Browsing Tag

mengingati ALLAH

Untitled design
Gaya Hidup,

Kedudukan Zikir Sangat Tinggi Berbanding Amalan Lain, Tapi Ramai Yang Pandang Remeh

Oleh DR MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB

AL-QURAN yang diturunkan sekitar 1,400 tahun lalu kepada Nabi Muhammad SAW merupakan sebuah hadiah yang amat istimewa daripada ALLAH SWT kepada seluruh manusia di muka bumi ini.

Kitab suci al-Quran telah sekian lama menjadi rujukan utama kita. Ia menepati naluri fitrah manusiawi dan kekal relevan dalam seluruh aspek kehidupan manusia sehingga ke hari ini. Justeru, segala saranan yang disebutkan-NYA di dalam kalamullah wajar dan wajib untuk kita perhalusi dan mengamalkannya dengan sepenuh hati.

Antara perkara yang kerap kali diulang dalam al-Quran adalah sentiasa berzikir kepada YANG MAHA ESA dalam setiap keadaan, tidak terikat dengan syarat, malah sangat digalakkan untuk memperbanyakkannya.

Baca juga Begitu Hebatnya Nabi Idris Berzikir Sehingga Malaikat Suarakan Keinginan Bersahabat Dengan Baginda

Pastinya banyak kelebihan yang bakal diperoleh oleh sesiapa yang berbuat demikian. Terdapat banyak rahsia dan keistimewaan di sebalik amalan mulia itu.

Dekatkan diri dengan-NYA

Dari segi definisi, zikir bermaksud sebut dan ingat, manakala dalam sudut istilah yang difahami umum adalah sebutan yang berulang-ulang tentang nama-nama ALLAH dan juga sifat-sifat-NYA. Zikir yang biasa dilakukan secara umum oleh umat Islam merangkumi tasbih, tahmid, takbir, tahlil, membaca al-Quran dan sebagainya. Namun, inti pati kepada semua zikir tersebut adalah ingatan yang sebenar-benarnya kepada ALLAH YANG MAHA BESAR.

Zikir

ZIKIR menjadi talian terus kita kepada ALLAH SWT.

Ketahuilah, sesungguhnya, zikir menjadi talian terus kita untuk mengadu, merayu dan berhubung terus kepada ALLAH YANG MAHA BERKUASA.

Sebagai seorang Mukmin, jika kita sentiasa mengingati-NYA, maka DIA juga akan ingat pada kita. Kegagalan dalam memastikan hati sentiasa bersama-NYA merupakan antara punca utama kepada perbuatan mungkar, maksiat dan juga kerosakan di atas muka bumi ini.

Apabila ALLAH tiada di dalam sanubari kita, pastinya segala perbuatan akan dilakukan tanpa bimbingan-NYA dan menjadi semakin parah apabila hasutan syaitan menguasai diri.

Perintah ALLAH kepada orang yang beriman supaya berzikir dengan banyak boleh dilihat di dalam firman-NYA yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama ALLAH dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.” (Surah al-Ahzab, ayat 41).

Daripada ayat tersebut, dapat difahami bahawa zikir boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu berzikir dengan sebutan (zikir lisan) dan juga berzikir dengan ingatan (zikir hati).

Namun yang pasti, kedua-duanya mampu mendekatkan diri seorang Mukmin kepada Tuhan dengan sehampir-hampirnya.

Baca juga Ustazah Asma’ Harun Kongsi Kehebatan Zikir Fatimah

Tulus ikhlas

Meskipun demikian, tidak keterlaluan untuk disebut, ramai di antara kita yang memandang remeh perbuatan berzikir, sedangkan kedudukannya sangat tinggi dan agung berbanding amalan-amalan lain yang disyariatkan dalam Islam.

Malah, zikrullah sangat diutamakan oleh malaikat, wali-wali ALLAH SWT, para ulama dan juga para pejuang di jalan-NYA.

Ketinggian dan keagungannya dijelaskan secara nyata dalam firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya mengingati ALLAH adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) ALLAH mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Zikir

LAZIMKAN diri untuk mengalunkan zikrullah tidak kiralah sama ada secara lisan mahupun di dalam hati.

Zikir juga adalah ingatan tulus kita kepada ALLAH SWT yang boleh dicapai melalui sebutan yang diungkapkan oleh mulut atau ingatan yang mendalam di dalam minda dan pemikiran.

Justeru, tumpuan yang mendalam harus diberikan ketika berzikir agar matlamat meletakkan diri hampir dengan-NYA dapat dicapai. Firman ALLAH SWT bermaksud: “Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadahmu) kepadanya dengan sebulat-bulat tumpuan.” (Surah al-Muzammil, ayat 8)

Dalam realiti dunia yang penuh dengan rintangan ini, maka perlu bagi setiap orang Islam berusaha mempertahankan diri daripada hanyut di dalam arus songsang yang sentiasa mengajak manusia ke arah kebinasaan.

Justeru, setiap daripada kita harus memiliki hati yang kuat agar mampu menangani segala cabaran mendatang. Pada masa sama, membantu umat Islam yang lain daripada terpesong dari landasan agama Islam yang benar.

Maka, di sinilah zikir berperanan besar dalam membantu kita untuk memiliki hati yang kukuh imannya, cekal menghadapi pancaroba dan mampu membimbing diri sendiri dan juga orang lain agar kembali kepada-NYA.

Amat rugi sekiranya umat Islam memandang rendah dan meremehkan amalan berzikir kerana sesungguhnya zikrullah adalah asas kekuatan peribadi seorang Muslim dan Muslimah.

***Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob ialah Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor

Foto: Freepik, Pexels & Unsplash