Browsing Tag

melebihkan isteri

Taat pada ibu
Isu,

Antara taat pada ibu dan nafkah untuk isteri, jangan sampai suami jadi anak derhaka

Antara taat pada ibu dan nafkah untuk isteri, jangan sampai suami jadi anak derhaka

ISU melebihkan isteri daripada ibu sendiri seakan tidak pernah padam. Maklum sahajalah, setiap daripada kita berdepan situasi berbeza meskipun sama-sama sudah berumah tangga.

Barangkali disebabkan itulah terkeluarnya pernyataan ‘rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain’.

Maklum sahajalah, manusia sememangnya sukar untuk lari daripada sikap suka membanding-bandingkan atau melebihkan antara satu sama lain.

Lebih-lebih lagi bagi lelaki yang sudah berkahwin. Antara taat pada ibu dan kasihkan isteri, ia antara dilema dihadapi segelintir mereka sehinggakan adakalanya membuatkan mereka ‘tersepit’.

Baca juga Menantu Wajib Beri Nafkah Pada Mertua? Ini Yang Perlu Kita Tahu

Bagaimanapun, dari segi nafkah, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menerusi perkongsian di platform Instagram miliknya baru-baru ini memberikan panduan jelas mengenainya.

USTAZ AZHAR IDRUS. Foto: Google

Beliau menjelaskan, suami wajib mendahulukan nafkah isteri tidak kiralah sama ada suri hati mereka itu susah atau senang.

Ketahuilah, nafkah ibu hanya wajib apabila orang tuanya miskin atau dalam kesusahan, ungkapnya.

“Bagaimanapun, dari segi ketaatan pula, seorang suami perlu mendahulukan ibunya daripada isterinya.

“Jika ibunya tidak suka dilebihkan isterinya dalam (soal) pemberian, maka hendaklah lelaki itu merahsiakannya daripada pengetahuan emaknya. Ini kerana menjaga hati ibu itu wajib,” katanya.

Baca juga Anak lelaki atau perempuan, jangan lepaskan peluang berkhidmat untuk bapa yang lanjut usia

Beliau kemudian mengemukakan pandangan Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ yang menyatakan: “Suami (yang lebihkan nafkah isteri) itu tidak berdosa apabila dia telah mencukupkan keperluan ibunya jika ibunya itu termasuk yang wajib dia jaga kebajikannya dengan baik, akan tetapi yang afdal ialah dia baikkan hati ibunya dan melebihkan ibunya. Dan jika dia terpaksa melebihkan isterinya, maka sepatutnya bahawa dia rahsiakan daripada pengetahuan ibunya.”

Fakta sama turut diperakui oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel #Al-Kafi #1428: Antara Nafkah Isteri dan Ibu Bapa: Mana Perlu Diutamakan.

Artikel tersebut menyebut, nafkah kepada isteri adalah didahulukan kecuali dalam hal ibu bapa tidak berkemampuan dalam menyediakan ubatan, rawatan dan makan serta minum yang menjadi asas kehidupan.

Baca juga Dilema tinggal dengan mertua dan ipar… Ini pandangan agama yang perlu kita tahu

“Ketika itu, ia hendaklah didahulukan bagi meneruskan kesinambungan hidup.

“Dalam isu seperti ini, semua anak-anak perlu ada keselarasan dan persefahaman terhadap ibu atau bapa untuk sama-sama mengambil tanggungjawab menjaga, membantu dan berkhidmat kepada orang tua masing-masing.

“Maka dengan cara ini, tidaklah satu-satu anak itu terbeban, sedangkan semua yang lain lepas tangan,” katanya.

Taat pada ibu

SETIAP anak perlu ada keselarasan dan persefahaman terhadap ibu atau bapa untuk sama-sama mengambil tanggungjawab menjaga, membantu dan berkhidmat kepada orang tua masing-masing. -Foto: 123rf

Begitupun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan agar umat Islam tidak sesekali menganggap bantuan yang dihulurkan kepada ibu bapa sebagai bebanan.

“Sebaliknya, ia adalah ihsan yang sewajibnya kita tunaikan sebagai hak ibu bapa kita,” titipnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.