Browsing Tag

memanah

Untitled design (2)
Gaya Hidup,

Rasulullah Didik Keluarga Sebagaimana Dikehendaki ALLAH. Ini Beberapa Kaedah Yang Digunakan

no comment

BERBICARA tentang pendidikan Nabi Muhammad SAW terhadap ahli keluarga baginda, memerlukan huraian berjilid-jilid buku.

Secara intipati, cara baginda mendidik ahli keluarga adalah sebagaimana yang dikehendaki ALLAH SWT menerusi firman-NYA dalam Surah al-Tahrim ayat 6.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor berkongsi beberapa kaedah yang digunakan baginda, antaranya:

“Perkara pertama yang baginda lakukan adalah memperkenalkan akidah tauhid supaya anak-anaknya yakin kepada kewujudan ALLAH SWT sebagai Pencipta manusia dan alam semesta YANG MAHA BERKUASA , MAHA MELIHAT dan MAHA MENGETAHUI SEGALA-GALANYA.

“Selepas itu baginda mendidik mematuhi segala perintah ALLAH dengan mengerjakan segala suruhan-NYA dan menjauhi segala larangan-NYA. Perkara pertama yang baginda pentingkan dalam kontaks ini ialah mendirikan solat.

“Hal ini sebagaimana dinyatakan di dalam sebuah hadis sahih Riwayat Abu Daud bahawa Nabi SAW bersabda: “Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat ketika umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka (untuk bersolat) ketika mereka berumur 10 tahun dan pisahkan mereka di tempat tidur (antara lelaki dan perempuan).

“Didikan sedemikian telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW terhadap anak-anak baginda dan pendidikan yang sama juga dituntut daripada umat Islam supaya melaksanakannya terhadap anak-anak dan ahli keluarga masing-masing,” katanya kepada SI+.

Justeru, para ibu bapa wajib membiasakan anak-anak mengerjakan solat sejak umur mumaiz (mampu membezakan baik dan buruk) iaitu ketika berusia 7 tahun. Untuk tujuan ini mereka dibenarkan memukul yang tidak mencederakan supaya amalan solat menjadi adat pada diri anak-anak.

“Seterusnya apabila usia anak-anak menghampiri peringkat remaja, ibu bapa dikehendaki memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan, juga dengan ibu bapa. Ini adalah satu langkah berhati-hati supaya tidak berlaku perkara tidak diingini memandangkan kesedaran seksual mulai muncul apabila usia kanak-kanak mencecah zaman remaja sedangkan akalnya masih belum matang.

“Di samping itu kemungkinan sewaktu tidur aurat seseorang terdedah dan boleh meimbulkan nafsu orang yang memandangnya.

“Rasulullah SAW juga melalui isteri, Siti Khadijah mendidik anak-anak perempuannya bagaimana untuk mengurus rumah tangga sebagai persediaan bagi mereka untuk menjadi isteri dan ibu,” ujarnya.

 

Anak-anak perempuan baginda diasuh oleh Siti Khadijah dengan ilmu-ilmu rumah tangga sebagai prsediaan apabila berkehwin kelak.

Tambah agamawan tersebut, kesemua anak-anak lelaki baginda meninggal dunia ketika masih kecil, jadi hanya anak-anak perempuan sahaja yang menerima pendidikan baginda dan isterinya.

“Panduan pendidikan terhadap anak-anak lelaki secara prinsipnya tidak berbeza dengan apa yg diterangkan. Cuma perinciannya tentulah anak-anak lelaki dan perempuan perlu didedahkan kepada pendidikan yang sesuai dengan jantina masing-masing.

“Antara penekanan yang diberikan dalam pendidikan terhadap kanak-kanak lelaki termasuklah berenang, memanah dan menunggang kuda.

“Latihan berenang bertujuan untuk memperkembangkan kedua-dua belah otak kanan dan kiri kanak-kanak sekali gus membuatkan seseorang mampu mempelajari sains dan sastera.

“Sementara latihan memanah pula bertujuan memperkembang daya penumpuan kanak-kanak, manakala menunggang kuda adalah untuk mengembangkan potensi mengimbangi sesuatu perkara,” katanya.