Browsing Tag

Mati akibat Covid-19 dan melahirkan anak

Mati akibat Covid-19 dan melahirkan anak
Isu, Pilihan Editor,

Kematian Akibat Covid-19 Dan Melahirkan Anak Termasuk Dalam Syahid Akhirat

PASTINYA ramai yang mengetahui khabar duka kematian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang meruntun hati masyarakat kerana perginya akibat tempias gelombang Covid-19.

Lebih menyedihkan apabila arwah baru sahaja melahirkan zuriat keempatnya menerusi pembedahan.

Biarpun perit untuk menelan berita sedih itu, namun suatu hakikat yang perlu kita terima. Setiap yang hidup pasti akan menemui Pencipta-NYA.

Cuma tiada siapa yang tahu bilakah ajal bakal datang menjemput. Apa yang diharapkan hanyalah sebuah pengakhiran yang baik iaitu husnul khatimah.

Sesungguhnya, kematian akibat wabak Covid-19 dan melahirkan anak dikira sebagai mati syahid akhirat.

Perkara itu turut diakui oleh pendakwah Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman menerusi laman sosial Facebook miliknya pada hari ini.

PU SALMAN

Beliau kemudian mengemukakan sebuah hadis masyhur.

Ubadah bin Somit meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bertanya: “Adakah engkau tahu siapa dikira mati syahid di kalangan umatku?”

Ubadah menjawab: “Orang yang mati terbunuh di medan perang.”

Lalu, baginda SAW bersabda: “Kalau begitu, sedikitlah umatmu yang mati syahid. Terbunuh di medan perang adalah syahid. Mati kerana wabak taun adalah syahid. Wanita mengandung mati disebabkan melahirkan anaknya adalah syahid di mana di akhirat, anaknya akan menarik ibunya ke syurga dengan tali pusatnya.” (Riwayat Ahmad)

Baca juga Pahala Duduk Rumah

Bukan itu sahaja, terdapat beberapa hadis lain yang memerihalkan tentang mati syahid akibat melahirkan anak sebagaimana dipetik menerusi laman web rumaysho.com.

Antaranya Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang mati syahid ada lima, yakni orang yang mati kerana taun (wabak), orang yang mati kerana menderita sakit perut, orang yang mati kerana tenggelam, orang yang mati kerana tertimpa runtuhan dan orang yang mati syahid di jalan ALLAH.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menjelaskan maksud syahid, Ibnul Ambari menjelaskan dalam Syarh Shahih Muslim dan Kitab Fath al-Bari bahawa: “Kerana ALLAH SWT dan malaikatnya menyaksikan orang tersebut dengan syurga. Makna syahid di sini adalah disaksikan untuknya.”

Sementara itu, Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menyebut, apa yang dimaksudkan dengan syahid ialah malaikat menyaksikan bahawa mereka mati dalam keadaan husnul khatimah (pengakhiran hidup yang baik).

Mati akibat Covid-19 dan melahirkan anak

INDIVIDU yang meninggal dunia akibat wabak Covid-19 dikira sebagai syahid akhirat. -Gambar hiasan

Ketahuilah bahawa, mati syahid ada beberapa tahap syahid sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah:

1. Syahid yang mati ketika berperang melawan kafir harbi (yang berhak untuk diperangi). Individu itu dihukumkan mati syahid di dunia dan mendapat pahala di akhirat. Syahid seperti ini tidak dimandi dan disolatkan.

2. Syahid dalam hal pahala, tetapi tidak dihukumkan syahid di dunia. Misalnya, kematian kerana melahirkan anak, wabak penyakit dan lain-lain. Jenazah mereka tetap dimandi dan disolatkan. Namun, ketika di akhirat kelak akan mendapat pahala syahid.

3. Orang yang khianat dalam harta ghanimah (harta rampasan perang). Dalam dalil pun menafikan syahid pada dirinya ketika berperang melawan orang kafir. Namun, di dunia ia tetap dihukumkan sebagai syahid iaitu tidak dimandi dan disolatkan. Hakikatnya di akhirat kelak, ia tidak mendapatkan pahala syahid yang sempurna.

Begitu juga halnya dengan mereka yang maut akibat wabak Covid-19, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel bertajuk ‘Irsyad al-Fatwa Siri ke-473: Adakah Mereka Yang Meninggal Dunia Kerana Covid-19 Dianggap Mati Syahid’ menyatakan, sesiapa yang meninggal dunia akibat pandemik berkenaan juga dianggap sebagai mati syahid.

Namun, syahid yang dimaksudkan di sini adalah syahid akhirat iaitu mendapat pahala syahid di hari akhirat kelak.

“Adapun, semasa di dunia, jenazah mereka masih perlu diuruskan seperti biasa iaitu perlu dimandi dan disolatkan.

“Kurniaan gelaran syahid kepada mereka sebenarnya dianugerahkan sendiri oleh Rasulullah SAW berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih. Namun, hakikatnya hanya ALLAH SWT jualah yang MAHA MENGETAHUI hakikat seseorang itu sama ada syahid ataupun sebaliknya.

“Bagaimanapun, kita terus berdoa kepada ALLAH SWT agar menerima saudara-saudara seagama kita yang terkorban kerana Covid-19 ini sebagai mati syahid di sisi-NYA,” katanya.

Mati akibat Covid-19 dan melahirkan anak

WANITA yang meninggal dunia ketika melahirkan anak juga dikira sebagai syahid akhirat. -Gambar hiasan

Begitu besarnya kelebihan orang yang mati syahid sepertimana disebutkan dalam sebuah hadis masyhur.

Daripada Miqdam bin Ma’dikarib bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bagi orang yang mati syahid ada enam keistimewaan iaitu diampuni dosanya sejak darahnya mula keluar, melihat tempatnya di dalam syurga, dilindungi daripada azab kubur, terjamin keamanannya daripada malapetaka besar merasakan kemanisan iman, dikahwinkan dengan bidadari dan diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Semoga arwah Siti Sarah dan mereka yang meninggal akibat Covid-19 serta bertarung nyawa demi melahirkan satu nyawa mendapat ganjaran di sisi-NYA.

Apatah lagi kematian husnul khatimah pada saat buku amalan kita pada tahun ini ditutup selepas Asar ini. Demikian kematian yang dicemburui oleh semua orang.

Semoga kita yang masih bernafas di muka bumi ALLAH SWT ini bakal meraih pengakhiran yang baik sebelum menghadap-NYA.

Foto: Bernama & Unsplash