Browsing Tag

mengeluh

Ujian
Berita Semasa,

ALLAH Datangkan Ujian Sekali Dengan Kekuatan, Tiada Alasan Untuk Kita Mengeluh

no comment

KITA baru sahaja menyambut tahun baharu maal hijrah semalam. Pasti ramai yang menyimpan azam baharu untuk menjadi insan dan hamba ALLAH SWT lebih baik pada tahun 1443 Hijrah.

Walaupun ketika ini, sudah setahun lebih kita berjuang melawan wabak Covid-19, namun terdapat sebilangan manusia yang hampir tewas dan tidak tahan dengan ujian tersebut.

Pengasas dan Pengarah Akademi Dr Har, Prof Datuk Dr Harlina Halizah Siraj mengakui pandemik yang dilalui kini merupakan perkara paling besar kerana ia terpaksa direntas oleh semua orang di seluruh dunia.

DR HARLINA HALIZAH

Malah, katanya, ia turut memberikan impak yang bukan calang-calang dari segi ekonomi, politik, sosial dan paling ketara, kita tidak lagi boleh berinteraksi sesama sendiri sepertimana sebelum ini. Semuanya perlu dilakukan dengan mengambil kira penjarakan sosial.

“Apabila keluar daripada zon selesa, kita berasa bimbang dan janggal dalam situasi yang tidak pernah dialami. Keadaan itu dipanggil sebagai VUCA yang merangkumi volatile (bersifat meruap), uncertainty (ketidaktentuan), complexity (rumit) dan ambiguity (kekaburan).

“Walaupun itulah perasaan yang dialami, namun hakikatnya masih ada harapan di sebalik empat situasi berkenaan,” katanya berkongsi ilmu bertajuk Harapan Di Sebalik Kemusnahan pada program webinar Majlis Ilmu Khadijah 2.0, Jejak Khadijah 2021 anjuran Khadijah International Waqf (L) Foundation bersama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor yang diadakan secara maya semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Dr Harlina Halizah yang juga Profesor di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia kemudian mengajak kita untuk merenung bait-bait ayat suci al-Quran dalam ayat 286, Surah al-Baqarah.

Firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah ENGKAU mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah ENGKAU bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah ENGKAU bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah ENGKAU pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. ENGKAULAH penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

Berdasarkan kalamullah itu, Dr Harlina Halizah menjelaskan, yakinlah bahawa seberat mana pun ujian dan cabaran yang dilalui, semuanya didatangkan oleh ALLAH SWT dengan kekuatan untuk kita menghadapinya.

Ujian

SEBERAT mana pun ujian yang diberikan, ALLAH SWT datangkan dengan kekuatan untuk kita menghadapinya.

Beliau memberikan analogi mudah untuk kita memahaminya iaitu dengan mengemukakan contoh baju yang dipakai. Secara asasnya, kebanyakan daripada kita akan menempah baju khas daripada orang yang berpengalaman.

“Kalau baju itu tidak diukur pada badan kita, maka kita akan berasa kurang selesa. Oleh sebab itu, pakaian yang kita rasakan paling selesa adalah apabila ia diukur mengikut saiz tubuh kita.

“Begitulah juga dengan ujian. ALLAH SWT telah mengukurnya mengikut badan dan acuan kita. Mudah kata, ujian tersebut sudah ada nama kita dan tidak boleh orang lain yang ‘memakainya’ sebab ia tidak sesuai.

“Apabila faham konsep ini, pasti kita tidak akan persoalkan ujian yang diberikan, mengeluh apa lagi merintih dan berat hati dengan nasib yang menimpa. Yakinlah apa sahaja ujian yang ALLAH berikan, semuanya telah diukur dengan keupayaan kita,” ujarnya.

Baca juga Berdepan Ujian Getir Ketika Berhijrah, Ini Sebabnya

Beliau kemudian menasihatkan kita agar tidak terlalu lama untuk meratapinya. Sebaliknya, segera merancang strategi untuk berhadapan dengan harapan.

“Ingatlah, hanya ALLAH sahajalah yang boleh mengangkat ujian itu daripada kita. DIALAH yang MAHA BERKUASA atas segalanya.

“Mengertilah bahawa setiap daripada kita ada ujian tersendiri dan masing-masing tidak boleh mendabik dada dengan apa jua ketentuan-NYA. Ketahuilah, ujian itu boleh datang sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun musibah.

“Ada orang yang meraih lebih banyak keuntungan berbanding sebelum musim pandemik ini disebabkan khidmat yang ditawarkan sangat diperlukan pada masa ini. Semua itu adalah bentuk-bentuk hijrah sedang kita lalui,” katanya.

Ujian

BERSABARLAH apabila menerima ujian dan berhijrahlah untuk mencari solusi atas dugaan yang dihadapi.

Beliau menambah, kehidupan manusia sememangnya perlu melalui pelbagai zon. Paling kerap didengari adalah zon selesa apabila seseorang rasa selamat dan semua berada dalam kawalan sendiri.

“Apabila kita keluar daripada zon selesa, kita akan melalui zon ketakutan dengan menghadapi norma baharu sebagaimana yang dilalui ketika ini.

“Namun, apabila kita memasuki zon seterusnya, inilah yang dinamakan sebagai pengharapan di sebalik ketakutan iaitu zon pembelajaran dan pertumbuhan yang perlu kita belajar serta mengharunginya.

“Kita jadi manusia yang belajar sepanjang hayat. Sebenarnya, ALLAH SWT jadikan otak kita untuk membina sel-sel baharu setiap hari. Ketahuilah bahawa organ yang paling muda dalam tubuh kita ialah otak kerana sentiasa belajar perkara baharu yang menyebabkan sel-selnya berhubung.

“Ia menjadi titik pembelajaran yang baharu. Jadi harapan di sebalik penghijrahan tadi janganlah kita hendak kembali ke zon selesa. Daripada zon ketakutan yang dilalui nanti kita akan mula menongkah ke hadapan kerana sudah berada di takuk berkenaan,” katanya.

Justeru, beliau mengajak seluruh umat manusia untuk melangkah berhadapan dengan cabaran.

“Cabaran ini bukannya untuk melemahkan dan meresahkan kita, tetapi ia merupakan peluang serta ruang untuk kita menjadi lebih baik lagi.
Oleh sebab itu, kita tiada pilihan lain lagi melainkan utk belajar benda yang baharu.

“Paling penting, kita kena belajar benda yang salah dulu. Ia akan mencelikkan masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Khadijah International Waqf (L) Foundation, Rohani Mohd Shahar berkata, webinar Majlis Ilmu Khadijah bagi membantu menyuntik kekuatan dalaman dan membekalkan kaedah menjana pendapatan bagi golongan yang terkesan supaya mampu mengatasi cabaran pandemik secara jangka masa panjang.

Ujian

SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti Majlis Ilmu Khadijah 2.0, Jejak Khadijah 2021 yang diadakan secara maya semalam.

“Cabaran pandemik Covid-19 telah meninggalkan impak yang negatif ke atas sosioekonomi rakyat Malaysia yang mana dianggarkan 600,000 individu M40 telah turun ke B40.

“Objektif webinar bersiri ini yang bertemakan Jejak Khadijah telah bermula pada 22 Julai lalu bersempena Hari Raya Aidiladha mengambil ibrah daripada pengorbanan Siti Hajar dan menyuntik semangat kecekalan dalam pengorbanan.

“Semalam sempena awal Muharam pula, webinar mengupas tentang topik hijrah dan islah,” katanya.

Siri kemuncak Jejak Khadijah 2021 pula bakal diadakan pada Hari Merdeka ini dengan sajian ilmiah berbentuk kebijaksanaan
berasaskan ketakwaan.

Saintis Muslimah, Prof Jackie Ying menjadi antara panel yang diundang bagi memberi ceramah inspirasi menerusi slot webinar pada 31 Ogos ini, selain perkongsian pelbagai tip perniagaan yang bakal membantu para wanita menjana pendapatan untuk peningkatan
sosioekonomi keluarga.

Majlis itu bakal disempurnakan oleh isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Bagi mereka yang berminat, tiket penyertaan adalah sebanyak RM100 untuk semua siri berkenaan, manakala penyertaan secara berkumpulan pula hanya dikenakan sebanyak RM1,000 bagi 11 orang.

Bagaimanapun, pihak penganjur juga telah mendapatkan tajaan pihak korporat untuk memungkinkan para peserta mengikuti
webinar itu secara percuma.