Browsing Tag

masjid

The Revealer
Jendela Dunia,

Projek Azan Hindari Pencemaran Bunyi

no comment

KEMENTERIAN Wakaf Mesir telah mengumumkan untuk menyatukan ratusan masjid baharu dalam Projek Azan di seluruh ibu negara Kaherah.

Projek itu dilaksanakan untuk menyelaras semua seruan azan bertujuan bagi menghindari pencemaran bunyi yang disebabkan terlalu banyak masjid melaungkan azan pada waktu yang berbeza.

Ketua Jabatan Pengurusan Strategik Pusat di Kementerian Wakaf, Amr Shoukry, mengesahkan bahawa 426 masjid baharu dimasukkan pada fasa pertama tahun ini. Ini menjadikan jumlah masjid yang akan diselaraskan waktu azannya sebanyak 3,538 buah.

Kementerian Wakaf juga berusaha untuk melaksanakan penyelarasan seruan azan di wilayah-wilayah lain di Mesir dengan penekanan untuk memperincikan perbezaan waktu untuk setiap wilayah.

Bekas Menteri Wakaf Agama, Mahmoud Hamdi Zakzouk adalah yang pertama mula melaksanakan projek itu di masjid-masjid besar di Kaherah.

Pada akhir tahun 2009, Mahmoud Hamdi telah mengambil inisiatif untuk menyelaraskan panggilan azan di semua masjid bagi mengatasi masalah panggilan solat pada waktu yang berlainan.

Projek ini pada awalnya mensasarkan 4,000 masjid di wilayah besar Kaherah, yang merangkumi Kaherah, Giza dan Qaliubiya.

Bagaimanapun, revolusi 25 Januari 2011 telah menggagalkan projek Azan Bersatu kerana menghadapi krisis besar, termasuk kes kecurian alatan azan di masjid.

Menteri Wakaf Agama Mohamad Mukhtar Gomaa menghidupkan semula idea itu pada tahun 2014, tetapi menghadapi masalah teknikal.

Pada tahun 2019, Gomaa mengumumkan bahawa projek itu akhirnya akan dilaksanakan juga.

Tetapi disebabkan oleh masalah teknikal yang berterusan, dimulai di 115 masjid sebagai fasa percubaan, kemudian berkembang hingga merangkumi ratusan masjid.

Projek ini bergantung pada kesatuan suara daripada muazim, mengikut waktu tempatan untuk setiap wilayah secara berasingan, dan itu adalah melalui isyarat siaran bersama di masjid melalui saluran tanpa wayar.

Sistem siaran dalam azan yang disatukan bercirikan jumlah mikrofon yang serata. Ia dibuat agar tidak mengganggu penduduk di daerah ini dan penduduk sekitarnya. Ini telah ditetapkan oleh jurutera suara, sehingga tidak ada yang dapat memanipulasi siaran dan tahap kelantangan.

Pekerja masjid sangat penting untuk menguruskan projek ini, kerana mereka akan membuka penerima lima minit sebelum azan dan kemudian menutup penerima setelah selesai.

Penerima terdiri daripada dua kepingan elektronik, dan unit logam cekung untuk menerima siaran, yang dipasang di bahagian atas masjid.

Sumber: Egypt Independent

cf307db6-caa9-444a-b79a-7c6c6230acd5
Jendela Dunia,

Masjid Mesra Alam Pertama Tersenarai Anugerah Berprestij RIBA

no comment

MASJID mesra alam pertama di Eropah yang dibina oleh syarikat pembinaan dan rekaan terkemuka, Gilbert-Ash telah dicalonkan untuk Anugerah Hadiah Stirling 2021. Masjid Pusat Cambridge adalah salah satu daripada enam projek yang akan dipilih daripada 54 pemenang Anugerah Nasional RIBA 2021.

Hadiah Stirling RIBA telah dianjurkan sejak tahun 1996 kecuali tahun lalu akibat pandemik Covid-19. Pengiktirafan itu diberikan kepada bangunan yang dianggap sebagai paling penting tahun ini untuk evolusi seni bina dan persekitaran binaan. Pemenang tahun ini akan diumumkan pada 14 Oktober.

Masjid Pusat Cambridge adalah masjid mesra alam pertama di Eropah. Marks Barfield Architects, yang sedang mencalonkan anugerah, merancang bangunan itu mampu menampung sehingga 1,000 jemaah, malah bangunan itu diiktiraf oleh RIBA sebagai sebuah masjid baharu abad ke-21

Projek ini melibatkan pelbagai kaedah pembinaan yang sangat kompleks. Ciri yang menentukan ialah kerangka kayu yang rumit terdiri daripada 30 struktur pokok yang saling berkaitan. Setiap pokok dibentuk oleh 16 tukang kayu yang mahir dalam seni geometri bagi memberikan kekuatan pada bingkai.

Kerja-kerja di bangunan itu juga merangkumi kafe, pejabat, rumah kediaman untuk Imam, tempat tinggal pelajar dan bilik mayat yang terpisah. Ia termasuk tempat letak kereta bawah tanah yang mampu memuatkan 80 kenderaan.

Gilbert-Ash mempunyai tiga projek yang sebelum ini telah disenarai pendek untuk hadiah berprestij selain Cambridge Central Mosque. Projek yang disenarai pendek merangkumi Teater Lyric pada tahun 2012, Pusat Pelawat Giant’s Causeway pada tahun 2013 dan Teater Everyman yang seterusnya memenangi Hadiah Stirling 2014.

“Kami gembira melihat Cambridge Central Mosque tersenarai pendek untuk anugerah paling berprestij ini. Ini adalah bangunan yang unik dalam pelbagai aspek.

“Salah satu kelebihan Gilbert-Ash adalah kerjasama ramai pihak dan ini adalah penting dalam menjaga momentum setiap projek. Kami dapat bekerjasama rapat dengan pasukan pelanggan sejak awal untuk mengembangkan idea dalam penyelesaian teknikal dan kaedah inovatif bagi mengatasi cabaran sepanjang projek ini dibangunkan.

“Ini adalah projek yang sangat bermanfaat untuk disampaikan dan kami bangga melihatnya diiktiraf sebagai salah satu yang paling penting tahun ini,” kata Pengarah Urusan, Gilbert-Ash, Ray Hutchinson.

Gilbert-Ash mengaitkan kejayaan setiap projek yang dilaksanakan dengan pendekatan ‘As One’ dan budaya kerja serta persekitaran keluarga yang unik sebagai syarikat milik pekerja. Ia terus melengkapkan portfolio projek pembinaan yang berjaya di pelbagai sektor termasuk seni dan budaya, tempat kerja, hotel dan riadah, pendidikan, sains dan teknologi, runcit, kediaman dan penginapan pelajar.

Sumber: BDC Magazine

webRNS-Hilton-Boycott-Muslim1-092221
Jendela Dunia,

Kumpulan Muslim AS Seru Dunia Boikot Hilton Demi Sebuah Masjid

LEBIH 40 kumpulan Muslim Amerika Syarikat (AS) bergabung bagi menyeru masyarakat Islam agar memboikot kesemua Hotel Hilton. Ia dibuat kerana syarikat itu terlibat dalam projek pembinaan cawangan hotelnya di Xinjiang, China diatas tapak sebuah masjid Uyghur yang dirobohkan baru-baru ini.

Pada sidang media kumpulan itu di luar Capital Hilton di Washington, wakil Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR); Kongres Uyghur Dunia; Projek Hak Asasi Manusia Uyghur dan organisasi lain mengatakan Hilton telah mengabaikan tarikh akhir satu minggu yang telah diberikan oleh CAIR kepada syarikat itu untuk menarik diri daripada projek di Xinjiang sebelum mengambil tindakan untuk boikot.

“Mereka memutuskan untuk mendapatkan keuntungan berbanding nilai kemanusiaan dan tidak tanpa memikirkan hak orang lain yang dirampas,” kata Pengarah Eksekutif CAIR, Nihad Awad.

Selain Amerika Syarikat, beberapa negara lain di seluruh dunia telah melabelkan layanan China terhadap orang Uighur yang juga sebuah kumpulan etnik beragama Islam yang tanah airnya berada di Xinjiang sebagai genosida (pembunuhan beramai-ramai).

Tapak lama sebuah masjid kini sedang dalam prosek pembinaan hotel yang mendapat kecaman daripada umat Islam.

Pada bulan Julai lalu, Suruhanjaya Eksekutif Kongres Amerika Syarikat di China mengeluarkan surat terbuka yang meminta Hilton untuk memberhentikan projek pembinaan itu.

Sebagai penandatangan Compact Global PBB, Hilton seharusnya bertanggungjawab untuk menyokong hak asasi manusia antarabangsa.

“Kami meminta Hilton mengambil langkah menghentikan pembinaan dan mengeluarkan jenamanya daripada projek hotel di Hotan. Hilton juga harus menolak penglibatan dalam penganiayaan terhadap orang Uighur,” kata kenyataan suruhanjaya itu.

Tapak Masjid Duling yang dirobohkan di wilayah Hotan, Xinjiang diubah menjadi pembangunan oleh pemaju China. Salah satu perniagaan baru yang direncanakan adalah hotel Hampton by Hilton, yang dimiliki oleh Hilton Worldwide Holdings Inc.

Menurut analisis gambar satelit dan data lain oleh Institut Dasar Strategik Australia, kira-kira 65 peratus atau 16,000 masjid di wilayah itu telah rosak teruk atau musnah oleh pihak berkuasa China sejak 2017.

Sumber: Religion News Service

Sebelum berbuka waktu mustajab doa
Jendela Dunia,

Wanita Menuntut Hak Yang Sama Di Masjid

ZEYNEP Dogusan menceritakan bagaimana seorang sahabatnya suatu hari bersandar pada tiang di sebuah masjid di belakang bahagian lelaki, begitu mengagumi keindahan seni bina bangunan itu. Lalu datang seorang pekerja masjid menghampirinya dan mengatakan bahawa dia tidak dibenarkan berada di sana.

“Sahabat saya benar-benar terasa apabila diusir keluar dari masjid itu hanya kerana dia seorang wanita. Saya merasa perkara ini tidak adil dan kami tidak boleh berdiam diri,” katanya.

Lantaran daripada itu, Dogusan telah menubuhkan sebuah organisasi ‘Women in Mosques Platform’ pada Oktober 2017 di Istanbul bagi memerangi diskriminasi wanita di tempat-tempat ibadah.

Warga emas golongan wanita mahukan keselesaan untuk beribadah di masjid. Scroll.in

Sejak itu, organisasi ini berkembang dalam menangani isu-isu khususnya kebenaran masuk warga emas ke masjid hingga keadaan kebersihan tandas wanita di bangunan masjid. Sebilangan besar perjuangan mereka dihabiskan untuk menentang adat-adat kuno seperti menyembunyikan jemaah wanita di belakang layar atau terasing di bilik khas yang membuat wanita merasa mereka tidak mempunyai hak untuk berada di dalam masjid.

Menurut Dogusan yang juga pengasas dan seorang Ahli Sosiologi, berkata ini semua adalah fenomena biasa berlaku di masjid di seluruh negaranya, Turki.

“Matlamat kami dalam menubuhkan organisasi ini adalah bertujuan untuk menjadikan isu-isu ini dapat dilihat oleh semua masyarakat. Kami mahu meningkatkan kesadaran dengan harapan sampai ke pengetahuan pentadbiran masjid dan mahukan perubahan dilakukan. Media sosial telah membantu meningkatkan kewujudan kumpulan kami dan dapat menyebarkan mesejnya perjuangan kami,” katanya Dogusan.

Wanita hanya berpeluang solat di bahagian tertentu di dalam masjid. Gambar: Scroll.in

Menurutnya lagi, di Turki, tradisi Islam lebih cenderung menggalakkan golongan wanita untuk beribadah di rumah. Tetapi mereka yang bekerja atau belajar dan menghabiskan hari mereka di luar rumah perlu menggunakan masjid untuk memenuhi syarat bersolat lima kali sehari.

“Apabila wanita mahu pergi ke masjid, kami sering mendapati akses kami adalah terhad, ruang wanita biasanya terpisah daripada kubah utama masjid, berupa kawasan kecil yang ditutup dengan pintu berhampiran pintu masuk.

“Siapa yang sebenarnya menentukan bahagian mana daripada masjid yang wanita tidak dapat masuk? Tidakkah wanita juga berhak mendapatkan keselesaan dan kenikmatan daripada keindahan estetika dan kerohanian masjid,” katanya tegas.

Juru kempen Hak Asasi Manusia, Zero Discrimination Association, Kezban Karagoz, berkata penglibatan wanita di masjid semakin meningkat. Tetapi Karagoz sendiri mengelak untuk menghadiri tempat-tempat ibadat kerana serik dengan pengalaman negative yang pernah dilalui dulu.

“Saya merasakan lelaki memandang saya, mempersoalkan kehadiran saya ketika saya pergi ke masjid. Saya rasa mereka mahu saya segera pergi sebaik sahaja saya mahu menanggalkan kasut untuk masuk. Saya pergi ke masjid untuk mencari kedamaian, tetapi saya selalu takut berlaku pertengkaran, jadi saya mula memilih ruang kecil yang biasanya terdapat di bangunan awam di Turki untuk bersolat,” kata Karagoz.

Hanya ruang yang kecil kebiasaannya di sediakan untuk wanita bersolat. Gambar: Suara Insan

Karagoz juga tidak lagi ke masjid kerana kekurangan tandas untuk wanita di kebanyakan masjid. Walaupun lelaki boleh menggunakan tandas awam untuk mandi yang dikenali sebagai shadirvans secara percuma, berbeza bagi wanita yang harus membayar untuk menggunakan bilik mandi kerana mereka terpaksa menanggalkan tudung mereka di bilik mandi khas yang tertutup.

“Mengapa kita membayar cukai?” Karagoz bertanya, menunjukkan bahawa Direktorat Urusan Agama yang mengawasi masjid-masjid Turki harus menggunakan anggarannya untuk menyediakan kemudahan bagi wanita.

Di bawah Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang memerintah, anggaran Direktorat dinaikkan secara konsisten sejak tahun 2006 sehingga mencapai jumlah 12.9 bilion lira (US1.5 bilion dolar ) untuk tahun 2021.

“Mengapa wanita perlu membayar untuk berwuduk sementara lelaki dapat melakukan percuma?” soalnya tegas.

Women in Mosques Platform bukan satu-satunya kumpulan yang berkempen di wilayah itu. Havle Women’s Association yang turut memperjuangkan pelbagai isu, juga sering menganjurkan kempen bagi pihak wanita Muslim.

“Kami ingin menjadi sebahagian daripada gerakan feminis arus perdana sebagai wanita Muslim. Ada keperluan untuk menyuarakan penindasan yang dihadapi wanita Muslim dalam kehidupan seharian,” kata salah seorang pengasasnya, Rumeysa Çamdereli.

Pentadbiran masjid yang dikuasai oleh lelaki adalah antara sebab mengapa keperluan wanita dibiarkan tidak dipenuhi.

Begum Yarar, seorang pelajar kimia berusia 21 tahun di Universiti Necmettin Erbakan di Konya, mengatakan bahawa salah satu masalah terbesar yang dihadapi wanita di masjid adalah pengasingan bahagian mereka daripada tempat ibadat yang lain.

“Kawasan wanita sering terletak jauh di belakang struktur masjid utama dan dewan solat. Saya seorang peminat seni, saya ingin berdoa di bawah seni bina indah yang dihiasi dengan kaligrafi dan hiasan, untuk melihat-lihat dan merasa bersyukur, jadi saya sedih kerana hak istimewa ini disediakan untuk lelaki sahaja. Wanita juga manusia, saya fikir wanita harus dibenarkan hak yang sama dengan lelaki,” katantya.

Yarar juga mengeluh bahawa bahagian wanita itu sering terletak di sebelah tempat para jemaah menanggalkan kasut sebelum memasuki masjid, yang bermaksud wanita harus bersolat dengan bauan kaki.

Berbeza bagi pandangan seorang imam berusia 30 tahun yang berpusat di Antalya yang tidak bersetuju dengan Yarar.

“Penting untuk menjaga sensitiviti agama di dalam masjid. Penting untuk menyediakan pemisahan tempat lelaki dan wanita di masjid-masjid kejiranan bagi mengelak fitnah. Sekiranya tempat wanita dapat dilihat, bagaimana mereka mahu menjaga aurat mereka ketika mahu menanggalkan tudung dan ia akan mengundang fitnah,” katanya.

 

Sumber: Inside Turkey

National Endowment for the humanities
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Larangan Buku Ekstremisme dan Aktiviti Dakwah Di Masjid Arab Saudi

no comment

PIHAK berkuasa Arab Saudi memerintahkan masjid-masjid negara itu untuk mengeluarkan buku yang bersifat ‘ekstremisme’ daripada perpustakaan negara. Arahan itu juga dikeluarkan kepada rakyatnya agar tidak menyampaikan khutbah kepada orang bukan Islam tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Menteri Hal Ehwal Islam, Sheikh Abdullatif Al-Sheikh mengeluarkan arahan kepada masjid-masjid di seluruh negara dan memerintahkan untuk meneliti setiap buku-buku di perpustakaan masjid yang bersifat ekstremisme dan pemisahan.

Larangan berdakwah di masjid dan kepada bukan Islam tanpa kebenaran pihak berkuasa. Gambar: Al Jazeera.

“Lima surat pekeliling dikeluarkan kepada semua pengurusan masjid dan imam agar tidak berdakwah kepada orang bukan Islam tanpa kebenaran kementerian. Pekeliling itu juga menyatakan sesiapa yang melanggar arahan akan dikenakan hukuman.

“Menteri itu menekankan pentingnya perpustakaan masjid sebagai gudang intelektual dan rujukan bagi mereka yang menuntut ilmu seperti penyelidik dan pelajar.

“Menteri mengarahkan para pegawai untuk memeriksa semua perpustakaan dan membuang buku-buku yang cenderung kepada aktiviti ekstremisme, kepartian serta topik serupa,” katanya.

Arahan itu juga memerintahkan pegawai masjid untuk memberikan laporan berkala kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti masjid.

Pengurusan masjid telah diberitahu untuk menyusun senarai literatur yang tersimpan di perpustakaan mereka dan tidak menambahkan lagi koleksi buku tanpa izin daripada pihak berkuasa.

Para imam dan pendakwah juga disarankan untuk mengikuti Kursus Keselamatan Intelektual yang dikendalikan oleh kementerian dan mengambil bahagian dalam persidangan serta acara yang diatur oleh pihak berkuasa.

Menurut laporan itu lagi, menteri mengarahkan para pendakwah masjid untuk menjelaskan kepada masyarakat berkaitan peraturan Syariah yang sebenar, menekankan aspek mematuhi adab dan akhlak yang baik.

Selain mematuhi kewarganegaraan dengan mendengar serta mematuhi arahan kerajaan dan menjauhkan diri daripada membicarakan masalah perundangan di mana terdapat perbezaan pandangan para sarjana.

“Sebarang aktiviti dakwah boleh dilakukan hanya setelah solat fardu dan solat jenazah selesai. Sudah tidak boleh ada aktiviti dakwah bermula panggilan azan pertama hingga iqamah yang boleh menyebabkan kelewatan untuk bersolat.

“Arahan itu adalah sebahagian daripada rombakan institusi agama dan masjid di Arab Saudi, yang antaranya telah dikaitkan dengan penafsiran Islam yang radikal,” menurutnya.

Gambaran Arab Saudi sebagai ‘pengeksport’ aktiviti ekstremisme muncul setelah kebangkitan kumpulan radikal di seluruh dunia yang mengaitkan dengan Salafisme iaitu mazhab Muslim diikuti oleh kepemimpinan Saudi.

Di bawah pimpinan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman, pihak berkuasa berusaha menjauhkan diri daripada tafsiran radikal terhadap Islam dan kumpulan pelampau.

Mesir juga memerintahkan masjid pada minggu ini untuk menghapus segala buku ekstremisme yang berkaitan dengan Ikhwanul Muslimin.

Kedua-dua negara telah berusaha untuk menghalang penyokong Ikhwanul Muslimin setelah revolusi pro-demokrasi Arab Spring pada tahun 2011 dan Mesir telah memenjarakan ribuan pengikut fahaman pertubuhan itu serta aktivis pro-demokrasi yang lain.

 

Sumber: Arab News

Daily Telegraph
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Bintang Ragbi Muslim, Sonny Bill Williams Kecam Penentangan Pembinaan Masjid di Sydney

no comment

BINTANG ragbi dunia, Sonny Bill Williams mengecam tindakan pelaku ‘ketakutan rasis’ yang cuba menghalang pembinaan masjid baharu yang ingin dibina di selatan Sydney.

Tapak masjid yang bakal dibina dalam kawasan perumahan bangunan lama Carlton telah kelihatan tanda-tanda awal protes oleh penduduk tempatan dengan alasan rumah ibadah itu akan membawa kesesakan lalu lintas yang tinggi.

Namun Williams yang memeluk Islam pada tahun 2009 percaya aduan penduduk itu hanya kerana perkauman dan ketaksuban semata.

“Rasisme hidup dengan baik di Botany St, Carlton Sydney. Insya-ALLAH kami akan solat 365 hari, 5 kali setiap hari di Masjid baharu kami tidak lama lagi. Semoga perkauman dapat dihindari daripada masyarakat kita,” kata Williams, 36, menerusi laman Instagramnya di samping gambarnya duduk bersebelahan papan tanda di hadapan tapak pembinaan masjid.

Williams dan rakan pasukan Ofa Tuungafasi meluangkan masa untuk berdoa sebelum perlawanan Ragbi Piala Dunia antara New Zealand All Blacks menentang Ireland pada 2019.

Williams yang bermain bersama pasukan All Blacks serta liga dengan Canterbury Bulldogs dan Sydney Roosters mengatakan bahawa pengalamannya tinggal dan bekerja dalam komuniti Islam selama empat musim bersama Bulldogs antara faktor dia memeluk Islam.

Williams bersama isterinya Alana dan anaknya, Imaan, 5, Aisha, 3, dan Zaid, 2, percaya bahawa aduan penduduk tempatan terhadap masjid itu adalah berdasarkan perkauman dan ketaksuban.

Ibunya, Lee dan saudara lelakinya, John termasuk isterinya yang juga model popular, Alana, 28, juga telah memeluk Islam.

“Saya dibesarkan sebagai orang Kristian dan jujur saya selalu merasa sedikit tidak selesa. Umat Islam adalah orang yang sama seperti kita, mereka manusia tetapi agama Islam, apabila anda benar-benar memandangnya ia sesuatu yang indah,” katanya yang mengakui dalam sebuah podcast Islam dua tahun lalu.

Menurutnya, adalah perkara yang sukar untuk membicarakan berkaitan isu perkauman dan kebencian kerana banyak negara Barat dilahirkan atas rasa perkauman dan kebencian.

Williams yang tinggal di daerah Carlton, mengatakan perancangan pembinaan masjid di kawasan itu sudah lama tertangguh untuk komuniti Muslim tempatan. Sebelum ini dia dan masyarakat Islam lain terpaksa melakukan perjalanan jauh ke seberang kota untuk bersolat.

Masjid ini juga akan menjadi pusat penjagaan warga emas dan mampu menampung 120 orang untuk solat bermula jam 5 pagi hingga 10.30 malam dalam tujuh hari seminggu.

Dia menolak tuntutan penduduk mengenai peningkatan lalu lintas dengan mengatakan bahawa sudah ada sekolah di jalan yang sama dan kemudahan yang lain berdekatan.

Williams sering bersama komuniti Islam di kawasan kejiranannya. Gambar: NZ Herald

“Ada ribuan keluarga Muslim di daerah ini dan kami tidak memiliki tempat untuk pergi beribadah, sayangnya ini adalah ketakutan sahaja.

“Masyarakat Islam telah berada di kawasan Carlton sejak tahun 1950-an dan tidak pernah mempunyai masjid.

“Dalam masa yang sama semakin banyak tempat ibadat lain seperti gereja Kristian, rumah ibadat Yahudi dibina. Dengan adanya masjid di kawasan itu dapat membuat saya rasa gembira kerana saya tahu orang-orang diajar moral dan etika yang baik,” kata Williams kepada Daily Telegraph.

Presiden Persatuan Sungai Georges Benjamin Wang, menafikan penentangan penduduk tempatan terhadap masjid itu bersifat perkauman.

“Kami tidak mengemukakan bantahan ini atas dasar bangsa atau agama. Hujah kami berkisar pada isu-isu teknikal yang menunjukkan tempat ibadat awam berada di lokasi yang tidak sesuai dan bukan untuk kepentingan masyarakat,” katanya ketika rancangan itu dibuat di hadapan Majlis Georges River.

Bagaimanapun, laporan dewan mendapati terdapat kekurangan tempat ibadat Muslim di kawasan Carlton.

“Masjid yang diusulkan itu menyediakan kemudahan yang sangat diperlukan bagi masyarakat Islam tempatan untuk menjalankan amalan agama,” menurut laporan itu.

Sumber: Daily Mail

masjid
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Jerman Biayai Masjid Afghanistan Jadi Pusat Radikalisme

no comment

SEBUAH masjid akan dibina di Afghanistan melalui dana yang disalurkan Kementerian Luar Jerman bukan sahaja untuk beribadah tetapi bertujuan untuk membuka rumah radikal dan sentimen anti-barat.

Menurut pakar keganasan Jerman, Rolf Tophoven, berkata sebuah masjid akan dibangunkan di sebuah desa negara bergolak itu.

Menurutnya, pembinaan masjid dengan niat yang baik sering kali membawa akibat yang tidak diingini kerana ketidakpedulian Barat. Dia mengatakan bahawa mungkin kegagalan terbesar negara Barat adalah bahawa ia tidak memahami sepenuhnya kemahuan rakyat Afghanistan dan dengan cepat menolak demokrasi di sana.

“Ahli politik Barat tidak pernah memahami negara ini. Bagi mereka, itu hanyalah tanggungjawab kerajaan berbuat demikian. Dengan tergesa-gesa, mereka ingin menegakkan demokrasi dan hak asasi manusia di sana. Mentaliti orang Afghanistan tidak difahami.

“Nilai-nilai Barat tidak boleh dipaksakan pada negara seperti Afghanistan dan tentunya tidak mungkin membangunkan demokrasi dalam sekelip mata, ini adalah penilaian yang salah,”kata Tophoven.

Taliban meraikan kemenangan. Gambar: The New Arab

Mengapa Afghanistan jatuh begitu cepat?

Tophoven mengatakan ada beberapa sebab mengapa kerajaan Afghanistan menyerah kepada Taliban dengan begitu cepat walaupun masih mendapat sokongan kuat dari sekutu Barat.

“Mereka tidak memiliki motivasi yang baik dan tidak memiliki keinginan untuk berjuang,” kata Tophoven.

Tentera Afghanistan dianggotai daripada pelbagai etnik. Ramai tentera dikerahkan untuk berjauhan dengan keluarga mereka dan sesetengah mereka tidak mempunyai keluarga menyebabkan semangat mereka lumpuh.

“Mereka sering tidak mendapat gaji dan pegawai tentera yang korup tidak peduli dengan nasib tentera Afghanistan.

“Walaupun berlatih, tentera Afghanistan tidak memiliki kemampuan untuk berjuang di medan perang. Mereka bergantung pada Amerika Syarikat (AS) terutama dalam operasi udara, ”kata Tophoven.

Selain itu, menurutnya, Taliban mengubah dan memperbaiki taktik pertempuran.

“Setelah Taliban kehilangan pangkalan terakhirnya di Afghanistan pada Oktober 2001, mereka beralih ke taktik perang gerila,” katanya.

Menurutnya lagi, generasi pejuang baharu Taliban telah dilahirkan dengan mempelajari banyak berkaitan perang gerila dan perang kecil daripada tentera AS.

“Perang gerila telah menjadi lebih besar bagi Taliban dan dilatih secara profesional serta tidak dapat dikalahkan dengan cara ketenteraan konvensional,” tambahnya.

Kebangkitan Taliban di Afghanistan dan peranan masa depannya mengenai keganasan antarabangsa masih belum diketahui. Persoalannya ialah apakah Afghanistan akan menjadi pusat pengganas seperti sebelum 2001.

 

Sumbar: Remix News

Clarion India
Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Masjid Buka Dewan Bedah Untuk Golongan Miskin Secara Percuma

no comment

SEBUAH masjid di kota lama Shaheennagar, Hyderabad, India telah membuka perkhidmatan dewan untuk prosedur pembedahan (OT) yang dikhususkan kepada golongan miskin secara percuma.

Majlis Perasmian Dewan Bedah di Masjid Omar Shifa baru-baru ini.

Masjid Omar Shifa antara satu-satunya masjid di India yang memiliki kelengkapan untuk melakukan pembedahan kecil selain Hospital Umum Osmania (OGH) yang terletak berhampiran kota lama itu.

Masjid itu juga sebelum ini ada menjalankan pusat rawatan kesihatan utama dan kini memperluaskan operasinya dengan membuka dewan bedah yang dikhususkan kepada penduduk miskin di kawasan itu.

Suasana di dalam dewan bedanh bagi pembedahan kecil.

Sekumpulan doktor ditugaskan di masjid itu untuk menjalankan kerja-kerja pembedahan dengan hasil dana yang disumbangkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) American Muslim Physicians of Indian Origin (AMPIO).

Selain bilik OT yang lengkap, masjid itu juga mempunyai klinik pergigian, pusat oftalmologi komuniti dan unit perundingan penyakit tidak berjangkit.

Semua perkhidmatan perubatan adalah percuma untuk semua masyarakat tanpa mengira agama. Helping Hand Foundation (HHF) sebuah NGO dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perkhidmatan OT dan kemudahan perubatan lain.

Kawasan sekitar yang dilanda banjir tahun lalu menjadi punca merebaknya pelbagai penyakit.

“Sebilangan besar daerah di sekitar pusat kesihatan masjid ini pernah dilanda banjir tahun lalu. Akibatnya, kawasan kumuh ini menghadapi endemik kepada penyakit kulit bawaan air. HHF bekerjasama dengan AMPIO telah mengurus keperluan kesihatan kepada lebih 20 kawasan kumuh, ”kata Pemegang Amanah HHF, Mujtaba Hasan Askari.

Dengan angaran kira-kira 700 pesakit hadir setiap hari, pusat kesihatan masjid itu menjadi seperti hospital mini bagi golongan miskin di kota lama itu.

Kebanyakan pesakit menghidap diabetes, darah tinggi dan penyakit kronik yang lain. Oleh kerana komplikasi yang disebabkan oleh penyakit gaya hidup sering memerlukan prosedur pembedahan yang tidak dapat dilakukan oleh pesakit, OT di masjid itu akan menguruskan keperluan itu.

Orang ramai yang datang untuk mendapatkan rawatan beratur menunggu giliran untuk pemeriksaan.

Kira-kira tiga peratus pesakit diabetes yang mengunjungi pusat kesihatan masjid itu mempunyai masalah jangkitan pada kaki.
Selain itu, kes penyakit seperti kematu, lipoma, keloid, kuku yang tumbuh ke dalam, fibroadenoma jinak, luka terbakar, sista ovari, serta bisul yang tidak sembuh juga akan dirujuk ke pusat kesihatan masjid berkenaan.

“Faktor kebersihan yang buruk antara punca menyebabkan komplikasi kepada ramai pesakit sehingga memerlukan operasi pembedahan. Sehingga kini sebanyak 25 pembedahan kecil telah dilakukan dengan jayanya,” kata Pakar Bedah Umum, Pusat Kesihatan Masjid Omar Shifa, Dr Arif Hussain.

Sumber: Times Of India

9ae9b827-c479-444d-83fc-05cf92c0c07c
Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Bilangan Umat Islam di Jepun Meningkat Dengan Cepat

no comment

SEMALAM secara rasminya berakhirlah termasya sukan terbesar dunia, Olimpik 2020 Tokyo yang berlangsung dengan jayanya bermula sejak 23 Julai lalu.

Secara tidak langsung sukan telah menghimpunkan pelbagai agama, bangsa dan negara yang bersatu demi mengejar satu misi.

Disebalik pelbagai kisah yang berlaku sepanjang 17 hari Olimpik berlangsung, tercatat kisah suka dan duka, namun ia bukanlah pengakhiran bagi mereka yang pulang dengan tangan kosong.

Mereka yang terlibat secara langsung ketika berada di negara matahari terbit itu sudah pasti menimba banyak pengalaman walaupun sibuk dengan pelbagai acara sukan namun bagi umat Islam mereka tetap tidak terlepas daripada melaksanakan tanggungjawab melakukan ibadah di sana.

Masjid bergerak di sediakan penganjur diluar stadium untuk atlet dan petugas beragama Islam.

Penganjur Olimpik 2020 Tokyo, juga telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk umat Islam sepanjang temasya berlangsung demi memberi keselesaan kepada atlet dan petugas dari seluruh negara khususnya umat Islam seperti surau bergerak, ruang solat di setiap lokasi acara sukan berlangsung dan penyediaan makanan halal.

Meskipun Jepun bukanlah negara Islam dan hanya mempunyai minoriti penduduknya beragma Islam, namun menurut laporan yang dikeluarkan The Economist, Jepun antara negara yang mencatatkan pertumbuhan paling cepat bilangan masyarakatnya menganut agama Islam.

Salah satu masjid besar di Shibuya, Tokyo Gambar: Reddit

Bermula dari tahun 2010, statistik menunjukkan hanya terdapat 110,000 penduduknya menganut agama Islam dan angka itu terus melonjak naik secara mendadak selepas 10 tahun dengan jumlah terbaharu mencatat 330,000 termasuk sebanyak 50,000 adalah dikalangan mualaf Jepun.

Prof. Tanada Hirofumi

Menurut pengkaji dari Universiti Waseda, Tanada Hirofumi, berkata jumlah umat Islam di Jepun meningkat lebih dua kali ganda sejak 10 tahun kebelakangan ini.

“Antara faktor peningkatan ketara ini adalah kerajaan memberi kebebasan beragama kepada rakyatnya dan memudahkan umat Islam untuk beribadat seperti menyediakan banyak tempat bersolat di lokasi tumpuan ramai termasuklah terdapat 110 masjid di Jepun,” katanya.

Ketua Persatuan Muslim Beppu (BMA) yang juga Profesor di Asia Pacific University (APU), Muhammad Tahir Abbas Khan, berkata terdapat beberapa faktor utama mengapa Islam tersebar dengan cepat di Jepun.

“Islam adalah agama yang paling cepat berkembang di setiap negara termasuk di dunia dan ia adalah fakta yang seringkali dilaporkan ramai para pengkaji di seluruh dunia sejak dulu lagi.

“Selain itu, antara sebab lain yang menjadi tradisi rakyat Jepun adalah mereka masyarakat yang tidak gemar untuk berhijrah ke negara lain dan mengembangkan keturunan mereka hanya di negara sendiri.

“Apabila Islam yang dibawa dari luar telah menguasai salah satu keluarga, ia akan diteruskan oleh keturunan mereka menyebabkan meningkatnya umat Islam di negara itu,”menurutnya.

Penduduk Muslim akan bertambah pesat di peringkat global dan akan mencapai sekitar 2.9 bilion iaitu 26 peratus daripada populasi penduduk dunia menjelang tahun 2050.

Di Jepun, kebanyakan umat Islam tinggal di tiga kawasan metropolitan seperti Wilayah Tokyo, Chukyp dan Wilayah Kinki. Jaringan umat Islam tidak pernah berhenti berkembang di seluruh Jepun.

Terdapat peningkatan jumlah masjid yang dibina sejak awal tahun 1990-an di seluruh kepulauan Jepun dari wilayah Okinawa hingga ke wilayah Hokkaido.

Sebilangan besar orang Jepun tidak menyedarinya, tetapi terdapat lebih dari 110 masjid di seluruh Jepun berkembang dengan cepat. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat banyak gerakan dan inisiatif yang bertujuan untuk mempromosikan dan memberi pendedahan mengenai Islam kepada masyarakat Jepun.

Sumber: The Islamic Information.Com

Law & Liberty, Pusat Islam Amerika di Dearborn
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Masjid Amerika Menjadi Lebih ‘Amerika’

no comment

PENGKAJI dari Institut Dasar dan Pemahaman Sosial (ISPU) Amerika Syarikat (AS), Dr. Ihsan Bagby, menyatakan melalui kajian yang dilakukan, kebanyakan masjid di AS semakin menjadi tumpuan umat Islam di kalangan pelbagai mazhab.

Pengkaji ISPU, Dr. Ihsan Bagby, hasilkan kajian setiap 10 tahun.

Laporan yang dibuat setiap 10 tahun, mendapati masjid Sunni Amerika mengamalkan pelbagai cara pendekatan pluralistik yang menunjukkan ia kembali kepada tradisi.

Kajian daripada laporan tersebut menunjukkan bahawa masjid Amerika menghidupkan kembali kedudukan kepemimpinan tertentu. Ia juga memberi kebebasan hak bagi wanita di masjid yang sebelum ini pernah dipraktikkan pada zaman awal Islam.

Pemimpin masjid Amerika lebih cenderung memahami peranan Islam yang berpegang pada teks al-Quran dan Sunnah tetapi terbuka untuk menafsir dengan melihat kepada tujuan undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Laporan kajian yang dihasilkan 10 tahun lalu. Gambar: Faith Communities

Kajian ISPU dilakukan berdasarkan temu ramah langsung dan soal selidik asas.
Penulis laporan itu bercakap secara langsung dengan ratusan pemimpin masjid dalam menjalankan penyelidikan untuk laporan tersebut.

“Kebanyakan negara dunia Islam, hanya satu mazhab mendominasi dan sementara imigran Amerika dari negara-negara tersebut mempertahankan amalan tersebut, masjid mereka sering menggabungkan tradisi untuk menarik kumpulan jemaah yang berpotensi besar.

“Prinsip tertentu daripada setiap mazhab dapat mempelbagaikan secara perincian tentang ritual doa hingga tata cara pemilikan binatang peliharaan.

“Daya tarikan yang kuat terhadap perspektif sesuatu mazhab, terutama dalam komuniti imigran, dapat menarik sebahagian jemaah, sedangkan pendekatan mazhab yang minoriti memungkinkan kecenderungan untuk bergabung mengikutinya dalam kehidupan seharian di masjid.

Diyanet Center of America. Gambar: Pinterest

“Secara anekdot, saya tahu seseorang yang berada di dewan masjid di Atlanta yang merasa dia harus mengingatkan semua orang bahawa itu bukan masjid Hanafi,” kata Bagby.

Menurut Bagby, Masjid Hanafi dan Shafie adalah yang paling dominan di Amerika. Namun, katanya, masjid-masjid yang mengikuti mazhab Maliki semakin meningkat disebabkan oleh penghijrahan bangsa dari Afrika. Ia sekali gus menarik perhatian rakyat Amerika pada tafsirannya yang lebih fleksibel terhadap beberapa amalan Islam.

Dalam amalan Islam tradisional, individu dapat menggabungkan tradisi hingga ke satu tahap tertentu, tetapi dalam beberapa generasi terakhir ini, ketika masjid telah berubah menjadi institusi keagamaan negara di kebanyakan negara Islam, kepatuhan terhadap mazhab tertentu menjadi lebih ketat.

Di Amerika, sebilangan faktor telah mempengaruhi amalan masjid. Laporan itu menyebut ia disebabkan penglibatan dalam politik dan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian dan amalan masyarakat.

Masjid Al-Farooq, Atlanta, Georgia. Gambar: Sunira Stone

“Dalam tinjauan institusi tahun 2000, 53 peratus masjid Amerika menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama untuk khutbah Jumaat berbanding peningkatan hingga ke 72 peratus hari ini.

“Laporan itu juga menyatakan bahawa 51 peratus masjid yang dikaji selidik menjadi tuan rumah kepada ahli politik untuk lawatan atau ceramah. Ini adalah tahap penglibatan politik yang lebih tinggi daripada gereja.

“Sebilangan besar masjid menyokong usaha seperti itu tidak semestinya untuk alasan politik tetapi, kerana mereka percaya bahawa mereka memajukan hubungan antara Muslim dan bukan Islam. Ini jumlah yang agak besar dan ini mencerminkan perubahan tersebut,” menurut Bagby.

Kajian itu mendapati bahawa sebilangan besar masjid terlibat dalam usaha antara agama yang dirancang untuk membina hubungan antara masyarakat Islam dan anggota kumpulan agama lain.

Laporan itu juga menyatakan bahawa 67 peratus masjid di Amerika Syarikat mempunyai wanita yang berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa masjid. Ini menandakan peningkatan yang ketara dari edisi awal laporan yang mendapati hanya 50 peratus masjid mempunyai wanita pada tahun 2000 dan 59 peratus pada tahun 2010.

“Masjid Amerika lebih terintegrasi dari perspektif jantina darimasjid di tempat lain, seperti tidak mempunyai pembahagi yang terpisah antara kawasan di mana lelaki dan wanita bersolat dan amalan lain, tetapi masjid-masjid ini berpendapat bahawa amalan ini bukan inovasi melainkan kembali ke amalan yang diamalkan umat Islam terawal, ”kata Bagby.

Sumber: Religion News Service