Browsing Tag

Menghina orang yang sudah meninggal dunia

Meninggal dunia
Isu,

Jangan menghina orang yang sudah meninggal dunia

MENCACI orang yang masih hidup lagikan dilarang, inikan pula menghina orang yang sudah meninggal dunia. Perbuatan tersebut meskipun kelihatan klise, namun boleh dikatakan ia tidak pernah padam selagi mana kita bergelar manusia di muka bumi ini.

Masakan tidak, kita bukannya dilahirkan sebagai golongan yang maksum ataupun kalis dosa. Setiap saat, ada sahaja kesilapan kecil waima sekecil zarah yang dilakukan dalam sedar mahupun tidak.

Apatah lagi ketika ini media sosial menjadi platform utama untuk setiap orang berinteraksi. Adakalanya tanpa sedar komen yang ditaip menggunakan medium berkenaan telah mencerca sekali gus mengguris hati orang lain.

Ketahuilah bahawa kita tidak layak melakukan penghinaan terhadap orang lain, apatah lagi menghukum seseorang. Ini kerana kita sama sahaja kedudukannya dengan manusia lain. Hanya ALLAH SWT sahajalah yang berhak menilai setiap hamba-NYA.

Baca juga Jangan sakitkan hati orang lain sesuka hati

Memberi peringatan tersebut, pendakwah Ustaz Elyas Ismail menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook dan YouTube miliknya menjelaskan, perilaku tersebut tidak wajar dilakukan oleh setiap insan.

USTAZ ELYAS

‘Dulu hidup kat dunia tak tutup aurat, nanti dah meninggal, terimalah balasan!’

Jelas penceramah terkemuka itu, cakap-cakap seperti itu sebenarnya tidak menggambarkan langsung sifat seorang Muslim yang sejati.

“Seorang mukmin yang beriman dan berilmu sepatutnya menjaga adab khususnya terhadap orang yang telah meninggal dunia dan keluarga si mati.

“Bayangkan jika perkara sebegitu terjadi kepada ahli keluarga sendiri. Sudah tentu kita marah, bukan? Ingatlah, Islam ini agama fitrah dan memahami perasaan umatnya.

“Maka sebab itulah Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya supaya tidak boleh sama sekali mencela mahupun menghina orang lain yang sudah tiada lagi di dunia ini,” ungkapnya.

Perkara itu adalah dirakamkan dalam hadis diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Janganlah kalian mencela mayat kerana mereka telah mereka telah menjumpai apa yang telah mereka kerjakan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Meninggal dunia

UMAT Islam hendaklah berfikir terlebih dahulu sebelum berbicara agar tidak memudaratkan diri dan mengguriskan hati insan di sekeliling.

Andai perbuatan tersebut dilakukan juga, Elyas menegaskan, haram hukumnya.

“Ini bukan soal kita back up sesiapa. Tidak kiralah siapa jua individu berkenaan tanpa mengira latar belakang, andai dia meninggal dunia, tidak boleh kita hina orang tersebut.

“Nabi Muhammad SAW telah menyebut bahawa mereka (orang yang sudah meninggal dunia) sudah menjumpai apa yang telah mereka kerjakan. (Urusan mereka) sudah selesai, kita tak payah masuk campur, apatah lagi bercerita tentang balasan orang.

“Sedarlah bahawa balasan kita kelak tidak lagi diketahui. Barangkali ada yang solat pada hujung-hujung minit, tidak cukup lima waktu dan lain-lain, namun merasakan diri insan yang baik sehingga melihat orang lain serba tidak kena,” katanya.

Baca juga ‘Jangan caci orang yang dah meninggal hanya kerana dia tak sempurna amalannya ketika hidup’

Mengulas tentang ungkapan ‘mereka telah menjumpai apa yang telah mereka kerjakan’ dalam hadis tersebut, Elyas kemudian memetik pandangan Sheikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin.

Meninggal dunia

SEKALIPUN individu yang dicerca itu sudah meninggal dunia, ia bukan tiket bagi kita yang masih hidup untuk berbuat demikian dan menilai mereka.

Ulama tersebut menyatakan, ia bersifat umum. Jika individu berkenaan baik, maka celaan tersebut tidak akan mencelakakan mereka. Sebaliknya, andai individu tersebut orang yang jahat dan jelik kehidupannya, maka mereka telah mendapatkan balasannya.

Jangan sakitkan hati waris

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW melarang umatnya mencela orang yang sudah meninggal dunia kerana ia akan menyakitkan hati ahli keluarga yang masih hidup.

Ibnu al-Atsir berkata di dalam kitabnya Usul al-Ghabah: “Ketika ‘Ikrimah bin Abu Jahal masuk Islam, ramai orang-orang berkata; “Wah!, ini adalah anak musuh ALLAH, Abu Jahal”. Ucapan ini menyakitkan hati ‘Ikrimah, dan mengadu perihal tersebut kepada Rasulullah SAW, lantas beliau bersabda: “Janganlah kalian mencela ayahnya kerana mencela orang yang sudah mati akan menyakitkan orang yang masih hidup (keluarganya)”.

Justeru, pendakwah berkenaan mengingatkan agar masyarakat tidak sesekali menghina jenazah ataupun melukakan perasaan waris mereka sekalipun individu tersebut diketahui meninggal dunia atas kefasikannya.

“Walaupun kita tahu dia meninggal dunia dalam keadaan perbuatan-perbuatan tidak elok, tidak boleh kita mengucapkan kata-kata cercaan,” katanya.

Kisah pendosa ke syurga

Beliau kemudian membangkitkan kisah seorang lelaki pelaku maksiat yang telah membunuh 99 orang, tetapi akhirnya dijemput juga ke syurga supaya menjadi renungan bersama dan mengambil teladan daripadanya.

Meninggal dunia

AMBIL iktibar daripada kisah pelaku maksiat yang akhirnya dijemput ke syurga.

Dikisahkan bahawa seorang lelaki telah membunuh 99 orang. Namun, beliau berniat untuk mencari orang alim untuk diajukan soalan tentang taubat.

Baca juga Bukan sahaja pendosa yang perlu bertaubat, ini yang perlu kita tahu

Beliau berjumpa seorang pendeta dan bertanya: “Aku telah membunuh 99 orang, apakah masih ada peluang untukku bertaubat?”

Pendeta itu berkata: “Tidak”.

Mendengarkan jawapan itu, lelaki tadi lantas membunuh pendeta berkenaan. Maka cukuplah 100 orang yang dibunuhnya. Namun begitu, beliau masih mahu mencari orang alim.

Akhirnya beliau bertemu dengan orang alim yang lain. Lalu diajukan soalan yang sama: “Aku telah membunuh 100 orang, adakah masih ada peluang untukku bertaubat?”

Orang alim itu menjawab: “Ya. Siapa yang dapat menghalang kamu untuk bertaubat? Pergilah ke kampung sekian dan beribadahlah di sana. Usah kamu kembali lagi ke negerimu kerana ia negeri yang sangat hina.”

Lelaki itu lantas meneruskan perjalanannya ke kampung yang disebutkan oleh orang alim tadi. Ketika tiba di persimpangan jalan, ditakdirkan beliau meninggal dunia.

Maka berlakulah ‘pergaduhan’ antara Malaikat Azab dan Malaikat Rahmat. Akhirnya setelah diukur jarak antara dua buah tempat, jarak lelaki tersebut begitu dekat dengan kampung yang mahu ditujunya.

Jelaslah bahawa pemuda berkenaan memang bersungguh-sungguh untuk menjadi lebih baik, kata Ustaz Elyas.

“Lelaki tadi akhirnya dimasukkan ke dalam syurga ALLAH SWT. Siapa sangka hidupnya membunuh orang, apalah sangat amalan baiknya. Malah tidak disebut dalam hadis berkenaan, tetapi akhirnya dimasukkan ke dalam syurga.

“Ini bermakna, syurga dan neraka bukan bahan mainan sehinggakan kita boleh mempermainkan otang dengan berkata ‘habislah engkau masuk neraka lepas ini’ dan sebagainya,” tegasnya.

Justeru, beliau menitipkan pesanan agar kita mendoakan diri dan orang lain dimasukkan ke dalam syurga.

Baca juga Ustaz Ebit senaraikan 6 perkara perlu pelihara jaminan Muslim ke syurga

“Namun perlu diingat bahawa kita juga perlu berperilaku sepertimana sikap ahli syurga,” ungkapnya.

Meninggal dunia

BERSIKAPLAH sepertimana sifat ahli syurga untuk masuk ke dalam jannah ALLAH SWT.

Bagaimana pula dengan Firaun yang tetap dicela meskipun sudah lama meninggal dunia?

Elyas menjawab: “Firaun cerita lain kerana dalam al-Quran, ALLAH SWT sudah pun menceritakan tentangnya dan kesudahannya nanti di akhirat. Begitu juga diceritakan di dalam hadis.

“Cuma sekarang kita bercerita tentang kesudahan bagi orang yang tidak kita ketahui bagaimana dirinya di akhirat nanti. Justeru, janganlah kita kutuk, hina, apalagi mencercanya dan menjatuhkan hukuman terhadapnya.

“Daripada cakap sesuatu yang sia-sia dan boleh menyakitkan hati ahli keluarga, eloklah kita mendoakan yang baik-baik sahaja untuk mereka yang sudah meninggal dunia. Ini kerana kelak kita juga akan menemui ALLAH SWT suatu hari nanti.”

Foto: Freepik & 123rf