Browsing Tag

memohon keampunan ALLAH

Rejab
Gaya Hidup,

Istighfar bukan sekadar memohon keampunan ALLAH, tetapi juga dibuka pintu rezeki

LAFAZ istighfar sering kali diucapkan untuk memohon keampunan ALLAH SWT, selain bertaubat.

Makum sahajalah, jika diteliti definisinya, istighfar sememangnya merupakan perbuatan memohon ampun kepada Yang MAHA ESA. Malah, perilaku itu begitu dituntut dalam Islam dengan sebanyak-banyaknya.

Ya, sebagai hamba, siapa lagi mahu membasahkan lidah dengan lafaz mulia itu kalau bukan kita, bukan?

Pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli dalam ciapan di Twitter miliknya menjelaskan, istighfar terbahagi kepada tiga kategori iaitu:

USTAZ MUHAMMAD FAHMI

i. Istighfar para pendosa.

Apabila seseorang itu berdosa kepada ALLAH SWT sama ada meninggalkan perintah-NYA atau melakukan larangan-NYA.

ii. Istighfar para auliya’ dan orang soleh.

Ia apabila mereka merasakan ada kekurangan dalam pelaksanaan ibadah.

iii. Istighfar para anbia.

Ini bukan kerana mereka bermaksiat atau kurang dalam pelaksanaan ibadah. Sebaliknya, istighfar daripada para anbia itu adalah suatu manifestasi kesyukuran ke atas setiap nikmat kurniaan ALLAH SWT kepada mereka.

Baca juga Banyak rupanya kelebihan istighfar yang ramai tak sedar…

Melihat kategori tersebut, jelaslah bahawa kita termasuk dalam kelompok yang pertama. Masakan tidak, manusia semuanya pendosa tidak kiralah siapa pun kita.

Disebabkan itulah tidak cukup jika sekadar ungkapan ‘astaghrullahal ‘azim’ dilafazkan andai tidak diiringi dengan hati yang mengakui kekhilafan, penyesalan dan memohon kemaafan.

Sedangkan para nabi yang bersifat maksum itu pun beristifghfar, inikan kita pula insan biasa yang banyak dosa.

Istighfar

BERISTIGHFAR memohon keampunan daripada ALLAH SWT atas segala dosa yang pernah dilakukan. Di samping itu, zikrullah itu membuka pintu rezeki kepada sesiapa yang melazimkannya. -FOTO: 123RF

Rahsia istighfar

Di sebalik lafaz mulia berkenaan, istighfar sebenarnya bukan sahaja diucapkan untuk memohon keampunan ALLAH SWT semata-mata.

Ketahuilah bahawa begitu banyaknya rahsia istighfar yang mendatangkan fadilat bukan calang-calang kepada mereka yang melazimkannya.

Baca juga Tangani tiga masalah ini dengan solat taubat dan istighfar

Memetik artikel yang disiarkan laman web ilmusunnah.com, istighfar berupaya membuka pintu-pintu rezeki, selain menjadikan harta lebih diberkahi.

Malangnya ramai yang memandang enteng dengan zikirullah berkenaan kerana terlalu sibuk dalam urusan harian. Hakikatnya, saban hari kita berusaha mencari rezeki, tetapi jangan sesekali lupa pada Sang Pemberi Rezeki!

ALLAH SWT berfirman: “Dan beristighfarlah kepada Rabb-mu, kemudian bertaubatlah kepada-NYA. Nescaya DIA akan memberi kepada kamu kenikmatan yang baik sehingga waktu yang ditentukan, dan DIA memberi kepada setiap yang memiliki keutamaan, keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab di hari yang besar (kiamat).” (Surah Hud, ayat 3)

Selain itu, kalam ALLAH itu turut menyebut banyak petunjuk yang menjelaskan bahawa rezeki, nikmat dan kebahagiaan akan diturunkan kepada orang yang melazimkan diri dengan istighfar, bertaubat dan kembali kepada ALLAH SWT.

Istighfar

ALLAH SWT akan memperbanyakkan rezeki, selain menurunkan hujan yang barakah, mengeluarkan keberkahan dari bumi, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan melimpahkan susu-susu perahan dan melengkapkan harta serta anak-anak. -FOTO: 123RF

Nabi Nuh AS pernah berkata kepada kaumnya sebagaimana dirakamkan dalam al-Quran: “Maka aku katakan kepada mereka, “Beristighfarlah kepada Rabb-mu, sesungguhnya DIA akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan melengkapkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun, dan mengadakan pula di dalamnya sungai-sungai.” (Surah Nuh, ayat 10-12)

Baca juga Sayyidul istighfar penghapus dosa, janji syurga, rugi jika tidak amalkan

Menurut Ibn Katsir dalam tafsirnya, apabila kita bertaubat, beristighfar dan sentiasa mentaati ALLAH, Sang Khalik akan memperbanyakkan rezeki, selain menurunkan hujan yang barakah, mengeluarkan keberkahan dari bumi, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan melimpahkan susu-susu perahan dan melengkapkan harta serta anak-anak.

“Ini bermakna, DIA akan memberi kita harta kekayaan, anak-anak dan kebun-kebun yang terdapat di dalamnya pelbagai jenis buah-buahan yang di dalamnya mengalir sungai-sungai,” kata ulama tafsir berkenaan sebagaimana dipetik menerusi ilmusunnah.com.

Bukan itu sahaja, begitu hebatnya amalan berkenaan sehinggakan Ibn Taimiyyah Tahimahullah menyatakan: “Istighfar adalah sebesar-besar kebaikan dan pintunya sangatlah luas. Maka, siapa yang merasa kurang pada perkataannya, atau kurang dalam amalannya, atau kurang dalam urusannya atau rezekinya, atau tidak tenteram pada hatinya, maka hendaklah dia hadapinya dengan tauhid dan istighfar, kerana pada keduanya ada penawar jika diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.” (Majmu’ al-Fatawa)

Justeru, marilah kita bersama-sama membasahkan lidah kita dengan istighfar. Semoga apa jua kesulitan yang ditanggung dikurniakan solusi terbaik dan dibukakan pintu rezeki kita.