Browsing Tag

menganiaya binatang

Sakiti haiwan
Isu, Pilihan Editor,

Tak Boleh Sakiti Haiwan, Sekalipun Ia Haram Dimakan Atau Disentuh

no comment

MENGGIGIL tubuh Mur Salina Junaidi, 20, tatkala melihat bangkai kucing peliharaannya terbujur kaku. Dirinya sukar untuk menerima hakikat bahawa si bulus yang diberi nama Cantik itu ditemui dalam keadaan tragis dengan keempat-empat kakinya putus seolah-olah dipotong.

Apatah lagi, Cantik ketika itu sedang bunting dan hanya menunggu hari untuk melahirkan anaknya.

Ketika ditemu bual oleh media pada bulan Februari lalu, Mur Salina masih berduka dengan tragedi duka itu.

“Bukan tidak mahu maafkan pelaku itu, tetapi tindakannya sangat kejam. Adakah dia tuli sampai tak dapat dengar kucing saya meraung kesakitan?” soalnya penuh emosi.

Kisah Cantik bukan sesuatu yang luar biasa. Di Malaysia, kes penganiayaan haiwan memang sering dilaporkan. Ketahuilah, adab manusia tidak terbatas kepada manusia dan ALLAH sahaja, malah terhadap alam semesta termasuk haiwan.

Baca juga Amalan Yang Boleh Dilakukan Agar Murah Rezeki

Firman ALLAH SWT dalam Surah Surah Al-Israa’, ayat 44: “Langit yang tujuh serta bumi dan segala isi kandungannya memuji ALLAH. Dan tiada suatu pun kecuali ia menyanjung dengan memuji-NYA; akan tetapi kamu tidak faham pujiannya.”

Ayat tersebut jelas memberitahu seluruh umat manusia bahawa binatang yang berkeliaran di bumi juga memuji-NYA, walaupun pujian itu bukanlah dalam bentuk yang difahami manusia.

Justeru, nyahkanlah sikap suka mendera haiwan, sebaliknya, tanamkanlah sifat ihsan dalam diri kita. Apakah maksud sebenar konsep ihsan terhadap haiwan yang diajar oleh Islam? Bagaimana pula jika terdapat haiwan yang memberi ancaman kepada kita?

Konsep ihsan

Kepada Sinar Islam Plus, pendakwah Mohd Fauzi Mustaffa menjelaskan, meskipun haiwan tiada akal, ciptaan-NYA yang satu itu juga punya perasaan dan mahukan layanan yang baik.

MOHD FAUZI

Oleh sebab itu, katanya, ALLAH SWT merakamkan dalam al-Quran supaya kita berbuat baik dan ihsan kepada semua yang ada di muka bumi ini, waima sesama manusia, haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan.

“Ketahuilah, ihsan kepada binatang itu adalah merangkumi semua jenis tidak kiralah sama ada haiwan bernajis, tidak bernajis, halal atau haram dimakan.

“Dalam hadis banyak menceritakan tentang kucing. Walaupun si bulus itu haiwan tidak bernajis dan tidak boleh dimakan, tetapi kita perlu berbuat baik kepadanya.

“Begitu juga halnya dengan anjing yang termasuk sebagai haiwan najis mughallazah dan tidak boleh dimakan,” katanya ketika dihubungi.

Menyambung hujahnya, Mohd Fauzi menjelaskan konsep berbuat baik kepada haiwan terbahagi kepada dua kategori. Seandainya kita membela atau memelihara binatang, penuhilah tiga hak haiwan iaitu dengan memberi makanan, minuman dan rehat.

Sakiti haiwan

PENUHILAH hak-hak haiwan yang dipelihara dengan sebaiknya agar kita tidak berlaku zalim dengan ciptaan ALLAH yang satu ini.

“Jika kita membela kerbau untuk membajak sawah misalnya, wajib tunaikan semua hak tersebut. Tak boleh 24 jam bebankan kerbau berkenaan dengan membajak sawah saja.

“Sementelah, jika melibatkan haiwan yang tidak dipelihara, hak yang patut kita pelihara adalah jangan sesekali menyakiti haiwan itu.

“Sekalipun tidak mahu memberikannya makanan, tetapi usahlah kita menyekatnya untuk makan seperti mengurungnya. Berdosa berbuat demikian,” tegasnya.

Iktibar

Bukan itu sahaja, jelas agamawan itu, konsep ihsan turut diterapkan dalam agama ketika menyembelih haiwan untuk dijadikan sumber makanan kita.

“Nabi Muhammad SAW berpesan, apabila ingin menyembelih binatang, maka sembelihlah ia dengan baik. Caranya adalah dengan menajamkan pisau supaya haiwan itu tidak berasa sakit.

“Seperkara, usah sesekali kita mengasah pisau di hadapan haiwan yang hendak disembelih kerana ia boleh menyakiti perasaannya. Perbuatan itu adalah dilarang.

“Ingatlah bahawa menyakiti haiwan bukanlah bermaksud kita menyeksa fizikalnya saja, tetapi juga perasaannya,” katanya.

Sakiti haiwan

KONSEP ihsan juga diterapkan ketika menyembelih haiwan iaitu dengan cara menajamkan pisau.

Begitu juga halnya dengan haiwan yang tidak boleh dimakan seperti binatang perosak atau jenis yang mendatangkan mudarat kepada manusia. Seandainya dibunuh, terapkan juga konsep ihsan.

“Ertinya, jangan menyakiti atau menyeksa binatang tersebut. Sebaliknya, bunuh dengan baik iaitu sekali buat, terus mati,” katanya.

Meneruskan perkongsian ilmunya, Mohd Fauzi kemudian menceritakan kisah penganiayaan terhadap haiwan yang boleh dijadikan iktibar agar kita tidak berlaku zalim terhadap makhluk ALLAH SWT.

Ketika dalam suatu perjalanan, Rasulullah SAW terlihat seekor unta yang sedang merintih dan mengalirkan air mata. Baginda segera mendekatinya dan mengusap lembut bahagian belakang telinga hingga unta itu tenang.

Lantas, baginda dalam nada yang tegas bertanyakan: “Siapakah pemilik unta ini?“ Maka, seorang lelaki Ansar menjawab dengan jujur: “Sayalah pemilik unta ini, ya Rasulullah.”

Lalu, baginda SAW menegur lelaki itu: “Tidakkah kamu takut kepada ALLAH hingga kamu memperlaku binatang yang DIA berikan kepada kamu? Perutnya kamu laparkan, tubuhnya kamu letihkan dengan kerja paksa yang tiada henti dan di luar kemampuannya.“ (Riwayat Abu Daud)

Dalam sebuah hadis masyhur, ujar Mohd Fauzi, Rasulullah SAW telah memberi peringatan dan ancaman terhadap seorang wanita yang tidak memberi makan dan minum kepada kucingnya ketika mengurungnya. Bahkan, haiwan comel berkenaan turut tidak dilepaskan untuk mencari makanan sendiri.

Baginda SAW bersabda: “Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung hingga mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.“ (Riwayat al-Bukhari)

Sakiti haiwan

CINTAI haiwan sebagaimana sayangnya Nabi Muhammad SAW kepada semua makhluk ciptaan ALLAH SWT.

Berdasarkan hadis berkenaan, sudah terang lagi bersuluh, kita dilarang keras menyakiti haiwan apatah lagi mendera atau menyeksanya, ungkap Mohd Fauzi.

Bagaimana pula jika berdepan dengan haiwan yang boleh mengancam nyawa kita? Mohd Fauzi menjawab: “Contohnya, apabila ular masuk ke dalam rumah, Nabi Muhammad SAW berpesan agar kita tidak terus membunuhnya. Sebaliknya, berilah amaran supaya ia keluar rumah.

“Ini kerana dikhuatiri ular tadi barangkali ialah jin yang menjelma dalam bentuk haiwan yang ditakuti oleh manusia.

“Ketahuilah, dalam istilah perubatan Islam, ada penyakit yang dipanggil sebagai badi haiwan. Ia berlaku apabila kita menyakiti binatang dengan sengaja yang menyebabkan badi tadi akan terkena kepada pelakunya mahupun keluarganya.”

Kepercayaan syirik

Fakta yang dilontarkan oleh Mohd Fauzi turut dipersetujui oleh pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad.

DA’I FUAD

Beliau menambah, salah satu bentuk penganiayaan terhadap haiwan termasuklah apabila kita menggunakannya untuk tujuan kepercayaan syirik.

“Umpamanya, menggunakan dan mempercayai ikan puyu dapat menghalau serta memakan makhluk ghaib. Begitu juga mempercayai rawatan yang memindahkan sakit daripada manusia kepada seekor ayam misalnya. Semua ini termasuk antara perkara yang sangat zalim kepada haiwan kerana mempergunakannya,“ tegas beliau.

Bagaimana pula jika kita pernah menganiaya haiwan seperti melastik burung suatu ketika dulu tanpa sengaja ketika diri masih jahil?

Menjawab persoalan itu, Da’i Fuad menjelaskan, taubat paling baik adalah dengan mengakui kelemahan dan kesalahan diri, menyesal dengan kemaksiatan dilakukan dan berazam tidak mengulanginya.

“Satu lagi, lakukanlah infak atau sedekah jariah kepada haiwan-haiwan ’sebangsa’ dengan binatang yang pernah kita sakiti. Beri makan sebagai tanda memohon maaf kepada haiwan tersebut. Lakukan semuanya ikhlas kerana ALLAH SWT.

“Walaupun haiwan itu tidak berakal, tetapi apabila kita memuliakan dan menghargainya, ALLAH SWT akan memberi timbal balas yang baik kepada kita,“ pesannya.

Baca juga ALLAH ‘Jumpa’ Kita Apabila Lakukan Perkara Ini

Ketahuilah, ALLAH SWT MAHA PENGAMPUN sehinggakan dalam sebuah hadis masyhur, ada dinyatakan bahawa DIA mengampunkan dosa seorang wanita pelacur kerana memberi minuman kepada anjing yang hampir mati akibat kehausan.

“Ingin saya jelaskan, ia bukanlah bermaksud ALLAH SWT reda dengan perbuatan pelacuran yang dilakukan. Sebaliknya, perbuatan mulianya yang memberikan anjing kehausan minum itu membuatkan dirinya mendapat pengampunan daripada ALLAH SWT.

“Justeru, sama-samalah kita memuliakan haiwan dan anggaplah ia sebagai makhluk ALLAH SWT yang perlu dikasihi kerana kita berkongsi bumi yang sama dengannya,“ titipnya.

Sakiti haiwan

JANGAN menyeksa haiwan apatah lagi menzaliminya dengan membiarkan ia dikurung tanpa diberi makan dan minum.

‘Seksa haiwan jebakkan pelaku dengan seksaan api neraka’

DALAM Islam, semua haiwan ada kedudukannya yang tersendiri. Begitu istimewanya ia apabila nama-nama haiwan turut terkandung dalam kitab suci al-Quran menerusi judul surah-surah tertentu.

Antaranya termasuklah Surah al-Baqarah (sapi betina), al-An’am (binatang ternakan), an-Naml (semut), an-Nahl (lebah) dan al-Ankabut (labah-labah).

Pendakwah Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan, ALLAH SWT menyuruh hamba-NYA supaya berbuat baik terhadap haiwan dan semua makhluk ciptaan-NYA.

WAN AKASHAH

Ini kerana katanya, ALLAH SWT menjadikan setiap ciptaan-NYA tidak sia-sia dan semuanya mempunyai fungsi dan peranan tersendiri.

“Asal kejadian haiwan ini adalah untuk kita jadikan sumber pembangunan insan. Dengan erti kata lain, ia untuk dimanfaatkan iaitu dijadikan sebagai sumber makanan bagi manusia. Maka sebab itulah apabila kita menyembelih haiwan, ia perlu disempurnakan dengan cara paling baik untuk dijadikan sebagai makanan.

“Andai ia tidak dilakukan dengan cara penyembelihan, darahnya tidak akan mengalir. Maka haiwan itu akan menjadi bangkai yang mana ia boleh membawa penyakit kepada mereka yang memakannya,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Kepada mereka yang sengaja menyeksa haiwan, Wan Akashah memberi peringatan tegas. Dalam sebuah hadis yang masyhur, Rasulullah SAW memberi amaran perbuatan itu boleh menjebakkan pelakunya dengan seksaan api neraka.

Bukan itu sahaja, baginda SAW juga bersabda: “Sesiapa yang menyeksa sesuatu yang bernyawa, lalu tidak bertaubat, nescaya ALLAH menyeksanya pada hari kiamat.” (Riwayat Ahmad)

“Justeru, suka saya ingatkan agar kita tidak berbuat sewenang-wenangnya kepada haiwan. Hatta menyabung ayam sekali pun dilarang dalam agama Islam. Apatah lagi berlaku zalim terhadap makhluk ciptaan ALLAH SWT itu,” tegasnya.

Agamawan itu juga menitipkan pesanan kepada bakal bapa atau mereka yang bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

“Sesiapa yang menyeksa binatang ketika isterinya sedang mengandung, anak yang dikandung itu mungkin akan menyerupai haiwan yang pernah diseksa dari segi perangai, sifat atau bentuknya. Itu yang selalu masyarakat kita perlu ingat.

“Ketahuilah, perkara itu benar-benar boleh berlaku kerana ia ada kaitan dengan sikap seseorang yang menzalimi haiwan. Ingatlah bahawa semua makhluk ALLAH SWT termasuk haiwan sentiasa memuji-NYA.

“Sebelum haiwan tadi mati, ia akan berdoa kepada ALLAH lebih-lebih lagi jika ia dizalimi. Perbuatan jahat yang pernah dilakukan pada haiwan tadi akan ‘kenan’ kepada pelakunya atau keluarganya,” katanya.

Sakiti haiwan

MENERUSI Hadis Riwayat at-Tirmidzi, kucing ialah haiwan yang suci dan tidak menajiskan. Kucing juga menjadi salah satu haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW dan menganiayainya termasuk binatang-binatang lain adalah satu perbuatan yang dicela dalam Islam.

ANEKDOT

RASULULLAH SAW pencinta haiwan

– Nabi Muhammad SAW ialah rasul yang sangat menyayangi haiwan dan setiap makhluk yang dijadikan oleh ALLAH SWT dalam kehidupannya.

– Oleh sebab kecintaan itulah, baginda meletakkan nilai kepada haiwan-haiwan tersebut.

– Sikap itu dapat dilihat apabila Rasulullah SAW menamakan haiwan-haiwan yang selalu menjadi tunggangan baginda.

– Antaranya dalam satu riwayat, disebutkan bahawa kekasih ALLAH itu meletakkan nama al-Murtajaz terhadap kuda tunggangannya. Nama itu diilhamkan oleh baginda SAW kerana keindahan warna putih kuda berkenaan, selain kekuatannya.

– Sebab itulah menamakan haiwan tunggangan kita termasuk antara sunah Rasulullah SAW.

– Walaupun mungkin kita beli kereta yang sudah pasti ada jenamanya, tidak salah kita meletakkan nama kepadanya. Ia sebagaimana baginda SAW membubuh nama al-Qaswa kepada unta miliknya.

– Bukan itu sahaja, Rasulullah SAW juga menyayangi kucing dan kambing.

– Disebabkan sifat penyayang itu, baginda SAW begitu menjaga makan dan minum haiwan berkenaan serta mengehadkan tugasan binatang berkenaan mengikut kemampuan stamina masing-masing.

– Andai kata seekor haiwan tunggangan baginda tidak mampu bekerja keras atau ke medan perang, maka Rasulullah SAW tidak akan menggunakan kuda tersebut untuk tujuan itu. Begitu juga dengan haiwan yang uzur dan tidak kuat dalam perdagangan.

Sumber: Pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar (Da’i Fuad)

Foto: Freepik & 123rf