Browsing Tag

Mazhab Syafie di Kelantan

Berita Semasa,

Ambil kira kemaslahatan umum, pengaruh Mazhab Syafie dalam pengeluaran fatwa di negeri Kelantan

NAMA Imam al-Syafie Rahimahu Al-Allah begitu masyhur dalam dunia Islam dan seantero dunia. Pemilik nama sebenar Muhammad bin Idris bin Al-Abbas bin Usman bin Syafie bin As-Saib bin ‘Ubaid bin Abd Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutallib bin Abd Manaf bin Qusai merupakan mujtahid dan ahli fiqah yang terkemuka dalam sejarah Islam.

Beliau dilahirkan pada tahun 150 hijrah di Gaza, Palestin yang merupakan tahun kematian Imam Abu Hanifah. Beliau telah meninggal dunia di Mesir pada tahun 204 hijrah ketika berusia 54 tahun.

Imam Syafie sangat dihormati oleh ulama Islam kerana kepakarannya dalam pelbagai cabang ilmu. Ilmuan hebat itu amat dikenali sebagai seorang yang warak dan zuhud. Begitu juga dengan kefasihan bahasanya sama ada ketika berkarya atau berpidato yang memang tidak boleh disangkal kehebatannya. Malah, Imam Syafie telah melahirkan ramai ilmuwan Islam antaranya Imam Ahmad ibn Hanbal, Abi Thur dan ramai lagi.

Sekalipun menimba ilmu daripada pelbagai guru termasuk dengan Imam Maliki, Imam Syafie mempunyai metodologi tersendiri dalam ‘mengistinbatkan’ hukum. Pandangan-pandangan Imam Syafie dipecahkan kepada dua bahagian iaitu qaul qadim dan qaul jadid. Qaul qadim yang dihimpunkan dalam kitabnya, al-Hujjah, ketika beliau berada di Iraq. Sementara itu, qaul jadid pula setelah penghijrahan beliau ke Mesir dan dihimpunkan dalam kitabnya, al-Ummu.

Perkembangan Mazhab Syafie di negeri Kelantan sememangnya amat berkait rapat dengan sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Penyebaran Islam di rantau ini diwarnakan dengan pegangan pendakwah-pendakwah yang menjadikan Mazhab Syafie asas rujukan fiqh mereka.

Antara hujah menyatakan Mazhab Syafie merupakan asas dalam pengamalan fiqh dengan merujuk kepada bahan-bahan pengajaran di institusi-institusi pondok, masjid dan sebagainya. Kesemua kitab-kitab yang digunakan sebagai rujukan berasaskan Mazhab Syafie.

Ini boleh dilihat dalam karya-karya ulama tempatan seperti Syeikh Dawud al-Fatani, Muhamad bin Ismail Dawud al-Fatani, Muhammad Arsyad al-Banjari, Nur al-Din al-Raniri dan lain-lain. Begitu juga karya-karya ulama tanah Arab seperti Abu Shuja’, Imam al-Nawawi, Zayn al-Din al-Malibari, Qalyubi Wa ‘Umayrah, Zakariyya al-Ansari dan lainnya.

Mengikut qaul

Pengaruh Mazhab Syafie di negeri Kelantan sememangnya telah memberi kesan mendalam dalam kehidupan beragama dalam kalangan masyarakat sama ada berkaitan dengan fiqh ibadat, muamalat, keputusan kehakiman dan termasuklah dalam pengeluaran fatwa.

Bagaimanapun, dalam artikel Keterikatan Fatwa Kepada Mazhab Syafie: Analisis Terhadap Fatwa-Fatwa Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan oleh Dr Noor Naemah Abd Rahman, ia banyak merungkai dan memperbetulkan persepsi masyarakat berkaitan keterikatan fatwa di negeri Kelantan dengan Mazhab Syafie.

Tidak dinafikan terdapat peruntukan yang mendahulukan pendapat muktamad Mazhab Syafie dalam pengeluaran fatwa di negeri Kelantan. Dalam seksyen 37 (1) Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994: “Semasa mengeluarkan fatwa di bawah seksyen 36, Majlis atau Jamaah Ulama hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie”.

Misalnya, hukum solat seorang bermazhab Syafie berimam dengan imam bermazhab Hanafi. Fatwa telah menyebut: “Sah orang yang bermazhab Syafie berimam kepada orang bermazhab Hanafi jika imam tidak meninggalkan perkara-perkara yang wajib di dalam sembahyang dan tidak melakukan perkara-perkara membatalkan pada mazhab makmum yang bermazhab Syafie.”

Pandangan hukum yang dinukilkan oleh fatwa tersebut jelas sekali mengambil kira pandangan Mazhab Syafie kerana dalam al-Majmu’: “Kebanyakan ulama Syafie, berpandangan jika imam secara pasti telah meninggalkan perbuatan-perbuatan yang wajib dilakukan untuk menjadikan solat tersebut dikira tidak sah kerana mazhab makmum diberi keutamaan.”

Pun begitu, kenyataan bahawa fatwa di negeri Kelantan hanya menerima pandangan Mazhab Syafie semata-mata sehinggakan kemaslahatan umum langsung tidak diambil kira adalah tidak tepat.

Ini kerana dalam seksyen 37 (2) memperuntukkan: “Jika Majlis atau Jamaah Ulama berpendapat bahawa qaul yang muktamad dari Mazhab Syafie boleh membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Majlis atau Jamaah Ulama’ bolehlah dengan keizinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan mengikut qaul dari mana-mana Mazhab Islam yang muktabar, kecuali dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan akidah, maka qaul Ahli Sunah Waljamaah hendaklah diikut.”

Peruntukan itu jelas menunjukkan bahawa fatwa di negeri Kelantan tidak bersikap jumud dan fanatik mazhab. Bahkan, sentiasa membuka ruang kepada pengamalan dan pemakaian pandangan-pandangan mazhab lain yang muktabar jika didapati berpegang dengan pandangan Mazhab Syafie berlawanan dengan kepentingan umum.

Misalnya, fatwa berkaitan dengan isu istibdal harta wakaf. Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan telah memutuskan, harus jual beli atau tukar ganti terhadap harta wakaf atas sebab-sebab darurat (kesusahan) atau maslahah (kebaikan) bagi memelihara tujuan wakaf itu daripada disia-siakan. Keputusan ini merupakan pandangan Ibn Taimiyyah dan sebahagian Hanafiyyah.

Keputusan itu jelas tidak berlawanan dengan pandangan muktamad Mazhab Syafie yang tidak mengharuskan. Disebabkan kemaslahatan awam dan kepentingan pengurusan harta wakaf, keputusan harus istibdal harta wakaf diterima pakai sekalipun tidak berseiringan dengan pandangan muktamad Mazhab Syafie.

Di sini membuktikan, fatwa-fatwa di negeri Kelantan tidaklah bersifat fanatik mazhab kerana sebelum fatwa dikeluarkan banyak faktor-faktor diteliti terutama melibatkan kemaslahatan umum dan bukan sekadar dinukilkan daripada kitab semata-mata atau bertaklid secara membuta tuli.

***Artikel ditulis oleh Prof Madya Dr Wan Abdul Fattah Wan Ismail