Browsing Tag

Melabelkan orang

Berhutang
Isu,

Usah sewenang-wenangnya melabelkan orang berbuat jahat

BUKAN hak manusia untuk melabelkan orang lain sesuka hati. Malangnya, masih ramai lagi yang berbuat demikian.

Peringatan signifikan itu ditegaskan oleh penceramah bebas, Dr Robiah K Hamzah ketika ditemubual Sinar Islam Plus baru-baru ini.

“Usahlah kita melabel orang begitu dan begini. Barangkali hari ini, ALLAH SWT mengujinya begitu, tetapi akan datang DIA menyelamatkan individu tersebut. Semua itu hanya DIA sahaja YANG MAHA MENGETAHUI kerana orang yang ALLAH paling suka ialah mereka yang berbuat dosa dan bertaubat.

“Mungkin juga itu caranya Sang Pencipta menjentik hidayah kepadanya untuk memberi kesedaran sekali gus memberi ruang bertaubat dengan lebih banyak. Sedangkan kita pula menjaja ceritanya ke sana, ke sini dan tidak sempat berjumpa orangnya untuk meminta maaf. Mengertilah mengaibkan dan mengeluarkan keburukan orang itu juga satu jenayah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, Selangor.

DR ROBIAH

Mengulas tentang persepsi kebanyakan masyarakat bahawa semua yang terlibat dalam arena dakwah mesti sepenuhnya baik, pakar motivasi dan kaunseling keluarga itu ada pandangannya tersendiri.

Baca juga Kerana segelintir bergelumang noda, busuk nama pejuang agama

Memperbetulkan tanggapan itu, Dr Robiah menjelaskan, pada hakikatnya ada segelintir individu yang masuk ke dalam bidang dakwah itu secara tidak dirancang.

Barangkali mereka menyertai pertandingan atau dipilih sebagai bintang dalam satu program televisyen yang melorongkannya dalam arena dakwah, seterusnya digelarkan sebagai pendakwah oleh masyarakat, terangnya.

“Dalam hal ini, kita kena ingat, mereka yang bertanding itu ada niat yang macam-macam. Bukan sekadar berniat untuk berdakwah, tetapi juga hendak popular, glamor, mahu mendapatkan ‘tiket’ lebih cantik, raih peminat, selain ingin menjana sumber pendapatan.

“Kebanyakan mereka itu hanya dinilai dari segi ilmunya sahaja, tetapi tidak dari konteks sahsiahnya secara khusus. Apalah gunanya jika ilmu yang ada tidak disulami dengan adab dan akhlak. Sedangkan, dalam Islam, membangunkan akhlak itu jauh lebih penting daripada ilmu.

“Malah, ada dalam kalangan mereka ialah ‘pendakwah’ yang tidak diasuh dalam dunia adab dan membangunkan akhlak, sebaliknya ditekankan dengan markah serta pesembahan semasa penyampaian dakwah,” katanya.

Semua manusia pendosa

Suatu perkara yang harus diakui, jelas Dr Robiah, mereka yang digelarkan pendakwah itu juga hamba ALLAH dan manusia bukan bersifat maksum sebagaimana para anbia.

Melabelkan orang

ANDAI menyaksikan kemaksiatan berlaku, selepas menegur individu berkenaan, berdoalah agar ia menjadi kesalahan terakhir bagi dirinya. -FOTO: 123RF

“Tidak kiralah siapa pun seseorang itu termasuk ustaz dan ustazah, semua manusia itu pendosa. Sebab itu Nabi Muhammad SAW berpesan agar kita tidak sesekali berhenti bertaubat.

Baca juga Bukan sahaja pendosa yang perlu bertaubat, ini yang perlu kita tahu

“Jadi andai kita kata pendakwah tak boleh buat salah, kita silap kerana mereka juga orang biasa yang turut dikelilingi oleh syaitan di atas, bawah, kiri dan kanan masing-masing,” katanya sambil menjelaskan, tugas dakwah bukan sekadar memandang konteks ilmu semata-mata, sebaliknya akidah, fikah, tasawuf dan akhlak sebagai penyampainya.

Justeru, menurut perspektifnya, tidak adil jika kita ‘menjatuhkan hukum’ bahawa dengan jenayah yang dilakukan sebilangan pendakwah tadi akan menjejaskan arena dakwah itu sendiri.

“Dakwah ini seluas lautan. Bayangkan apa yang tak ada dalam laut itu? Walaupun mungkin ada kekotoran dan sebagainya di dalamnya, kita tetap boleh mengambil wuduk dengannya kerana ia merupakan air mutlak.

“Tidak kiralah apa jua kes yang dilakukan sekalipun ia buruk, sebagai orang Islam, nasihatkanlah supaya itu adalah keburukan terakhir yang dia lakukan dan kita doakan semoga kesalahan itu adalah yang terakhir dibuat,” ujarnya.

Jangan mudah menghukum

Dalam hal itu, Dr Robiah menyarankan agar insiden negatif melibatkan sebilangan pendakwah sebagai kes individu sahaja. Ia sama seperti kes melibatkan pihak berkuasa ditahan atas sebab salah laku rasuah. Walhal, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga keselamatan.

Baca juga Tugas menghukum hanya terletak di bahu pihak berkuasa

“Namun, kita tak boleh kata, pegawai tersebut burukkan nama pihak berkuasa. Ketahuilah bahawa iblis mengejar semua orang tanpa mengira sesiapa untuk menghasutnya melakukan jenayah. Suka saya ingatkan sekali lagi, sesiapa sahaja terdedah untuk melakukan jenayah sama ada kepada diri, jenayah keluarga, jabatan, masyarakat dan termasuk juga jenayah dalam agama.

Melabelkan orang

SETIAP manusia tidak kalis dosa dan senantiasa melakukan kesalahan, namun percayalah bahawa ALLAH SWT pasti akan mengampunkan dosa-dosa silam kita andai kita meminta ampun dan bertaubat dengan bersungguh-sungguh. -Gambar hiasan/FOTO: FREEPIK

“Semua itu adalah hal peribadinya yang mana jika dirinya bertaubat, maka sudah selesai. Dosanya hanya melibatkan dengan mangsa. Kalau katakan semua bertaubat, maka selesailah. Buat apa lagi perlu diperbesar-besarkan dan jaja aib mereka?

“Dikhuatiri kita pula yang yang berdosa gara-gara menuduh-nuduh. Jadi janganlah kita terjebak sama, dosa orang lain, tetapi kita pula yang dapat,” tegas beliau.

Seperkara lagi, murabbi itu mengingatkan agar masyarakat mengambil nasihat yang baik meskipun individu menyampaikannya tidak melakukan sedemikian.

“Sekurang-kurangnya individu yang dilabelkan pendakwah tadi menyampaikan sesuatu yang baik walaupun dia sendiri belum boleh buat apa yang dituturkan. Janganlah menghukum mahupun mengecamnya, biarlah ALLAH SWT sahaja yang menentukannya,” nasihat beliau.