Browsing Tag

masjid

Masjid UK
Antarabangsa,

Lebih 250 masjid di UK buka pintu pada pelawat menerusi acara #VisitMyMosque hujung minggu ini

LEBIH 250 masjid di seluruh United Kingdom (UK) akhirnya dibuka kepada pelawat bermula pada hujung minggu ini iaitu 3 dan 4 September.

Ternyata perkhabaran gembira tersebut memberikan sinar kepada orang ramai. Ini kerana sekatan akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu menyebabkan institusi masjid terpaksa menutup pintunya untuk pelawat.

Namun demikian, keputusan untuk mengadakan hari terbuka kepada orang ramai termasuk mereka yang berlainan agama itu boleh membantu kelompok yang berminat dengan Islam untuk memahami, sekali gus mendalami agama suci berkenaan.

Baca juga Israel ambil alih ‘hak penjagaan’ Masjid al-Aqsa

Memetik laporan yang dikeluarkan portal About Islam, Majlis Muslim Britain dalam satu kenyataan menjelaskan, inisiatif nasional yang dikenali sebagai Visit My Mosque yang dikendalikan badan tersebut menggalakan lebih 250 buah masjid di seluruh UK untuk mengadakan hari terbuka bagi mengalu-alukan kedatangan pelawat.

Masjid UK

SEBAHAGIAN pelawat yang pernah mengunjungi salah sebuah masjid di UK sebelum pandemik dua tahun lalu.

“Ia tidak kiralah sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Tujuannya adalah untuk membina jambatan merentas komuniti.

“Meskipun acara hari terbuka masjid di Britain sebenarnya sudah berlangsung beberapa dekad, namun program Visit My Mosque membolehkan masjid menjadi sebahagian daripada acara seluruh negara yang mana masjid di seluruh England, Scotland, Wales dan Ireland Utara dapat membuka pintu mereka bersama-sama pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, aboutislam.net melaporkan, acara tahunan Visit My Mosque hanya diadakan secara maya susulan wabak coronavirus.

Baca juga Semakin banyak masjid di Amerika dibenarkan laungan azan

Sebenarnya, sudah beberapa dekad masjid-masjid di UK mengadakan hari terbuka untuk komuniti tempatan.

Masjid UK

SEKITAR hari terbuka di sebuah masjid di UK sebelum pandemik berlaku dua tahun lalu.

Namun, sejak inisiatif nasional #VisitMyMosque pertama kali diwujudkan pada Februari 2015, kira-kira 20 buah masjid turut menyertainya.

Di bawah naungan Majlis Muslim Britain, inisiatif tersebut berkembang dengan lebih 250 masjid mengambil bahagian pada tahun lepas.

Foto: About Islam

Tunaikan janji
Berita Semasa,

Sumpah di masjid: Bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri

SAMA ada institusi masjid terlibat dikenakan tindakan atau tidak, semua itu terpulang kepada pihak berkuasa agama negeri.

Demikian respons Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad ketika ditanya tentang insiden sumpah laknat membabitkan seorang pemimpin di sebuah masjid di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Itu bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri,” katanya ringkas ketika ditemui pada Majlis Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Penyampaian Surat Tawaran kepada Pelajar Baharu Tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Bandar Baru Bangi, Selangor pada Khamis.

Dalam hal itu, isu sumpah berkenaan tidak mempengaruhi hakim dan badan perundangan.

“Sama juga dengan kita pihak eksekutif. Kita tidak campur tangan jika melibatkan soal badan kehakiman,” katanya.

IDRIS

Isu berkaitan sumpah hangat diperkatakan kebelakangan ini kerana ia dilakukan di masjid, tempat umat Islam beribadah.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kes wanita tunai umrah sebagai lelaki, Idris berkata, pihaknya setakat ini masih belum menerima laporan tentang keberadaan individu berkenaan.

“Setakat ini, kami tidak menerima laporan di manakah individu itu duduk. Hanya kerajaan negeri atau pihak berkuasa agama negeri boleh bertindak kepada si pelaku kalau dia duduk di situ (negeri berkenaan). Misalnya, kalau (tinggal) di Selangor, (pihak berkuasa agama di) Selangorlah yang mengambil tindakan.

“Ia sepertimana apabila kita mendapat (aduan) kes (ajaran sesat) Hadi Minallah, kejadian itu berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, jadi kita minta supaya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang mengambil tindakan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, fahaman sesat itu memerlukan fatwa terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.

“Kita tidak boleh ambil tindakan tanpa keputusan fatwa,” katanya.

Pada majlis itu, Idris menyampaikan surat tawaran tajaan SPH kepada 75 pelajar termasuk dua orang penerima Anugerah Perdana Menteri Darul Quran melibatkan peruntukan sebanyak RM1.061 juta pada tahun ini.

Masjid

IDRIS (dua, kiri) menyampaikan surat tawaran tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) sambil disaksikan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff di Bandar Baru Bangi pada Khamis. -Foto: FACEBOOK JAKIM

Jelas beliau, semua penerima yang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda dan Sarjana itu terdiri daripada pelbagai bidang termasuklah pengajian Islam, qiraat, perubatan, farmasi, kejuruteraan komputer, foto media kreatif, ekonomi, matematik dan psikologi kaunseling di institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

“Pada tahun ini, seramai 334 pemohon skim SPH dan hanya 75 orang sahaja terpilih selepas menjalani saringan ketat termasuk temuduga. Malah, mereka yang mahu memohon skim ini diwajibkan supaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

“Kita mengharapkan mereka akan menjadi ulama dan huffaz profesional serta duduk bersama-sama dengan masyarakat dengan membawa al-Quran dalam diri mereka,” jelasnya.

Diperkenalkan pada tahun 2012, Idris berkata, SPH merupakan satu-satunya biasiswa khusus kepada para huffaz al-Quran dengan kepelbagaian bidang.

“Sehingga kini, seramai 1,252 penerima mendapat manfaat daripada skim berkenaan.

“Jakim membelanjakan hampir RM7 juta setiap tahun bagi membiayai para penerima SPH sedia ada dan penerima baharu,” katanya.

Masjid

IDRIS (barisan hadapan, tengah) merakam kenangan bersama pelajar dan ibu bapa mereka pada Majlis Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Penyampaian Surat Tawaran kepada Pelajar Baharu Tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) Jakim. -Foto: FACEBOOK JAKIM

tip bawa anak ke masjid
Isu,

Bawa anak kecil solat di masjid. Ini tip elak ganggu jemaah lain

BERIKUT beberapa tip bawa anak kecil solat di masjid tanpa menganggu jemaah lain.

Setiap ibu bapa di luar sana mempunyai tanggungjawab memastikan anak mereka mengenali agama ALLAH SWT. Sesibuk mana sekali pun, pastikan anda tidak alpa dalam mendidik si manja dengan nilai murni serta pegangan agama yang kuat di jiwanya.

Oleh itu, ramai ibu bapa mengambil kesempatan membawa anak ke masjid dengan harapan agar si anak berjinak-jinak dengan ibadah.

Pun begitu, ada juga mak ayah yang terpaksa membatalkan hasrat mereka kerana bimbang anak kecil mereka mengganggu jemaah lain.

Baca juga Laksanakan solat sunat Tahiyyatul Masjid sebagai tanda memuliakan rumah ALLAH

Hukum kanak-kanak dibawa ke masjid dan dukung bayi ketika solat
Dalam mazhab Syafie, para fuqaha berpendapat bahawa tiada masalah untuk membawa kanak-kanak ke masjid berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Qatadah RA iaitu,

Aku melihat Nabi SAW mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulullah SAW. Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud baginda mengangkatnya semula.” (Hadis Riwayat Muslim)

Selain itu, melalui hadis ini ulama juga mengatakan bahawa perbuatan solat sambil mendukung bayi adalah dibenarkan, jelas portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Baca juga 12 amalan ringkas Rasulullah SAW. Rupanya senang nak dapat pahala

tip bawa anak ke masjid

RASULULLAH SAW sangat menyayangi sehingga baginda pernah memendekkan solat yang dilakukannya kerana terdengar tangisan anak kecil.

Kedudukan kanak-kanak di antara saf lelaki dewasa
Di dalam kitab Sahih al-Bukhari, terdapat sebuah hadis yang menceritakan bagaimana Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.

Menurut sebahagian ulama Syafie, seorang kanak-kanak boleh diletakkan di antara dua orang lelaki dewasa sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW supaya dia dapat mempelajari pergerakan solat.

Bahkan, ahli cendekiawan, al-Khatib al-Syarbini berkata kanak-kanak lelaki yang hadir terlebih dahulu berhak untuk solat di saf pertama dan tidak sepatutnya ditarik keluar semata-mata agar memberi laluan kepada lelaki dewasa.

Baca juga 5 perkara anak lelaki Muslim sejati harus kuasai di usia remaja 

Tip bawa anak solat di masjid tanpa ganggu jemaah lain:

1. Pilih masjid yang mesra jemaah.
Sebaik-baiknya pilihlah masjid yang luas, sejuk dan mempunyai kanak-kanak lain. Ini kerana masjid yang sempit boleh membuatkan anak-anak anda berasa tidak selesa.

tip bawa anak ke masjid

JIKA memilih masjid kecil yang cepat penuh, dikhuatiri boleh menyebabkan si kecil berasa kurang selesa kerana mereka sememangnya memerlukan ruangan besar agar dapat bergerak bebas.

2. Sediakan keperluan makanan dan mainan.
Anak yang masih kecil mungkin akan cepat meragam jika mereka lapar dan bosan. Oleh itu, sediakan keperluan makanan dan minuman supaya mereka tidak lapar atau dahaga.

Anda juga boleh membawa mainan kanak-kanak agar masa lapang anak dapat diisi. Tetapi, pastikan barang permainan tersebut tidak bising dan menganggu jemaah lain seperti buku warna, patung kegemaran dan lain-lain.

Baca juga Amalkan dodoi anak cara Islam

3. Membimbing dari masa ke semasa tentang adab di masjid.
Sentiasa membimbing serta mengingatkan anak-anak tentang adab berada di masjid seperti tidak meninggikan suara ketika bercakap dan berlari-lari sekitar ruang utama solat.

Nasihat boleh diberikan kepada anak bermula dari rumah lagi dan sepanjang berada di masjid.

Baca juga Hanya Kerana Lidah, ALLAH Akan Mencampakkan Muka Seseorang Dahulu Ke Dalam Neraka

4. Mengajak untuk bersolat bersama.
Selain itu, ajak dan beri galakan kepada anak anda untuk mengikuti imam supaya dia dilatih untuk bersolat.

tip bawa anak ke masjid

MEMANG seronok dapat mengimarahkan masjid namun ada ibu bapa yang terpaksa berfikir dua kali untuk menziarahi rumah ALLAH kerana bimbang anak akan menganggu jemaah lain.

5. Solat di hujung saf atau bersama saf kanak-kanak.
Bagi anak yang tidak menganggu tetapi keselamatannya dibimbangi oleh ibu bapa, tiada masalah untuk meletakkan anak di sebelah. Namun, dalam situasi ini, ibu bapa disyorkan bersolat di tepi dinding atau hujung saf.

Jika anak itu mampu berdikari, dia boleh berada bersama kanak-kanak di saf mereka tersendiri.

Baca juga Ibu bapa tanggung dosa anak-anak tinggalkan solat?

6. Beri pujian apabila dia berkelakuan elok dan tegah jika dia melampaui batas.

Jangan lupa juga untuk memuji anak anda apabila dia berkelakuan baik supaya dia bersemangat untuk terus menjadi baik.

Dalam masa sama, beri peringatan jika anak anda tersalah laku agar dia dapat memperbetulkan kesilapannya.

Baca juga Adakah dikira derhaka jika tegur ibu bapa lakukan kesalahan?

7. Solat di rumah lebih baik.
Bagi kanak-kanak yang terlalu kecil dan susah dijaga sehingga boleh mengganggu jemaah lain, maka sebaik-baiknya anak itu tidak dibawa ke masjid.

Dalam hal sedemikian, lebih baik bagi para ibu untuk beribadah di rumah sahaja jika risau tidak mampu mengawal keadaan anak di masjid.

Demikian beberapa perkara yang perlu diambil perhatian apabila membawa anak anda ke masjid.

tip bawa anak ke masjid

KEPADA ibu bapa dan para jemaah di masjid, gunakan bahasa yang lemah lembut apabila menasihati anak kecil supaya dia tidak takut untuk datang ke rumah ALLAH pada masa akan datang.

Yang paling penting, jangan biarkan anak anda begitu sahaja tanpa mengawasinya kerana jika tidak, dia tidak akan tahu bagaimana untuk menghormati masjid dan makmum yang lain.

Namun, dalam masa sama, jangan pula mengherdiknya kerana bimbang anak kecil itu tidak akan suka untuk datang ke masjid lagi.

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

Ingatlah, kanak-kanak akan tetap menjadi kanak-kanak walau di mana sekalipun. Oleh itu menjadi sebahagian tanggungjawab kita sebagai orang dewasa untuk menguruskan mereka.

Jadi, latihlah anak anda untuk ke masjid dari masa ke semasa supaya dia menjadi biasa serta lebih bersifat tertib dan tenang ketika berada di sana.

Foto & Sumber: The Asian Parent, Parents Connect Consultancy, Pexels & Unsplash

Hagia Sophia
Antarabangsa,

Dua buku mengenai Hagia Sophia dikeluarkan Turkiye sempena ulang tahun kedua pembukaan semula masjid itu

SEMPENA ulang tahun kedua pembukaan semula Hagia Sophia, Kerajaan Turkiye mengeluarkan buku yang memperincikan ciri-ciri seni bina masjid dan reaksi masyarakat tempatan terhadap penukarannya semula sebagai rumah ALLAH.

Bagi tujuan tersebut, Pengarah Komunikasi Turkiye dalam satu kenyataan pada Sabtu melancarkan dua buku mengenai masjid berkenaan iaitu sehari sebelum ulang tahun kedua ia dibuka untuk beribadah.

Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam mukadimah buku berkenaan menyentuh tentang kepentingan bersejarah pembukaan masjid tersebut yang pernah 86 tahun menjadi muzium.

“Penukaran Ayasofya (Hagia Sophia) kembali menjadi masjid adalah impian yang menjadi kenyataan bukan sahaja untuk negara Turki, tetapi juga untuk semua umat Islam di seluruh dunia.

“Dengan ciri-ciri sejarah, agama dan budayanya, Masjid Besar Ayasofya adalah tindak balas terbaik terhadap Islamofobia yang semakin meningkat khususnya di Eropah dan membenci jenayah yang dilakukan terhadap umat Islam di pelbagai tempat di dunia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web trtworld.com.

Bukan itu sahaja, Pengarah Komunikasi Turkiye turut mengeluarkan dokumentari khas semalam (hari Ahad) yang menceritakan kisah sembilan masjid di bandar berbeza Anatolia yang dinamakan Ayasofya.

Baca juga Hagia Sophia petanda awal menuju gerbang pembebasan Masjid al-Aqsa

Menelusuri historiografinya, Masjid Besar Hagia Sophia yang terletak di Istanbul itu sarat dengan sejarah dan nilai sentimental.

Hagia Sophia

Ia pernah menjadi destinasi pelancongan utama di Turkiye bagi pengunjung tempatan dan asing. Malah pernah dimasukkan dalam Senarai Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada tahun 1985.

Malah, bangunan yang sama itu juga sebenarnya pernah berfungsi sebagai gereja selama 916 tahun!

Selepas Istanbul ditakluk, kawasan itu diubah menjadi sebuah masjid sekitar tahun 1453 hingga 1934 iaitu hampir 500 tahun.

Kali terakhir, ia dijadikan muzium selama 86 tahun sehinggalah pada 10 Julai 2020 apabila mahkamah di Turkiye membatalkan keputusan Kabinet pada tahun 1934 yang telah menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium.

Baca juga Tapak Bangunan Pub Terbiar Di Bradford, Bakal Dibangunkan Masjid

Akhirnya usaha itu membuka jalan kepada Ayasofya untuk kembali berfungsi sebagai masjid.

Monumen itu telah dipulihkan kepada kegemilangan dahulu sebagai Masjid Besar Hagia Sophia pada 24 Julai 2020.

Foto: trtworld.com & iqna.iq

masjid namirah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

SETIAP tahun pada musim haji, Masjid Namirah pastinya menjadi kawasan tumpuan bagi jemaah Haji yang berada di Mina.

Ribuan umat Islam berpusu-pusu ke sana bagi mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad SAW dengan menunaikan solat Zohor dijamakkan dengan Asar di masjid bersejarah itu.

Kisah di sebalik Masjid Namirah

Memetik portal Islamic Landmarks, masjid yang juga disebut sebagai Nimrah itu terletak sekitar kawasan Lembah Uranah di Arafah. Dalam sejarah Islam, lembah tersebut sangat penting kerana di situlah Rasulullah menyampaikan khutbah Haji baginda yang terakhir.

Kisah tersebut berlaku pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah apabila baginda berkhemah di Lembah Uranah untuk melaksanakan haji perpisahan. Selepas tengah hari, baginda menyampaikan sebuah khutbah sambil duduk di atas untanya sebelum memimpin solat berjemaah. Lebih 100 ribu sahabat mengiringi baginda pada haji waktu itu.

Baca juga Ini pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir baginda

masjid namirah

DARI segi keluasan, Masjid Namirah adalah yang kedua terbesar di kawasan Makkah selepas Masjidil Haram.

Menyelusuri sejarah Masjid Namirah, ia dibina pada zaman kerajaan Abbasiyah sekitar abad kedua Hijrah. Rumah ALLAH tersebut juga mempunyai beberapa gelaran berbeza seperti Masjid Nabi Ibrahim, Masjid Arafah dan Masjid Uranah, demikian nukilan portal Wafy.

Baca juga Masjid al-Ghamamah, tempat terakhir Nabi SAW solat raya

Mampu muatkan 350 ribu jemaah
Sementara itu, struktur masjid terdiri daripada enam menara, tiga kubah dan keseluruhan 64 pintu dari 10 pintu masuk. Dengan keluasan melebihi 110 ribu meter persegi, Masjid Namirah mampu memuatkan hampir 350 ribu jemaah.

Baca juga Masjid jadi platform penyatuan penduduk berbilang agama di negara Eropah. Ini 5 masjid paling mahal lagi menawan

Seperti yang direncanakan portal Life in Saudi Arabia, Masjid Namirah telah melalui proses pembaikan dan dibesarkan kepada dua bahagian. Satu bahagian berada di Arafah, manakala kawasan hadapan masjid pula terletak di luar sempadan Arafah.

Yang menariknya, masjid berkenaan dibina sedemikian dengan mengambil kira kawasan di mana khutbah Nabi SAW disampaikan iaitu Lembah Uranah yang bertempat di luar sempadan Arafah.

masjid namirah

PARA jemaah haji yang selesai solat gabungan Zohor-Asar di Masjid Namirah akan diingatkan untuk berpindah ke bahagian belakang masjid atau keluar ke Padang Arafah bagi memastikan rukun haji mereka tercapai.

Oleh itu, masjid berkenaan dilengkapi papan tanda yang mengingatkan jemaah haji agar tidak berada terlalu lama di bahagian depan masjid memandangkan antara rukun haji termasuk berwukuf, walaupun sekejap, di Arafah selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah hingga naik fajar.

Sampai saat ini, tanggal 9 Zulhijjah setiap tahun, khutbah Haji akan disampaikan kepada para jemaah menerusi masjid Namirah sebelum solat Zohor didirikan bersama Asar sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW suatu ketika dahulu.

Sumber: Islamic Landmarks, Wafy & Life in Saudi Arabia

Foto: Life in Saudi Arabia

al-ghamamah
Antarabangsa,

Masjid al-Ghamamah, tempat terakhir Nabi SAW solat raya

MASJID al-Ghamamah yang terletak di bahagian barat daya, 500 meter jauhnya dari Masjid Nabawi merupakan salah satu tapak bersejarah terkenal di Kota Madinah. Masjid ini dikenali sebagai tempat terakhir Nabi Muhammad sembahyang hari raya dan sembahyang sunat istisqa’ (meminta hujan).

Sejak ia dibina pada era khalifah Umar bin Abdulaziz sekitar tahun 86 Hijrah dan 93 Hijrah, masjid berkenaan telah melalui proses pembaikan dan pemulihan beberapa kali, menurut sebuah laporan berita oleh Arab News.

Kerja pembaikan yang pertama dilakukan sewaktu zaman pemerintahan Sultan Hassan bin Muhammad bin Qalawun al-Salihi pada tahun 761 Hijrah. Pengubahsuaian yang terbaharu dilaksanakan oleh Raja Salman yang tertarik dengan reka bentuk masjid al-Ghamamah.

Masjid al-Ghamamah

RUANG dalam masjid dicat putih berbeza dengan keadaan luar masjid yang berwarna hitam.

Dari segi reka bentuk, masjid al-Ghamamah berbentuk segi empat sama dan mempunyai gaya seni bina Uthmaniyah. Dinding luarnya dilitupi batu-batu basalt berwarna gelap berbeza dengan kubah serta ruang dalam masjid yang serba putih.

Selain itu, masjid berkenaan memiliki sistem bunyi khas supaya bunyi yang dikeluarkan tidak bercanggah dengan Masjid Nabawi ketika solat berlangsung.

Pohon-pohon palma yang menghiasi kawasan halaman masjid pula melengkapkan keseluruhan penampilan masjid yang indah.

al-ghamama

POHON-POHON palma menghiasi halaman luar masjid melengkapkan penampilan tempat ibadah tersebut.

Menurut laman web ila Mecca, Rasulullah SAW melaksanakan solat Hari Raya yang terakhir pada 10 Hijrah. Malah, sepanjang empat tahun terakhirnya, baginda mendirikan solat tersebut di situ.

Bukan itu sahaja, Nabi SAW juga pernah mengadakan solat meminta hujan di situ seperti yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA dalam sebuah hadis,

Pada suatu ketika di zaman Nabi, terjadi musim kemarau. Ketika Nabi SAW membaca khutbah Jumaat, tiba-tiba seorang Arab dusun berdiri dan berkata: Ya, Rasulullah! Harta benda telah binasa dan rakyat kelaparan. kerana itu mendoalah kepada ALLAH SWT untuk kita semua.”

Maka, Nabi pun berdoa dengan mengangkat kedua belah tangannya. Ketika Nabi mula berdoa kami tidak menampak awan sedikit pun di langit.

Baca juga Tak boleh merungut bila hujan, haram kita mencelanya

Demi ALLAH yang diri ku dalam kekuasaan-NYA, belum sampai Nabi menurunkan tangannya, awan mendung telah kelihatan bergulung-gulung seperti bukit. Nabi SAW belum turun dari mimbar, namun hari telah hujan, sehingga kelihatan air hujan bertitikan dari janggut baginda.

Hujan lebat turun pula hari itu, esok, lusa dan seterusnya beberapa hari berikutnya sampai hari Jumaat pula. Arab dusun itu atau mungkin juga Arab yang lain berdiri dan berkata pula: “Ya, Rasulullah! Bangun-bangunan telah roboh dan harta benda telah habis tenggelam. kerana itu mendoalah kepada Allah (mohon diselamatkan).

Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir

Nabi mengangkat kedua belah tangannya dan mendoa: “Ya, ALLAH! Di sekitar kami saja dan jangan di atas kami.” Beliau menunjuk dengan tangannya ke suatu penjuru berawan, maka kelihatan, awan itu menyingkir.

Di atas kota Madinah kelihatan lingkaran-lingkaran seperti lubang yang bundar. Lembah-lembah padang pasir mengalirkan air selama sebulan. Setiap orang yang datang dari segenap penjuru memberitakan kemurahan yang melimpah-ruah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Peristiwa ini berlaku apabila penduduk Madinah mengeluh kepada baginda atas sebab bekalan air yang berkurangan gara-gara ketiadaan hujan di bandar itu.

al-ghamama

KEPADA yang berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci, ambillah peluang menziarahi masjid al-Ghamamah.

Masjid al-Ghamamah adalah antara masjid tertua di Madinah dan suatu tinggalan sejarah yang sangat penting bagi bandar tersebut.

Sumber: Arab News

Foto: Madain Project, Hajj & Umrah Planner, Ashraf Alhujaili & Abdul Rahman

Masjid jadi platform penyatuan penduduk berbilang agama di negara Eropah. Ini 5 masjid paling mahal lagi menawan
Berita Semasa,

Masjid jadi platform penyatuan penduduk berbilang agama di negara Eropah. Ini 5 masjid paling mahal lagi menawan

MENURUT Islamic Republic News Agency (IRNA), masjid di seluruh dunia setakat tahun 2019 mencecah 3.85 juta buah. IRNA yang memetik laporan Al-Bayan berkata, bilangan masjid sedia ada di kebanyakan negara masih tidak mencukupi lantaran jumlah penduduk yang beragama Islam semakin meningkat di seantero benua dari semasa ke semasa. Hal itu dikatakan lebih meruncing di negara
The post Masjid jadi platform penyatuan penduduk berbilang agama di negara Eropah. Ini 5 masjid paling mahal lagi menawan appeared first on Sinar Plus.

Capture
Berita Semasa,

Apabila suara netizen lebih lantang..

 

SPONTAN. Itulah yang boleh dikatakan di dalam kes remaja kena mandi jenazah. Apabila menghukum salah laku anak, selalunya bapa yang prihatin akan spontan menyebat dengan rotan bulu ayam atau tali pinggang. Paling sedikit mungkin telinga akan dipiat. Hukum untuk mendidik bukan mendera, jauh sekali dengan niat menyeksa si anak.

Lalu itulah yang dilihat di dalam kes Imam Masjid Islahiah, Kuang Rawang yang menghukum remaja yang dituduh mencuri tabung masjid. Imam tersebut dikenali sebagai Imam Dahlan dan para Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan cuba mendidik dengan menghukum remaja itu di atas kesalahannya mencuri.

“JAIS buat tindakan berpandukan kata-kata netizen, ustaz kami tak buat salah. Malah saya bersyukur, beliau ‘membersihkan’ anak saya, beri semangat dan ‘roh’ baru kenapa Danial. Kami yang setuju Danial ‘dibersihkan’.

Tindakannya bagaimanapun menyebabkan beliau ‘dinasihatkan’ meletakkan jawatan. Remaja bernama Danial Iskandar, 19, didakwa cuba mencuri tabung masjid dengan mengheret dan menyembunyikannya dalam bilik mandi jenazah, pada 8 Januari lalu.

Selepas tertangkap, pihak masjid kemudian melumurkan kapur barus dan memandikan remaja itu seperti jenazah. Ketika ‘dimandikan’, ada pula individu turut merakam video di mana ia menjadi tular di media sosial.

Pada Khamis, Mahkamah Majsitret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000. Ketika perbicaraan, dia mendakwa terpaksa bertindak sedemikian bagi mendapatkan wang untuk membeli ubat-ubatan datuknya yang menghidap kencing manis.

Hakikatnya, tiada sesiapa yang berhak mengambil tindakan atau menjatuhkan hukum di tangan sendiri. Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, imam berkenaan telah diminta untuk meletakkan jawatannya.

Imam tersebut katanya, tidak boleh menghukum seseorang sebelum siasatan dijalankan. Ujarnya, sepatutnya kes tersebut diserahkan kepada polis, manakala kewajipan pegawai agama masjid adalah memberi nasihat dan bimbingan kepada individu yang bermasalah dan tidak menghukum.

Isu ini sebenarnya ditularkan dengan cara yang salah. Selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan imam terbabit dalam kontroversi memandikan remaja seperti jenazah ‘dinasihat berundur’, ibu kepada remaja itu bagaimanapun tampil mempertahankan tindakan imam.

Beliau berkata pihak berkuasa agama itu tidak seharusnya bertindak berkiblatkan kata-kata netizen. Tegasnya, JAIS seharusnya menjalankan siasatan terperinci, termasuk bertemu dengan keluarganya terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum.

“JAIS buat tindakan berpandukan kata-kata netizen, ustaz kami tak buat salah. Malah saya bersyukur, beliau ‘membersihkan’ anak saya, beri semangat dan ‘roh’ baru kenapa Danial. Kami yang setuju Danial ‘dibersihkan’.

“Ada orang kata imam berkenaan mendera anak saya… bukan, itu bukan satu penderaan tetapi kita cuba nak menginsafkan dia,” katanya.

Justeru, beliau menggesa JAIS mempertimbangkan semula keputusan menggugurkan imam berkenaan dengan melantiknya semula mengetuai qariah Masjid Islahiah, Kuang.

“Saya merayu dan sudah minta JAIS tarik balik arahan itu. Saya sedih dan menangis sebab anak saya, imam pula yang terpaksa tanggung akibatnya,” katanya.

Kalangan netizen menyokong tindakan pengurusan masjid itu sebagai pengajaran kepada remaja berkenaan. Bagaimanapun, ada netizen  berpendirian pihak masjid tidak menghormati undang-undang dengan melayan remaja itu sedemikian.

Bukan bertujuan untuk menyokong tindakan spontan pihak masjid, tetapi elok kalau kita menilai kembali semangat kejiranan setempat yang kian dilupakan.

Zaman dahulu selalu kita dengar jiran akan mengadu kepada ibu dan bapa tentang perangai anak. Bukannya mereka dengki dengan keluarga jiran tetapi ingin mendidik anak-anak supaya lebih menjadi ‘manusia’. Inilah yang cuba diterapkan oleh Imam tersebut. Malangnya apabila suara netizen lebih lantang maka inilah yang berlaku.

116407_AA24998356_1634483324599
Jendela Dunia,

Perbandaran Belanda Mencari Kesalahan Masjid

no comment

SEBUAH syarikat swasta di Belanda telah melakukan siasatan secara rahsia terhadap sekurang-kurangnya 10 bandar di Belanda berkaitan kesalahan institusi Islam khususnya masjid.

Dutch Daily NRC, Sabtu lalu melaporkan terdapat sebuah organisasi telah datang menyiasat 10 masjid di negara itu dengan menuramah imam, Ahli Jawatankuasa Masjid dan individu-individu yang aktif dalam komuniti Islam.

Menurut laporan itu lagi, bandar-bandar yang terlibat dalam penyelidikan tersebut termasuk Rotterdam, Delft, Almere, Huizen, Leidschendam-Voorburg, Zoetermeer, Veenendaal, dan Ede.

Akhbar itu menambah bahawa Utrecht Municipality telah menghentikan penyiasatannya kerana kebimbangan terhadap kaedah penyiasatan dan privasi umat Islam.

Sehingga kini sebanyak RM 1.45 juta  (USD347,990) telah dibelanjakan setakat ini untuk siasatan rahsia.

Pekerja Nuance door Training en Advies (NTA) iaitu sebuah firma perunding yang melakukan siasatan menggelar diri mereka sebagai anggota masyarakat atau pelawat yang ingin menemui orang ramai tanpa menyatakan identiti sebenar mereka, menurut laporan itu.

Hasil maklumat latar belakang imam dan pentadbir direkodkan, seperti dari mana mereka berasal dan pendidikan untuk diserahkan kepada kerajaan sebagai maklumat rahsia oleh NTA.

Masalah radikalisasi

Penyelidikan kerajaan terhadap radikalisasi dibuat kerana pembabitan Daesh dalam perang saudara Syria telah gagal. Kajian dibuat untuk mengukur sejauh mana masalah pengganas di negara itu yang sudah lama tidak dilakukan.

NRC melaporkan bahawa kajian itu bertujuan untuk mendapatkan hasil yang lebih realistik dengan mengawasi masjid-masjid di wilayah mereka.

Profesor Undang-Undang Perlembagaan, Ymre Schuurmans, berkata bahawa siasatan seperti itu tidak sah dan bahawa perbandaran tidak boleh melakukan perkara itu melalui syarikat swasta.

Kumpulan Payung Muslim juga mengatakan bahawa laporan siasatan itu merosakkan kepercayaan masyarakat Islam terhadap kerajaan.

Umat ​​Islam Belanda mengkritik penyiasatan rahsia itu.

Ketua Organisasi Muslim Belanda, Muhsin Koktas, mengatakan bahawa mereka sangat kecewa dengan berita itu.

“Selama bertahun-tahun umat Islam berusaha untuk menjadi warganegara yang baik di Belanda, dengan tindakan seperti itu, negara terus menggagalkan usaha kita. Atas sebab ini, mereka kehilangan kepercayaan umat Islam daripada mendapatkannya.

“Ini menyebabkan diskriminasi dalam masyarakat. Kami akan menyampaikan permasalahan ini kepada institusi negara yang bertanggungjawab untuk berunding mengenai langkah-langkah apa yang akan mereka ambil untuk mencegahnya daripada terjadi lagi,” katanya.

Sementara Ahli Parlimen Belanda kelahiran Turki, Tunahan Kuzu yang juga anggota pengasas Parti Politik Pro-Migran Denk, menyokong kenyataan Muhsin Koktas, bahawa keadaan itu merosakkan kepercayaan umat Islam terhadap pemerintah Belanda.

“Tidak sah apa yang dilakukan oleh perbandaraan untuk menyiasat masjid dengan cara ini,” kata Kuzu.

“Kami akan mengambil langkah yang sewajarnya di parlimen untuk menghentikan agenda negara ini, untuk menempatkan para penyelidik di kalangan masyarakat masjid,”katanya.

Sumber: TRTWorld dan agensi

Euronews
Jendela Dunia,

Jerman Benarkan Laungan Azan Di Masjid Untuk Solat Jumaat

no comment

MASJID Pusat Cologne iaitu antara yang terbesar di Jerman akan dibenarkan melaungkan azan melalui pembesar suara pada setiap minggu waktu solat Jumaat. Ia selepas satu perjanjian antara kota Cologne dan masyarakat Islam dipersetujui bagi meringankan sekatan terhadap kebebasan beragama.

Semua 35 masjid di Cologne mendapat kebenaran untuk melaungkan azan selama lima minit bagi menandakan masuknya waktu solat Jumaat yang hanya dihadkan sehingga jam 3 petang sahaja selama tempoh percubaan dua tahun.

Suasana ruang solat di dalam Masjid Pusat Cologne, Jerman yang cukup indah. Gambar: Qantara.

Ia termasuk Masjid Pusat Cologne yang terbesar di Jerman yang mula dibuka sejak 2018. Ia sebagai dorongan kepada sentimen anti-Islam yang bertambah kuat setelah kemasukan kumpulan suaka ke negara itu bermula pada tahun 2015 hingga 2016.

“Membenarkan laungan azan oleh Muazim adalah tanda hormat daripada saya,” tulis Datuk Bandar Cologne, Henriette Reker di Twitter.

“Panggilan untuk sembahyang menerusi loceng di katedral Cologne iaitu gereja Gothic terbesar di utara Eropah juga akan boleh didengar oleh penumpang-penumpang yang tiba di stesen kereta api utama di bandar ini.

“Ini menunjukkan bahawa kepelbagaian beragama sangat dihargai kepada mereka yang tinggal di Cologne,” tambahnya.

Semasa kontroversi mengenai pembangunan masjid besar itu, orang Islam memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan secara rutin melaungkan azan yang boleh didengar lima kali sehari di negara-negara Islam lain.

Bandar itu mengatakan bahawa masjid yang ingin melaungkan azan pada hari Jumaat harus mematuhi had jumlah pembesar suara mereka dan memberitahu jiran terlebih dahulu.

Kira-kira 4.5 juta umat Islam tinggal tinggal di Jerman adalah kumpulan minoriti agama terbesar.

Senibina dalaman yang cukup membanggakan umat Islam di Jerman.

Masjid Pusat Cologne adalah sebuah bangunan yang dimiliki oleh Muslim Jerman daripada Organisasi DITIB sebagai masjid pusat yang terbesar mewakili orang Islam di Cologne, Jerman. Masjid itu dirasmikan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Selepas kontroversi terhadap pembinaannya, projek itu mendapat persetujuan dewan bandar raya Cologne.

Masjid itu dirancang dengan gaya seni bina neo-Uthmaniyyah, dengan dinding kaca, dua menara dan kubah. Masjid ini dicadangkan untuk memiliki bazar serta kawasan sekular lain yang bertujuan untuk interaksi antara agama.

Oleh kerana masjid itu akan menjadi salah satu masjid terbesar di Eropah dan masjid terbesar di Jerman, ia pada mulanya dikritik oleh beberapa pihak yang tidak senang hanya kerana ketinggian menaranya.

Sumber: Al Jazeera