Browsing Tag

Mengandung

Mengandung
Hukum,

Berupaya mengandung dengan mandi atau berendam dalam tasik magis? Jangan mudah percaya, baca dahulu penjelasan ini

HANYA mandi atau berendam di dalam tasik, wanita boleh terus mengandung. Demikianlah antara cerita magis yang kita biasa dengar baik dari mulut seseorang mahupun media sosial.

Ada yang mempercayai ceritera berkenaan. Tidak kurang pula mereka yang menganggapnya umpama kisah dongeng dan sekadar mitos semata-mata.

Walaupun barangkali ada wanita yang berjaya hamil selepas berbuat demikian, ketahuilah, semua itu tidak akan berlaku tanpa izin daripada ALLAH SWT. DIA MAHA BERKUASA ke atas segala-galanya.

Sebagai umat Islam, kita wajib mempercayai bahawa hanya YANG MAHA ESA berupaya melakukan semuanya atas sesiapa yang dikehendaki-NYA.

Baca juga Negara Sudah Maju, Tetapi Masih Ramai Lagi Percaya Kepada Hal Karut-Marut. Berikut Peringatan Islam Kepada Pelakunya

Sesiapa yang meyakini sesuatu selain daripada-NYA memberi manfaat atau mudarat, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberi peringatan bahawa ia merupakan amalan yang syirik.

“Malah, ia dikategorikan sebagai usaha yang haram kerana tidak berlandaskan syariah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Afkar #127: Isu Mandi Tasik Mujarab Untuk Mengandung yang disiarkan menerusi laman web rasmi pejabat berkenaan.

Mengandung

TASIK juga merupakan ciptaan ALLAH SWT. Jangan kita mensyirikkan YANG MAHA ESA dengan sesuatu yang lain daripada-NYA.

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW ada memberi peringatan tentang sikap kebergantungan kepada selain daripada ALLAH SWT.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengikat sesuatu ilmu kemudian meniupkannya, maka itu adalah sihir, dan dia telah melakukan perkara yang syirik. Dan sesiapa yang menggantung sesuatu sebagai azimat, maka ia diwakilkan sebagai tempat dirinya bergantung (tidak mendapat apa-apa manfaat).” (Hadis Riwayat an-Nasa’i)

Berdasarkan ungkapan hadis berkenaan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan agar umat Islam perlu tetap berpegang bahawa ALLAH SWT MAHA BERKUASA untuk memberikan rezeki, manfaat dan mudarat.

Baca juga Elakkan Amalan Khurafat Ketika Wabak

“Meyakini selain daripada ALLAH SWT yang mampu memberi rezeki atau mudarat seperti percaya kepada tasik, makhluk atau ciptaan lain adalah syirik hukumnya. Cara sedemikian juga dikategorikan sebagai usaha yang haram kerana tidak berlandaskan syariat Islam.

Mengandung

KITA boleh berikhtiar dengan pelbagai cara yang dibenarkan syarak untuk hamil, tetapi jangan sampai menyandarkan kepercayaan bahawa makluk atau ciptaan ALLAH SWT yang lain mampu memberikan rezeki itu kepada manusia.

“Ingatlah, hanya ALLAH SWT sahajalah yang mapu memberikan manfaat mahupun mudarat,” pesan laman web tersebut.

Sesungguhnya, manusia itu ciptaan-NYA. Mengapa perlu kita meyakini sesuatu yang lain selain daripada-NYA? Tepuk dada, tanya iman masing-masing.

Foto: Freepik & Canva