Browsing Tag

memakai al-Quran

Hina Rasulullah
Panduan,

5 nikmat dan janji ALLAH SWT kepada pencinta al-Quran

SEJAK sektor ekonomi dibuka kembali selepas ‘lumpuh’ gara-gara wabak Covid-19, kehidupan kita mulai sibuk. Apa tidaknya, rutin kita sudah normal seperti sebelum virus berkenaan menyelubungi dunia.

Pun demikian, janganlah faktor tersebut dijadikan alasan untuk kita culas dalam melakukan ibadah waima yang wajib mahupun sunat.

Selain menunaikan solat fardu yang sememangnya disyariatkan kepada kita, paling tidak pun, usahlah kita meninggalkan al-Quran. Bacalah kalam ALLAH SWT itu walaupun hanya satu muka surat sehari.

Kepada mereka yang masih merangkak-rangkak membaca al-Quran, pendakwah Asma’ Harun berpesan agar istiqamah berhijrah untuk belajar, membaca dan memahami isi kandungannya.

ASMA’

“Biarlah apa sahaja yang manusia katakan kepada kita. Jangan sesekali bersedih tatkala kita dicemuh, dikeji dan dipandang hina oleh orang sekeliling.

“Bersyukurlah dan berbahagialah kerana dalam ramai manusia, ALLAH masih memilih dan mengizinkan kita untuk belajar dan mendalami al-Quran walaupun pada usia lanjut,” titipnya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Sebagai motivasi untuk kita terus belajar dan mendalami al-Quran, Asma’ kemudian mengajak kita merenung sedalam-dalamnya hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah binti Abu Bakar RA.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang mukmin yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani oleh para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran dengan gagap iaitu sulit dalam membacanya, maka ia mendapat dua pahala.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Para Malaikat Akan Mengerumuni Mereka Yang Bertadarus Al-Quran, Berikut Hikmah-Hikmah Lain

Pendakwah terkenal berkenaan turut berkongsikan lima janji ALLAH SWT buat orang yang bersahabat dengan al-Quran kerana-NYA.

Berikut perinciannya:

1. Menjadi syafaat kepada pembacanya.

Janji ALLAH kepada pencinta al-Quran

LAZIMKAN diri membaca kalam ALLAH pada setiap hari kerana ada fadilat yang bakal menanti iaitu mendapat 10 ganjaran pahala bagi pembacaan setiap huruf dalam al-Quran.

Daripada Abu Umamah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran kerana ia akan datang memberi syafaat kepada para pembacanya pada hari kiamat nanti.” (Hadis Riwayat Muslim)

2. Diangkat martabat dan darjatnya.

Daripada Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH SWT akan mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran.” (Hadis Riwayat Muslim)

3. Penawar bagi orang beriman.

Firman ALLAH SWT: “Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran iaitu al-Quran daripada Tuhanmu dan ia adalah penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57)

4. Mendapat ketenangan.

Daripada al-Bara’ RA, beliau berkata: Ada seorang lelaki membaca Surah al-Kahfi, sementara di sampingnya terdapat seekor kuda yang terikat dengan dua tali ikatan. Tiba-tiba ia dinaungi oleh gumpalan awan. Awan tersebut kemudian berputar-putar dan mendekat sehingga kuda itu pun lari. Ketika pagi, lelaki itu mendatangi Nabi Muhammad SAW dan memberitahu perkara itu kepada baginda, maka baginda pun bersabda: “Itulah as-Sakinah (ketenangan) yang turun bagi (pembaca) al-Quran.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Ganjaran besar dan berpanjangan di dunia juga di akhirat dengan berwakaf al-Quran. Berikut fadilat-fadilat lain

5. 10 ganjaran pahala bagi setiap satu huruf yang dibaca.

Janji ALLAH kepada pencinta al-Quran

LAZIMKAN diri bertadarus al-Quran kerana banyak kelebihan yang bakal diraih hasil daripada amalan tersebut.

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran, maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi 10 kebaikan yang sama dengannya. Aku tidak mengatakan alim lam mim satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Sesungguhnya, bukan calang-calang imbalan yang dijanjikan oleh ALLAH SWT kepada mereka yang mendampingi al-Quran.

Justeru, beliau berpesan agar kita sentiasa berusaha mendekati, memahami dan mengamalkan ayat-ayat al-Quran.

“Ketahuilah, al-Quran akan menjadi pembela di akhirat buat sesiapa sahaja yang membacanya, memahami, mempelajari dan mengamalkannya.

“Bahkan, orang yang paling baik di antara kita semua ialah orang yang belajar dan mengajarkan al-Quran,” jelasnya.

Foto: Freepik, Bernama, Pexels & Unsplash