH subhanahu wa ta’ala...”, sebelum tidak sedarkan diri dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Berpendidikan B.A (Syariah) dari Universiti Al-Azhar dan M.A Universiti Yarmouk, beliau menyiapkan tesis PhD beliau di UKM pada tahun 2016 di bawah selian Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron (kini Mufti Terengganu) dengan tajuk “Pengislahan dan Pengembangan Asnaf Zakat Masa Kini – Kajian Kes di Negeri Terengganu”.

PEMERGIAN yang dicemburui, Pensyarah USIM Dr Mohd Soberi Awang meninggal dunia semasa menyampaikan kuliah Subuh.

Coretan cerita sahabat lama

Ramai agamawan yang mengenali Allahyarham dan menzahirkan rasa sedih dengan pemergian beliau.

Antaranya sahabat lama Allahyarham, Mantan Menteri Agama, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang telah mengenali sosok tubuh Dr. Soberi ini sejak tahun 1990-an.

Ujarnya, ayat al-Quran terakhir yang dilafazkannya sebelum meninggal dunia semasa menyampaikan Kuliah Subuh adalah:

وَبَرَزُوا لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ
Maksudnya: “…dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) berkumpul menghadap ke hadrat ALLAH YANG MAHA ESA lagi MAHA PERKASA. (Surah Ibrahim ayat 48)

“Dengan bentuk kematian yang berlaku, saya dengan sangkaan baik yang tinggi menganggap ia adalah petanda Almarhum meninggal dunia dalam husnul khatimah.

Artikel Berkaitan 

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda “Apabila ALLAH SWT menghendaki kebaikan bagi hamba-NYA, maka ALLAH memberinya ‘asal. Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apa maksud ‘asal dari-NYA?” Baginda bersabda, “ALLAH berikan taufiq untuk beramal soleh, kemudian ALLAH cabut nyawanya dalam keadaan itu (husnul khatimah).”

“Ketika saya melanjutkan pengajian Sarjana di Damsyik, Syria lagi saya mengenali beliau sebagai anak muda yang sentiasa bersemangat dalam dakwah, dan mempunyai tahap keilmuan yang tinggi.

“Hubungan kami bertambah rapat apabila beliau menjadi pensyarah di kolej UNITI, Pasir Panjang, Port Dickson, bersama-sama saya.

DR Zulkifli ketika menziarahi keluarga dan jenazah almarhum di Hospital Shah Alam.

“Masih jelas di ingatan usaha saya, bersama-sama beliau dan juga al-Fadhil Ustaz Muhammad Nafis bin Berhan berhempas pulas memperjuangkan penubuhan program Diploma Pengajian Islam bagi Kolej UNITI. Alhamdulillah, ia kekal sehingga ke hari ini.

“Persahabatan kami diteruskan lagi apabila kami berdua berpindah dan meneruskan kerjaya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau kekal di sana dan saya meletakkan jawatan untuk berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.

“Seingat saya, pernah beliau hadir bersama-sama Prof. Dr. Aznan Hassan mewakili Majlis Ulama ISMA bertemu saya semasa saya masih menjawat jawatan Mufti.

Baca Juga “Jangan bangga nikmat dunia, kematian menjemput anytime, anyway”- Ebit Lew nasihat jangan lalai

Turut Disyorkan Prof Kamal Hassan dalam kenangan

“Saya menjadi saksi bahawa beliau adalah seorang yang gigih dalam usaha dakwah kepada masyarakat serta amat mendalam ilmunya khususnya ekonomi Islam.

“Sesungguhnya, kita adalah milik ALLAH dan kepada-NYA kita kembali.

“Mewakili Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan seluruh warga USIM, saya menzahirkan ucapan takziah dan berdoa kepada ALLAH, semogA ALLAH menempatkannya bersama dengan para anbiya’, siddiqin, syuhada’ dan solihin,” kongsinya menerusi satu hantaran di laman media sosial.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
Maksudnya: “Ya ALLAH, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepadanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya.

Jemaah Yala
Istimewa Panggilan Baitullah,

Kembali ke Rahmatullah di Mina ketika sampaikan tazkirah, sebuah kematian yang menghidupkan jiwa Mukmin

Kembali ke Rahmatullah di Mina ketika sampaikan tazkirah, sebuah kematian yang menghidupkan jiwa Mukmin..

SETIAP yang hidup di muka bumi ini pasti menyedari bahawa kehidupan akan diakhiri dengan sebuah kematian.

Bagi orang Islam, kita perlu beriman bahawa selepas berakhirnya nafas di muka bumi ini, maka bermulalah perjalanan kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Apabila ALLAH SWT telah menetapkan ajal maut seseorang itu, maka tiada satu kuasa pun yang mampu menghalangnya mahupun melengahkan ketetapan tersebut.

Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang jemaah dari Yala, Thailand meninggal dunia semasa sedang memberikan tazkirah kepada jemaah lain di khemah di Mina.

Baca Juga Jom pakat baca Doa ini pada Hari Arafah, tidak semestinya tunggu jemaah haji wukuf

Menerusi perkongsian rakaman berdurasi 31 saat oleh @rmixbyhakim itu, kelihatan arwah sedang memberikan tazkirah dalam satu majlis ilmu agama.

Apa yang membuatkan ramai sebak dan tersentuh adalah apabila dia tiba-tiba kelihatan seperti pening kepala dan ingin rebah.

Namun, sebaik saja dua orang jemaah lagi datang kepadanya, dia terus jatuh dan difahamkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

APABILA ALLAH SWT telah menetapkan ajal maut seseorang itu, maka tiada satu kuasa pun yang mampu menghalangnya mahupun melengahkan ketetapan tersebut.

Susulan tularnya video tersebut yang kini sudah meraih 737.6K tontonan di TikTok, rata-rata netizen turut mengucapkan takziah dan mendoakan agar arwah ditempatkan bersama para orang beriman.

Keistimewaan meninggal dunia di Tanah Suci Mekah?

Tidak dinafikan Tanah Suci Mekah mempunyai kelebihan berbanding tempat lain. Ini kerana terdapat banyak kenangan sejarah Rasulullah SAW dan kebangkitan Islam di Madinah dan kota Mekah.

Ketua Jaringan Industeri dan Komuniti Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menjelaskan terdapat banyak kelebihan bagi mereka yang meninggal di sana.

“Ia berikutan terdapat riwayat menunjukkan Nabi SAW memuji mereka yang meninggal di Tanah Suci. Nabi SAW bersabda “Sekiranya terdapat dalam kalangan kamu yang terpilih meninggal dunia di Madinah (Tanah Suci), maka bergembiralah. Sesungguhnya sesiapa yang terpilih (oleh ALLAH) untuk mati di Madinah, Aku akan menjadi saksi dan syafaat untuknya pada hari kiamat kelak.” (Hadis Riwayat al-Tabrani)

UMAT Islam dibenarkan untuk sentiasa berdoa agar mati di Tanah Suci, sama ada ketika mengerjakan umrah atau ibadah haji. – Foto: 123RF

“Hadis ini secara jelas menunjukkan memang terdapat kelebihan kepada mereka yang meninggal dunia di Tanah Suci seperti Madinah dan Mekah. Namun, galakan seperti ini jangan disalah tafsir sehingga ada pula nanti yang sanggup membunuh diri hanya semata-mata ingin mati di sana.

“Menurut al-Tabrani, mati yang dimaksudkan oleh Nabi SAW itu adalah mati yang tidak dirancang atau disengajakan, tetapi ia lebih kepada mati disebabkan sakit, musibah kemalangan dan seumpamanya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 

Tambah beliau lagi, mungkin akan ada yang bertanya, bolehkah kita sentiasa berdoa agar pengakhiran hidup kita di satu daripada dua Tanah Suci ini? Jawapannya, boleh. Umat Islam dibenarkan untuk sentiasa berdoa agar mati di Tanah Suci, sama ada ketika mengerjakan umrah atau ibadah haji.

“Pernah suatu ketika, Umar bin al-Khattab berdoa yang bermaksud: “Ya ALLAH, kurniakanlah kepadaku syahid ketika di jalan-MU dan biarlah kematianku itu di Negeri Rasul MU SAW.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

“Daripada doa Umar ini, Imam Nawawi berpendapat, memohon doa supaya dimatikan di tempat mulia adalah digalakkan dan ia termasuk dalam sunah Khulafa al-Rasyidin,” jelasnya.

Jadikan dunia sebagai lombong galian pahala bagi persiapan menuju akhirat
Panduan,

‘Jadikan dunia sebagai lombong galian pahala bagi persiapan menuju akhirat’ -Pendakwah

MAUT adalah tirai pertama bagi seseorang hamba memasuki alam akhirat, kata Mudir Maahad Tahfiz Darul Faizin, Hulu Langat, Selangor, Muhamad Rahmat Muhamad Ajib (gambar) yang memetik Surah Ali Imran, ayat 185.


Sehubungan itu, kata pendakwah tersebut, umat Islam sewajarnya melakukan beberapa amalan yang boleh mengingatkan kita kepada kematian.

Antara yang disyorkan adalah dengan melafazkan istighfar. Ujar Muhammad Rahmat, Nabi Muhammad SAW sendiri sentiasa melazimi kalimah suci itu sehingga akhir hayat baginda.

Selain itu, kata beliau, menziarahi kubur juga menjadikan kita memiliki keseimbangan antara semangat membangun kehidupan di dunia dengan tuntutan iman pada hari akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: “Berziarahlah kalian ke kuburan, kerana ziarah kubur mengingatkan kalian akan kematian.“ (Hadis Riwayat an-Nasai dan lainnya)
“Apabila kita berbuat demikian, secara tidak langsung, ia akan menyedarkan kita bahawa sama ada cepat atau lambat, kita pasti menjadi salah satu penghuninya (kubur),“ katanya ketika dihubungi.

BACA JUGA Mengingati mati mengurangkan hasrat duniawi kita. Ketahuilah, sakit bukanlah syarat kepada kematian


Bagaimanapun ujar Muhammad Rahmad, terdapat dua ‘penyakit‘ yang menyerang dan menular dalam kalangan umat Islam pada hari ini.

Tidak lain tidak bukan adalah sikap yang terlalu cintakan dunia dan begitu takut dengan kematian.

“Ingat, apabila dua sifat ini lahir dalam diri, kita akan mula lalai dan tiada persediaan untuk kehidupan sesudah mati gara-gara terlalu sibuk dengan nikmat dunia yang sementara ini,“ kata beliau.

Mengenai pandangan kononnya mengingati kematian hanya melemahkan semangat hidup, pernyataan tersebut ditolak mentah-mentah oleh pendakwah muda tersebut.

Jelasnya, jika manusia menggunakan akal fikiran yang serba kekurangan ini, pasti dengan rasa gentar kita akan lari daripada perkara yang ditakuti.

“Sebagai contoh, jika kita seriau dengan angsa, kita berusaha mengelak daripada mendekati haiwan itu.

“Begitu juga kalau kita takut dengan ALLAH yang berkuasa terhadap semua yang ada di langit dan di bumi. Tiada guna kita lari kerana segalanya dimiliki oleh-NYA.

“Samalah dengan maut, kalau kita lari (daripadanya), tiada sepotong bumi mahupun langit yang bukan dalam genggaman DIA dan memang tiada ruang untuk kita menghindarinya.

Sebaiknya kita perlu meningkatkan takwa dan semangat untuk beribadah dalam menyiapkan bekalan hari akhirat,” katanya panjang lebar.

Muhammad Rahmat juga mahu seluruh umat Islam merenungkan kisah para sahabat baginda yang mendambakan kematian. Ini kerana mereka yakin kehidupan di dunia ini hanya memenatkan dan cuma sementara. Justeru, marilah kita jadikan dunia kita sebagai lombong galian pahala agar kita terus bersemangat menggalinya bagi persiapan menuju ke alam abadi nanti,“ pesannya.

Menghina orang yang sudah meninggal dunia
Panduan,

Mengingati mati mengurangkan hasrat duniawi kita. Ketahuilah, sakit bukanlah syarat kepada kematian

HIDUP di dunia ini begitu mempesonakan, ‘menyihir’ mata dan telinga, malah hati serta jiwa. Pun demikian, apabila digoda dengan harta, manusia mudah alpa sehingga terjerumus ke dalam jurang kebinasaan.

Ketahuilah bahawa bumi yang dihuni kita pada hari ini hanyalah bersifat sementara, akhiratlah merupakan tempat paling abadi.

Dalam kitabullah, ALLAH SWT jelas mengingatkan umat-NYA untuk mengutamakan akhirat. Renungilah sedalam-dalamnya maksud di dalam Surah al-An’am, ayat 32: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?”

Tidak salah sebenarnya untuk mengecapi nikmat dunia seperti memiliki kemewahan, namun kita tidak boleh sesekali lupa dengan kehidupan di alam abadi. Mengertilah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

ALLAH telah menentukan ajal setiap insan sejak azali lagi. Apabila sampai ketikanya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun.

Dalam Islam, di antara amalan yang diajar kepada umatnya adalah sentiasa mengingati mati. Maut diumpamakan sebagai ‘jodoh’ yang akan kita temui pada penamat perjalanan dalam hidup ini.

Justeru, mengapa kita digalakkan untuk ingat kepada kematian? Apakah fadilat dan bekalan yang perlu kita sediakan untuk menghadap ALLAH kelak?

Elak maksiat, dosa

Sinar Islam Plus menghubungi pendakwah Dr Mohd Nasir Masroom (gambar) untuk kupasan lanjut. Ujar beliau, pada umumnya, hukum mengingati mati adalah sunat.


Terdapat banyak dalil di dalam al-Quran dan hadis yang memberi peringatan tersebut. ALLAH berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 185 yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa akan merasai mati, dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Oleh itu, sesiapa yang dihindarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya.”

Dalam Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Perbanyakkan mengingati pemutus kelazatan (iaitu kematian).”

Mengapa umat Islam disaran untuk sentiasa berfikir tentang ajalnya? Menjawab pertanyaan itu, Dr Mohd Nasir berkata, terdapat banyak kelebihan atau hikmah di sebalik seruan berkenaan.

“Pertama, seperti yang disebut dalam hadis tadi, dengan mengingati mati, hati manusia akan terputus daripada kelazatan dunia yang sering melalaikan.

Kelalaian terhadap dunia sering menyebabkan manusia melakukan perbuatan maksiat, dosa dan kezaliman. Dengan mengingati mati, manusia menjadi lebih berhati-hati dengan perbuatan dosa dan maksiat,” terangnya sambil menambah, tidak lupa kepada ajal juga boleh mendorong seseorang untuk menggandakan amal kebajikan dan kebaikan sebagai persediaan menghadapi maut.

Pada masa sama, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia itu berkata, amalan tersebut secara tidak langsung akan melahirkan sifat terpuji. Antaranya seperti bersederhana dalam setiap urusan duniawi, lebih cermat dan berhati-hati dalam melakukan tindakan termasuk membuat keputusan.

“Selain itu, manusia dapat menghindarkan sifat keji seperti sombong, tamak, rakus dan pentingkan diri sendiri.

“Seseorang juga dianggap sebagai bijak kerana bersedia menghadapi kematian, mereka akan rugi dan menyesal jika tiada persediaan yang cukup. Ini kerana kematian adalah satu kepastian dan hanya amalan yang baik akan menjadi bekalan di alam abadi nanti,” katanya.

Pernyataan itu diperkukuhkan lagi dengan sabda baginda dalam Hadis Riwayat Ibn Majah yang bermaksud: “Mukmin yang bijak adalah mereka yang banyak mengingati mati. Dan sebaik-baik mereka adalah orang yang bersedia (dengan bekalan) selepasnya, merekalah orang-orang yang bijak.”

 

BACA JUGA Jadikan dunia sebagai lombong galian pahala bagi persiapan menuju akhirat' -Pendakwah

Rahsia kematian

Mengulas lanjut, agamawan tersebut berkata, mengingati mati tidaklah bermaksud kita hanya melakukan ibadah seperti solat, zikir dan meninggalkan urusan mencari nafkah, bekerja mahupun bersosial. Itu adalah satu kefahaman yang tidak betul, tegasnya.

Kita kena ingat, tujuan hidup seorang Mukmin adalah untuk beribadah kepada ALLAH SWT. Ini bermaksud, semua perbuatan kita bermula daripada bangun tidur sehinggalah masuk tidur semula pada setiap hari adalah bermatlamatkan untuk beribadah kepada-NYA. Ingin saya ulangi, ibadah tidak terhad kepada solat, puasa dan doa tertentu semata-mata, tetapi merangkumi semua perbuatan dan pekerjaan yang berasaskan kepada niat yang baik, ikhlas dan mematuhi hukum syarak,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Nasir menyangkal andaian sebahagian masyarakat bahawa kematian hanya akan datang apabila sakit tenat atau terlantar di atas katil.
Jelas beliau, sebagai manusia, kita boleh menjangkakan tarikh kelahiran seorang bayi, namun tiada siapa tahu mengenai masa kematian secara pasti.

Firman ALLAH: “..Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya ALLAH MAHA MENGETAHUI lagi amat meliputi pengetahuan-NYA.” (Surah Luqman, ayat 34)

Penceramah itu berkata, sakit bukanlah syarat kepada kematian dan sihat bukanlah ketetapan kepada kehidupan.

Ramai yang kembali sihat selepas sakit yang berpanjangan dan ramai yang menemui ajal secara tiba-tiba tanpa tanda dan sangka. Sesungguhnya, kematian datang tepat pada masa yang telah ditetapkan seperti firman ALLAH SWT dalam Surah al-Araf, ayat 34,” katanya.

Kepada satu soalan, beritahu Dr Mohd Nasir, ALLAH merahsiakan tarikh dan waktu kematian supaya umat-NYA sentiasa bersedia untuk menghadapinya.

Justeru, kita perlu bersiap siaga setiap masa untuk mengerjakan kebaikan dan menghindari daripada melakukan kejahatan, kerosakan serta kezaliman.

 

Inilah sifat adil ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA iaitu memberi peluang kepada semua insan memilih untuk melakukan kebaikan atau kejahatan. Sekiranya manusia tahu masa kematiannya, sudah tentu mereka akan bertaubat atau menjadi baik pada penghujung masa hidup mereka. Jika ini berlaku, maka tiada manusia yang akan menjadi baik dari awal usia mereka. Masa mereka akan dihabiskan dengan melakukan perkara mengikut hawa nafsu semata-mata. Masing-masing akan mencongak untuk berubah menjadi baik setahun atau sebulan atau seminggu atau sehari sebelum malaikat maut menjemput mereka,” ujarnya.

Segera bertaubat

Penulis kemudian mendapatkan pandangan pendakwah Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir (gambar) dengan bertanyakan perihal manusia yang berputus asa dalam kehidupan, lalu bercita-cita untuk mati.

Beliau lantas berkata, dalam kehidupan fana ini, memang sarat dengan cabaran.

“Contohnya, pada era Covid-19 ini, dua ranjau besar yang sering dihadapi adalah kehilangan insan tersayang dan kemerosotan ekonomi. Ramai juga diberhentikan kerja dan terpaksa bermula semula.

“Jika ujian ini ditamatkan dengan membunuh diri, maka berapa ramai yang perlu membunuh dirinya hanya kerana ujian dalam kehidupan?” soalnya.

Jalan sebenar-benarnya untuk menangani tantangan berkenaan adalah dengan kekuatan dan keampuhan iman. Perbuatan menamatkan nyawa sendiri apabila dilingkari rintangan adalah perbuatan yang tidak wajar dan haram, tegas beliau.

Nas di dalam al-Quran ada menyatakan: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Sesungguhnya, kata Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia itu, apabila kita diuji, ingatlah kepada-NYA dengan menzahirkannya ucapan tarji’, inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.

Bersegeralah bertaubat, perbuatan suka menangguhkan (taubat) amat merugikan. Masa tidak menunggu kita, sebaliknya (masa) makin sedikit. Andaikan umur kita ditakdirkan hingga 60 tahun, bermakna masa yang kita ada semakin tak banyak,” katanya.